Filem James Bond - Quantum of Solace

Tuesday, November 11, 2008



Penonton yang telah menyaksikan filem terbaru James Bond pasti akan mengatakan James Bond kali ini sudah jauh berubah.

Kemunculan James Bond kali ke-22 ini membawa perubahan yang nyata bukan sahaja dari segi perwatakan malahan pada struktur filem ini.

James Bond tafsiran Daniel Craig jauh berbeza daripada James Bond lakonan Pierce Brosnan, Roger Moore, George Lazenby atau Sean Connery.

Mengapa James Bond perlu berubah?

James Bond yang diangkat daripada novel tulisan Ian Fleming pertama kali muncul pada tahun 1962 dengan filem Dr. No arahan Terence Young (lakonan Sean Connery).

Sejak filem pertama itu, James Bond menjadi antara francais filem yang paling berjaya.

Kisah agen penyiasat kerajaan British ini dianggap budaya popular yang paling berjaya selepas perang dunia kedua. Sebagai siri filem yang paling panjang, penonton filem James Bond telah melihatnya sebagai satu genrenya yang tersendiri.

Filem James Bond mempunyai ritualnya yang tersendiri.

Wacana Barat

Montaj awal kredit pembukaan (diperkenalkan pertama kali dalam filem From Russia With Love) dengan muzik tema ciptaan John Barry, watak Miss Moneypenny (pembantu M), kereta Aston Martin dan peralatan khas yang dicipta oleh Q telah menjadi komoditi yang membantu mengekalkan ciri-ciri khas yang memperkenalkan James Bond sebagai agen penyiasat yang luar biasa hebat.

Sehingga sirinya yang ke-20, James Bond masih mengekalkan ciri-ciri yang yang menjadi identiti wataknya, pegawai penyiasat yang cekap dan licik serta pemikat wanita yang cukup romantis tetapi tidak mudah dijinakkan.

James Bond juga dikenali kerana elemen humornya. Sebenarnya James Bond sebahagian daripada wacana Barat dalam menghadapi perang dingin.

Dalam kisah-kisah Bond, kita melihat bagaimana Bond dan ketuanya, M meletakkan keutamaan kepada negaranya dalam menghadapi saingan daripada negara penentang yang berbeza ideologi.

Bagaimanapun, kemunculan James Bond edisi yang ke-21 dengan penampilan Daniel Craig sebagai James Bond telah berlaku perubahan yang ketara pada perwatakan, imej dan juga struktur filem tersebut.

James Bond yang dibawakan oleh Daniel Craig dilihat sebagai seorang yang keras, bertindak tegas tanpa humor dan dia bukan lagi seorang penakluk wanita iaitu identiti yang sering dikaitkan dengan watak tersebut.

Watak Bond yang keras dan dingin ini diteruskan oleh Daniel Craig dalam Quantum of Solace arahan Marc Foster (Monster Ball dan Stranger than Fiction).

Malah dalam Quantum of Solace, James Bond juga dilihat sebagai watak yang sentiasa tertekan.

Dia merasa dikhianati, tidak dipercayai oleh M dan sepanjang masa dalam mengejar masa untuk membalas dendam orang yang bertanggungjawab membunuh kekasihnya.

Dan untuk pertama kali James Bond bertindak bukan untuk kepentingan negara tetapi lebih atas agenda peribadi. Quantum of Solace bermula selepas berakhirnya siri yang lalu, Casino Royale.

James Bond memburu pembunuh kekasihnya, Vesper Lynd dalam satu adegan kejar mengejar di Siene, Itali.

Dan dalam masa lima minit kemudian adegan berubah dari Itali ke London dan kemudian ke Haiti.

James Bond masih mengekalkan lokasi globalnya dengan Quantum of Solace menggunakan lokasi di Itali, Panama, Chile dan Austria selain pengambaran dalaman di lakukan di Studio Pinewood London.

Semasa memburu pembunuh Vesper, James Bond membongkar tentang organisasi Quantum yang bertanggungjawab dalam pembunuhan Jesper sedang berusaha untuk merealisasikan projek penghijauan mereka di Bolivia dengan bersekongkol dengan pembunuh keluarga Camille (Olga Kurylenko).

Greene (Mathieu Almatric) yang mengetuai Quantum sebenarnya mempunyai niat untuk menguasai sumber alam. Quantum of Solace membawa perubahan pada struktur filem James Bond.

Kelaziman montaj dengan grafik yang absurd dan cara Bond diperkenalkan sudah tiada dalam filem ini.

Tempo filem Quantum of Solace bergerak dengan laju melalui suntingan pantas oleh Matt Cheese dan Rick Pearson yang turut bertanggungjawab dalam suntingan pantas filem Bourne Ultimatum.

Setiap adegan dalam Quantum of Solace distrukturkan dengan mempunyai klimaks aksi.

Dengan itu penonton akan menyaksikan aksi cemas dalam setiap adegan untuk tempoh setiap lima minit dan hal ini menyebabkan penonton akan sentiasa menyaksikan aksi puncak di sepanjang filem ini.

Sungguhpun struktur yang sedemikian akan memastikan plot sentiasa tegang, bagaimanapun memberikan kesan kepada keseluruhan plot filem ini yang tidak dapat menjelaskan adegan dan kaitan peristiwa. Lebih-lebih lagi mereka yang telah terlupa plot Casino Royale.

Perubahan James Bond bukan sahaja ketara pada perwatakan James Bond yang dibawakan oleh Daniel Craig tetapi juga watak penjahat dalam filem ini sudah lari daripada kelaziman watak-watak penjahat filem James Bond.

Tertekan

Watak antagonis oleh Greene tidak begitu ketara kejahatannya. Apa yang ketara dalam Quantum of Solace kali ini, Bond begitu tertekan untuk melunaskan dendamnya.

Dalam filem ini juga plot Bond dan wanita Bond, Camille berjalan selari iaitu melunaskan dendam peribadi masing-masing.

Dalam Quantum of Solace, James Bond cuba memasuki abad baru pasca moden dengan perubahan dari segi naratif dan strukturnya.

Musuh James Bond bukan lagi atas agenda perbezaan ideologi tetapi kali ini atas kepentingan ekonomi dan wanita bukan lagi barang perhiasan Bond.

James Bond sudah mahu melupakan imej ‘relic’ masa lalu. Malah M di akhir filem masih mempertahankan Bond yang masih diperlukan.

Untuk memastikan yang James Bond tetap relevan maka struktur naratif dan penampilan watak James Bond perlu berubah untuk mendekati cita rasa penonton filem aksi masa kini.

Malangnya perubahan ini menghilangkan imej asal James Bond yang diingati oleh khalayak iaitu elemen humor yang mampu memberi keseimbangan pada setiap aksi lasak dan keras James Bond.

Apakah James Bond masa kini sudah menganggap humor tidak penting?

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI