Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur

Monday, November 17, 2008


Dalam diam tak diam, pusat hiburan terkemuka ibu kota, Hard Rock Cafe (HRC) yang terletak di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur sudah beroperasi selama 17 tahun iaitu sejak tahun 1991.

Selama itu juga, hampir tiga juta pengunjung sudah pun mengunjungi pusat hiburan yang bukan sekadar menawarkan hiburan semata-mata tetapi juga merupakan sebuah tempat untuk bersantai dan restoran yang menghidangkan makanan yang cukup enak.

Kini, setelah 17 tahun berlalu, HRC tampil dengan wajah baru yang cukup berbeza dengan apa yang pernah ditampilkan sebelum ini.

Dengan kos sebanyak RM3 juta yang diperuntukkan untuk penampilan terbaru HRC, tidak mustahil, ia mampu menarik perhatian warga kota untuk terus mengunjungi pusat hiburan berkenaan.

Sudah pasti, tarikh 8 November lalu menjadi saksi apabila HRC dilancarkan semula oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan dihadiri oleh ramai orang kenamaan dan juga artis yang dijemput khas bagi memeriahkan lagi sambutan pada malam itu.

Turut hadir adalah Pengerusi Hard Rock Cafe Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir dan Pengurus Besar yang merangkap Pengarah Kawasan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Michael Leow.

Antara artis dan selebriti yang dijemput menghadiri pelancaran wajah baru HRC adalah Noryn Aziz, Ella, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir serta Sharifah Shawati.

Ketika ditemui, Syed Yusof memberitahu, pihaknya begitu teruja dengan penampilan terbaru HRC yang disifatkannya lebih menarik dan sofistikated seiring dengan perubahan zaman yang dilalui kini.

"Penampilan wajah terbaru HRC diharapkan akan terus menarik perhatian pengunjung tempatan mahupun luar negara.

"HRC tidak menawarkan hiburan semata-mata tetapi juga kualiti makanan yang dijamin mampu memberikan seribu kepuasan kepada pengunjung seperti mana 17 tahun lalu sejak ia beroperasi," jelasnya.

Bukan itu sahaja, harapan Syed juga besar untuk melihat HRC muncul sebagai salah sebuah mercu tanda yang terkenal di Kuala Lumpur di samping untuk muncul sebagai restoran, pusat pelancongan serta pusat hiburan malam terulung di ibu negara.

"Malah, kami juga berikrar untuk terus memantapkan lagi jenama Hard Rock Cafe dengan menawarkan yang terbaik dalam menghidangkan muzik terbaik serta memberi peluang kepada bakat tempatan dan antarabangsa untuk menonjolkan bakat baru di pentas Hard Rock Cafe," ujarnya lagi.

Antara perubahan baru dalam HRC adalah pembinaan pentas dengan set rekaan terkini yang dilihat mampu memenuhi cita rasa pengunjung pusat hiburan tersebut.

Bukan itu sahaja, HRC juga terkenal dengan simpanan barangan berharga artis terkenal dunia seperti baju, alat muzik dan sebagainya untuk menjadi tatapan para pengunjung.

Dan untuk wajah baru ini, HRC juga telah menaik taraf memorabilianya apabila mempamerkan jaket sutera milik mendiang Jimi Hendrix, gitar bercorak papan catur kepunyaan Cheap Trick, busana yang pernah dipakai oleh Gwen Stefani sewaktu mengadakan konsertnya serta pelbagai lagi memorabilia yang berkaitan dengan sejarah muzik rock 'n' roll dunia.

Dengan berpegang teguh kepada falsafahnya sejak 17 tahun lalu iaitu Love All, Serve All, pastinya Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur menerima dengan terbuka kehadiran semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang, usia mahupun kasta dalam menikmati muzik, hiburan serta makanan yang tiada tandingannya.

Untuk memeriahkan lagi sambutan ulang tahun kelahiran Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur yang ke-17, sebuah persembahan istimewa oleh Bobby Kimball yang juga merupakan vokalis kumpulan legenda, TOTO akan diadakan pada 29 November ini.

Pastinya, Bobby akan menyampaikan lagu-lagu popular seperti Rosanna, Africa, Hold The Line serta banyak lagi lagu-lagu klasik lain yang telah membuatkan TOTO menjadi kumpulan rock popular yang paling laris jualan albumnya di Amerika serta pernah memenangi tiga anugerah Grammy.

Bayaran masuk untuk menyaksikan persembahan istimewa yang akan bermula pada pukul 11 malam ini adalah RM40 termasuk segelas minuman ringan percuma.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi talian 03- 2715 5555.

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

1 Komen:

Anonymous said...

lepas buat konsert 2 datangla rumah persatuan kami hulurkan bantuan untuk anak2 kurang upaya,hubungi kami 0122190126

Post a Comment

 

ZONFINITI