Mazin tetap meneruskan Sehati Berdansa walau isteri hamil

Saturday, November 15, 2008


Nekad meneruskan langkah tarian, biarpun disahkan hamil! Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan tindakan mereka, tetapi Mazin Ameen Siraj dan isterinya, Ida Chairunisa membuat keputusan meneruskan perjuangan mereka dalam program realiti tarian pasangan selebriti, Sehati Berdansa 2, biarpun Ida telah disahkan hamil.

Apa yang penting, Ida yang mengandung dua bulan itu sendiri tetap bercita-cita tinggi bagi bersaing menerusi rancangan popular ini, tanpa sesekali mahu menghentikan langkah tarinya bersama suami tercinta, Mazin.

Hal tersebut diakui oleh penerbit Sehati Berdansa 2, Norazian Zahir usai sahaja pengumuman pasangan romantis, Jamal Jamaludin dan Noor Faridah tergelincir senarai, Ahad lalu.

Menurut Norazian, pasangan itu dengan telus memberitahu pihak produksi bahawa Ida hamil serta memohon pandangan Astro untuk tindakan selanjutnya.

"Semasa ujian kehamilan dijalankan, saya dan pasangan itu dikhabarkan oleh pakar perubatan tentang Ida yang sudah mengandung dua bulan.

"Setelah mendapat pengesahan doktor, produksi Sehati Berdansa 2 menasihatkan Mazin dan Ida untuk berhenti daripada menyertai program ini.

"Mereka bagaimanapun enggan berhenti sekerat jalan, sebaliknya bersungguh-sungguh untuk menyambung program tarian ini," jelasnya.

Masih gusar dengan perkara itu, Norazian terus berusaha mendapatkan semula saranan doktor lebih-lebih lagi pihak produksi bimbang perkara tidak diingini bakal berlaku.

"Doktor mengatakan mereka masih boleh menari disebabkan kandungan Ida berada dalam tempoh kira-kira tujuh minggu.

"Setelah mendapat kata putus, doktor yang terlibat berikan nasihat agar pasangan ini jalani pemeriksaan sebulan sekali.

"Mereka masih boleh menari, asalkan koreografer mencorak gaya tarian bersesuaian dengan tugasan mingguan yang diberi kepada Ida.

"Lantaran itu, pasangan ini dikehendaki menandatangani satu kontrak terbaru dalam Sehati Berdansa 2," ungkap Norazian.

Bagi Mazin, pada awalnya dia dan Ida sukar bagi menentukan pilihan sama ada untuk terus ataupun menghentikan daripada memasuki pertandingan ini.

"Faktor utama ia membabitkan keadaan kesihatan isteri saya manakala faktor kedua kami memikirkan tentang program ini.

"Peluang menyertai Sehati Berdansa 2 memang sukar dan hanya sekali saja. Jadi kami enggan mempersiakan dengan komitmen yang diberi sebelum ini.

"Ditambah doktor pun memberikan lampu hijau kepada Ida untuk terus sertai Sehati Berdansa 2, maka kami sekadar menyambung semula rancangan ini seperti biasa.

"Kalau atlet sukan lain dalam gimnastik masih boleh buat itu dan ini semasa hamil, tidak mungkin kami hendak henti di sini saja," akui Mazin ketika dihubungi Kosmo!.

MENGAKUI tidak puas hati dengan komen juri yang terlalu umum.

Dalam pada itu, Mazin sempat meluahkan perasaan kurang enak dengan sesetengah persepsi umum yang membuatkan perkara kehamilan ini diuar-uar menjadi cerita negatif.

"Saya cukup hairan apabila masyarakat menganggap soal ini menjadi sesuatu benda yang besar, sedangkan penglibatan dalam Sehati Berdansa 2 ini dilakukan hanya untuk diri kami dan bertujuan untuk menyumbang kepada badan amal.

"Harap sangat selepas ini tiada lagi mana-mana pihak yang cakap kononnya ditakuti ada perkara buruk menimpa Ida disebabkan dia hamil.

"Kami sendiri berfikiran positif dalam soal ini, jadi kami minta agar orang luar sendiri menyokong kami sekali gus tidak lagi bercakap bukan-bukan tentang keselamatan Ida.

"Saya juga ingin katakan bahawa kami tidak akan mendapat sebarang layanan istimewa dalam rancangan ini, sebaliknya kami tetap akan mencabut undian untuk memilih tarian yang diingini dengan peserta lain.

"Cuma koreografer kami, Norashid Abdul Latip akan susun tarian yang lebih ringan kepada Ida mengikut kesesuaian.

"Kami mengakui bukannya mendapat keistimewaan daripada produksi, sebaliknya kami tetap bakal melaksanakan benda sama dengan peserta lain," ujar Mazin lagi yang membantu badan kebajikan Persekutuan Orang Pekak Malaysia.

Jamal, isteri luah perasaan

Malam indah Ahad lalu menyaksikan Jamal dan Noor Faridah tersingkir dari gelanggang Sehati Berdansa 2 dan hanya berpuas hati dengan peratus terendah, 40.71.

Tidak dinafikan, Jamal dan isteri mengakui bersedih serta rasa kecewa dengan penyingkiran itu.

"Bagai menjadi adat jika memasuki satu-satu pertandingan, sudah semestinya kita ada matlamat tertentu apatah lagi ia bertujuan kebajikan.

"Sudah pasti kami berdukacita sebab gagal mempertahankan kedudukan apatah lagi program musim kedua ini baru hendak bermula.

"Hasrat kami memang ingin bertahan dalam Sehati Berdansa 2 sebab mahu membantu persatuan di bawah kami iaitu Pusat Kebangsaan Autisma Malaysia.

"Kami memang ikhlas ingin menolong organisasi ini. Ia tidak dikenali ramai, malah sebelum ini kami tidak tahu lokasinya.

"Persatuan ini memang kurang publisiti. Jadi kami berharap sangat bagi menyumbang sebanyak yang boleh menerusi rancangan ini walaupun tidak pernah terfikir untuk ke peringkat akhir," jelas Jamal sambil matanya melirik tepat isteri tersayang.

Deejay radio popular, Sinar FM ini juga sempat meluahkan pendapat tentang masa suntuk yang diberikan kepada juri profesional untuk memberi komen kepada peserta.

"Saya berpendapat alangkah baiknya kalau juri diberi lebih masa untuk kritik semua peserta.

"Kami sedar banyak lagi yang perlu diperbaiki, tetapi kalau juri cuma boleh cakap sekejap, mana mungkin bagi peserta mempelajari kesalahan sendiri.

"Contohnya kami selalu diberi kritikan bahawa persembahan 'jujur', namun kami tidak tahu maksud sebenar jujur itu.

"Kenyataan pengadil terlalu umum, tanpa diterangkan lebih terperinci. Jadi kami tidak dapat memahami dengan jelas nasihat yang disampaikan disebabkan waktu mereka cukup singkat.

"Sekurang-kurangnya dengan komen lengkap, ia dapat membuatkan koreografer serta peserta untuk mempelajari kesalahan yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Dengan itu, semua peserta dapat memperbaiki diri sekali gus mampu menjadi penari yang baik. Sepatutnya perkara ini yang harus diusul koreografer, namun kami juga rasa berhak untuk melontarkan pandangan," terang Jamal yang menyumbangkan sebanyak RM3,000 untuk persatuan berkenaan.

JAMAL dan Noor Faridah sudah mencuba yang terbaik.

Paling mengejutkan apabila Amyza Aznan dan Khairil Izhar menjadi pasangan yang memperolehi kedudukan di tangga teratas, sejak dua minggu berturut-turut.

Amyza dan Khairil menerima undian tertinggi sebanyak 58.79 mengalahkan peserta yang sebelum ini digembar-gemburkan sebagai pasangan kegemaran, Khai serta Rosma (51.70) dan Lisdawati serta Fauzi Nawawi (51.06).

Selepas Jamal dan Noor Faridah tersingkir, sebanyak tujuh lagi pasangan akan meneruskan langkah tari malam ini dengan tarian Global.

Mereka terdiri daripada Amyza Aznan dan Khairil Izhar, Ani Maiyuni dan Zairi Azmi, Khai dan Rosma, Mazin Ameen Siraj dan Ida Chairunisa, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin dan Sasha dan Salyo.

Sehati Berdansa 2 yang dihoskan Linda Onn dan Fahrin Ahmad mempertaruhkan sebanyak 50 peratus undian penonton serta 50 peratus markah daripada pihak juri.

Ingin lihat langkah tarian menarik tujuh lagi pasangan sehati sejiwa yang masih berentap, jangan lupa untuk menyaksikan Sehati Berdansa 2, setiap Sabtu bermula pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan ketahui keputusannya dalam Debaran Sehati Berdansa 2 setiap Ahad, pukul 9 malam.

Oleh FAIZAL SAHARUNI, Kosmo!

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI