Memey digugurkan dari drama Issandra

Wednesday, November 05, 2008


Gara-gara insiden ditangkap atas tuduhan berkhalwat dengan Norman Hakim, nama pelakon Memey Suhaiza Suhaimi, 20, (gambar) digugurkan daripada pembikinan drama bersiri berjudul Issandra.

Watak yang sepatutnya disandang oleh Memey dalam drama bersiri 26 episod itu telah digantikan dengan pelakon Eira Syazira.

Pengarah Urusan Pro Pictures Sdn. Bhd., Aida Yusof berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga penerbit terhadap sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan peluang drama berkenaan untuk ditayangkan jika Memey didapati bersalah di mahkamah kelak.

"Sebagai penerbit kami tidak bersedia untuk menanggung sebarang risiko negatif yang mungkin boleh menyebabkan drama ini tidak dapat disiarkan menjelang slot tayangannya tahun depan.

"Setelah berfikir panjang lebar, nama Memey terpaksa kami gugurkan. Kami bimbang kes yang sedang dihadapi Memey akan memberikan implikasi negatif terhadap Issandra di kemudian hari," katanya.

Menurut Aida, keputusan itu juga diambil setelah pihak produksi berbincang dengan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Walaupun tidak timbul sebarang masalah ketika ini, pihak RTM memberi gambaran jika Memey didapati bersalah menjelang perbicaraan Januari nanti, drama lakonannya tidak boleh disiarkan.

"Saya bagi pihak produksi meminta maaf kepada Memey kerana terpaksa menggugurkan dia daripada senarai pelakon kami," katanya yang sudah pun membuat perbincangan awal dengan Memey mengenai drama berkenaan.

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT - Kosmo!

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI