Puteri Salju drama bersiri baru - Snow White versi Melayu

Thursday, November 13, 2008


Puteri Salju drama bersiri yang bakal disiarkan TV3 bermula 17 November ini masih mengangkat budaya ketimuran biarpun diadaptasikan daripada hikayat dongeng Barat Snow White.

Pengarahnya, Mohd Hitler Zami berkata, bukan animasi atau fantasi yang cuba disampaikan menerusi drama ini tetapi sekadar mengangkat pemikiran yang boleh dijadikan pegangan.

“Kekuatan drama ini bergantung kepada penceritaan dan pelakon yang dilihat berbeza daripada karya asal. Banyak olahan yang dibuat dalam menghasilkan drama ini terutama jalan ceritanya.

“Puteri Salju tidak sesekali pun mengangkat elemen fantasi seperti Snow White tetapi mengolah penceritaan ini berdasarkan kehidupan sebenar seperti yang kita lalui hari ini.

“Dengan menggunakan pendekatan seperti ini, mesej dan pengajaran yang ingin disampaikan itu sebenarnya lebih mudah diterima kerana ia lebih dekat dengan jiwa masyarakat kita,” katanya selepas majlis memperkenalkan barisan pelakon yang menjayakan drama bersiri ini.

Drama bersiri yang bakal disiarkan sebanyak 20 episod ini turut menggunakan khidmat tujuh pelakon istimewa yang didatangkan khas daripada Persatuan Orang Kerdil Malaysia.

“Kita membawa tujuh pelakon kerdil yang semuanya adalah wanita. Ini juga satu keistimewaan drama ini. Jika dilihat di dalam filem Snow White tujuh orang kerdil ini adalah lelaki tetapi kali ini kita ubah kepada wanita.

“Tujuh pelakon istimewa ini juga diangkat sebagai wanita yang hidup bersama dan memiliki kerjaya yang baik. Saya mahu menunjukkan kepada orang ramai bahawa golongan istimewa seperti ini harus dipandang juga,” katanya yang amat selesa dan seronok mengarah untuk mereka.

Drama yang disiarkan menerusi slot Lagenda di TV3 mulai 17 November ini bermula jam 4.30 petang setiap Selasa hingga Khamis mengisahkan Zarina yang sanggup melakukan apa saja untuk memiliki lelaki idamannya.

Ia sebenarnya diceritakan kembali oleh Puteri Salju selepas melalui pengalaman hidup bersama ibu tirinya iaitu Zarina. Apabila mengetahui Juriah iaitu isteri Mohamad sedang berbadan dua, Zarina cemburu kerana Mohamad adalah pemuda kampung yang sangat diminatinya.

Zarina mula mengatur langkah untuk merosakkan rumah tangga Mohamad lalu dia berjumpa dengan bomoh Kelly Cantik yang bertujuan untuk menggugurkan kandungan Juriah.

Ternyata Juriah terpedaya dengan tipu helah Kelly Cantik yang memberikan racun menyebabkan Juriah bertemu ajal. Namun Juriah sempat menyelamatkan anak yang dikandungnya lalu lahirlah Puteri Salju.

Akhirnya Zarina berjaya berkahwin dengan Mohamad dan menjadi ibu tiri kepada Puteri Salju. Pelbagai dugaan ditempuh Puteri Salju dalam hidupnya bersama ibu tiri sehingga dia diupah Zarina untuk dibunuh. Puteri Salju melarikan diri ke dalam hutan dan diselamatkan oleh tujuh wanita kerdil.

Drama ini dibarisi pelakon seperti Puteri Fateen Nasuha Shamsuddin, Fizo Omar, Sabrina Ali, Sharifah Shahira, Heryanto Hassan, Abby Nadzri, Rosnah Mat Aris, Jehan Miskin dan ramai lagi.

Oleh Rozdan Mazalan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI