Sehati Berdansa - Pasangan Sasha Mohamad Saidin dan Salyo Priyanto Notosoemarsono

Thursday, November 13, 2008

Umpama mimpi menjadi kenyataan, begitu yang dirasai pasangan suami isteri, Sasha Mohamad Saidin dan Salyo Priyanto Notosoemarsono apabila dipelawa menyertai program realiti tarian, Sehati Berdansa.

Akui Sasha yang sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap tarian, dia mengikuti program itu sejak diperkenalkan tahun lalu malah turut menggemari rancangan menari lain seperti Strictly Come Dancing terbitan stesen penyiaran, BBC dan Dancing With Stars.

Tarian juga katanya, membawanya mengimbau zaman kanak-kanak kerana dia pernah mengikuti pelbagai kelas termasuk gimnastik, judo dan taekwondo sejak berusia 8 tahun.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang aktif bersukan, cuma satu yang cukup membimbangkan wanita kelahiran London, England pada 20 Disember 1976 ini - sakit belakang yang pernah dialaminya kembali berulang.

“Saya hanya mencuba dan menyerahkan pada takdir. Alhamdulillah, melepasi minggu ketiga ini saya tidak mengalami kesakitan yang berat. Sakit sikit itu biasalah cuma pada minggu kedua disebabkan rutin tarian agak agresif, saya berdepan kesakitan di bahagian paha dan punggung.



“Saya dan suami akan tetap berusaha setakat yang termampu. Dengan bimbingan koreografer, Shafirul Azmi Suhaimi, Insya-Allah kami mampu melalui semua itu,” katanya yang ditemui pada sesi latihan di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Tarian juga bukan bidang baru buat Salyo kerana pengalaman mengadakan persembahan bersama kumpulan Rebek di Jakarta, Indonesia dulu banyak membantunya untuk beraksi di lantai tari.

Juga berpengalaman di pentas teater, justeru Salyo yang kini mengusahakan pelbagai perniagaan termasuk menjadi Pengarah Syarikat bagi Prabu Salyo Jakarta tidak pernah berasa janggal berdepan dengan khalayak.

“Jangan tak tahu dia cukup seronok berdepan dengan orang ramai,” usik Sasha mengenai suami kesayangannya itu.

TEKUN menjalani latihan di bawah bimbingan Shafirul Azmi.

Seperti Sasha, Salyo juga menyimpan kebimbangan terutama kecenderungannya menikmati hidangan yang menyelerakan dan mengakibatkan berat badannya meningkat.

Bagaimanapun, kata Salyo, bermula minggu kedua persaingan dia sudah tidak lagi menyentuh hidangan berat untuk menjaga stamina ketika menari.

“Saya malu kerana minggu pertama apabila kami menonton semula rakaman pertandingan, keluarga ketawa melihat perut saya. Dari situ saya nekad untuk memulakan diet. Sejak tiga hari lalu saya sudah tidak menyentuh nasi. Cuma saya bimbang tergoda terutama apabila Sasha menghidangkan makaroni.

“Dia pandai masak sehinggakan ibu saya sendiri menggemari air tangannya. Kami pula dilahirkan dalam keluarga yang gemar makan, itu yang membuat badan saya sentiasa meningkat,” kata Salyo yang menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka pada 10 November lalu.

Biarpun sibuk dengan komitmen masing-masing, malah kesibukan Sasha berganda apabila bergelar Pengetua Bersama di Tadika A Star Kids Kindy namun itu tidak menghalang mereka untuk menepati jadual latihan yang diwajibkan.

Menyentuh mengenai latihan, Sasha berkata, dia dan Salyo yang mewakili Persatuan Diabetes Malaysia mempunyai pendekatan berbeza dalam memahirkan diri untuk rutin tugasan.

“Saya jenis suka mempelajari sesuatu benda satu persatu, tidak boleh semua sekali gus tetapi Salyo pula lebih pantas menguasai reaksi muka dan pergerakan tarian.

“Jadi biasanya saya biarkan Salyo belajar dulu dan sebelum dia pulang ke rumah saya akan menonton semula rakaman dan memulakan latihan sendirian. Itu lebih memudahkan kerana apabila di studio, kami hanya meneruskan latihan kerana semua pergerakan sudah diingati,” kata Sasha.

Sehati Berdansa ubah hidup

ANDAI hari biasa, mereka jarang berkesempatan menghabiskan masa bersama kerana Sasha biasanya masuk tidur jam 9 malam kerana perlu bangun seawal jam 5 pagi, Salyo pula hanya selesai bekerja jam 12 tengah malam.

Pernah kata Salyo, mereka tidak bertemu beberapa hari dan hanya telefon menjadi penghubung lantaran kesibukan namun Sehati Berdansa mengubah hidup mereka.

“Selain masa, kami juga menikmati hidup berkualiti apabila dapat bersama menjalani latihan tarian. Seronoknya, keluarga saya dan Sasha begitu menyokong apa yang kami lakukan.

“Mereka sentiasa bersedia meluangkan waktu dengan hadir ke studio ketika kami beraksi, malah turut memberikan komen apa yang perlu diperbaiki untuk mengatasi kelemahan selepas selesai persaingan.

“Semakin lama menari membuatkan kami berdua menjadi ketagih, bahkan tidak pernah memikirkan apa yang sedang dilakukan ini adalah satu pertandingan.

“Kami realistik kerana bukan dilahirkan sebagai penari tetapi kami berusaha untuk memberikan persembahan terbaik setaraf penari profesional hasil tunjuk ajar koreografer,” katanya.

Pandangan Sasha dan Salyo mengenai peserta lain:

  • Shahril Arshat dan Noraini Morat:
    Pasangan yang ‘cute’ dan baik. Mereka boleh menari dengan baik jika diberikan ruang dan waktu.

  • Khai dan Rosma:
    Asas tarian ketika menuntut di Akademi Fantasia dulu banyak membantu mereka ketika menari untuk Sehati Berdansa.

  • Lisdawati dan Fauzi Nawawi:
    Mereka punya kelebihan terutama Fauzi yang memiliki asas teater. Dari segi ekspresi wajah dan keseimbangan, mereka tidak mempunyai masalah besar.

  • Sabrina Ali dan Shahrin:
    Pasangan yang berani mencuba dan mengambil apa saja cabaran walaupun berisiko tinggi. Mereka juga peramah dan menyenangkan.

  • Ani Mayuni dan Zairi
    Zairi mengejutkan kerana dia berbakat dalam bidang tarian. Dia banyak melakukan kejutan malah sentiasa ceria di pentas.

  • Amyza Aznan dan Khairil Izhar
    Gila-gila dan sikap periang Amyza membuatkan dia nampak berseronok setiap kali muncul. Biarpun ada berbuat silap, mereka bijak menutup kesilapan.

  • Jamal Jamaluddin dan Ida
    Pengalaman Jamal dalam sukan bola keranjang membantu pergerakan badan untuk lebih fleksibel.

  • Mazin dan Anisa
    Mereka boleh menari dengan baik. Kelebihan dalam bidang peragaan dulu membantu mereka untuk menghidupkan karakter di pentas. Pengalaman membuatkan mereka tidak malu berdepan dengan penonton.

    INFO: Sasha
    Nama Penuh; Sasha Mohamad Saidin
    Tarikh Lahir: 20 Disember 1976
    Asal: London, England
    Profesion: Pengarah Syarikat MBE Etc dan Pengetua Bersama Tadika A Star Kids Kindy
    Hobi: Membaca dan mengarang puisi
    Pengalaman: Berlakon dan menyanyi bersama Elite

    INFO: Salyo
    Nama Penuh: Salyo Priyanto Notosoemarsono
    Tarikh Lahir: 25 Mei 1976
    Asal: Jakarta, Indonesia
    Profesion: Pengarah Syarikat Prabu Salyo, Jakarta dan Pengurus MBE Etc
    Hobi: Mengadakan persembahan dan menulis muzik
    Pengalaman: Pernah menyertai kumpulan Rebek.



  • Oleh Zul Husni Abdul Hamid

    0 Komen:

    Post a Comment

     

    ZONFINITI