Ujibakat Program Raja Lawak Musim Ke- 3 Astro

Wednesday, November 19, 2008


Sebut sahaja program Raja Lawak Astro, pasti umum akan terkenangkan bagaimana juaranya pada musim lalu iaitu Nabil menggeletek hati para penonton setia rancangan itu dengan pelbagai telatah lucu dan aksi spontannya.

Bukan hanya Nabil, malah sejak diperkenalkan ke kaca televisyen dua tahun lalu, beberapa peserta Raja Lawak (RL), turut berjaya menarik perhatian umum, antaranya ialah Zizan, Johan dan kumpulan Cham.

Kini, pertandingan itu sekali lagi membuka pencarian bakat-bakat baru dalam usaha mengetengahkan lebih ramai barisan pelapis pelawak di negara ini.

Sesi jelajah menjejaki Raja Lawak musim ke-3 (RL3) bakal bermula pada 8 November lalu di Megamall, Kuantan, Pahang dan berakhir pada 30 November ini dalam sesi jelajah yang bakal diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor.

Terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat, mereka yang berumur 18 tahun ke atas sama ada lelaki ataupun perempuan, layak menghadiri sesi ujibakat.

Pada sesi tersebut, para peserta hanya perlu membuat persembahan secara spontan dalam masa tiga minit dengan persembahan yang mampu menarik perhatian pihak juri.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan untuk musim kali ini termasuklah sebuah kereta Kia Optima, perkakas elektrik bernilai RM25,000 dan wang tunai.

Pengurus saluran Astro Prima, Khairul Anwar Salleh pada sidang media rancangan itu memberitahu, objektif utama produksi RL3 kali ini untuk memastikan bahawa bakat baru yang dicungkil daripada rancangan itu adalah yang lebih baik daripada Nabil.

"Kita mahu menjemput sesiapa sahaja yang mempunyai bakat lawak supaya berani tampil ke hadapan. Komedi ini seperti ketawa, lama kelamaan ia akan berjangkit dari satu penonton ke satu penonton yang lain.

"Dan kali ini, kalau boleh kami nak mulakan jangkitan ketawa itu dari peringkat uji bakat lagi," katanya.

Menurut Khairul lagi, rancangan tersebut pada musim lalu mengalami peningkatan ketara sehingga 45 peratus berbanding pencapaian yang diperolehi pada musim pertama.

Gembira dengan pencapaian tersebut, kata Khairul ramai antara produk RL kini telah mendapat tempat di hati penonton malah, peserta musim pertama mereka iaitu Zizan dan Johan masih kekal bertahan sehingga kini.

Tambahan pula kata Khairul membuka peluang kepada peserta berkumpulan pada musim lalu berbanding musim pertama yang hanya membenarkan persembahan secara solo terbukti memberi impak yang besar kepada rancangan tersebut.

"Apabila kita perkenalkan hanya pelawak solo dalam Raja Lawak musim pertama, ia sedikit sebanyak memberi beban kepada peserta untuk mencari idea dan membuatkan penonton sukar memilih peserta kegemaran mereka.

"Sebab itu kita adakan kategori berkumpulan dalam RL2 dan kesannya memang memberangsangkan," katanya.

Selain menghadiri uji bakat ditempat-tempat yang telah ditetapkan, mereka yang berminat menyertai RL3 juga boleh menghantarkan penyertaan dengan memindah naik klip video persembahan lawak mereka yang berdurasi selama tiga minit ke www.murai.com.my dalam tempoh 12 hari bermula 10 November ini.

Mereka yang berkelayakan akan diberi keutamaan pada sesi ujibakat terakhir yang bakal diadakan pada 29 dan 30 November ini di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor.

Pada sidang media itu juga, tiga juri tetap iaitu Zaibo, Shamsul Ghau Ghau dan Fauziah Nawi diperkenalkan bagi mengambil tugas mengkritik serta membantu mengasah bakat lawak para peserta RL3.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI