2 ikon wanita Malaysia

Friday, September 30, 2011 0 Komen

MAJLIS Anugerah Perdana Menteri Usahawan Wanita (APMUW) dan Anugerah Perdana Menteri Penggiat Sosial Wanita (APMPSW) 2011 yang julung kali diadakan pada 25 September lalu berjaya menemui ikon di kalangan wanita terhebat di negara ini.

Mereka yang dimasyhurkan itu bakal menjadi sumber inspirasi kepada golongan hawa untuk terus melakar pencapaian gemilang, sekali gus membantu bersama-sama membangunkan negara.

Pada majlis anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu, usahawan perkakasan, Hooi Lai Lin dipilih menerima APMUW 2011 manakala APMPSW 2011 dimenangi Presiden Rumah Amal Cheshire Selangor, Datin Paduka Khatijah Sulaiman @ Sulieman.

Kedua-dua mereka menerima hadiah yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berupa wang tunai RM100,000, trofi kristal dan seutas jam tangan mewah.

Pemenang APMUW 2011 juga menerima tajaan penyertaan dalam Program Pembangunan Pengeksport Wanita manakala pemenang APMPSW 2011 mendapat penajaan daripada Bantuan Khas Perbendaharaan selama dua tahun bagi menjalankan program atau aktiviti sosial.

Tidak ketinggalan, setiap finalis turut menerima wang tunai sebanyak RM20,000 sumbangan Rakan Perkongsian Pintar Kementerian terdiri Sime Darby, Mouawad, Media Prima, Christofle, Langkawi Crystal, Maybank, Maxis, Celcom, TM, Air Asia, Ambank Group, MIDF Group, Prima Group dan Hong Leong Bank Berhad.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tun Musa Hitam.

Pemenang APMUW 2011, Hooi memulakan operasi perniagaannya dengan menyewa kilang seluas 0.01 hektar, kini memiliki sebuah bangunan yang dibina atas tapak berkeluasan 0.48 hektar.

Nilai pusingan jualannya meningkat daripada RM2 juta pada 1966 kepada RM47 juta pada akhir Jun 2011 dan berjaya memenangi kontrak daripada konglomerat serta penjual runcit besar melalui persaingan dengan pengilang perkakasan asal multinasional utama.

Syarikatnya turut memenangi kontrak daripada konglomerat Jepun di mana produk keluarannya dijual di 12 negara serta sering mendapat pujian pelanggan atas kawalan standard yang tinggi.

Hooi berkata, kemenangan itu agak mengejutkannya kerana terdapat ramai lagi wanita hebat namun beliau percaya semua wanita di Malaysia mampu meraih kejayaan sekiranya mengamalkan kerja keras, mempunyai minat mendalam dan melakukan sesuatu kerja dengan sebaik mungkin.

Katanya, beliau akan meneruskan perniagaannya serta membantu wanita lain untuk turut berjaya.

"Saya mempunyai minat mendalam dalam apa yang saya lakukan, percaya pada kejujuran dan saya percaya kita perlu mempunyai rasa cinta yang dalam terhadap apa yang kita bangunkan selain memastikan apa saja yang kita buat memberi impak positif kepada masyarakat," katanya sejurus majlis.

Sementara itu, pemenang APMPSW 2011, Khatijah mengambil keputusan untuk mengorbankan cita-cita peribadinya tiga puluh tahun lalu dengan bekerja secara sukarela sepenuh masa untuk berbakti kepada masyarakat yang sering diabaikan seperti golongan kelainan upaya secara fizikal dan mental.

Beliau berkata, anugerah yang diterimanya itu adalah satu kurniaan tidak ternilai harganya dan amat bermakna bagi dirinya apalagi pengiktirafan itu tidak diduga memandangkan semua finalis lain mempunyai potensi memenangi anugerah itu.

"Saya memilih kehidupan berbakti dan bekerja secara sukarela sepenuh masa untuk masyarakat yang sering diabaikan.

"Bagaimanapun, komitmen dan bakti yang diberikan dalam dunia kebajikan kepada masyarakat amat bermakna sepanjang pembabitan saya dalam mengasaskan yayasan ini," katanya.

Selain kedua-dua pemenang, finalis bagi APMUW 2011 adalah Naib Presiden Kumpulan Syarikat Infovalley Companies, Anu Sheela Themudu; Pengarah Eksekutif Elyza's Home (M) Sdn Bhd, Elyza Yong Kwai Fong; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Dr Maznah Abd Hamid; usahawan, Noraini Soltan dan pengasas bersama francais pendidikan prasekolah Smart Reader Worldwide, Dr Wang Kim Ha.

Manakala finalis APMPSW 2011 terdiri Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman; Presiden Kechara Soup Kitchen, Datuk Ruby Khong; Presiden Persatuan Disleksia Malaysia, Sariah Amirin dan Presiden Tech Outreach, Dr Selvamalar Ayadurai.

Anugerah diilhamkan Perdana Menteri yang dilancarkan pada 29 Julai lalu itu mendapat sambutan menggalakkan dengan 119 pencalonan terdiri 55 calon bagi APMUW dan 64 lagi bagi APMPSW.

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Jimmy Shanley Terus Kes Nusyuz Terhadap Suhaila

Friday, September 30, 2011 0 Komen

Jimmy Shanley Norjahan Saleh,25, pada Khamis, membuat keputusan untuk meneruskan permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan terhadap isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy,32.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus pada prosiding sebutan semula kes yang diadakan di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Menurut Mohd Noor Aizan, pihaknya juga telah memfailkan jawapan kepada pembelaan yang difailkan oleh Nursuhaila, pada prosiding terdahulu.

Jimmy, yang mengendalikan program 'Gala TV Plus' seterusnya memberitahu, dia juga telah memasukkan pelbagai bukti setebal 100 halaman termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan juga rakaman video dan audio yang akan dikemukakan pada perbicaraan tersebut.

Pada prosiding itu, Hakim Syarie Shaharuddin Selamat turut menegur Jimmy apabila dia mengatakan 'lakonan' isterinya semakin menjadi-jadi selepas berpantang.

Shaharuddin: Kamu juga seorang pelakon?

Jimmy: Ya.

Shaharuddin: Kamu jangan berlakon di dalam mahkamah saya.

Pengacara itu seterusnya memohon agar mahkamah dapat memberikan tarikh perbicaraan segera dan Shaharuddin menetapkan 6 Disember depan sebagai tarikh pendengaran permohonan tersebut.

Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Jimmy memberitahu dia memilih untuk berdiam diri selepas Nursuhaila membuat kenyataan media yang mendakwa keretakan rumah tangga mereka disebabkan oleh sikapnya yang pernah memukul dan terlalu mengongkong.

"Saya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak. Tetapi saya mengumpulkan semua bukti yang akan dikemukakan di mahkamah kelak," tambahnya.

Jimmy dan Nursuhaila yang merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya tersebut bernikah di rumah kediaman keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dekat sini pada 1 Oktober 2010.

Ketika itu, Nursuhaila menerima wang hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahirnya pada 31 Januari 1986.

Bagaimanapun, pasangan itu hanya sempat tinggal bersama selama 20 hari menyebabkan Jimmy memfailkan permohonan menuntut Nursuhaila agar kembali taat pada 3 Januari lalu manakala permohonan nusyuz difailkan pada 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, pada 15 Julai lalu, Jimmy memberitahu dia sedang berkira-kira sama ada mahu meneruskan kes itu atau tidak selepas dimaklumkan Nursuhaila bersedia untuk kembali semula apabila tamat tempoh berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka, Zahrah pada 24 Jun lalu.

Nursuhaila pada 25 Julai lalu akhirnya 'membuka mulut' mengenai permasalahan rumah tangga mereka dalam sidang media yang diadakan di pejabat syarikat keluarganya di Damansara Damai, dekat sini.

Pada sidang media itu, Nursuhaila mendakwa Jimmy sebagai seorang yang berperangai pelik dan enggan membenarkan dia keluar bersama rakan-rakan selain pernah dipukul.

Oleh SALWA SHA'ARI
~ Mstar

Chef Riz, Ana Dahlia Bertunang 5 Oktober 2011

Friday, September 30, 2011 0 Komen

Anak lelaki Chef Wan iaitu Mohd Nadzri, 30, mengesahkan keluarganya akan menghantar rombongan meminang pelakon Ana Dahlia, 28, di Taiping, Perak pada 5 Oktober depan.

Nadzri atau nama komersialnya Chef Riz berkata, dia telah menyampaikan hasratnya itu kepada Chef Wan pada bulan lalu dan permintaan itu telah direstui keluarga.

"Alhamdulillah, selepas lapan bulan bercinta, saya dan Ana telah membuat keputusan untuk mengikat tali pertunangan.

"Saya percaya kalau sama-sama saling menyukai ditambah pula kami mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak, tidak perlulah kami melengah-lengahkan masa untuk terus bercinta.

Biarlah perhubungan ini lebih bermakna dengan melangkah ke fasa baru pula," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Khamis.

Tambah Nadzri, dia juga bersyukur kerana status Ana sebagai janda yang menjadi bualan masyarakat bukanlah satu penghalang untuk ayah serta ibunya menerima pelakon itu sebagai menantu mereka.

Malah Chef Wan sangat menyukai kejujuran Ana memberitahu statusnya yang pernah berkahwin sebelum ini.

"Apabila isu status perkahwinan Ana kecoh diberitakan, keluarga saya agak kurang selesa bukan kerana tidak menerima Ana tetapi dia tidak suka dengan kekecohan yang berlaku.

"Tetapi Ana mengambil langkah bercakap dan menjelaskan sendiri kepada ayah tanpa membabitkan saya langsung. Kejujuran itu membuatkan ayah menerima Ana," ujarnya.

Selain itu, antara sebab Nadzri yakin Ana adalah pilihan terbaik untuk dijadikan isteri kerana mereka mempunyai persefahaman selain berkongsi minat sama seperti memasak dan bersenam.
Chef Wan kelihatan segak menghadiri majlis resepsi persandingan Norman Hakim dan Memey Suhaiza di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur, Rabu.

'Tidak kisah dia janda' - Chef Wan


Sementara itu, Chef Wan ketika dihubungi berkata, beliau menerima bakal menantunya itu walaupun mengetahui status Ana yang pernah berkahwin sebelum ini.

Chef Wan berkata, beliau tidak menilai seseorang itu berdasarkan kepada status perkahwinan tetapi menerima individu tersebut kerana hati budi.

Kata belau pihak luar tiada hak untuk menentukan apa yang terbaik untuk anaknya.

"Sejujurnya saya tidak menilai Ana kerana status janda kerana ia tidak mewakili keseluruhan peribadinya dan dia juga berhak untuk diberi peluang kedua merasai kebahagiaan.

"Pihak luar juga tidak berhak untuk menilai pilihan anak saya kerana saya yakin itu adalah jodoh terbaik untuknya," ujar Chef Wan.

Beliau turut berharap anaknya itu akan membahagiakan Ana selepas berumah tangga dan sentiasa bersabar dalam menghadapi alam suami isteri kelak.

"Saya yakin itu adalah pilihan tepat untuk mereka berdua dan sebagai bapa saya mendoakan yang terbaik buat mereka dan berharap anak saya akan menjaga, menghargai serta menyayangi Ana dengan baik dan begitu sebaliknya.

Ditanya mengenai majlis perkahwinan mereka Chef Wan berkata beliau ingin melangsungkan majlis sebelum sambutan Krismas tahun ini kerana mulai Januari depan, beliau akan berangkat ke Amerika Syarikat selama sebulan.

"Memandangkan Nadzri tidak sabar lagi untuk berkahwin saya berharap mereka dapat disatukan sebelum saya berangkat ke Amerika Syarikat.

"Namun majlis yang akan diadakan tidaklah segah seperti mana Serina kerana kami di pihak lelaki," katanya.

Chef Wan berkata, majlis pernikahan pasangan tersebut berkemungkinan besar akan diadakan di kampung halamannya iaitu di Sungai Koyan, Raub, Pahang untuk mencari kelainan selain merasai suasana perkahwinan ala kampung.

~ mStar

Tujuh Penerbangan Haji Dari Kuala Terengganu

Thursday, September 29, 2011 0 Komen

Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) akan membuat tujuh penerbangan haji terus ke Jeddah dan Madinah dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini tahun ini.

Pengarah Tabung Haji negeri Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata setiap penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah dan ke Lapangan Terbang Putera Mohamad Madinah al-Munawarah, Madinah itu akan melibatkan seramai 447 penumpang.

“Ini tahun keempat Tabung Haji dengan kerjasama MAS menyediakan penerbangan terus ke Jeddah,” katanya pada sidang media selepas majlis taklimat pelepasan penerbangan haji kepada agensi-agensi kerajaan terlibat sebagai penyelaras rombongan jemaah haji, di sini, Rabu.

MAS dan Tabung Haji menjalin kerjasama dalam urusan pemergian jemaah haji Malaysia ke tanah suci bermula sejak tahun 1974.

“Jemaah haji terutamanya dari Kelantan dan Pahang diingatkan merancang perjalanan mereka supaya tiba awal di LTSM pada pukul 7.30 pagi kerana setiap penerbangan akan berlepas pukul 11.35 pagi,” katanya. – BERNAMA

Logo halal Jakim saja diiktiraf mulai 1 Jan 2011

Thursday, September 29, 2011 0 Komen

Mulai 1 Januari 2011, hanya logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh digunakan dan diiktiraf.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan Parlimen Julai lepas dan akan berkuat kuasa 1 November ini.


"Ini bermakna premis makanan, restoran, hotel dan pihak-pihak lain yang sebelum ini menggunakan logo halal bukan dikeluarkan Jakim, perlu membuat permohonan baharu kerana selepas tarikh 1 Januari nanti, semua logo halal sedia ada adalah terbatal.

"Mana-mana pihak lain juga tidak boleh lagi memperakukan atau mengeluarkan sijil halal ataupun membuat pengisytiharan sendiri berhubung status halal," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, selepas tarikh itu mereka yang masih menggunakan logo halal lain boleh didenda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM100,000 bagi orang perseorangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ismail Sabri berkata, bagi pihak industri pula, tempoh setahun diberikan untuk menukar semua produk keluaran mereka dengan logo halal Jakim.

Safee Sali intai peluang beraksi kelab elit lain

Wednesday, September 28, 2011 0 Komen

Penyerang sensasi negara, Safee Sali berminat untuk mencuba kebolehannya dengan kelab elit lain sekiranya pasukan kelab Cardiff City tidak memilihnya beraksi bersama pasukan ”Bluebirds” itu.

Bagaimanapun, di sebalik tiada keputusan rasmi sama ada Safee terpilih menyarung jersi Cardiff City atau tidak, masih ada khabar gembira mengiringi kepulangannya ke tanah air, apabila pengurus pasukan kelab Liga Kejuaraan Inggeris itu Malky Mackay memintanya kembali untuk penilaian lanjut selama dua minggu lagi.


"Bagi saya peluang latihan 10 hari di sana tidak mencukupi kerana saya tidak berpuas hati dengan kemampuan diri sendiri. Saya sememangnya berharap dapat bermain dalam perlawanan persahabatan di sana bagi membuktikan aksi sebenar.

"Saya harapkan ada talian positif dari pihak pengurusan Cardiff dan saya sememangnya amat berminat untuk bermain di sana,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari menjalani latihan percubaan 10 hari bersama pasukan itu hari ini. - Bernama

Makcik Hajjah Siti Al-Wuzara tinggal di Sweden?

Wednesday, September 28, 2011 0 Komen

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong di laman web sosial melibatkan seorang individu yang dikatakan tinggal di Sweden.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, SKMM telah berhubung dengan pengendali Facebook dan Twitter untuk memadamkan paparan yang dibuat oleh individu yang menggunakan nama samaran ‘Makcik Hajjah Siti Al-Wuzara’.

Namun, Twitter tidak dapat memenuhi permintaan itu, kata Rais kepada pemberita di sini hari ini.

"Maklumat mengenai keluarganya sudah diperolehi dan telah dikemukakan kepada pihak Peguam Negara Isnin lalu,” katanya, sambil menambah identiti individu berkenaan dikenal pasti dengan bantuan pihak berkuasa.

Menteri itu berkata oleh kerana kes itu melibatkan individu yang tinggal di Sweden, dia tidak dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana ‘berada dalam perlindungan perjalanan antarabangsa’.

Bagaimanapun, Rais berkata, SKMM telah berhubung dengan pihak Interpol yang memberi isyarat sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia berhubung kes itu.

Menurutnya, individu terbabit berdepan dengan tindakan undang-undang jika dia pulang ke tanah air. — Bernama

Pelacur bebas umpan lelaki miang

Wednesday, September 28, 2011 0 Komen

Penglibatan wanita asing dalam kancah pelacuran seakan-akan tiada penghujungnya walaupun banyak operasi dilakukan apabila mereka kini didapati menggunakan dua taktik baharu bagi mendapatkan wang.

Pelacur-pelacur muda berusia lingkungan 20-an dari China, Uzbekistan, Vietnam, Afrika, Mongolia dan Filipina itu kini memilih menjalankan perniagaan secara bersendirian tanpa membabitkan ejen dan akan ‘beraksi’ di kondominium atau apartmen mewah.

Difahamkan, rata-rata mereka yang memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar, mengenakan bayaran RM500 untuk sekali perkhidmatan.

Mereka yang terlibat kebanyakannya pernah dijadikan pelacur oleh ejen masing-masing ketika mula datang ke sini dengan bekerja di pusat urut dan refleksologi. Mungkin kerana bosan dicekup, mereka kemudian memilih modus operandi baharu itu.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Azman Mohd. Isa (gambar) memberitahu, siasatan mendapati, pelacur dari Afrika, Nigeria, Filipina, Vietnam dan China memilih untuk bergerak sendiri mencari pelanggan.

Katanya, pelacur yang menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar itu hanya perlu ke kelab malam untuk memancing pelanggan sebelum membawa mereka ke hotel atau rumah sewa untuk lakukan seks.

“Alasan yang sering diberi jika dicekup ialah mereka perlu mencari duit lebih untuk menampung yuran pengajian kolej. Berdasarkan tangkapan, lebih 50 peratus pelacur negara itu telah datang ke sini berulang kali.

“Ketika dinaungi sindiket, mereka terpaksa menggunakan orang tengah untuk mencari pelanggan tetapi selepas mahir dan mempunyai pelanggan tetap, mereka ‘membuka’ perniagaan sendiri. Cara itu lebih menguntungkan kerana tidak perlu bayar wang perlindungan,” dedahnya.

Azman memberitahu, pelacur dari Mongolia, Uzbekistan, China dan Vietnam pula didapati lebih cenderung menggunakan kondominium dan apartmen mewah untuk menjalankan aktiviti persundalan di sini.

Bagaimanapun katanya, mereka masih memerlukan ejen untuk mencari pelanggan. Mereka mengenakan bayaran RM1,000 bagi setiap perkhidmatan kerana berstatus pelacur kelas atasan.

“Polis menghadapi kesukaran untuk mengekang dan mengesan mereka kerana mereka tidak menetap di kondominium dan apartmen mewah tersebut dan kerap berpindah,” katanya.

Ujar Azman, selain itu, premis tersebut mempunyai kawalan keselamatan yang ketat serta mempunyai kamera litar tertutup.

Bagaimanapun katanya, polis ada juga melakukan serbuan dan tangkapan terhadap pelacur yang menggunakan taktik sebegitu.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti pelacuran supaya menyalurkannya kepada polis berikutan bilangan pelajar dan pelancong warga asing yang terlibat meningkat saban tahun. - Kosmo

Kapal era Perang Dunia Kedua bawa perak RM660.47 juta dijumpai

Wednesday, September 28, 2011 0 Komen

Syarikat Odyssey Marine Exploration Inc kelmarin mengesahkan identiti dan lokasi sebuah kapal era Perang Dunia Kedua yang dipercayai membawa perak sebanyak tujuh juta auns.

Kapal itu, SS Gairsoppa karam selepas ditembak dengan torpedo oleh sebuah kapal Jerman pada Februari 1941.


Ia kini berada sedalam 4,700 meter di Laut Atlantik Utara kira-kira 500 meter dari perairan antarabangsa Ireland.

Kapal itu sepanjang 126 meter beroperasi untuk Kementerian Pengangkutan Perang United Kingdom.

Berdasarkan harga perak pada Jumaat lalu yang ditutup AS$30.10 (RM94.66) satu auns, kapal tersebut membawa perak yang mungkin bernilai AS$210 juta (RM660.47 juta).

Syarikat itu menyatakan ia merakamkan video dan gambar dari lokasi tersebut dengan menggunakan kenderaan kawalan jarak jauh.

Ia kini merancang untuk membawa harta karun itu ke daratan dengan operasi dijangkakan bermula pada 2012. - AP

Ragam: Minta Cerai Kerana Suami Pandai Memasak

Wednesday, September 28, 2011 0 Komen

Seorang wanita dari Mesir meminta perceraian setelah dirinya sedar suaminya lebih mahir dalam hal memasak daripada dirinya.

Mohammed Said, seorang chef di Hotel Cairo, mengejutkan keluarganya ketika dirinya memasak untuk makan malam pada awal bulan Ramadan.


Waktu itu, semua anggota keluarganya tengah berkumpul untuk menunggu waktu berbuka puasa.

Said menunjukkan bakat memasaknya yang diperolehi dari latihan memasak di hotel.

Dirinya pun terlihat mampu mengalahkan isterinya, Nahal, dalam hal memasak. Demikian seperti ditulis dalam RIA, Kamis (11/8/2011).

Nahal pun akhirnya meminta cerai kepada suaminya setelah kedua puteranya meminta ayahnya terus memasak untuk keluarga.

Anak-anaknya juga menyatakan lebih menyukai masakan yang dimasak ayahnya lebih daripada ibunya.

Meskipun demikian, mahkamah pengadilan di Mesir terpaksa menunda proses pengadilan kedua pasangan suami isteri tersebut akhir bulan Ramadan.

Mahkamah berharap Nahal akan mempertimbangkan pilihannya, kerana perceraian memusnahkan keharmonisian di keluarga Said.

Hari Tanpa Kereta Sedunia : Penduduk letak rumput atas jalanraya

Monday, September 26, 2011 0 Komen

Sejumlah penduduk duduk dan bermain di atas sebatang jalan raya yang diletakkan hamparan rumput di bandar raya Vienna kelmarin.

Hamparan rumput itu diletakkan oleh beberapa kumpulan alam sekitar bagi meraikan Hari Tanpa Kereta Sedunia yang diraikan pada setiap tahun.


Para aktivis alam sekitar kemudian bergambar dengan membawa pelbagai sepanduk yang menentang kesesakan jalan raya di bandar raya ini.

Mereka menyekat sebatang jalan raya yang sibuk dengan meletakkan hantaran rumput tersebut di sebatang jalan raya yang sibuk di bandar raya ini. - Reuters

Wanita Diculik 18 Tahun, Jaycee Dugard Saman Kerajaan AS Kerana Cuai

Monday, September 26, 2011 0 Komen

Seorang wanita yang diculik semasa masih kecil selama 18 tahun dan dirogol berulang kali bertindak menyaman kerajaan Amerika Syarikat di atas sebab kecuaian dan mendakawa kerajaan gagal melindunginya daripada penjenayah yang pernah disabitkan kesalahan seksual.


Jaycee Dugard, yang menulis sebuah buku laris bertajuk "A Stolen Life" berkata kerajaan persekutuan mempunyai tanggungjawab terhadap Phillip Garrido semasa dia dilepaskan dari penjara pada tiga tahun sebelum Dugard diculik lelaki itu pada tahun 1991.

Dugard yang menjadi ibu kepada dua anak Garrido melahirkan anaknya di tempat kurungan belakang rumah di mana wanita itu dikurung selama hampir dua dekad.

Wanita itu berkata wang pampasan yang mungkin didapatinya akan didermakan kepada badan amal yang membantu mangsa yang mengalami kes penculikan, kata jurucakapnya.

Dugard berusia 11 tahun apabila dia diculik semasa pulang dari sekolah oleh Phillip Garrido dan isteri, Nancy di South Lake Tahoe, California.
Kisah penculikan Dugard pernah menggemparkan dunia dan diceritakan dalam majalah People. Foto REUTERS

Wanita malang itu diselamatkan apabil pegawai parol Garrido mengesyaki sesuatu yang tidak kena di rumahnya.

Peguam yang mewakili wanita itu berjaya memenangi kes tuntutan pampasan daripada kerajaan negeri Calirfonia pada tahun 2010 manakala pasangan Garrido dipenjarakan seumur hidup bermula Jun lalu 2011.

"Kerajaan persekutuan mempunyai tanggungjawab parol terhadap penjenayah bermula daripada hari pertama dia dibebaskan pada tahun 1988 sehinngalah hari Dugard diculik," kata kenyataan yang dikeluarkan.

"Jaycee Dugard tidak mahukan wang untuk dirinya," kata jurucakap Dugard, Nancy Seltzer. -AFP

Marsha beri penjelasan gossip bunuh diri

Sunday, September 25, 2011 0 Komen

Bertempat di sebelah mata kirinya, masih ada kesan lebam yang kelihatan. Malah pada betis di sebelah kirinya juga, garisan parut sepanjang tiga inci masih kasar berkudis.

“Inilah kesannya selepas saya jatuh tangga tu, sebelum pengsan. Belum betul-betul baik, tetapi saya bersyukur kerana sudah boleh memulakan aktiviti seni,” katanya, dalam bahasa yang kekal manja.

Marsha

Meskipun dia kelihatan sedikit kurang bersemangat, seolah-olah sedang mencari diri yang hilang, Marsha menjawab apa saja soalan diajukan.

Daripada sebiasa-biasa soalan, sehinggalah kepada persoalan cubaan untuk membunuh diri yang dikaitkan dengannya dua minggu lalu.

“Mengarutlah. Bunuh diri? Saya tak pernah terfikir sampai ke tahap itu. Orang memang sengaja membuat cerita, sekarang saya sedang menanggung segala fitnah dan cerita buruk mereka, apakah ini adil?” tanyanya kepada saya.

Sengaja saya suruh Marsha bercerita, apa sebenarnya yang berlaku sehingga membuatkan dia tiba-tiba dikejarkan ke unit rawatan kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 7 September lalu.

Benarkah segala cerita tentang 30 biji pil tenang diri yang ditelan gara-gara putus cinta?

“Saya mempunyai keluarga yang menyayangi. Ada kawan-kawan baik yang selalu bersama, kerjaya yang baik. Kehidupan saya sangat bahagia, kenapa perlu saya menamatkan kehidupan dengan cara membunuh diri? Telan pil sampai 30 biji, saya tidak bodoh.

“Sesuatu yang tidak masuk akal langsung. Saya berasa cerita ini sesuatu yang sangat zalim terhadap diri saya.

“Cerita bunuh diri ini adalah cerita yang membuatkan saya semakin sakit dan kesakitan itu tidak boleh diceritakan kepada sesiapa juga,” katanya, lanjut dalam mata yang hampir bergenang.

Jika dalam sidang akhbar Rabu lalu, Marsha dikatakan lebih banyak mengelak untuk menjawab, kepada Pancaindera dia berusaha sebaik mungkin memberi penjelasan.

Memang saya sakit

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku? Kalau tidak ada isu menelan pil sehingga 30 biji, kenapa perlu dimasukkan ke hospital dengan begitu cara?

Begini jawab Marsha.

“Saya tidak malu mengaku, saya memang selalu sakit-sakit tetapi tak perlu hendak beritahu orang lain sebab ini masalah peribadi saya.

“Saya mempunyai masalah asma dan sinus yang agak teruk. Doktor kata saya ada sinus bronchaitis dan selalu kena makan ubat.

“Kebetulan pula, masa tu saya demam panas dan ambil ubat sesuka hati. Bila sudah tidur, sakit tu jadi okey tetapi bila bangun semula, sakit datang lagi dan saya makan ubat lagi.

“Kemudian dalam keadaan pening-pening lalat itu, saya memandu juga untuk ke kedai. Balik dari kedai, kereta saya terlanggar pembahagi jalan.

“Kemudian bila sampai di kawasan rumah, pening semakin teruk dan saya terjatuh di tangga, sebab itu kaki saya berdarah kerana terkena bucu tangga.

“Selepas itu saya terus pengsan, tak sedarkan diri dan ada orang membawa saya ke hospital,” katanya yang menjalani rawatan lima hari di pusat kesihatan berkenaan.

Mengenai persoalan putus cinta dengan seorang lelaki Melayu yang dikaitkan sebagai cubaan membunuh diri, Marsha memberitahu ia hanya tanggapan orang.

Itu juga bukan punca, meskipun dia tidak menolak cerita baru putus cinta.

“Memang saya putus cinta dan sekarang dalam keadaan untuk stabilkan semula perasaan diri.

“Tetapi saya dan teman lelaki itu sudah agak lama terputus hubungan, bukan sehari dua ini. Lagipun percintaan kami tak lama, jadi bila putus cinta tu, tidak seteruk mana, sampai nak bunuh diri kerana kecewa.

“Justeru saya berharap sangat hentikanlah segala tohmahan itu. Mereka yang menulis di Internet misalnya dengan sesuka hati tanpa memikirkan perasaan saya. Jangan menzalimi saya sebegini,” katanya, mengharap.

Peluang kedua

Memang selepas melalui insiden pengsan dan dirawat di hospital itu, banyak perubahan telah berlaku terhadap cara kehidupan Marsha.

Apa yang lebih penting, dia berasakan saat ini adalah peluang kedua untuk dirinya hidup di muka bumi ini dengan cara yang lebih matang.

Belajar mengenal dan menyayangi diri sendiri, itu juga sangat penting dalam perjalanan kehidupan sebagai insan.

“Tidak dinafikan, saya seperti mati hidup semula. Bernafasnya saya di dunia hari ini adalah ibarat seperti meraih peluang kedua.

“Ya, saya katakan saya perlu meraikan kehidupan hari ini dengan lebih baik. Kita dapat peluang untuk terus hidup dalam industri dan pengajarannya banyak sekali.

“Antaranya, menjadi lebih berdisiplin, sayangkan diri dan jaga kesihatan dengan cara makan ubat yang teratur, bukan sesuka hati apabila kita sakit. Itu pengajaran buat diri saya,” katanya lagi yang bakal bernaung dibawah pengurusan milik penyanyi Dafi, Laugh Out Loud Entertainment Sdn. Bhd bermula Oktober depan.

Ia adalah pemacu semangat baru Marsha untuk menjana lebih banyak rezeki dalam dunia seni, selepas melalui episod kelam yang mahu dihapuskan dari memori buat selama-lamanya ini.

“Saya harap cerita Marsha cuba bunuh diri ini dihentikan kerana saya mahu meneruskan kerjaya dengan lebih tenang selepas ini,” pintanya diakhir pertemuan.

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

iPhone 5 Apple diperkenalkan

Sunday, September 25, 2011 0 Komen

Syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Apple merancang untuk memperkenalkan telefon pintar generasi baru, iPhone 5, pada bulan depan.

Menurut blog AllThingsD, iPhone 5 dijangka dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc. yang baru, Tim Cook pada 4 Oktober ini.

Jelas blog itu, telefon pintar berkenaan akan berada di pasaran beberapa minggu selepas pelancaran tersebut.

‘‘Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baru, Cook berada dalam tekanan untuk mengekalkan prestasi syarikat pada tahap terbaik.

‘‘Ini selepas beliau menggantikan tempat Steve Jobs yang melepaskan jawatan itu pada 24 Ogos lalu,’’ katanya.

Di bawah pimpinan Jobs, Apple mencipta pelbagai kejayaan cemerlang sehingga diiktiraf sebagai syarikat berpengaruh dalam industri teknologi maklumat global.

Apple juga mengalami revolusi di peringkat tertinggi menerusi pengenalan beberapa produk pengkomputeran moden seperti Power Mac G3, PowerBok dan juga iBook.

Apple turut mencipta kejayaan dalam bidang telekomunikasi pada 2007 apabila memperkenalkan peranti telefon bimbit pintar iPhone dan komputer tablet iPad yang kini semakin menarik perhatian masyarakat dunia.

Pada Jun tahun lalu, Apple mengeluarkan iPhone 4 dan mencatat jualan berjumlah AS$20.34 juta (RM61.02 juta) pada suku terakhir tahun yang sama. – Agensi

Kapal selam Agosta 70 akan dibawa pulang ke Malaysia

Sunday, September 25, 2011 0 Komen

Satu majlis menandatangani pemindahan pemilikan kapal selam Agosta 70 daripada kerajaan Perancis kepada kerajaan Malaysia diadakan di Kedutaan Malaysia di Paris, Perancis pada Jumaat.

Duta Malaysia ke Perancis Tan Sri Abdul Aziz Zainal mewakili kerajaan Malaysia sementara Pengarah Pembangunan Antarabangsa, Kementerian Pertahanan Perancis Yves Blanc mewakili kerajaan Perancis.

Turut hadir pada majlis itu ialah Atase di Kedutaan Malaysia Perancis Kapt Ismail Abdullah, menurut kenyataan Kedutaan Malaysia di Paris kepada Bernama di sini hari ini.

Agosta digunakan untuk tujuan melatih krew pertama kapal selam Malaysia dari 2005 hingga 2009 dan latihan itu dijalankan berikutan kontrak yang ditandatangani Malaysia untuk pemilikan kapal selam Scorpene Perancis pada 2002.

Perjanjian pemindahan itu telah ditandatangani di Kuala Lumpur pada 16 Mei lepas.

Agosta akan diangkut di atas sebuah limbungan terapung ke Malaysia pada minggu pertama Oktober oleh Felda Transport dan ia akan diserahkan kepada kerajaan negeri Melaka yang kemudian dijadikan sebuah muzium di Klebang, Melaka. - Bernama

Najib naik bas bertemu rakyat di Perak

Saturday, September 24, 2011 0 Komen

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini teruja dengan pengalaman pertamanya menaiki bas dalam rangka lawatan kerjanya ke Perak bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota rombongan yang lain.

"Very interesting, kita cuba konsep Bus Tour... setakat ini saya rasa seronok sebab dalam bas ini suasananya cukup mesra dan riang kerana bersantai.

"Kita asyik bergurau antara satu sama lain, dan tidak rasa letih. Dalam perjalanan, banyak perkara yang boleh dibincangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia di Tanjung Tualang di sini hari ini.

Menurut Najib, pihaknya akan melihat kemungkinan untuk terus menggunakan konsep lawatan kerja menggunakan bas pada masa akan datang kerana ianya berbeza dan menyeronokkan.

Lima buah bas digunakan dalam lawatan kerja Najib ke Perak itu bermula dari Ipoh ke Gopeng sehingga ke Sungai Siput sejauh kira-kira 50 km untuk bertemu rakyat pelbagai bangsa termasuk masyarakat Orang Asli di Lasah, Sungai Siput.

Turut serta dalam rombongan itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek. — Bernama

Satelit Amerika diramal jatuh di utara Itali

Saturday, September 24, 2011 0 Komen

Agensi perlindungan awam Itali menasihatkan penduduk di utara negara ini supaya tidak keluar rumah kerana menjangka satelit Amerika Syarikat (AS) akan jatuh di wilayah itu.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sebelum ini memberi amaran bahawa satelit lama mereka seberat enam tan akan jatuh ke bumi, tetapi menyatakan peluangnya untuk mengenai manusia adalah satu daripada 3,200.

Agensi perlindungan awam Itali bagaimanapun memberitahu, kemungkinan serpihan satelit itu jatuh di wilayah Itali meningkat kepada 1.5 peratus. – AFP

Temenggong Kanang Anak Langkau bergelar Datuk

Saturday, September 24, 2011 0 Komen

Wira negara, Temenggong Kanang Anak Langkau akan dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk, esok.

Majlis penganugerahan sempena ulang tahun ke-90 Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng itu dijadualkan berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Baru, Petra Jaya di sini - Utusan

Wanita terpendek di dunia

Thursday, September 22, 2011 0 Komen

Seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun dan hanya mempunyai ketinggian 69 sentimeter dinamakan sebagai wanita terpendek di dunia.

Bridgette Jordan, 22 dan adik bongsunya, Brad Jordan, 20, yang memiliki ketinggian 98 sentimeter turut dinobatkan sebagai 'pasangan adik-beradik paling pendek di dunia' oleh Guinness World Records.


Pasangan adik-beradik yang belajar di kolej Kaskasia di Illinois ini memang dilahirkan kerdil.

Namun kekurangan itu tetap tidak menghalang Bridgette untuk gemar menari dan mengikuti kumpulan sorak, manakala Brad menyertai gimnastik, bermain bola keranjang dan membuat persembahan silap mata.

Sebelum ini, wanita terendah di dunia ialah Elif Kocaman dari Kadirli, Turki yang mempunyai ketinggian 72 sentimeter.

Bagaimanapun, Bridgette mungkin tidak lama memegang gelaran ini kerana seorang gadis di India Jyoti Amge yang mempunyai ketinggian 70 sentimeter bakal mencapai usia 18 tahun Disember ini, sekali gus melayakkannya bertanding dalam kategori ini, menurut jurucakap Guinness. - REUTERS

Ego dan sombong : Wabak Organisasi

Thursday, September 22, 2011 0 Komen

Ego dan sombong adalah sifat mazmumah yang amat dimurkai oleh Allah SWT. Ia terlindung dan terhijab jauh dalam hati kecil. Namun, kesannya amat besar sehingga boleh memberikan kesan kepada tingkah-laku, gaya dan tutur-kata seseorang.

Ego dan sombong adalah sifat yang berakar umbi dari perasaan merasa diri lebih baik dari orang lain. Ia wujud apabila sikap tawaduk dan merendah diri tidak disemai dalam diri.

Akibatnya, seseorang yang mempunyai sifat ego dan sombong boleh membawa kepada kesesatan kerana biasanya dia akan menolak sesuatu kebenaran walaupun hati kecil mengakui akan kebenaran itu.

Demikianlah yang berlaku kepada golongan kafir Quraisy yang tetap berada dalam keadaan jahiliah kerana menafikan kerasulan Nabi SAW walaupun mereka sebenarnya mengakui bahawa baginda adalah orang yang amanah dan boleh dipercayai (al-amin).

Cuba kita perhatikan juga sikap iblis yang diarahkan Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam. Namun, ia enggan sujud kerana sifat ego dan juga sombong. Lalu Iblis menjadi golongan yang ingkar dan kufur kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir (al-Baqarah: 34).

Mengapa timbul rasa ego dalam diri iblis? Sebabnya, iblis merasa dirinya lebih baik daripada Adam yang dicipta daripada tanah. Sedangkan iblis dicipta daripada api.

Bagi menghuraikan lebih lanjut sikap ego iblis, Allah berfirman yang bermaksud: Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah". (Saad: 76)

Sifat ego dan sombong mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan. Kadang-kadang kita hampir tidak menyedari dalam diri kita mempunyai sikap ego dan sombong.

Justeru, kita perlu melihat jauh ke dalam diri dan melakukan muhasabah agar ia dapat dirawat secepat mungkin supaya tidak membarah.

Dalam organisasi, sifat ego dan sombong akan berlaku kepada kedua-dua belah pihak sama ada majikan atau pekerja.

Tanda seseorang itu ego

Antara petanda mereka yang mempunyai ego dan sombong adalah sukar menerima pandangan dan teguran dari orang lain. Ataupun, mungkin menerima pandangan tersebut tetapi secara terpaksa tanpa hati yang sejahtera.

Seorang majikan yang ego merasa dirinya seorang sudah cukup untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju organisasinya. Dia tidak akan menghiraukan pandangan, keluhan, idea serta teguran yang dibuat oleh orang bawahan.

Pekerja yang ego pula adalah yang tidak mahu menuruti arahan majikan dan tidak mahu berkongsi ilmu serta kemahiran dengan rakan sejawat.

Pekerja yang ego sentiasa merasa dirinya betul dan orang lain salah. Walaupun, hakikat yang kita perlu akui bersama ialah pandangan semua manusia boleh diterima dan ditolak kecuali Rasulullah. Kita semua tidak sunyi dari melakukan kesalahan.

Rasulullah mempunyai sifat rendah diri yang sangat hebat. Walaupun baginda terpelihara dari melakukan dosa serta dibimbing terus daripada Allah, namun baginda menunjukkan akhlak yang tinggi apabila meminta pandangan dari para sahabat khususnya dalam perkara yang melibatkan urusan keduniaan.

Sebagai contoh, dalam peperangan Badar, Rasulullah meminta pandangan para sahabat tentang strategi peperangan dan mengenai langkah yang sepatutnya dilakukan terhadap tawanan-tawanan perang Badar.

Demikian juga, semasa peperangan Khandak, Rasulullah telah menerima pandangan Salman al-Farisi supaya menggali parit untuk berhadapan dengan musuh.

Mengambil pedoman melalui beberapa contoh ini, sebenarnya tiada alasan untuk kita mempunyai ego dan sombong sehingga langsung tidak mengendahkan pandangan serta teguran orang lain.

Antara ciri-ciri lain orang yang ego adalah suka memandang rendah kepada orang lain. Mereka anggap orang di sekelilingnya sebagai saingan dan musuh dalam kehidupannya. Dia tidak akan senang dan tenang setiap kali melihat kejayaan orang lain.

Setiap kelebihan yang ada kepada orang lain akan diperlekehkan dan setiap keburukan yang ada pada orang lain akan ditonjol dan diuar-uarkannya.

Semuanya semata-mata untuk melihat orang lain jatuh dan dirinya naik, dipuja dan dipuji. Kegagalan orang lain adalah kepuasan bagi dirinya, sementara kejayaan orang lain adalah kesedihan bagi dirinya.

OLEH WAN JEMIZAN W. DERAMAN DAN AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Anugerah Emmy 2011 penuh kejutan

Wednesday, September 21, 2011 0 Komen

Walaupun drama Mad Men dan Modern Family menepati jangkaan memenangi antara anugerah utama dalam Anugerah Emmy 2011 semalam, ia turut memberi kejutan dan kekecewaan kepada peminat anugerah itu.

Siapa sangka pelakon Kyle Chandler dari Friday Night Lights yang wataknya sudah tidak wujud lagi berjaya mengalahkan pesaingnya bagi kategori pelakon lelaki utama bagi kategori drama bersiri.

Ramai pengkritik menjangka kemenangan kategori tersebut buat kali ke-63 itu akan berpihak kepada seorang lagi bintang drama tersebut, Connie Britton ataupun Jon Hamm dari drama Mad Men.

Satu lagi kejutan ialah apabila Melissa McCarthy yang pertama kali dicalonkan dalam Emmy bagi lakonannya dalam drama Mike & Molly memenangi anugerah pelakon wanita drama komedi terbaik mengenepikan Amy Poehler menerusi Parks and Recreation dan Tina Fey dari drama 30 Rock.

Walaupun Jim Parson memenangi anugerah pelakon lelaki drama komedi terbaik pada tahun lalu, ramai yang tidak menyangka dia akan memenanginya sekali lagi kerana jangkaan diberikan kepada Steve Carell menerusi drama The Office yang merupakan musim terakhir.

Bekas pelakon drama itu, Rain Wilson, menulis di dalam laman Tweet miliknya, "Industri televisyen sepatutnya berasa malu dengan diri mereka kerana Steve Carell tidak memenangi Emmy untuk wataknya sebagai Michael Gary Scott."

Kemenangan Barry Pepper dalam anugerah pelakon lelaki siri pendek terbaik turut mengejutkan ramai pihak kerana drama Kennedys itu dikritik hebat sebelum ini.

Pemenang lain yang telah diduga dan menepati ramalan adalah seperti Ty Burrell dan Julie Bowen yang memenangi pelakon pembantu komedi terbaik bagi drama komedi Modern Family serta Kate Winslet menerusi lakonan hebatnya dalam Mildred Pierce. - Agensi

Kahwin sebab wanita maut ditikam pengkid?

Wednesday, September 21, 2011 0 Komen

Suriati Mat Saad, wanita yang maut dipercayai selepas ditikam kekasihnya iaitu seorang pengkid semalam dipercayai merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dalam tempoh terdekat.

Seorang saudara terdekat mangsa yang enggan dikenali memberitahu, Suriati, 29, juga dikatakan cuba memutuskan hubungan dengan pengkid itu setelah diminta oleh ahli keluarganya baru-baru ini.

"Ahli keluarga memang mengetahui dia agak rapat dengan suspek. Namun, Suriati pernah memberitahu bahawa rakannya itu tidak berpuas hati apabila mendapat tahu pihak keluarga merancang untuk mencari jodoh untuknya," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.30 petang semalam, Suriati maut dipercayai selepas ditikam kekasihnya iaitu seorang pengkid di rumah sewa mereka di Taman Semarak di sini.

Ketika kejadian, mangsa berasal dari Kampung Rendang Pasir, Yan dekat sini berada di rumah itu bersama kekasihnya yang berusia 25 tahun.

Kedua-dua mereka dikatakan bertengkar dan keadaan menjadi agresif apabila suspek mengeluarkan pisau memotong buah lalu menikam mangsa berkali-kali.

Selepas pergelutan itu, suspek dikatakan bertindak menikam dirinya sebelum cuba melarikan diri namun rebah di hadapan rumah jirannya.

Saudara terdekat Suriati itu berkata, beberapa ahli keluarga mangsa juga pernah bertemu dengan suspek sebelum ini tetapi tidak mengesyaki apa-apa.

"Dia (suspek) nampak baik hati. Tak sangka pula kejadian seperti ini boleh berlaku ke atas Suriati," katanya.

Jenazah Suriati dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rendang Pasir, petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, polis belum merekodkan keterangan daripada suspek memandangkan dia kini masih dirawat di HSAH.

Suspek masih dirawat dan keadaannya kini dilaporkan stabil, katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

~ Utusan

Sekat gejala hidu ubat kebas

Wednesday, September 21, 2011 0 Komen

Kegiatan menghidu bahan kimia untuk tujuan khayal dikesan tidak lagi terhad kepada gam bahkan ada kalangan remaja menyalahgunakan ubat kebas dikenali sebagai ‘ethylchloride’ yang biasa digunakan oleh para atlet.

Difahamkan, terdapat pelajar sekolah termasuk perempuan di sekitar Lembah Klang kini beralih menggunakan semburan ‘ethylchloride’ ini untuk khayal dan berseronok.

Kegiatan ini membimbangkan kerana pengambilan bahan kimia jenis semburan yang biasa digunakan sebagai ubat bius itu boleh menjejaskan kesihatan sesiapa yang menghidunya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mazlan Ismail, kes menghidu ‘ethylchloride’ untuk khayal bukan perkara baru sebaliknya pernah dilaporkan berlaku di kalangan remaja Singapura sejak 2007.

Bagaimanapun, kata beliau, di negara ini, kegiatan menghidu ‘ethylchloride’ tidak pernah dikesan kerana mungkin menghidu gam lebih popular.

“Jika benar dakwaan ada remaja Malaysia kini menjadi penagih ‘ethylchloride’, ia amat membimbangkan dan wajar dibendung segera.

“Ini kerana ‘ethylchloride’ adalah ubat kebas bagi menghilangkan kesakitan yang hanya digunakan secara luaran dan amat berbahaya jika dihidu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mazlan, ubat semburan ini jika dihidu boleh mengkhayalkan tetapi ia akan meninggalkan kesan sampingan dan boleh memudaratkan kesihatan setelah meresap ke dalam paru-paru serta darah.

Beliau berkata, di negara ini, penjualan ‘ethylchloride’ hanya dibenarkan di farmasi tetapi orang ramai yang ingin membelinya tidak memerlukan surat preskripsi daripada doktor.

Katanya, mungkin disebabkan kelonggaran ini, maka ia disalahgunakan oleh remaja untuk mengkhayalkan diri bagi mendapatkan keseronokan.

“Penyalahgunaan ‘ethylchloride’ sama seperti kegiatan menyalahgunakan dadah jenis ketamin yang digunakan untuk pembedahan di India.

“Walaupun belum ada lagi mangsa dilaporkan mati akibat menghidu ‘ethylchloride’ setakat ini tetapi tindakan segera patut diambil untuk membendung gejala ini daripada berleluasa,” ujarnya.

~ utusan

Stesen satelit Pine Gap Amerika intip negara Asia

Tuesday, September 20, 2011 0 Komen

Sebuah stesen pengintipan Amerika Syarikat (AS) yang didirikan di kawasan padang pasir Australia semasa kemuncak Perang Dingin kini memantau benua Asia terutama negara-negara yang giat membangunkan tentera dan peralatan senjata.

Stesen satelit Pine Gap yang secara rasminya adalah wilayah AS dan dikendalikan oleh ejen daripada beberapa agensi perisikan paling sulit di Amerika telah terlibat dalam konflik-konflik terbesar pada zaman moden ini.

Pine Gap

Namun peranannya dalam perang di Iraq, Afghanistan dan rantau Balkan, dalam pemburuan ketua al-Qaeda, Osama bin Laden kurang diketahui sehinggalah seorang daripada pengintipnya yang paling kanan mendedahkan aktiviti di stesen itu dalam bukunya baru-baru ini.

Penganalisis perisikan, David Rosenberg berkhidmat 18 tahun di pangkalan yang terletak kira-kira 20 kilometer ke selatan Alice Springs, mengendalikan rahsia-rahsia besar untuk Agensi Keselamatan Negara (NSA) iaitu badan yang dianggotai oleh pengintip elit Amerika.

Pine Gap yang secara rasminya dikenali sebagai 'Kemudahan Penyelidikan Angkasa Lepas Pertahanan Bersama', adalah antara stesen pungutan maklumat perisikan terbesar yang dikendalikan oleh Washington, berperanan memintas isyarat senjata dan komunikasi menerusi beberapa satelit yang mengorbit bumi.

Australia mengetuai stesen itu bersama-sama AS dan memiliki akses kepada semua maklumat yang dipintas sejak 1980, tetapi sejarah Pine Gap tidak sunyi daripada kontroversi.

Bekas Perdana Menteri, Gough Whitlam dipecat oleh monarki Britain, dikatakan atas desakan AS, tidak lama selepas beliau mengancam untuk menutup Pine Gap pada 1975, walaupun penyingkiran beliau turut berpunca daripada isu-isu politik dalam negara.

Dengan kubahnya yang berbentuk futuristik pada asalnya dibina sebagai senjata dalam perang pengintip Amerika dengan Rusia, Pine Gap memulakan operasi secara rasmi pada 1970, tetapi Rosenberg berkata, fokusnya kini ialah 'kempen memerangi keganasan' pimpinan AS dan pembangunan tentera di Asia.

"Sebahagian besar dunia meliputi negara-negara pengeluar senjata yang menjalankan program yang menjadi fokus AS dan Australia, dan tentulah sebilangan besar negara Asia termasuk dalam kategori itu," kata Rosenberg.

Beliau mengikat perjanjian seumur hidup dengan NSA untuk menyimpan rahsia dan pendedahan beliau terhad kepada pengalamannya semasa berkhidmat di Pine Gap.

Bagaimanapun beliau berkata, Korea Utara dan China adalah antara sasaran stesen itu, selain India dan Pakistan. - AFP

Taman Burung Labuan

Tuesday, September 20, 2011 0 Komen

Latar belakang dan Sejarah Taman Burung Labuan

Sejarah penubuhan Taman Burung Labuan (TBL) adalah usaha yang telah diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang ke-4, Tun Dr Mahathir b. Mohamad untuk mercu sektor pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong datang ke Wilayah Persekutuan Labuan khasnya pelancong luar negara.

Tanjung Kubong di Lubuk Temiang telah dipilih sebagai tapak TBL kerana mempunyai kesesuaian tanah dan sesuai dengan zon pelancongan dengan keluasan 6.992 hektar.

Konsep asal TBL adalah mempamerkan dan memelihara burung-burung eksotika secara ‘walk in aviary’. Bagaimanapun Kementerian Pertanian pada November 1998 telah mengkaji dan mengambilkira viability projek dan kehendak semasa. Maka Kementerian telah bersetuju konsep TBL ini diperluaskan skop perancangan dan pembangunan supaya ia tidak terhad kepada pameran burung sahaja tetapi juga meliputi kegiatan penyelidikan, pemuliharaan dan pembiakan burung-burung jenis Borneo/Kalimantan yang terdapat di rantau ini dan mempunyai potensi pasaran atau menghadapi tekanan kepupusan. Konsep ini digubal semula semata-mata bagi menjamin kesinambungan dan daya maju Taman ini secara berterusan.

Pada bulan Januari 1999 Kementerian Pertanian Malaysia telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Wilayah Persekutuan Labuan melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan Malaysia mengelola dan mengurus TBL. Pada 31 Ogos 1999 buat pertama kalinya TBL telah dibuka kepada orang awam dengan koleksi 50 spesies burung. Koleksi burung-burung Borneo/Kalimantan ini ditingkatkan dari semasa ke semasa hingga mencapai lebih 100 spesies.

Taman Burung Labuan


Masa Operasi Taman Burung Labuan:
10.00 pagi – 5.00 petang (termasuk cuti umum)

Aktiviti:
Pertunjukan Burung - 11.00 pagi & 3.30 petang
Feeding Time - 11.30 pagi & 4.00 petang

Kadar Bayaran Taman Burung Labuan:
Dewasa RM 3.00
Kanak-kanak ( 6 – 12 tahun ) RM 1.00
Kanak-kanak ( bawah 6 tahun ) percuma
Pelajar IPTA / IPTS / Kolej RM 2.00
Orang kurang upaya RM 1.00
Warga emas / Pesara RM 2.00
Warga asing RM 5.00

Maklumat Lanjut Sila Hubungi:

Pengurus
Taman Burung Labuan
Jabatan Perkhidmatan Veterinar
P/S 173 Jalan Tanjung Kubong
87000 Wilayah Persekutuan

Tel : 087- 463544
Faks: 087- 414523

Perancis larang solat atas jalan

Sunday, September 18, 2011 0 Komen

Perancis semalam melaksanakan undang-undang baru iaitu penduduk Islam di negara ini dilarang menunaikan solat di atas jalan dan kerajaan akan menyediakan tempat alternatif bagi tujuan tersebut.

Larangan tersebut dikeluarkan apabila masjid-masjid tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin bertambah sehingga memaksa mereka menunaikan solat di atas jalan.

Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri, Claude Geuant mengeluarkan amaran bersembahyang di atas jalan tidak akan dibenarkan.

Di utara Paris, sebuah berek lama yang sudah tidak digunakan lagi telah direka menjadi kawasan baru untuk penduduk Islam menunaikan solat terutamanya yang menetap di kawasan kejiranan pelbagai etnik Goutte d'Or.

Sebelum ini, dua masjid di kawasan tersebut tidak dapat menampung jumlah jemaah yang mencecah sehingga 4,000 orang dan perkara tersebut menimbulkan kemarahan pihak parti sayap kanan serta parti-parti anti-imigresen. - AGENSI

Konsert Suara Kami ,Stadium Merdeka dihadiri PM

Sunday, September 18, 2011 0 Komen

Dalam kesibukannya menghadiri pelbagai acara semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempat meluangkan masa untuk menyaksikan Konsert Suara Kami anjuran Astro di Stadium Merdeka di sini, malam tadi.

Ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ke konsert itu mendapat sambutan hangat daripada para penonton yang tidak menyangka pemimpin nombor satu negara itu sudi untuk bersama-sama mereka menyaksikan acara hiburan berkenaan.

Najib, dalam laman Facebook dan Twitternya, berkata, beliau menghadiri konsert itu untuk bersama-sama generasi muda Malaysia.

Najib turut memuat naik beberapa keping gambar suasana konsert itu dalam Facebook dan Twitter beliau.

Konsert Suara Kami diadakan sempena ulang tahun Astro ke-15 dan sambutan Hari Malaysia.

Antara artis tempatan yang turut serta pada konsert tersebut ialah Yuna, Hujan, Faizal Tahir, Pop Shuvit, Azlan And The Typewriter, Psycho Unit, Soul Krazy, Ruffneckz dan Stacy manakala barisan penyanyi antarabangsa pula ialah Chinmayi (India), Hins Cheung (Hong Kong) dan Rania (Korea Selatan). – Bernama

Ular anakonda 5.5 meter ditangkap

Saturday, September 17, 2011 0 Komen

Sepasukan ahli biologi menangkap seekor ular anakonda sepanjang 5.5 meter dengan berat sebanyak 100 kilogram dalam satu ekspedisi hutan hujan tropika di sini, semalam.

Ular gergasi itu mempunyai ukur lilit sepanjang satu meter.


Ahli biologi dari Cardiff, Niall McCann, 29, berkata, kumpulannya berjaya menangkap reptilia gergasi itu ketika ia menyeberangi Sungai Rewa.

"Saya selalu berharap untuk menemui anakonda dan bekerja di Gcondauyana akan memberi peluang kepada kami untuk menemui spesies tersebut.

"Saya hampir digigit reptilia itu ketika menangkapnya dan ia mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga mampu 'menggetarkan' pasukan kami," katanya.

Anakonda merupakan spesies ular terbesar di dunia dan mampu mencapai berat sehingga 250 kilogram.

Reptilia itu akan membelit mangsanya sehingga mati sebelum menelan dan memuntahkan balik mangsanya, manusia dan harimau kumbang antara yang sering menjadi mangsa haiwan ganas itu. - AGENSI

Subkhiddin Salleh ,pengadil No.1 negara umum persaraan

Friday, September 16, 2011 0 Komen

Pengadil nombor satu negara, Subkhiddin Mohd Salleh, yang pernah terpilih untuk pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman dan 2010 di Afrika Selatan, menyatakan hasrat untuk bersara dari profesion pengadilan bola sepak.

Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu meluahkan hasrat untuk bersara selepas memikirkan banyak perkara termasuk memberi ruang kepada pengadil muda memperkembangkan kemahiran dalam arena bola sepak tempatan.

"Saya memilih untuk bersara kerana ingin memberi lebih masa dengan keluarga kerana sebelum ini sibuk dengan tugasan sebagai pengadil,” katanya di sini hari ini.

Beliau yang berasal dari Parit Buntar, Perak, mula meniup wisel bagi perlawanan bertaraf dunia sebagai pengadil pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2002 di Jepun/Korea Selatan dan mengakhiri kariernya di pentas dunia di Piala Dunia Afrika Selatan tahun lepas.

Beliau yang masih bertugas sebagai guru di Sekolah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang, berkata, walaupun bersara, beliau masih bersedia untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada mereka yang berminat dengan profesion tersebut. – Bernama

Pemansuhan ISA satu perjalanan transformasi negara

Friday, September 16, 2011 0 Komen

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyifatkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai salah satu daripada perjalanan transformasi negara.

Beliau berkata, usaha mengubah suai mana-mana undang-undang sedia ada adalah perlu agar ia seimbang dengan perubahan zaman dan menjamin kepentingan keselamatan negara dan rakyat.

Banyak perkara perlu dilakukan secara bersama oleh pelbagai pihak dalam menggubal dua undang-undang baru bagi menggantikan Akta ISA, katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan serentak Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Sementara itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal pemansuhan Akta ISA itu bukan kerana desakan dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan politik, tetapi adalah satu pembaharuan bagi menjamin keselamatan rakyat. – Bernama

Piala Malaysia: Kelantan kecundang 14/09/2011

Thursday, September 15, 2011 0 Komen

Juara bertahan Kelantan berputih mata di Stadium Majlis Perbandaran Selayang apabila mereka kecundang 0-2 di tangan pasukan berstatus kelab, Felda United pada saingan Kumpulan C, Piala Malaysia malam ini.

Gol-gol Felda United disumbangkan oleh Farderin Kadir dan D. Saarvindran masing-masing pada minit ke-26 dan 66 pada perlawanan yang dicemari insiden para penyokong membaling objek ke tepi padang. - Utusan

Ahmad Jauhari dilantik pengarah urusan baharu MAS

Wednesday, September 14, 2011 0 Komen

Malaysian Airline System Bhd melantik veteran korporat, Ahmad Jauhari Yahya, sebagai Pengarah Urusannya, berkuat kuasa 19 September.

Mohammed Rashdan Mohd. Yusof akan kekal sebagai Pengarah Eksekutif melaporkan kepada Pengarah Urusan, kata syarikat penerbangan nasional itu dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata, Ahmad Jauhari, 56, sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Malakoff Bhd. (1994-2010), Malaysian Resources Corporation Bhd. (1993) dan Time Engineering Bhd. (1992). - Bernama

Sinopsis Drama Jiwa Lara lakonan Aaron Aziz, Fauzi Nawawi dan Neelofa

Wednesday, September 14, 2011 0 Komen

Sinopsis Drama Jiwa Lara

Slot Samarinda TV3 dari Selasa hingga Khamis, jam 10.30 malam menayangkan drama Jiwa Lara yang mengisahkan persengketaan cinta lakonan hebat barisan pelakon ternama seperti Aaron Aziz, Fauzi Nawawi dan Neelofa.

Kisah cinta tiga segi antara Zaman, lakonan Aaron, Jiwa (Fauzi) dan Lara (Neelofa) ini terbitan Luqsar Kreatif Sdn Bhd arahan Heykal Hanifah yang memuatkan 25 episod. Skrip hasil tulisan Mahizan Husain itu nyata sebuah kisah percintaan menyayat hati.

Barisan pelakon lain membintanginya seperti Faezah Elai, Khairil Anwar dan Mohd Kamarulzaman Taib (Che Kem).

Jiwa Lara adalah persengketaan dan dendam antara Zaman, Jiwa dan Lara dari tahun 80-an hingga kini yang tidak berkesudahan.

Zaman, seorang penjenayah yang berjaya melepaskan diri daripada kepungan polis menyembunyikan diri di ladang getah. Suatu hari, Zaman dilanggar kereta yang dipandu Baha ketika membawa majikannya, Fakir. Namun, hasrat itu dihalang anaknya, Lara.

Seorang yang licik, Zaman pandai menyambar setiap peluang. Dia merancang strategi untuk memanipulasikan kebaikan Fakir yang mengusahakan ladang getah. Zaman bukan saja mendapat tempat berteduh malah ditawarkan bekerja di ladang itu.

Sinopsis Drama Jiwa Lara

Bagaimanapun, Jiwa yang turut bekerja di ladang itu menganggap Zaman sebagai pesaingnya dan mencurigai keperibadian lelaki itu. Jiwa mencintai Lara dan hubungan mereka akhirnya retak apabila Lara terjerat dengan kata-kata manis Zaman.

Lara akhirnya terlanjur dengan Zaman tetapi cintanya tetap masih teguh menjadi milik Jiwa. Suatu hari, Marini yang juga anak gadis tunggal Fakir pulang dari luar negara. Zaman mula menyisihkan Lara yang hanya seorang penjual bunga demi mengahwini Marini.

Apakah berlaku seterusnya? Ke manakah Jiwa menghilangkan diri? Apakah Lara dapat menerima cinta Zaman dan sejauh manakah kehadiran Marini mampu menggugat cinta Zaman pada Lara? Konflik percintaan hebat ini ada jawapannya.

Noobie, syarikat pengiklanan baru dilancar

Wednesday, September 14, 2011 0 Komen

Noobie, sebuah syarikat pengiklanan internet baru kini telah dilancarkan dimana orang ramai boleh mula mendaftar dengan mudah. Akaun facebook diperlukan untuk mula menggunakannya. Difahamkan, Noobie akan menyediakan iklan berdasarkan jumlah klik dan juga impressions. Kadar bagi satu klik walau bagaimanapun masih lagi tidak diketahui.

Noobie

Buat masa ini paparan memperlihatkan sistem point tetapi dikatakan akan bertukar kepada sistem wang tidak lama lagi. Mereka juga menetapkan jumlah pembayaran minimum sebanyak RM100 dan akan diproses dalam tempoh 30 hari. Buat masa ini terdapat dua iklan yang ditawarkan.

Noobie boleh diakses orang ramai tetapi dikatakan masih lagi diperingkat beta.

Piala Malaysia: Negeri Sembilan kekal rekod tak kalah

Wednesday, September 14, 2011 0 Komen

Negeri Sembilan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Malaysia apabila mengatasi Terengganu 1-0 dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Tuanku Abdul Rahman, paroi, malam tadi.

Negeri Sembilan terpaksa menunggu minit ke-64 untuk mencipta jaringan apabila Shahurain Abu Samah yang dapat melepasi benteng pertahanan lawan, menolak masuk bola ke dalam gawang Terengganu.

Gol itu menyemarakkan semangat pemain tuan rumah untuk terus melancarkan serangan demi serangan, namun gagal membuahkan hasil.

Bagaimanapun juara Piala FA musim ini yang sesekali mengasak kubu skuad Rusa turut gagal memperolehi gol penyamaan sehingga tamat perlawanan.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan B, pasukan PKNS Selangor turut mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Sime Darby di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Dalam saingan Kumpulan A, Sabah mengekalkan kedudukan teratas kumpulan apabila mengalahkan Johor 3-1 di Stadium Likas, Sabah.

Gol Sabah dihasilkan menerusi Radzi Mohd Hussin seawal minit kesembilan dan dua gol hasil Zainizam Marjan pada minit ke-35 dan 54, manakala gol saguhati Johor dijaringkan oleh Mohd Azuwad Mohd Arip pada minit ke-20.

Turut mengutip tiga mata penuh dalam saingan kumpulan yang sama, Perak mengalahkan Kedah 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-15 hasil jaringan Mohd Syafiq Jamal diikuti Mohd Failee Mohd Ghazali pada minit ke-36 manakala gol tunggal Kedah disumbangkan oleh Mohd Khyrill Muhymeen (min-34).

Dalam saingan Kumpulan C, Johor FC menang tipis 1-0 kepada Sarawak hasil sepakan penalti, Eddy Helmi Abd Manan pada minit ke-48, di Stadium Negeri, Kuching.

Johor FC memperoleh tendangan penalti apabila Mohd Ridwuan Ma”On dijatuhkan oleh pemain pertahan Sarawak, Chun Kheng Hong dalam kawasan kotak penalti.

Dalam saingan Kumpulan D, pasukan kelab T-Team menjaringkan dua gol pada setiap babak untuk mengatasi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Empat gol T-Team tersebut dijaringkan oleh Zairo Anuar Zailani pada minit ke-43, Nor Fazly Alias (min-45), Mohd Fitri Omar (min-65) dan Nor Farhan Muhamad (min-78).

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D, Kuala Lumpur mengekalkan kedudukan tangga teratas kumpulan apabila seri tanpa jaringan dengan Selangor di Stadium Selayang. - Bernama

Touch n' Go percuma dengan tebus resit tol

Wednesday, September 14, 2011 0 Komen

Pengguna Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) kini berpeluang memiliki Kad Peringatan Latar-Touch n' Go berserta nilai tambah percuma dengan cara mengumpul resit tol lebuh raya itu.

Dengan menebus 30 resit, pengguna layak menerima satu kad dengan nilai tambah RM5 manakala untuk 60 resit akan mendapat nilai tambah RM30.

Pengerusi Kuala Lumpur-Kuala Selangor Express- way Bhd. (KLSEB), Datuk Ir. Mohamad Razali Othman berkata, tawaran itu adalah bersempena pembukaan lebuh raya tersebut pada 23 Jun lalu selain mempromosi penggunaan kad Touch n' Go.

Menurutnya, kad berkenaan boleh ditebus di dua kaunter perkhidmatan pelanggan di Plaza Tol Kuang Timur dan Kuang Barat.

"Kad peringatan ini mempunyai empat jenis corak gambar berbeza dan setiap pengguna hanya layak menebus satu kad," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif KLSEB, Amran Amir memberitahu, kira-kira dua juta pengguna telah menggunakan lebuh raya itu dengan purata 30,000 kenderaan sehari.

Calon SPM wajib lulus Bahasa Inggeris

Wednesday, September 14, 2011 0 Komen

Kementerian Pelajaran akan mewajibkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris sebaik sahaja kementerian itu memiliki jumlah guru bahasa Inggeris yang mencukupi, untuk dihantar ke seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun yakin perkara itu dapat dilaksanakan dalam tempoh tidak berapa lama lagi selepas prestasi mengenai program pengambilan guru pakar dari United Kingdom dan Amerika Syarikat dibentangkan.

“Kita sedang kaji kalau kita mempunyai jumlah guru bahasa Inggeris yang mencukupi, yang kita boleh hantar ke semua sekolah di seluruh negara dengan korikulum baru, mungkin sampai waktu untuk kita letak wajib lulus. Saya percaya perkara itu tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, sebanyak 92 (4.2 peratus) daripada 2,204 sekolah menengah di seluruh negara telah mencapai sasaran prestasi yang ditetapkan Kementerian Pelajaran dalam Anugerah Tawaran Baru kepada pengetua bagi tahun 2010.

Menurut beliau yang juga Menteri Pelajaran, kementerian berpuas hati dengan hasil pencapaian tersebut kerana ia mengatasi sasaran awal iaitu sebanyak dua peratus, tetapi menyasarkan untuk mendapat keputusan lebih cemerlang pada tahun hadapan.

Pada masa yang sama, beliau juga memberitahu, sebanyak 16 buah sekolah menengah telah mencapai skor komposit sekurang-kurangnya 88 peratus selepas dinilai oleh Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran.

“Apa yang membanggakan, 55 buah sekolah menengah (59.78 peratus) di luar bandar dan sebuah di pedalaman (Sekolah Menengah Desa Wawasan, Tambunan, Sabah) berjaya menerima ganjaran tawaran baru ini daripada jumlah 92 buah sekolah berkenaan,” katanya.

Isu Orang utan: Australia tak layak ajar Malaysia

Tuesday, September 13, 2011 0 Komen

Ahli politik Australia tidak layak untuk mengajar Malaysia mengenai cara pemeliharaan orang utan pada ketika mereka membiarkan haiwan primat itu menggigil kesejukan di zoo.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok berkata, dakwaan pihak tertentu dari Australia bahawa Malaysia mengorbankan habitat orang utan demi menanam kelapa sawit juga tidak berasas sama sekali.

''Malaysia telah menyatakan komitmen kepada dunia untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah akan terus diliputi hutan, kita masih mengekalkan komitmen ini.


''Mereka dari Australia tidak mempunyai kedudukan moral yang lebih tinggi untuk mengajar kita kerana saya sendiri melihat orang utan menggigil di zoo negara itu semasa musim sejuk, mereka gagal menjaga orang utan di negara sendiri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha pihak tertentu khususnya pembangkang Australia yang mahu meletakkan label penggunaan minyak sawit pada produk makanan.

Senat negara itu meluluskan perkara tersebut pada Jun lalu dan rang undang-undang berkenaan kini di bawah penelitian satu jawatankuasa sebelum didebatkan di Dewan Rakyat Australia.

Berikutan itu, Dompok berkata, wakil Malaysia telah menyertai inkuiri awam mengenai rang undang-undang tersebut yang diadakan di Parlimen Australia.

''Malaysia menyatakan pendirian bahawa rang undang-undang ini merupakan satu halangan bukan tarif yang menjejaskan peluang pasaran Malaysia dan bersifat diskriminasi.

''Kami turut menjelaskan bahawa dakwaan berlaku pembasmian hutan seluas 300 buah padang bola setiap jam untuk tanam kelapa sawit dan kematian 50 ekor orang utan setiap minggu sebagai tidak berasas," katanya.

Dompok berkata, Malaysia bagaimanapun menghargai sokongan kerajaan Australia termasuk Menteri Perdagangan Australia, Dr. Craig Emerson yang tidak menyokong rang undang-undang tersebut.

''Malaysia akan terus memantau perkembangan isu ini dan kita akan menyampaikan maklumat mengenai kemampanan pembangunan minyak sawit Malaysia.

''Walaupun Australia bukan pasaran yang besar untuk minyak sawit Malaysia jika dibandingkan dengan China dan Eropah namun kelulusan rang undang-undang ini akan menjelaskan pandangan dunia terhadap produk sawit Malaysia," katanya.

Mangsa banjir Perlis meningkat 300 orang

Monday, September 12, 2011 0 Komen

Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk dengan jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada lebih 300 orang daripada lebih 90 keluarga berbanding 100 orang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata mereka ditempatkan di 10 pusat pemindahan banjir iaitu lima di kawasan Padang Besar, tiga di Kangar dan dua di Arau.

Sementara itu, dua sekolah ditutup hari ini akibat banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Padang Melangit dan Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Nishad Mohamed, berkata hujan lebat luar biasa menyebabkan banjir sejak semalam.

Beliau berkata masalah banjir di Perlis yang kerap berlaku boleh dikawal jika infrastruktur empangan Timah Tasoh ditingkatkan selain mewujudkan lencongan Barat dan Timur bagi mengalirkan air ke laut.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pula dijadualkan meninjau kawasan yang dilandar banjir hari ini serta bertemu mangsa-mangsa yang berada di pusat-pusat pemindahan. - BERNAMA

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Padang Rengas, Alias Zenon syukur dibebas penculik

Monday, September 12, 2011 0 Komen

“Saya diacu pistol di leher dan kepala selain dikenakan renjatan elektrik hampir seluruh badan sepanjang diculik dan dikurung selama hampir 12 jam,” kata Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Padang Rengas, Alias Zenon, 73, sebaik dibebaskan sekumpulan penculik awal pagi kelmarin.


Dalam kejadian petang Jumaat lalu, Alias yang juga ahli perniagaan diculik sekumpulan lelaki bersenjata pistol di hadapan kediamannya di Batu 16, Paya Panjang, Padang Rengas, di sini, ketika pulang makan tengah hari.

Bagaimanapun, dia dibebaskan lelaki berkenaan kira-kira jam 2 pagi kelmarin sebelum ditinggalkan berhampiran Plaza Tol Changkat Jering.

Menceritakan detik cemas itu, Alias berkata, dia tidak mampu melawan apabila dua lelaki mengacukan pistol di kepalanya sebaik diculik di hadapan rumahnya petang Jumaat lalu.


Beliau berkata, baju dan seluar yang dipakainya koyak rabak akibat renjatan elektrik itu malah, dia turut mengalami lebam di beberapa bahagian badan akibat dipukul.

Gempa 6.0 magnitud gegar Vanuatu

Monday, September 12, 2011 0 Komen

Gempa bumi berskala rendah berukuran 6.0 magnitud melanda luar pantai kepulauan Selatan Pasifik Vanuatu hari ini, kata Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa bumi berlaku di kedalaman hanya satu kilometer, kira-kira 61 kilometer di barat daya ibu negara Port Vila.

"Gempa itu sangat lemah dan menghasilkan banyak aktiviti di permukaan air, namun bukan tsunami," kata seorang seismologi GeoSains Australia, sambil menambah bahawa gempa itu turut dirasai di Port Vila tetapi tiada kerosakan melainkan struktur bangunan yang tidak kukuh. - AFP

Ardi Rizal, kanak-kanak merokok sudah mahu berhenti

Monday, September 12, 2011 0 Komen

Seorang kanak-kanak Indonesia yang menjadi terkenal seluruh dunia tidak lama dulu kerana merokok pada usia dua tahun, sudah menghentikan tabiat itu.

Bagaimanapun, dia memberitahu ibunya, dia akan merokok semula kecuali dia dibelikan mainan.

Ardi Rizal

Ardi Rizal smoking habit

Ardi Rizal ditemui oleh sebuah stesen televisyen Amerika Syarikat, ABC, dan menjadi terkenal apabila satu rakaman video yang menunjukkan dia merokok tersebar luas.

Program itu bagaimanapun mendapati Ardi bukan satu-satunya kanak-kanak yang menghisap rokok di Indonesia apabila mereka menemui seorang lagi perokok, juga berusia dua tahun bernama Chairul, yang tinggal di sebuah perkampungan nelayan di Jawa Timur.

Chairul dilihat terus merokok selepas bangun tidur, dengan bantuan datuknya.

Si datuk memberitahu rancangan berkenaan, dia membenarkan Chairul merokok kerana rasanya enak, seperti roti dengan cokelat.

Ketika Chairul merokok di sebelahnya, lelaki itu berkata, ia bukan satu masalah.

“Dia kadang-kadang merokok dua kotak sehari. Dia akan tidak sihat jika tidak merokok.

“Ia tidak akan mendatangkan masalah selagi dia minum kopi secukupnya sambil merokok,” kata lelaki itu.

Di satu bandar lain, rancangan 20/20 ABC itu menemui seorang budak berusia tujuh tahun, Maulana, yang mahir mengeluarkan asap berbentuk bulatan sambil ibunya melihat dia merokok.

Maulana menghabiskan sekotak rokok sehari.

Ibunya berkata, dia sedar tabiat itu membahayakan kesihatan dan boleh membawa maut, tetapi dia tidak mampu melarang kanak-kanak itu daripada terus merokok. “Dia akan lemah dan mula menangis,” kata wanita itu.

Program itu menyalahkan syarikat tembakau kerana mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang pengiklanan bagi mensasar golongan muda Indonesia.

Indonesia tidak menetapkan had umur untuk membeli rokok.

Kru program itu juga menjejaki Ardi, yang kini berusia empat tahun dan tinggal di Sumatera. Ketika ditemui, dia memakai cerminta mata hitam ranggi.

Kanak-kanak itu berhenti merokok selepas pegawai Indonesia yang malu bertindak menghantarnya menjalani pemulihan.

Bagaimanapun, ibunya berkata, dia menggunakannya untuk mengancam.

“Jika saya tidak membelikannya mainan, dia ancam untuk merokok semula,” kata ibunya.

Ketika Ardi ditanya sama ada dia masih merokok, kanak-kanak itu menjawab dia tidak akan merokok lagi.

Tetapi ibunya berkata, dia menangkap Ardi bersama rokok baru-baru ini kerana ada orang yang memberinya. - Agensi

Larian Media NPC-Ambank-Milo 2011 , 18 September

Sunday, September 11, 2011 0 Komen

Kelab Wartawan Kebangsaan Malaysia (NPC) dengan kerjasama Kumpulan Ambank dan Milo bakal mengadakan larian Media NPC-Ambank-Milo 2011 pada 18 September ini.

Larian sejauh lima kilometer itu akan diadakan di Taman Tasik Perdana apabila lima kategori bakal dipertandingkan antaranya kategori media lelaki dan wanita, kategori veteran media (lelaki dan wanita), kategori terbuka (lelaki dan wanita), kategori veteran terbuka (lelaki dan wanita) dan kategori bawah 18 tahun (lelaki dan wanita).

Pada acara itu juga, peserta yang mendaftarkan diri dengan membayar RM10 setiap penyertaan layak memenangi hadiah cabutan bertuah.

Selain itu, tiga pemenang teratas bakal memenangi hadiah wang tunai manakala 10 pemenang teratas layak menerima trofi.

Naib Presiden NPC, Muharyani Othman berkata, kesudian syarikat korporat menaja program berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

"Larian ini dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan antara syarikat korporat dan pengamal media di samping dapat berkongsi amalan gaya hidup sihat dengan masyarakat.

"Seperti semua maklum, rakyat Malaysia gemarkan aktiviti sukan yang boleh disertai semua golongan, dengan adanya larian seperti ini saya berharap negara dapat melahirkan lebih ramai lagi warga yang sihat dan kuat," katanya di sini, semalam.

Hadir pada perasmian program berkenaan, Pengarah Perhubungan Awam Ambank, Syed Anuar Syed Ali yang turut menyerahkan replika cek tajaan kepada Muharyani disaksikan beberapa wakil Ambank dan NPC yang lain.

Sementara itu, Syed Anuar, ketika ditemui berkata, pihaknya berbesar hati menaja program sedemikian kerana ia juga satu tanggungjawab sosial korporat yang menyihatkan dapat dilakukan bersama masyarakat.

Google Mesra Alam

Saturday, September 10, 2011 0 Komen

Google semalam mendedahkan bahawa syarikatnya bersifat mesra alam apabila melibatkan penggunaan tenaga yang minimum bagi menjana laman web seperti YouTube, Gmail dan perkhidmatan lain dalam Internet.

"Sistem pelayan kami menggunakan tenaga kurang daripada sebiji mentol yang dinyalakan selama tiga jam untuk setiap pengguna Google.

"Google merupakan sebuah syarikat bebas karbon sejak 2007," kata Naib Presiden Kanan Infrastruktur Mekanikal, Urs Hoelzle.

Tambahnya, seksyen 'The Big Picture' yang dimuatkan dalam laman web Google Green menyediakan pelbagai maklumat mengenai penggunaan tenaga dan amalan mewujudkan suasana mesra alam.

Antara maklumat yang disediakan 'The Big Picture' ialah, menguruskan 100 pencarian dalam pusat data Google memerlukan kuasa sebanyak 60 watt iaitu bersamaan dengan nyalaan mentol selama 28 minit.

Selain itu, melayari YouTube memerlukan tenaga seperti menghasil, membungkus dan mengedar cakera padat digital (DVD).


"Google boleh menggunakan tenaga yang diperbaharui pada bila-bila masa menerusi panel yang dibina di ibu pejabatnya di bandar Mountain View, California.

"Melalui projek tersebut, Google membantu menjana tenaga hijau sebanyak 1.7 gigawatt," jelas Hoelzle. - AFP

Ragam Manusia: Orang terkaya Australia disaman anak sendiri

Saturday, September 10, 2011 0 Komen

Orang terkaya Australia, Gina Rinehart disaman oleh seorang daripada anak kembarnya berhubung kes yang dilaporkan media mengenai satu pertikaian komersial.

Hope Rinehart Walker dilaporkan mengambil tindakan undang-undang ke atas ibunya di Mahkamah Agung New South Wales.


Motifnya, bagaimanapun masih belum dipastikan walaupun ketika sesi pendengaran ringkas, peguamnya menyatakan ia mengenai 'kesan daripada rundingan komersial'.

Gina merupakan satu-satunya anak kepada bekas usahawan lombong terkemuka Australia, Lang Hancock yang mewarisi perniagaan ayahnya, Hancock Prospecting sejak 20 tahun lalu dan mengubahnya menjadi sebuah syarikat yang kini dianggarkan bernilai AUS$10 bilion (RM31.8 bilion).

Beliau yang menjauhkan diri daripada publisiti dan meningkatkan kekayaannya sekali ganda ekoran kenaikan harga komoditi sebelum ini terkenal selepas diusir oleh ayahnya selepas Hancock berkahwin dengan pembantu rumah mereka seorang rakyat Filipina, Rose Porteous.

Kedua-dua wanita itu terlibat dengan perebutan harta Hancock selama beberapa tahun.

Gina Rinehart yang telah berkahwin dengan seorang peguam, Frank Rinehart selepas berpisah dengan suami pertamanya, Gerg Hayward, dikurniakan anak perempuan kembar, termasuk Hope, yang menyamannya. - AF

Nurul Atikah, penderita barah tulang meninggal dunia

Saturday, September 10, 2011 0 Komen

Remaja yang menghidap barah tulang kronik, Nurul Atikah Bazilah Samsudin, 14, yang impiannya untuk berbual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi kenyataan bulan lepas, meninggal dunia pada pukul 11.05 malam semalam.

Nurul Atikah Bazilah Samsudin

Menurut pegawai dari pejabat Perdana Menteri, jenazah Nurul Atikah kini berada di rumahnya di No 9, Lorong 4, Taman Mewah Kamunting Taiping dan akan dikebumikan esok.

Pada 19 Ogos lalu, Nurul Atikah berpeluang berbual dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menjadi impiannya.

Nurul Atikah berpeluang berbual selama lima minit dengan Najib, menggunakan telefon bimbit Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang mengunjungi beliau di rumahnya di Taman Mewah, Kamunting, Taiping Perak. - Bernama

Bantah cukai 6 peratus kad prabar (prepaid)

Saturday, September 10, 2011 0 Komen

Persatuan-persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar hari ini senada membantah pengenalan enam peratus cukai perkhidmatan bagi pembelian tambah nilai prabayar bagi semua syarikat telekomunikasi.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma‘amor Osman berkata, cukai itu dilihat membebankan pengguna apatah lagi caj panggilan yang dikenakan ketika ini sudah mahal.

“Keputusan itu tidak masuk akal dan kami membantah perlaksanaanya. Selama ini, jika kita membuat panggilan dan tidak berjawab, ia tetap dikenakan caj, inikan pula hendak perkenalkan cukai perkhidmatan.

“Oleh itu, saya menyeru agar kerajaan membuat keputusan teliti dan jangan sewenang-wenangnya meluluskan permintaan syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bersama yang dikeluarkan syarikat-syarikat telekomunikasi berhubung pengenalan cukai enam peratus itu termasuk pek atau kad SIM prabayar yang berkuatkuasa 15 September ini.

Mengulas lanjut, Maamor berkata,selama ini syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sentiasa mencatatkan keuntungan yang tinggi.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Subang Jaya dan Shah Alam (Cassa) meminta kerajaan membekukan perlaksanaan langkah itu.

Presidennya, Datuk Dr. Jacob George berkata, pengenalan cukai itu tidak releven dengan situasi ekonomi semasa yang menyaksikan rakyat berpendapatan rendah masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kenaikan kos barangan yang lain.

“Kami sangat dukacita kerana industri itu hanya melihat dari satu pandangan sahaja iaitu meningkat keuntungan mereka tanpa mempedulikan nasib pengguna.

“Selama ini, syarikat-syarikat berkenaan sudah mengaut keuntungan lumayan bukan sahaja melalui 15 juta rakyat tempatan tetapi juga daripada lebih empat juta pekerja asing di negara ini yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Apakah semua itu tidak cukup lagi sehingga mahu menekan pengguna dan rakyat negara ini pula,” katanya.

Menurutnya, jika keputusan tersebut dikekalkan, Cassa akan bekerjasama dengan persatuan pengguna dan NGO lain untuk melancarkan kempen memboikot secara besar-besaran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, cukai itu dilihat sebagai cekik darah dan tidak perlu sama sekali.

“Pengguna menggunakan kad prabayar kerana mereka tidak merasa beban berbanding menggunakan talian yang kadang-kala mencecah ratusan ringgit apabila membuat pembayaran.

“Malahan, ada kad prabayaran yang boleh ditambah nilai dengan hanya RM5 tetapi jika mereka kenakan cukai, ia dilihat seperti membuli pengguna dan ia tidak patut berlaku,” katanya.

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL

Cukai perkhidmatan untuk top up kad prabayar

Saturday, September 10, 2011 0 Komen

Cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus akan dikenakan bagi pembelian tambah nilai prabayar serta pek atau kad SIM prabayar bagi semua syarikat telekomunikasi, berkuat- kuasa 15 September ini.

Dengan cukai tersebut, pelanggan yang membeli kad prabayar bernilai RM10 perlu membayar RM10.60.

Dalam kenyataan bersama hari ini, syarikat-syarikat telekomunikasi berkata, para pelanggan prabayar akan dimaklumkan mengenai perkara itu mulai petang ini.

Para pengguna juga boleh merujuk di laman sesawang telekomunikasi untuk maklumat lanjut atau menghubungi pusat perkhidmatan pelanggan untuk sebarang pertanyaan.

Cukai perkhidmatan itu adalah cukai perbelanjaan dan dikenakan kepada pengguna, seperti yang termaktub dalam Undang-undang Cukai Perkhidmatan.

Akta Cukai Perkhidmatan 1975 memperuntukkan syarikat-syarikat telekomunikasi mengenakan levi cukai perkhidmatan pada kadar semasa untuk perkhidmatan telekomunikasi termasuk perkhidmatan prabayar mudah alih.

Cukai itu sama dengan levi cukai perkhidmatan bagi pembelian makanan dan minuman daripada restoran dan hotel.

Sebelum ini, syarikat telekomunikasi telah menyerap cukai itu dalam perkhidmatan prabayar mudah alih sejak ia diperkenalkan pada 1998.

Langkah itu diambil untuk memastikan perkhidmatan prabayar kekal kompetitif berbanding pascabayar memandangkan kadar prabayar lebih tinggi untuk membuat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Natasya Farisya diberi kaunseling, janji berubah

Friday, September 09, 2011 0 Komen

Natasya Farisya sudah dipanggil untuk diberi kaunseling dan dia memberi jaminan akan mengubah penampilan termasuk memotong pendek rambutnya,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips), Abdul Malik Hussin.

Menurut Abdul Malik, beberapa pegawai Jaips sudah mengadakan pertemuan dengan Natasya, 28, lelaki berperwatakan wanita itu yang menjadi teman istimewa mangsa simbahan asid, Mohd Hafizuddin Johari, 20, apabila memanggilnya untuk diberi kaunseling, semalam.

Natasya Farisya

Menurutnya, pertemuan terbabit diadakan di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis di sini, hampir satu jam dan pihaknya mengambil pendekatan dakwah dengan memberi khidmat kaunseling kepadanya supaya kembali ke pangkal jalan.

“Kami tidak mengambil tindakan terburu-buru menahannya kerana pendekatan itu memerlukan bukti ketika ditahan. Bagaimanapun, dalam pertemuan terbabit dia sudah berjanji untuk mengubah corak kehidupannya.

“Kami akan memantau penampilannya selepas ini dan usaha berdakwah ini akan dilakukan berterusan.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, Natasya atau nama sebenarnya, Tabri Rashid Abu Hassan sebelum ini pernah dua kali ditahan anggota penguat kuasa Jaips iaitu pada 1997 dan 2010 lalu.

“Kami tidak boleh terburu-buru menahan kerana subjek (Natasya Farisya) kini dalam keadaan tertekan dan menyatakan hasrat untuk membunuh diri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Natasya yang juga bekas model sambilan dari Taman Sri Bakau di sini, ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 kerana berpakaian seperti wanita pada 2007.

Selain ditahan, kediaman Natasya pernah diserbu Jaips pada 2010 lalu, namun tindakan undang-undang mengikut peruntukan enakmen terbabit tidak dapat diambil kerana sebab tertentu.

Beliau berkata, selepas ditahan pada 2007 lalu, Natasya yang diberikan kaunseling dan nasihat oleh kaunselor Jaips memang berada dalam pemerhatian kerana dia sebelum ini pernah berjanji untuk berubah.

Katanya, pihaknya memandang serius penularan aktiviti pondan terutama membabitkan lelaki yang berperwatakan wanita di Perlis, namun tindakan mengikut Seksyen 7 enakmen sama bukan mudah untuk diambil.

Seksyen 7 memperuntukkan mana-mana lelaki yang berlagak seperti perempuan (tasyabbuh) di mana-mana tempat awam adalah bersalah dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Harian Metro semalam, melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim mahu Jaips bertindak segera menahan Natasya sekali gus menghukumnya mengikut peruntukan undang-undang sewajarnya.

Abdul Malik berkata, walaupun Seksyen 7 tidak dapat diaplikasikan, namun pihaknya masih ambil tindakan terutama kaunseling dan pemantauan termasuk mahu memberinya peluang untuk berubah ke pangkal jalan.

Menurutnya, jika kesalahan itu dilakukannya di khalayak ramai atau ditahan ketika sedang menggoda lelaki atau bersekedudukan yang boleh menimbulkan syak, maka tindakan juga boleh diambil selepas mempunyai bukti.

CyberSecurity Malaysia perkenal Amalan Terbaik Bagi Laman Perangkaian Sosial (SNS)

Friday, September 09, 2011 0 Komen

CyberSecurity Malaysia memperkenalkan garis panduan Internet yang baru, dikenali sebagai Amalan Terbaik Bagi Laman Perangkaian Sosial (SNS).

CyberSecurity Malaysia merupakan pusat pakar keselamatan siber negara dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Prof Datuk Husin Jazri berkata tujuan mewujudkan garis panduan berkenaan ialah bagi membantu pengguna SNS, sama ada organisasi atau individu untuk memahami "bahagian tidak baik" SNS.

"Dengan memahaminya, pengguna boleh mengetahui dengan baik apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan di samping menikmati faedah menggunakan SNS.

"Amalan terbaik digunakan sebagai amalan yang diterima yang menyokong SNS dengan lebih etika serta melindungi keperluan keselamatan pengguna dan individu," katanya.

Husin berkata kekurangan kesedaran di kalangan pengguna dari segi ancaman, ketidaktentuan dan risiko boleh membawa kepada kawalan yang kurang baik dan pengurusan penggunaan SNS serta keperluan untuknya.

Sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 625 insiden berkaitan dengan laman perangkaian sosial dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia melalui Pusat Bantuan Cyber999 berbanding tempoh yang sama pada 2010, yang mencatatkan 124 insiden. - BERNAMA

Saman facebook kerana anak letak gambar lucah

Thursday, September 08, 2011 0 Komen

Seorang lelaki memfailkan saman terhadap laman web Facebook selepas anak perempuannya berumur 12 tahun boleh memuatkan gambar lucahnya sendiri di laman web itu, lapor saluran BBC.

Saman itu mempersoalkan sama ada Facebook yang mengharamkan mereka berumur 13 tahun ke bawah menggunakannya, mengambil pendekatan yang mencukupi untuk mengesahkan umur penggunanya.

Peguam lelaki itu, Hilary Carmichael berkata, berdasarkan pandangannya, Facebook tidak sesuai untuk mereka yang berumur 18 tahun ke bawah, tetapi syarikat itu tidak mengambil pendekatan mencukupi untuk menghalang mereka dibawah umur 13 tahun menggunakan laman web tersebut.

‘‘Pemeriksaan umur seperti meminta nombor pasport merupakan pendekatan mudah untuk dilaksanakan oleh Facebook,’’ ujarnya.

Menurut Carmichael, gambar kanak-kanak tersebut sangat lucah di mana kanak-kanak itu berada dalam gaya provokatif selain disolek tebal menjadikannya kelihatan lebih tua daripada 12 tahun.

Kanak-kanak perempuan itu juga dilaporkan memberikan maklumat kediaman dan sekolahnya dalam laman web tersebut.

Saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Belfast tersebut mendakwa Facebook cuai.

Ia juga mendakwa laman web yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS), Palo Alto mewujudkan risiko ancaman seksual dan fizikal kepada kanak-kanak perempuan tersebut.

Jika akaun itu tidak dipadamkan oleh Facebook, saman tersebut menyatakan satu aplikasi akan diwujudkan bagi menghalang Facebook beroperasi di Ireland Utara, kata Charmichael dalam laman webnya. - Agensi

Jerebu Pulau Pinang akibat gempa bumi Sumatera

Wednesday, September 07, 2011 0 Komen

Kualiti udara di kebanyakan kawasan di Pulau Pinang hari ini merosot dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Universiti Sains Malaysia (USM) direkodkan meningkat kepada 89 pada jam 5 petang tadi berbanding 41 pada jam 7 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, berkata cuaca berjerebu yang melanda negeri ini hari ini dipercayai berpunca daripada gempa bumi melanda Sumatera Utara, Indonesia pada 1.55 pagi ini.

"Pulau Pinang mengalami jerebu sejak dua hari lepas ekoran tiada hujan dan cuaca kering. Bagaimanapun keadaan masih terkawal tetapi berdasarkan laporan yang diterima hari ini, jerebu menjadi lebih buruk akibat gempa bumi di Sumatera Utara awal pagi ini," katanya di sini, hari ini.

IPU yang dicatat di Seberang Jaya ialah 74 dengan jarak penglihatan tiga kilometer, Perai (67) dengan jarak penglihatan empat kilometer.

Gempa bumi kuat bermagnitud 6.7 pada skala Richter melanda Sumatera Utara, Indonesia pada 1.55 pagi ini yang gegarannya turut dirasai di beberapa negeri di Semenanjung.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan berkata, gempa bumi itu berpusat di 2.9 darjah Utara dan 97.6 darjah Timur, 363 kilometer dari barat daya Pulau Pangkor, Perak.

"Keadaan jerebu ini dijangka berlarutan hingga beberapa hari lagi ekoran ramalan kaji cuaca menjangkakan Pulau Pinang tidak akan hujan dalam tempoh berkenaan," katanya.

Tahap IPU antara 0-50 menggambarkan kualiti udara yang baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak bersih) dan 300 ke atas (berbahaya). - BERNAMA

 

ZONFINITI