Petisyen: BN kekal 2 kerusi Parlimen, Dun Johor

Friday, August 30, 2013 0 Komen

Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 bagi dua kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor, sekali gus mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi keempat-empat kawasan pilihan raya itu.
   
Hakim Datuk Hasnah Mohammed Hashim menolak petisyen yang difailkan PKR bagi kerusi Parlimen Ledang dan Pasir Gudang serta kerusi Dun Nusajaya dan Gambir yang difailkan oleh Pas.
   
Beliau menolak kesemua petisyen itu dengan kos atas alasan kesemua pempetisyen gagal mematuhi beberapa peraturan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 termasuk pempetisyen tidak mempunyai fakta atau butiran yang mencukupi bagi menyokong petisyen yang dikemukakan.
   
Mahkamah mengarahkan setiap pempetisyen supaya membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Anggota Parlimen Ledang Datuk Hamim Samuri dan Anggota Parlimen Pasir Gudang Normala Abd Samad serta kepada responden kedua dan ketiga iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya kedua-dua Parlimen itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
   
Bagi Dun Nusajaya dan Gambir, mahkamah turut memerintahkan pempetisyen supaya membayar kos sebanyak RM25,000 kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya Dr Zaini Abu Bakar dan Adun Gambir M.Asojan serta Pegawai Pengurus Pilihan Raya kedua-dua DUN itu dan SPR.
   
Pihak responden diwakili peguam Syed Faizal Syed Abdullah dan Mohd Reza Abu Hassan manakala pempetisyen diwakili peguam Muhammad Yazid Mohamad Salim dan Rohana Ramli.
   
Peguam Kanan Persekutuan S.Narkunavathy pula mewakili responden kedua dan ketiga. - Bernama

Pil Dimensi 108 guna surat pengesahan KKM palsu

Friday, August 30, 2013 0 Komen

Pembekal 'pil tablet pintar' mempamerkan surat pengesahan palsu daripada Kementerian Kesihatan di laman webnya.

Surat tersebut yang kononnya dikeluarkan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, mengklasifikasikan pil Dimensi 108 sebagai 'bukan-perubatan' dan menyatakan bahawa produk ini tidak dikawal pihak berkuasa kawalan dadah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, surat tersebut adalah palsu dan pihak kementerian telah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Sebagai produk makanan, mendakwa pil tersebut boleh mengubah tingkah lalu pelajar seperti dipamerkan pada label produk, tidak dibenarkan di bawah Peraturan 18 (1A), Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Sehingga hari ini, kami tidak menerima sebarang permohonan daripada syarikat tersebut untuk mengklasifikasikan produk makanan itu atau meneliti labelnya," katanya pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, masih belum ada bukti saintifik untuk membuktikan dakwaan bahawa produk tersebut 'boleh mengubah tingkah laku dan meningkatkan keupayaan mental' pelajar.

"Kementerian itu tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kesan pengambilan produk tersebut terutamanya apabila ia diambil secara berlebihan," katanya.

Beliau berkata, kementerian akan mengambil tindakan dibawah Akta Makanan 1983.

Menurut beliau, produk itu dikategorikan menurut Peraturan 395 Makanan Yang Tak Distandardisasikan Di Tempat Lain.

Terdahulu, sekolah-sekolah di beberapa negeri dilaporkan telah 'dipromosikan' dengan pil yang kononnya boleh membuatkan pelajar lebih bijak.

Pil Dimensi 108 yang didakwa berupaya mengubah tingkah laku kanak-kanak untuk menjadikan mereka lebih taat dan rajin serta tahan penyakit mengandungi bahan-bahan seperti kurma merah dan spirulina.

Datuk Othman Hashim, Ketua Setiausaha Kementerian Luar baru

Friday, August 30, 2013 0 Komen

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Othman Hashim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.

Pelantikan Othman, 58, ialah bagi menggantikan Tan Sri Mohd Radzi Abdul Rahman yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Ogos.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan Othman khususnya dalam hubungan luar negara semasa memegang jawatan berkaitan dalam kementerian itu.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki beliau akan membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Kementerian Luar Negeri dalam memastikan kepentingan hubungan luar dan kedaulatan Malaysia sentiasa terpelihara.

"Selain itu, melalui pendekatan diplomasi yang proaktif, saya berkeyakinan penuh beliau akan dapat melaksanakan strategi pemasaran dan penjenamaan Malaysia di luar negara dengan lebih efektif selain dapat menyatakan pandangan Malaysia dalam isu-isu di peringkat antarabangsa dengan jelas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - BERNAMA

Kumpulan kongsi gelap Geng 36, 04, 08 paling bahaya

Friday, August 30, 2013 0 Komen

Tiga pertubuhan kongsi gelap iaitu Geng 36, Geng 04 dan Geng 08 dikesan sebagai kumpulan samseng paling berbahaya daripada 49 kongsi gelap di seluruh negara yang diumumkan kerajaan hari ini.

Kumpulan itu didapati menjalankan pelbagai jenis jenayah berat dan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata, Geng 36 yang majoriti ahlinya daripada kaum Cina mempunyai 8,512 ahli dan bergerak aktif di sekitar Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, Geng 04 dan Geng 08 yang mempunyai jumlah ahli masing-masing 5,240 orang dan 4,423 orang serta dianggotai kaum India pula dikesan aktif melakukan jenayah di sekitar Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka

“Jumlah keseluruhan ahli kongsi gelap yang direkodkan ialah seramai 40,313 orang yang bergerak secara aktif dalam 49 pertubuhan kongsi gelap di seluruh negara dengan menjalankan kegiatan seperti pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.

 

 Selain itu, mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api atau barang-barang tajam seperti parang, pisau dan kuku kambing," katanya dalam sidang akhbar Op Cantas Khas di pejabatnya, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah D7 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Jalil Hasan dan Penyiasat Undang-undang KDN, Othman Yusof.

Menurut Abdul Rahim, daripada pecahan kaum, orang India paling banyak menyertai kongsi gelap iaitu 28,926 orang diikuti kaum Cina (8,214 orang) dan Melayu (1,923 orang).

Katanya, terdapat 21 pertubuhan kongsi gelap di Sabah dan Sarawak yang masing-masing mempunyai ahli sebanyak 329 dan 921 orang.

Abdul Rahim berkata, kebanyakan kaum Melayu menganggotai Geng Double 7, Tiga Line dan Geng 30 yang dikesan bergiat aktif di seluruh Semenanjung.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua kumpulan itu dikategorikan haram mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa semalam.

Beliau berkata, menerusi pengisytiharan itu, mana-mana individu atau pihak lain tidak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk didaftarkan sebagai pertubuhan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan segala akaun, aset dan harta pertubuhan-pertubuhan kongsi gelap itu akan diserahkan kepada Jabatan Insolvensi sekiranya ditahan.

“Mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan kongsi gelap akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335 sebagai contoh seksyen 6(2) dan 6(3), seksyen 42 dan seksyen 48 Akta Pertubuhan 1966 serta seksyen 142 Kanun Keseksaan.

“Pada masa sama, tiada seorang pun yang boleh menggunakan semula tulisan, senarai anggota, panji atau tanda bagi berhubung dengan sesuatu pertubuhan kerana menyalahi undang-undang berdasarkan kepada peruntukan seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pihaknya bersama beberapa agensi iaitu Polis Diraja Malaysia, ROS dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan akan terus memperhebatkan usaha memerangi kegiatan samseng itu.

Mengenai penglibatan ahli politik dan warga asing dalam kegiatan kongsi gelap itu, beliau berkata, tiada sebarang maklumat lanjut mengenainya dan perkara itu perlu dirujuk dan disahkan oleh pihak polis.

Ditanya sama ada terdapat anggota kongsi gelap itu yang berjaya ditahan dalam Op Cantas, Abdul Rahim mengesahkan terdapat kes anggota kongsi gelap berjaya ditahan.

“Ada kes kita dapati ada kaitan dengan kongsi gelap, kadang-kadang dapat dikesan menerusi uniform, logo pada badan dan sebagainya tetapi ada juga yang tidak berkaitan namun, maklumat lanjut akan disahkan oleh pihak polis.

“Kita akan sentiasa memantau perkembangan ini dan menjalankan penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ROS dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi membanteras kumpulan ini," katanya.

Pengalaman diculik kumpulan bersenjata

Friday, August 30, 2013 0 Komen

 “Sepanjang ditawan kumpulan bersenjata itu, saya hanya ingat mati selain memikirkan nasib anak yang masih kecil di rumah,” kata Muhammad Asri Lemma, 27, menceritakan kejadian diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Silapak, 10 kilometer dari Pulau Bum-Bum, Selasa lalu.

Menurutnya, dia hanya menyedari diculik apabila kumpulan terbabit terkejut melihat dua anggota pasukan keselamatan bersenjata di Pulau Kapalai sebelum bergegas mengundurkan bot mereka.

“Kumpulan berkenaan pada awalnya memberi alasan mahu ke Pulau Mabul untuk menghadiri majlis perkahwinan ahli saudara mereka di sana, tetapi laluan mereka tersasar.

“Kira-kira 10 lelaki berada di dalam bot itu dan hanya seorang fasih berbahasa Melayu manakala yang lain hanya mampu bertutur dalam bahasa Suluk,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, ketika dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul, tiba-tiba seorang daripada mereka yang fasih berbahasa Melayu bertanya mengenai sebuah pulau di hadapan yang diterangi lampu merah.

“Saya memberitahu mereka itu adalah sebuah pulau tanpa memberitahu terdapat pos kawalan tentera kerana tidak mengesyaki apa-apa sebelum juragan mengubah haluan menuju ke pulau terbabit,” katanya.

Menurutnya, bot berkenaan terus menuju ke arah sebuah rumah dan cuba menghampirinya.


“Tiba-tiba bot terbabit berhenti dan berundur dengan tergesa-gesa kerana mengesan di bahagian luar rumah berkenaan dijaga dua anggota keselamatan lengkap bersenjata,” katanya.

Muhammad Asri berkata, ketika itu dia melihat beberapa anggota kumpulan terbabit berdiri dan mengeluarkan senjata serta mengacukannya kepada anggota keselamatan manakala juragan mengundurkan bot dengan tergesa-gesa.


“Mujur tiada sebarang tembakan dilepaskan dan serentak dengan itu, saya mula menyedari sudah menjadi tawanan mereka.


“Ketika itu, saya mula menitiskan air mata kerana terlalu takut selain terbayang wajah isteri dan anak di rumah apabila mengetahui saya diculik pengganas,” katanya.


Menurutnya, mereka kemudian meneruskan perjalanan dan terserempak sebuah kapal nelayan laut dalam sebelum bertindak menahannya.


“Mereka kemudian mengarahkan lapan individu di dalam kapal itu masuk ke dalam bot.


“Bot berkenaan meneruskan perjalanan menuju ke negara jiran sebelum seorang daripada mereka bertanyakan kepada lapan nelayan terbabit dengan bahasa Suluk mengenai agama anutan masing-masing sebelum dimaklumkan mereka beragama Islam dan meminta dilepaskan.

“Pada awalnya, mereka membenarkan semua lapan individu dilepaskan dengan terjun ke laut, tetapi enggan melepaskan saya .

“Mereka mahu saya mengikuti mereka, tetapi saya merayu supaya dilepaskan sebelum seorang lelaki yang dipercayai ketua kumpulan terbabit bersetuju dan mengarahkan kami terjun ke laut,” katanya.

Menurutnya, mereka berenang hampir 50 meter ke arah sebuah kapal nelayan yang kebetulan berada berhampiran sebelum dibawa pulang ke jeti Semporna.

Terdahulu, dalam kejadian 27 Ogos lalu, sembilan lelaki mendakwa diculik sekumpulan lelaki bersenjata dalam dua kejadian berasingan di Pulau Bum-Bum dan Pulau Omadol di Semporna.

Namun, mereka bernasib baik apabila dilepaskan dengan diarahkan supaya terjun ke laut sebelum diselamatkan sebuah kapal nelayan yang kebetulan melintasi kawasan itu.

Lelaki pelik tinggal di gua,selesa berbogel

Monday, August 26, 2013 0 Komen

Seorang lelaki China, Feng Mingshan yang anti sosial, lebih memilih untuk hidup bersendirian di dalam gua sejak 20 tahun lalu, semata-mata kerana dia tidak mahu bergaul dengan masyarakat.

Kehidupan yang dijalani Feng Mingshan, 54, bukanlah mudah kerana dia perlu memanjat setinggi 50 meter setiap hari di cerunan hampir 90 darjah untuk sampai ke pintu gua atau 'rumahnya' yang telah dipasang dengan tirai.

Mingshan mula berpindah dari bandar Gaoba di barat laut wilayah Shaanxi pada 1993 kerana dia mahu hidup seorang diri.

Kehidupan terasing yang dilaluinya kini, menjauhkan lelaki itu daripada sebarang kemodenan, malah dia juga dilihat selesa berbogel untuk mencari kayu api.

Menurut adiknya, Feng Xueming, Mingshan mempunyai personaliti yang agak pelik dan dia tidak mahu bercakap dengan orang lain.

Menurut laporan media tempatan, lelaki gua itu turut membesarkan 'rumahnya' dan memahat cerunan bagi memudahkan dia memanjat.

Laporan menyatakan bahawa Mingshan menemui gua itu semasa dia masih kanak-kanak.

"Gua ini dahulunya kecil, tetapi saya memperbesarkannya kepada saiz sekarang hanya menggunakan sebatang tukul besi.

"Saya juga membersihkan laluan sepanjang ke gua. Musim panas di sini juga agak sejuk,'' katanya sebagaimana dipetik The Mirror.

Namun, ketika penduduk tempatan tertarik dengan keupayaannya memanjat cerunan itu, pihak berkuasa mahu memujuknya keluar dan menempatkannya di rumah penjagaan. - AGENSI

Datuk Majura Muda meninggal dalam nahas motosikal

Monday, August 26, 2013 0 Komen

Keseronokan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama tiga rakan bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 35, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Genting Sempah dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi ketika mangsa, Datuk Majura Muda, 47, perunding kejuruteraan bersama tiga rakannya dalam perjalanan ke Hutan Lipur Lentang di Bentong, Pahang untuk bersarapan.

Sewaktu melalui selekoh tajam iaitu kira-kira dua kilometer sebelum terowong Genting Sempah, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Concours 14 tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh besi penghadang lebuh raya.

Rempuhan kuat menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Tiga rakannya yang mengekori di belakang bagaimanapun tidak terlibat dalam kemalangan dan mereka sempat menghubungi isteri mangsa memaklumkan nahas tersebut.

Isteri mangsa, Datin Noriah Mahat, 44, sempat tiba di lokasi kejadian untuk melihat suaminya tetapi tidak dapat bercakap dan hanya mampu menangis kerana terlalu sedih dan terkejut.

Difahamkan Majura yang aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama rakan-rakan menerajui beberapa syarikat perunding dan kejuruteraan sejak beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kemalangan tersebut dan memaklumkan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. - UTUSAN ONLINE

Kanak-kanak didera kritikal,bergantung kepada mesin bantuan hayat

Sunday, August 18, 2013 0 Komen

Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dipercayai didera ibu bapanya dilapor berada dalam keadaan kritikal dan bergantung kepada mesin bantuan hayat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional Perak, Datuk Rusnah Kassim berkata kanak-kanak itu dimasukkan ke unit berkenaan sejak awal pagi Jumaat lepas dan pihak hospital memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan yang membimbangkan.

"Terguris hati saya melihat keadaan kanak-kanak ini. Laporan daripada doktor mengenai keadaan kanak-kanak ini juga tidak menggalakkan kerana banyak kecederaan yang dia alami," katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak tersebut.

Beliau berkata abang mangsa yang berumur lapan tahun serta adik lelakinya yang berumur dua tahun kini berada di bawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Kangsar sejak Jumaat lepas sehingga siasatan ke atas ibu bapanya selesai dijalankan.

Mangsa dihantar ke HRPB oleh anggota keluarganya dan pemeriksaan doktor ke atasnya mendapati terdapat luka di muka, kepala dan badannya yang dipercayai akibat dipukul dengan rotan.

Sehubungan itu seorang lelaki berumur 39 tahun dan wanita berumur 30 tahun dari Menglembu yang dipercayai terbabit dalam kes penderaan itu telah ditahan reman. - Bernama

Ustaz Azhar Idrus kemalangan jalanraya

Sunday, August 18, 2013 0 Komen

Ustaz Azhar Idrus bersama isterinya terbabit dalam kemalangan apabila kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kereta lain di persimpangan lampu isyarat Kampung Pengadang Baru, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi, Ustaz Azhar dan isterinya dilaporkan tidak cedera, manakala pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara cedera ringan dalam kemalangan itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Pemandu kereta Proton Iswara, Che Daek Abdul Rahman, 58, cedera di dada manakala anak saudaranya, Iskandar Mohd Saidi, 12, bengkak di kepala akibat terhantuk dan luka di tangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.


Katanya, kemalangan berlaku ketika Ustaz Azhar atau nama sebenarnya Zamrul Idrus, 49, dan isterinya dalam perjalanan ke Bukit Payong, Marang.


Beliau berkata, Ustaz Azhar membuat laporan polis pada jam 11 pagi di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu dan memberi keterangan berhubung kemalangan itu.


Dalam pada itu, usaha Metro Ahad untuk menemubual Ustaz Azhar gagal apabila beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung kemalangan itu.

Iklan Jawatan Kosong Lembaga Tabung Haji (Tarikh tutup: 28 Ogos 2013)

Sunday, August 18, 2013 0 Komen

Iklan Kekosongan Jawatan  Lembaga Tabung Haji 

1. Eksekutif Keselamatan & Kesihatan

*Tarikh TUTUP permohonan ialah pada 28 Ogos 2013.

Untuk maklumat lanjut, sila layari :

Shopping Raya saat akhir

Wednesday, August 07, 2013 0 Komen

Shopping saat akhir

Bagai suatu lumrah bagi sesetengah orang yang masih belum membuat persiapan Aidilfitri walaupun realitinya sambutan lebaran hanya tinggal kira-kira lima hari saja lagi.

Faktor kesibukan khususnya tuntutan kerja saat akhir sebelum mula bercuti panjang membuatkan keperluan bagi persalinan diri seolah-olah tidak diberi penekanan.

Sudahnya, tentu kusut kepala memikirkan apakah fesyen terbaik untuk dijadikan antara elemen terhangat ketika meraikan lebaran kali ini lebih- lebih lagi apabila membuat keputusan membeli- belah pada saat akhir.

Masanya belum terlewat untuk memikirkan apakah idea fesyen terbaik walaupun pada saat-saat akhir. Jangan buntu dalam membuat keputusan sementalah masih ada alternatif dan jalan penyelesaian yang boleh dianggap `penyelamat' untuk membolehkan seseorang itu kekal segak dan anggun di pagi lebaran.

Rekaan terkini

Sebagaimana kata pepatah, alah membeli menang memakai, kolum STAILO minggu ini membawakan beberapa tempat tumpuan serta laman web yang boleh dijadikan panduan seterusnya memudahkan anda membuat pilihan terbaik.

Apakah gaya pilihan anda? Selamat bergaya...

Rizalman di Zalora

Semakin ramai pereka fesyen memilih laman web sebagai medium memasarkan produk mereka. Selepas berkoloborasi dengan Tesco pada lebaran tahun lalu, kali ini pereka fesyen tersohor Rizalman Ibrahim memilih laman web Zalora sebagai medium alternatif pemasaran bagi koleksi hari raya ilhamnya.

Koleksi istimewa dinamakan Rizalman for Zalora itu adalah segmen fesyen mampu milik yang dilihat merealisasikan impian peminat pereka fesyen itu untuk menyarungkan busana eksklusifnya pada harga berpatutan. Harga busana anggun mewah Rizalman berharga antara RM350 hingga RM460. Andai rajin melayari laman web itu juga, terdapat banyak rekaan baju kurung dan Melayu untuk lelaki yang menarik daripada pereka fesyen tempatan lain. Layari www.zalora.com.my

Sueka Sueka

Sama ada membeli secara dalam talian di laman sosial Facebook mahupun di bazar jualan di Publika, kurung kontemporari bermotifkan batik oleh Sueka Sueka cukup menarik dan lari daripada kebiasaan. Menggunakan motif batik Jawa yang dipadankan dengan kain linen kosong, potongan kurung kontemporari ini cukup menyerlah khususnya bagi wanita yang inginkan kelainan di hari lebaran. Harganya? cukup berpatutan kerana dijual berasingan mengikut kesesuaian pelanggan antara RM79 hinga RM200. Info lanjut: Layari fb: Sueka Sueka atau Instagram: &@ suekasueka

Jalan Tunku Abdul Rahman

Tidak dapat tidak, Jalan Tunku Abdul Rahman adalah pilihan terbaik untuk mencari kelengkapan pada musim perayaan. Apa saja yang anda inginkan daripada pakaian, kasut, aksesori hinggalah kepada perhiasan rumah, destinasi tumpuan yang menjadi nadi utama keperluan lebaran itu adalah jawapan terbaik buat fesyen lelaki dan wanita.

Berdasarkan pengalaman penulis setiap tahun, harga yang ditawarkan di bazar Jalan Tunku Abdul Rahman masih lagi berpatutan dan jangan terkejut apabila peniaga mula `berperang' harga pada detik-detik terakhir Ramadan. Untung-untung siapa tahu yang anda boleh mendapatkan barangan pada harga durian runtuh!

Fashion Valet

Selain laman fesyen Zalora, satu lagi laman web fesyen popular Fashion Valet menyediakan alternatif buat peminat fesyen membeli-belah. Tidak perlu bersusah payah bersesak di pusat beli-belah, menerusi laman web itu anda boleh memilih gaya yang disukai, jenama, pereka, saiz dan warna semudah di hujung jari saja. Daripada rekaan baju kurung, pakaian santai, kasut, jubah, tudung hinggalah ke fesyen kanakkanak, mudah sebenarnya untuk membuat pilihan. Layari www.fashionvalet.com

Hatta Ready To Wear

Diberi nama #Hattartw atau - Hatta Ready To Wear, pereka fesyen popular Hatta Dolmat memastikan lebaran lebih meriah dengan membawakan koleksi sedia pakai. Tidak saja mengedarkan Koleksi Raya 2013 di laman beli-belah online Zalora Malaysia, lebih maju ke depan Hatta turut bekerjasama dengan butik First Lady untuk memasarkan rekaannya di seluruh cawangan di Malaysia dan Singapura. Sentuhan tradisi dan elemen kemelayuan nyata menjadi identiti Hatta Dolmat dan paling penting, setiap rekaan menepati tema lebaran. Sama ada singgah ke butik First Lady untuk mencuba sendiri persalinan anggun Hatta Dolmat atau layari laman web Zalora!

Tudung Emel

Tercari-cari tudung sesuai untuk digayakan di musim lebaran? Dengan lambakan rekaan dan motif terkini memang sukar untuk menentukan gaya bertepatan dengan personaliti diri. Apa kata, cuba gayakan tudung terbaru berjenama Emel hasil rekaan Melinda Looi yang menjalin kerjasama dengan selebriti, Diana Amir.

Terdapat 12 rekaan tudung dalam himpunan Emel, dan uniknya sambil anda berbelanja, sebahagian daripada hasil jualan tudung akan disalirkan kepada keluarga besar Norlina Alawi Berhad, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib anak-anak yang dijangkiti HIV & AIDS. Membeli sambil beramal! Untuk maklumat lanjut, layari Facebook: Melinda Looi.

Shoes Shoes Shoes

Andai mahu gaya kasut berbeza dengan pilihan warna sedondon dengan pakaian, tidak salah untuk singgah ke butik Shoes Shoes Shoes yang memberikan ilham gaya terkini untuk kasut. Menamakan koleksi Raya Shoes Galore, terdapat banyak koleksi kasut terbaru dengan ilham warna yang tentunya membangkitkan daya penarik sekali gus membuatkan setiap langkah anda nampak menawan. Singgah ke butik Shoes Shoes Shoes di Jalan Telawi 3, Bangsar Baru atau di pusat beli belah Bangsar Shopping Centre (BSC) dan kiosk di Garden Mall, Mid Valley.

Oleh Fairuz Zaidan

PLUS buka 1,500 kaunter tol sempena Aidilfitri

Saturday, August 03, 2013 0 Komen

Plus Expressways Bhd (PLUS) akan membuka 1,500 kaunter bayaran tol sempena Aidilfitri berbanding 1,000 kaunter pada hari biasa.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, Pusat Operasi Trafik Plus juga akan menambah bilangan pekerja kepada 75 orang sehari dan beroperasi 24 jam sempena musim perayaan bagi memantau keadaan trafik di lebuh raya.

Menurut Noorizah, PLUS juga menambah enam unit bermotosikal dalam unit bengkel bergerak mereka atau ’Workshop on Wheel’ (WOW).

"Dengan adanya unit WOW bermotosikal ini, kami dapat menyalurkan bantuan kepada pengguna dengan lebih cepat", katanya pada sidang akhbar mengenai persiapan PLUS menjelang musim perayaan di sini hari ini.

PLUS mengeluarkan jadual cadangan waktu perjalanan bagi rujukan pemandu untuk mengelakkan kesesakan.

Antara cadangan tersebut adalah bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan di antara 2 hingga 7 Ogos untuk perjalanan balik ke kampung dan dari 10 hingga 18 Ogos ini bagi perjalanan pulang ke Lembah Klang. -BERNAMA

Syiah musuh Islam - Yusuf al-Qardawi

Friday, August 02, 2013 0 Komen

Ulama tersohor, Dr. Yusuf al-Qardawi telah mengisytiharkan golongan Syiah sebagai golongan kuffar serta merupakan musuh umat Islam keseluruhannya.

Kenyataan keras itu telah disebut oleh Yusuf al-Qardawi dalam satu wawancaranya dengan stesen televisyen al-Jazeera dalam rancangan 'Syari'ah dan Kehidupan' pada bulan Jun tahun ini.

Beliau berkata, golongan Syiah sebenarnya telah mengkhianati umat Islam dan perkara itu terbukti dengan pembunuhan saudara seakidah di Syria bersama-sama dengan puak Hizbollah.

"Jangan panggil mereka Hizbollah, mereka selayaknya digelar Hizbosyaitan dan Allah tiada kaitan dengan mereka.

"Saya menyeru seluruh umat melawan kuffar dan Syiah di dalam Hizbollah. Mereka ternyata kuffar tanpa sedikit keraguan. Mereka sedang menjalankan operasi etnik di Syria dengan tujuan membina negara Syria Barat di barat Syria," katanya dalam rancangan tersebut.

Kenyataan al-Qardawi tentang isu tersebut mendedahkan lagi siapakah Syiah sebenarnya terutama kesannya terhadap penyebaran fahaman itu ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Malaysia baru-baru ini dikejutkan semula dengan isu Syiah dan pada masa sama tiga siri laporan khas telah dibuat dalam Utusan Malaysia.

Pendakwah bebas, Dr. Zahazan Mohamed pula berkata, Syiah bukan sahaja tidak diiktiraf sebagai Islam, malah kemunculan fahaman itu dianggap sebagai ejen Yahudi bertujuan menghancurkan umat Islam.

Yusuf al-Qardawi berkata, dengan terhasilnya negara baharu itu umat Islam akan dibahagi-bahagikan dan bertambah kecil.

Ujarnya, beliau juga telah menyeru dalam khutbah solat Jumaat agar semua umat Islam seluruh dunia yang memiliki kekuatan dan alternatif segera menentang Iran dan Hizbosyaitan dengan membantu saudara-saudara mereka di Syria.

"Saya juga mengucapkan tahniah kepada saudara-saudara kita di teluk Arab atas keputusan, Hizbollah adalah organisasi pengganas dan jika mana-mana ahlinya ditemui di negara-negara Teluk akan dibunuh sebagai murtad kafir.

"Semoga Allah mengutuk Iran, ketua segala kejahatan dan semoga Allah mengutuk Hizbosyaitan dan tulang belakangnya di Iraq dan menyembuhkan mereka yang tercedera dan membebaskan mereka yang diculik. Seterusnya negara Syam yang dicintai akan kembali kepada kita, insya-Allah," ujarnya.

Dalam temubualnya bersama stesen al-Arabiya juga bulan Jun, beliau turut mengakui para ulama di Arab Saudi lebih mengetahui secara mendalam mengenai bahaya Hizbollah dan gerakan Syiah Iran berbanding dirinya.

"Pada satu ketika saya pernah mempertahankan gerakan Hizbollah kerana keberanian mereka berhadapan dengan Israel. Pendapat saya pada masa itu bertentangan dengan pandangan ulama-ulama tersebut. Mereka menentang Hizbollah.

"Namun setelah saya melihat apa yang dilakukan oleh Hizbollah terhadap saudara-saudara kita di Syria barulah saya sedar yang ulama-ulama di Arab Saudi lebih matang dan mempunyai pengetahuan cukup luas tentang Hizbollah dan Iran," ujarnya.

4 pegawai agama maut nahas selamat dikebumi

Friday, August 02, 2013 0 Komen

4 pegawai agama maut nahas selamat dikebumikan

KUCHING 2 Ogos - Empat orang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang maut dalam satu kemalangan jalan raya dekat Sri Aman, kira-kira 200 kilometer dari sini semalam, selamat dikebumikan hari ini.

Jenazah Penolong Pengarah Jakim Cawangan Sarawak, Ibrahim Hailee, 35, antara yang terkorban dalam kejadian itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sibu selepas solat Jumaat.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal-Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman; Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Nangka, Dr Annuar Rapaee; dan ketua kaum Melayu Sibu, Temenggung Wan Hamid Edruce adalah antara mereka yang hadir dalam upacara itu.

Di Kuching, jenazah Halimah Hamrie, 30, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang; sementara Harliani Hanani, 29, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Serian, kira-kira 60km dari sini.

Jenazah keempat dalam kejadian itu, Qurratu Aini Rolfandy, 23, tiba di kampung halamannya di Sarikei pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sarikei. - BERNAMA

Parlimen Lembah Pantai kekal milik PKR, mahkamah tolak petisyen

Thursday, August 01, 2013 0 Komen

Kerusi Parlimen Lembah Pantai kekal menjadi milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Mahkamah Pilihan Raya, hari ini, menolak petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Petisyen bagi kawasan itu yang difailkan pengundi, Mohamad Sazali Kamilan.

Pemain hoki kebangsaan Chua Boon Huat meninggal dunia akibat kemalangan

Thursday, August 01, 2013 0 Komen

Pemain senior hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya melanggar sebuah lori yang sedang digunakan untuk menyiram pokok bunga di lebuhraya Damansara-Puchong dekat Kelana Jaya jam 3 pagi tadi.

Berasal dari Bukit Cina Melaka, Chua adalah salah seorang pemain hoki kebangsaan paling lama berkhidmat untuk negara.


Beliau memulakan kareer seawal usia 17 tahun dengan pasukan hoki Malaysia dan pernah bermain untuk Sukan Komanwel 1998 .

Antara pencapaian mendiang Chua Boon Huat bersama Pasukan Hoki Negara:- Gangsa di Asian Games 2002 Busan, Perak di Sukan Komanwel 1998 KL. Gangsa di Sukan Komanwel 2006 Melbourne dan Gangsa di Hockey Asia Cup Chennai 2007. Chua also holds the record of the most capped hockey international in Malaysia, surpassing Nor Saiful Zaini & S. Kuhan.


Mendiang yang mempunyai lebih 300 cap mewakili negara pernah muncul dalam dua final hoki Piala Sultan Azlan Shah pada 2007 dan 2009 .

Kali terakhir beliau beraksi untuk negara ialah dalam kejohanan liga hoki dunia di Johor Bahru.

Konsep kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS)

Thursday, August 01, 2013 0 Komen

Rangsang kemahiran berfikir aras tinggi
Transformasi kurikulum pendidikan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memberi penekanan kepada konsep kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) yang berupaya melahirkan generasi mempunyai pemikiran kritikal dan kreatif.

Secara umumnya, mengikut taksonomi Bloom, HOTS merujuk kepada empat aras teratas kemahiran berfikir (lihat grafik) iaitu mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta, manakala aras paling bawah yang merujuk kepada kemahiran berfikir aras rendah (LOTS) iaitu memahami dan menghafal.

Kemahiran berfikir antara enam ciri utama murid yang menjadi aspirasi kementerian untuk mereka berupaya bersaing pada peringkat global.

Pelajar tak lagi menghafal

Ini bermakna, kurikulum yang digubal menerusi PPPM berhubung HOTS ialah inisiatif supaya pelajar tidak lagi hanya menghafal untuk menghadapi peperiksaan, sebaliknya tahu menggunakannya.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Datuk Dr Amin Senin, berkata transformasi itu akan mengubah pengajaran dan pembelajaran yang sebelum ini lebih bertumpu kepada peperiksaan dan menghafal.

"Kita dapati keputusan pelajar Malaysia dalam ujian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) tidak berada pada tahap memuaskan.

"Kajian mendapati antara punca kepada keadaan itu ialah soalan dalam kedua-dua ujian yang menjadi penanda aras tahap pendidikan antarabangsa berbentuk HOTS, iaitu bukan mengingat sesuatu fakta, tapi bagaimana hendak menggunakannya.

"Kita menyedari kelemahan itu, seterusnya membuat cadangan dalam PPPM supaya HOTS diberi penekanan," katanya kepada BH di sini.

Beliau berkata, walaupun HOTS wujud dalam kokurikulum sebelum ini, tidak dilaksanakan secara berfokus, sebaliknya konsep pemikiran itu hanya diharap digunakan pelajar secara semula jadi.

Katanya, pelaksanaan HOTS di bawah PPPM kali ini difokuskan kepada subjek Sains, Matematik dan Sejarah serta dilakukan secara menyeluruh membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran, soalan peperiksaan, penyediaan alat bantuan mengajar, malah diterapkan dalam aktiviti kokurikulum seperti kuiz dan pertandingan.

Konsep soalan peperiksaan ada elemen HOTS

Katanya, bagi memastikan pelajar mengaplikasi kemahiran berfikir, kementerian juga mengubah konsep soalan peperiksaan dengan memasukkan elemen HOTS dalam soalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara berperingkat.

"Sasaran Kementerian Pendidikan ialah sebanyak 40 peratus soalan HOTS dimasukkan dalam kertas soalan UPSR, manakala SPM (50 peratus) menjelang 2016," katanya

Beliau berkata, untuk memastikan pelaksanaannya berjaya, guru terlebih dulu perlu mengikuti kursus jangka pendek dalam program i-Think kendalian Agensi Inovasi Malaysia, bagi membolehkan mereka menguasai teknik berfikir HOTS.

"Tahun ini, guru dari 500 sekolah dihantar mengikuti program ini dan tahun depan, kita mahu guru dari semua sekolah negara ini mengikuti kursus itu.

"Mereka akan pulang ke sekolah dan berkongsi kemahiran itu dengan rakan sejawatan seterusnya mengajar murid menggunakan teknik terbabit," katanya.

Lebih interaktif

Mengulas lanjut, Amin berkata, penekanan terhadap HOTS secara tidak langsung mengubah corak dan proses pembelajaran dalam kelas, menjadikannya lebih interaktif kerana memerlukan pembabitan aktif pelajar dan guru.

"Kita tidak lagi melihat proses sehala dengan guru berada di depan kelas mengajar, manakala murid hanya menyalin dan menghafal.

"Sebaliknya guru perlu menggalakkan murid banyak bertanya dan membiarkan mereka meneroka rasa ingin tahu terhadap sesuatu perkara yang diajar, seterusnya mengaitkannya dalam kehidupan," katanya.

Amin berkata, kejayaan pelaksanaan itu akan dinilai daripada keputusan peperiksaan pelajar, terutama cara pelajar menjawab peperiksaan berbentuk HOTS.

5 maut, seorang cedera kemalangan jalanraya Kilometer 21 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam

Thursday, August 01, 2013 0 Komen

Lima maut dan seorang cedera apabila kenderaan pelbagai guna Honda Odyssey dinaiki merempuh pokok dan tiang lampu dalam kejadian di Kilometer 21 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di sini, jam 2 pagi tadi.

Ketua polis daerah Kulaijaya Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kemalangan berlaku apabila Honda Odyssey itu terbabas dan ternaik ke pembahagi jalan sebelum merempuh pokok serta tiang lampu.

Lima yang maut ialah Hairul Adham Abidin, 25, Nazierul Khalies Mohd Ashari, 19, Nor'ain Alias, 23, Mohd Fadzli Mohd Fakri, 20, dan seorag lagi dikenali sebagai Su, 23.

Mangsa yang cedera ialah Nor Sharifah Hazwani Bardaidi, 23.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulajaya untuk bedah siasat manakala yang cedera ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk rawatan.

Bookfest@Malaysia 2013 di KLCC

Thursday, August 01, 2013 0 Komen

Bookfest@Malaysia 2013 akan beroperasi mulai jam 10 pagi hingga 10 malam, manakala bayaran masuk RM2.50 seorang dikenakan, tetapi percuma untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas dan mereka berumur 18 tahun ke bawah.

Pengunjung pesta buku terbesar di Asia Tenggara, Bookfest@Malaysia 2013 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, pada 3 hingga 11 Ogos, berpeluang bertemu dengan lebih 100 penulis dan personaliti popular tempatan dan luar negara sepanjang 9 hari jualan buku itu berlangsung.



Pengarah Eksekutif Popular Book Co (M) Sdn Bhd (POPULAR), Lim Lee Ngoh, berkata tahun ini syarikat itu bukan saja membawa penulis hebat, tetapi tokoh selebriti popular tempatan dan luar negara termasuk sesi bersama penulis Malaysia yang memenangi Hadiah Kesusasteraan Man Asia 2013, Tan Twan Eng.

"Penulis buku Tell It Straight, Datin Paduka Marina Mahathir dan model bertaraf antarabangsa, Amber Chia yang menulis buku, Rahsia Kejayaan Supermodel, turut bersetuju untuk bertemu peminat.

"Selain diskusi buku, POPULAR juga membawa chef tersohor tanah air untuk program demonstrasi masakan dan antara chef selebriti yang bersetuju ialah Florence Tan pada 8 Ogos dan Chef Hanieliza pada 11 Ogos ini," katanya yang ditemui pada sidang media Bookfest@Malaysia 2013 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tiket berpakej

Tidak ketinggalan, POPULAR menjual tiket berpakej kepada pengunjung yang berminat, iaitu boleh mengunjungi pesta buku sembilan hari berturutturut boleh membeli tiket istimewa pada harga RM10.

Lim berkata, pengunjung Bookfest@ Malaysia 2013 berpeluang membeli pelbagai jenis buku termasuk buku kanakkanak, gaya hidup, agama dan motivasi, pada harga potongan, manakala yang membelanjakan RM150 minimum akan mendapat baucer RM10 yang boleh ditebus di rangkaian kedai buku POPULAR dan Harris.

"Pemegang kad keahlian POPULAR berpeluang menyertai pertandingan I Love Reading dan bakal merebut hadiah percutian ke destinasi menarik termasuk Hong Kong, China dan Taiwan, selain turut menerima baucer daripada POPULAR," katanya.

Pemenang Anugerah Pilihan Pembaca PopularBH 2013 akan menerima hadiah pada majlis yang akan berlangsung di Pentas Utama, Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada 3 Ogos yang disempurnakan Sasterawan Negara (SN) Ke10, Datuk Dr Anwar Ridhwan.

 

ZONFINITI