IRM usaha kumpul barangan terpakai

Khamis, April 22, 2010

Melihat kepada Islam tidak sukakan pembaziran, Islamic Relief Malaysia (IRM) merencanakan program bagi individu yang berminat mendermakan barangan terpakai milik peribadi untuk tujuan amal.

Usaha murni itu secara tidak langsung dapat mengelakkan pembaziran dan menyumbang kepada ganjaran pahala.

Konsep yang diamalkan oleh IRM bukanlah perkara baru dalam masyarakat kita. Namun pendedahan dan penerimaan masyarakat tempatan masih kurang berbanding masyarakat di Eropah di mana konsep ini telah guna pakai dalam kehidupan seharian seperti di rangkaian Islamic Relief di United Kingdom (UK).

Di UK, Islamic Relief telah bergerak aktif menjalankan aktiviti mengumpul barangan terpakai ini sejak 20 tahun lalu. Barangan ini dikumpul hasil sumbangan orang ramai yang prihatin melalui masjid, pusat komuniti , sekolah dan juga peti kutipan yang disediakan di tempat strategik di tempat awam.

Lebih menarik, barang-barang yang dikumpulkan itu akan dihantar ke pusat atau gudang saringan Islamic Relief yang terletak di Birmingham. Ia bagi proses penyaringan dan juga proses pembersihan yang akan dilakukan oleh para sukarelawan.

Hakikatnya, aktiviti sedemikian bukan sahaja dapat membantu menyelamatkan alam sekitar, ia juga dapat memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat serta membantu masyarakat yang susah di seluruh dunia.

Hasil daripada pakaian yang disaring itu, 40 peratus boleh dipakai semula, 15 peratus akan dikitar semula bagi dijadikan pakaian baru, 15 peratus dijadikan kekabu bantal dan peralatan rumah lain, 20 peratus dijadikan kain pengelap manakala baki 10 peratus adalah yang tidak boleh dipakai langsung.

Pakaian yang telah dibersihkan dan disaring akan dihantar ke beberapa cawangan kedai Islamic Relief UK yang menjalankan aktiviti khusus menjual barangan terpakai. Ada juga pakaian yang dihantar ke negara-negara miskin atau negara-negara yang mengalami bencana alam seperti Aceh yang dilanda tsunami pada tahun 2004.

Realitinya, konsep Islamic Relief UK adalah jauh berbeza daripada konsep yang dilaksanakan oleh IRM. Ini kerana faktor kesesuaian penggunaan sistem yang dijalankan dan juga faktor skala yang dipraktikkan jauh lebih kecil berbanding di UK.

Di Malaysia, program unik yang menghimpunkan barang-barang terpakai dari seluruh negara dijalankan secara berperingkat dan bermusim. Pada kebiasaannya, kesemua barangan yang dikumpul akan disaring dan akan dijual semula kepada orang ramai.

Hasil jualan akan digunakan untuk projek kebajikan IRM.

Pada 12 April lalu, IRM dengan kerjasama KL StarRail Sdn. Bhd. menganjurkan program 'Jualan Barangan Terpakai Untuk Kebajikan' di Stesen Monorel Hang Tuah, Kuala Lumpur.

Melalui program itu, IRM menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin mendermakan barangan terpakai. Ia untuk dijual semula dan hasil jualan itu akan digunakan untuk projek Perpustakaan Rumah Anak Yatim. Ia berlangsung mulai 12 hingga 16 April.

Usaha murni ini mendapat sokongan dan kerjasama KL StarRail Sdn. Bhd di bawah program 'KL Star Rail Kami Prihatin'.

Ketua Pemasaran & Pembangunan Perniagaan KL StarRail, Elzak Shafarrino Mohamed Anuar berkata, progarm itu adalah sejajar dengan moto 'Kami Prihatin'.

Katanya, KL StarRail sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan kebajikan pekerja, pemegang saham, rakan korporat dan masyarakat sentiasa terjaga.

"Program-program kebajikan juga sentiasa dijalankan secara berterusan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam usaha untuk memenuhi tanggungjawab ini," katanya.

Melalui program yang istimewa ini, pelbagai barangan terpakai seperti pakaian, barang perhiasan, buku-buku dan lain-lain peralatan dijual pada harga serendah RM2.



Kesemua barangan yang dijual telah disaring oleh para sukarelawan IRM dan hanya barang dalam keadaan baik saja dipamerkan untuk dijual. Turut diadakan adalah pameran kemanusiaan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai usaha-usaha kemanusiaan yang dijalankan oleh IRM.

Sementara itu, Pengarah Negara IRM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya percaya sebegini pasti menjadi pilihan dan tumpuan golongan sederhana dan berpendapatan rendah 'membeli-belah' pelbagai barangan berjenama pada harga yang murah.

Katanya, menggunakan semula barangan dan bahan terpakai adalah usaha murni kerana ia mengurangkan sampah serta menjimatkan perbelanjaan berikutan kos mendapatkannya lebih murah berbanding barangan baru.

"Kempen yang dijalankan kurang daripada seminggu ini juga memperlihatkan tanda prihatin masyarakat Malaysia.

"Kempen mengumpul barangan terpakai tersebut mendapat reaksi positif orang ramai terutamanya penduduk di sekitar Lembah Klang," jelasnya.

Selain itu, keprihatinan masyarakat tempatan juga harus dipuji kerana kebanyakan barang yang didermakan masih baik. Malah, ada juga barangan baru turut didermakan.

Lebih membanggakan, kata Zawahir, sumbangan bukan hanya dalam bentuk material dan wang ringgit tetapi berbentuk tenaga dalam menjayakan program seumpama ini.

Merujuk kepada moto 'Berganding tangan menjana perubahan', seramai 30 sukarelawan IRM terlibat secara langsung bermula dengan aktiviti saringan dan jualan barangan.

Apa yang menarik sukarelawan Islamic Relief ini bukan sahaja terdiri daripada golongan pelajar tetapi golongan profesional, warga emas dan golongan kurang upaya berbilang kaum.

Itulah yang menggambarkan budaya Malaysia yang saling bantu-membantu dalam memenuhi konsep '1Malaysia'.

Maklumat lanjut mengenai usaha IRM atau menghulurkan sumbangan, boleh diperolehi dengan melayari laman web www.irm.org.my atau hubungi Farouq Zauji di talian 03-8948 6334. Anda juga boleh berkunjung ke pejabat IRM di Taman Sri Serdang.

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI