Lee Chong Wei juara Terbuka Perancis 2011

Monday, October 31, 2011 0 Komen

Datuk Lee Chong Wei,jaguh badminton negara meraih kejuaraan Super Series keenam tahun ini selepas memenangi Terbuka Perancis di Stadium Pierre De Coubertin, Paris semalam.

Chong Wei yang juga pilihan utama kejohanan, menewaskan pemain bukan pilihan dari Jepun Kenichi Tago 21-16, 21-11 dalam masa 39 minit.

Lee Chong Wei

Beliau sebelum ini bergelar juara di Taiwan, Terbuka Malaysia pada Januari, Terbuka India (April), Grand Prix Emas Terbuka Malaysia (Mei) dan Terbuka Indonesia pada Jun. —Bernama

Kes buli: Remaja Asia paling banyak dibuli di AS

Sunday, October 30, 2011 0 Komen

Remaja Amerika Syarikat (AS) berketurunan Asia paling banyak dibuli di sekolah-sekolah di AS berbanding kumpulan etnik lain.

Kajian kerajaan menunjukkan komuniti tersebut tiga kali ganda sering berdepan cemuhan dalam Internet.

Setiausaha Pendidikan AS, Arne Duncan berkata, antara faktor gangguan itu ialah masalah bahasa yang dihadapi sesetengah pelajar Amerika-Asia dan sentimen perkauman yang semakin meningkat sejak insiden 11 September 2011 terhadap kanak-kanak Islam.

"Perkara ini memang tidak dapat diterima dan perlu diubah. Kanak-kanak sepatutnya pergi ke sekolah tanpa perasaan takut," katanya.

Kajian itu dikeluarkan Sabtu lalu, mendapati 54 peratus remaja Amerika-Asia dibuli di kelas dan 31.3 peratus golongan kulit putih turut dilaporkan mengalami masalah sama.

Menurut seorang pegawai yang terlibat dalam kajian tersebut, data juga menunjukkan 38.4 peratus golongan Amerika-Afrika dan 34.3 peratus bagi Hispanik turut dibuli.

Bagi kes buli di Internet, kira-kira 62 peratus etnik Amerika-Asia dilaporkan diganggu sekali atau dua kali sebulan, berbanding dengan 18.1 peratus golongan kulit putih.

Kajian tersebut dilakukan berdasarkan satu tinjauan pada 2009 yang disokong oleh Jabatan Pendidikan dan Keadilan AS.

Dalam kajian itu, kira-kira 6,500 pelajar berumur antara 12 hingga 18 tahun diwawancara dan golongan Amerika-Asia secara umumnya ditakrifkan sebagai keturunan Asia Timur, benua kecil India atau Pasifik Selatan.

Pegawai-pegawai kajian merancang mengumumkan data itu pada satu majlis mengenai isu buli di New York sebagai sebahagian daripada Inisiatif White House Presiden Barack Obama terhadap golongan Amerika-Asia dan Kepulauan Pasifik. - AFP

Angkara marah, manusia berubah ganas dan kejam

Saturday, October 29, 2011 0 Komen

Seorang lelaki menumbuk sepupu wanitanya sehingga patah hidung kerana geram dengan wanita itu yang mengambil dompetnya sebagai satu gurauan.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Supt Mohd Haris Daud berkata sebelum kejadian, lelaki berusia 22 tahun itu pergi berjumpa sepupunya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai perabot di Raub, pagi semalam.
Beliau berkata sebelum beredar, dompet lelaki terbabit telah diambil oleh sepupunya berusia 24 tahun tanpa disedari sebagai satu gurauan.

"Kira-kira 12 tengah hari itu, wanita tersebut ke rumah sepupu lelakinya di Taman Raub Jaya untuk memulangkan semula dompetnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya selepas memulangkan dompet berkenaan, mangsa yang hendak pulang telah dihalang oleh sepupu lelakinya itu, yang melepaskan tumbukan ke bahagian muka sepupunya selain menyepak dan menghantuk mangsa ke dinding, kerana dipercayai geram dengan gurauan itu.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai terlalu marah kerana memerlukan kad pengenalannya untuk belajar memandu.

Sementara itu, seorang surirumah menerima tiga jahitan di kepala selepas dipukul suaminya kerana gagal menyiapkan makanan di rumahnya di Taman Netas Maju, Mentakab pada Rabu lepas.

Angry

Mohd Haris berkata dalam kejadian pada 3 petang itu, suami mangsa yang berusia 55 tahun baru pulang daripada mencari kerja dan ingin menikmati makanan namun isterinya masih belum menyiapkan hidangan.

Katanya mangsa berusia 39 tahun kemudian dipukul dengan kayu di kepala oleh suaminya sebelum dipijak sehingga pengsan.

Kejadian itu turut disaksikan empat anak mereka yang berusia 5 hingga 13 tahun, katanya. - BERNAMA

Putera Nayef ,Putera Mahkota Arab Saudi Baru

Friday, October 28, 2011 0 Komen

Raja Arab Saudi Raja Abdullah melantik Menteri Dalam Negeri Putera Nayef sebagai putera mahkota yang baru, demikian menurut satu kenyataan diraja dibacakan menerusi televisyen awal pagi Jumaat.

Putera Nayef Abdulaziz

“Kami telah memilih Putera Nayef Abdulaziz sebagai putera mahkota,” kata kenyataan dibawakan oleh agensi berita negara itu SPA.

Putera Nayef menggantikan Putera Sultan yang mangkat ekoran kanser di New York minggu lalu.

Putera Sultan juga merupakan Menteri Pertahanan dan Menteri Penerbangan hampir lima dekad.

Belum ada pelantikan bagi mengisi kedua-dua jawatan itu. — REUTERS

10 billion manusia pada 2010

Thursday, October 27, 2011 0 Komen

Jumlah penduduk dunia dijangka bertambah dari tujuh bilion hari ini kepada 10 bilion orang menjelang tahun 2100, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Namun, laporan berkenaan menyebut, jumlah itu mungkin mencecah sehingga 15 bilion orang jika berlakunya peningkatan kadar kelahiran.

Menurut laporan itu, Tabung Aktiviti Kependudukan Bangsa Bersatu (UNFPA) menyatakan kebimbangan terhadap tekanan demografi yang mampu memberi cabaran kepada mengurangkan kadar kemiskinan serta pemuliharaan alam sekitar ekoran pertambahan penduduk.

''Jangkaan terkini memperlihatkan bilangan penduduk akan mencecah 9.3 bilion orang pada 2050 dan lebih 10 bilion orang menjelang 2100.

''Namun, dengan hanya variasi kecil dalam kadar kesuburan terutamanya di negara yang memiliki kepadatan penduduk, jumlah itu dijangka lebih tinggi iaitu 10.6 bilion orang pada 2050 dan lebih 15 bilion (2100),'' kata UNFPA menerusi laporan The State of the World Population 2011 setebal 126 muka surat.

Laporan itu antara lain memfokuskan beberapa cabaran berkaitan cabaran golongan belia, masalah alam sekitar, keseimbangan antara penduduk bandar dan luar bandar serta soal perancangan keluarga.

Kata UNFPA, ketika ini, penduduk di Tokyo mencatatkan bilangan tertinggi dengan 36.7 juta orang diikuti New Delhi (22 juta orang) dan Sao Paulo serta Mumbai, masing-masing mencatatkan jumlah 20 juta penduduk.

UNFPA turut mencadangkan agar diwujudkan pelan pembangunan yang seimbang bagi menghadapi jumlah pertambahan penduduk termasuk pembinaan perumahan yang mencukupi, sistem sanitasi yang baik serta 'kawasan hijau'. - AFP

UMNO nafi lantik pegawai nilai ahli jadi calon PRU

Wednesday, October 26, 2011 0 Komen

UMNO hari ini menafikan aduan bahawa parti itu telah melantik pegawai bagi membuat penilaian dan laporan untuk menentukan anggota parti yang layak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menyangkal dakwaan kononnya nama-nama mereka yang ingin menjadi calon akan diajukan terus kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya mereka membayar sejumlah wang kepada ‘pegawai’ yang dilantik itu.

"Menerusi aduan tersebut dinyatakan bahawa pihak penilai terbabit telah meminta mana-mana individu yang mahu menawarkan diri untuk menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang perlu membayar sejumlah wang kepada mereka agar nama berkaitan dapat diajukan terus kepada presiden parti.

"Sehubungan itu, saya ingin membuat penafian dan menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak yang diarahkan melainkan mereka diberi tauliah khusus daripada Ibu Pejabat UMNO atau daripada Ibu Pejabat BN sendiri tanpa melibatkan sebarang pemberian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tengku Adnan berkata, hal tersebut turut berlaku melibatkan anggota bahagian UMNO termasuklah dalam Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana wujudnya puak-puak tertentu yang ingin meraih keuntungan menjelang PRU akan datang dengan menggunakan nama UMNO dan BN.

Sehubungan itu beliau menasihatkan semua pihak agar jangan terperangkap dan diperbodohkan oleh orang-orang terbabit lantaran mahu menjadi calon parti dalam PRU yang akan datang. — Bernama

Video kemalangan Marco Simoncelli di Grand Prix Motosikal Malaysia

Wednesday, October 26, 2011 0 Komen

Video kemalangan Marco Simoncelli



Marco Simoncelli meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan ngeri di Grand Prix Motosikal Malaysia.

Marco Simoncelli yang hilang kawalan di selekoh ke-11, bergesel dengan jentera Colin Edwards (Monster Yamaha Tech 3) yang kemudiannya tidak sempat mengelak dan terus merempuhnya dari jarak dekat.

Sementara juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi yang berada di belakang kedua-dua pelumba itu, berjaya mengelak insiden itu sebelum terbabas.

Topi keledar Simoncelli tercabut dalam kejadian itu dan perlumbaan di Sepang itu diberhentikan apabila bendera merah dikibarkan dan kemudiannya dibatalkan.

Simoncelli dikejarkan ke pusat perubatan SIC selepas kemalangan itu, namun kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 4.56 petang akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala, leher dan dada.

Steve Jobs pengurus paling teruk

Tuesday, October 25, 2011 0 Komen

Pengasas bersama firma Apple Corp. mendiang Steve Jobs boleh bertukar kejam, menjengkelkan dan acuh tak acuh terhadap rakan sekerja dalam usahanya memburu kesempurnaan, kata penulis biografinya, Walter Isaacson.

"Beliau bukan seorang yang peramah dan mesra," kata Isaacson dalam satu wawancara dalam program bual bicara terbitan stesen televisyen CBS, 60 Minutes.

Buku biografi itu yang berjudul Steve Jobs karya Isaacson itu mula dijual di kedai-kedai buku di AS semalam. "Beliau ialah seorang yang amat perengus," kata Isaacson ketika bercerita tentang Jobs yang meninggal dunia ketika berusia 56 tahun pada 5 Oktober lalu akibat komplikasi penyakit kanser pankreas yang dihidapinya.

"Dia boleh bersikap kejam terhadap orang lain," ujarnya. "Sama ada kepada seorang pelayan di restoran atau pekerja yang berjaga sepanjang malam untuk menyelesaikan tugasannya, Jobs akan pergi kepada mereka dan berkata, semua yang anda lakukan silap. Kerja anda teruk sekali.

"Dan anda pula berkata, mengapa awak berkelakuan sebegitu, mengapa awak tidak boleh bersikap lebih baik? Dan dia (Jobs) memberitahu: "Saya mahu bersama orang yang mementingkan kesempurnaan. Inilah saya," cerita Isaacson. - Isaacson berkata, Jobs mungkin mengemukakan idea komputer Macintosh, iPod, iPhone dan iPad semasa kerjayanya yang pintar tetapi beliau bukannya seorang pengurus yang terhebat dunia.

"Secara faktanya, beliau (Jobs) mungkin merupakan salah seorang pengurus yang paling teruk," katanya. - AFP

Perbaharui lesen memandu mengikut tarikh lahir pemegang lesen

Friday, October 21, 2011 0 Komen

Pembaharuan Lesen Memandu Kompeten (CDL) akan dibuat mengikut tarikh lahir pemegang lesen mulai pertengahan bulan depan,bagi memudahkan mereka mengingati tarikh memperbaharui lesen masing-masing, sekali gus menyaksikan tarikh tamat tempoh lesen sama dengan tarikh lahir.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu bertujuan mengurangkan kes pemegang lesen tidak aktif dan rayuan untuk memperbaharui lesen memandu tamat tempoh melebihi tiga tahun.

Selain itu, katanya, kaedah baru itu juga alternatif kepada sistem penyampaian notis peringatan dilaksanakan jabatan terbabit.

Pelaksanaan pembaharuan lesen memandu melalui penyelarasan tarikh tamat CDL mengikut tarikh lahir ini akan membabitkan agensi seperti JPJ, Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Malaysia dan e-Khidmat, katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Bagi tarikh lahirnya pada 29 Februari, tarikh tamat sah lesen memandu dicadangkan pada 28 Februari dan tarikh pembaharuan pada 1 Mac.

Bagaimanapun, jika pemegang lesen tidak mahu menggunakan tarikh itu, mereka hendaklah memperbaharui lesen memandu bagi tempoh empat tahun berdasarkan tahun lompat yang berikutnya.

Sejajar penyelarasan tarikh tamat lesen memandu, bayaran juga akan diselaraskan melalui dua kaedah iaitu bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 12 hingga 18 bulan termasuk tempoh lanjutan, kerajaan akan menanggung bayaran lesen bagi tempoh lanjutan itu.
Sebagai contoh, bagi tempoh sah lesen sedia ada iaitu 20 Februari 2011 hingga 19 Februari 2012 dan tarikh lahir pemegang lesen adalah 10 Oktober 1980, hanya bayaran RM30 dikenakan iaitu bagi tempoh 20 Februari 2012 hingga 19 Februari 2013.

Baki lanjutan selama lima bulan 20 hari (kurang daripada enam bulan) adalah percuma iaitu antara 20 Februari 2013 hingga 10 Oktober 2013.

Cho Ha berkata, bagi pemegang lesen yang tempoh pembaharuannya antara tarikh tamat sah lesen hingga tarikh lahir antara 19 hingga 24 bulan termasuk tempoh lanjutan, mereka perlu membayar untuk lanjutan tempoh melebihi enam bulan tetapi kurang daripada 12 bulan.

Kadar bayaran lesen memandu masih RM30 setahun.

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy dapat anak perempuan

Friday, October 21, 2011 0 Komen

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy menimang cahaya mata keempat selepas isterinya, Carla Bruni-Sarkozy selamat melahirkan bayi perempuan, semalam.

Bayi ini adalah anak pertama Sarkozy dengan isteri ketiganya dan ketika beliau menjadi Presiden republik tersebut, lapor stesen penyiaran Perancis, BFM-TV.

Bagaimanapun pihak hospital mahupun pejabat Presiden belum mengesahkan perkara itu. Pejabat Sarkozy sebelum ini mengumumkan tidak akan membuat sebarang kenyataan berhubung kelahiran tersebut.

Bruni-Sarkozy, 43, melahirkan bayi berkenaan di Klinik de la Muettedi di sini.

Sarkozy, 56, melawat isteri dan bayinya awal semalam, sebelum ke Frankfurt untuk berjumpa dengan Canselor Jerman, Angela Merkel bagi membincangkan krisis kewangan Eropah.

Beliau telah pun memiliki tiga anak lelaki hasil dua perkahwinannya sebelum ini, manakala Bruni-Sarkozy mempunyai seorang anak lelaki dengan bekas kekasihnya.

Namun gambar bayi perempuan ini tidak didedahkan dan sesiapa yang mahu melihat gambarnya mungkin akan kecewa kerana sebelum ini, Wanita Pertama Perancis ini telah membuat pengumuman untuk melindunginya daripada media. - dpa

Karavan eleMMent palazzo termahal di dunia (RM8.09 juta)

Friday, October 21, 2011 0 Komen

Karavan paling mahal di dunia yang dibina oleh syarikat Australia, Marchi Mobile akan dijual pada harga 1.9 juta Euro (RM8.09 juta).

Kenderaan yang dikenali sebagai eleMMent palazzo itu mempunyai kepanjangan 12 meter dan dilengkapi dengan bumbung teres seluas 20 meter persegi, sistem pemanas di bawah lantai serta bar.

 eleMMent palazzo

Karavan mewah itu turut mempunyai satu bilik tidur besar dengan dilengkapi televisyen 40 inci, bilik mandi, tandas berasingan, ruang istirehat dan katil bertingkat.

EleMMent juga boleh dipasang dengan talian Internet bergerak, pengawasan video, televisyen satelit dan dilengkapi cahaya di waktu malam bagi meningkatkan keselamatan.

Namun apa yang paling menakjubkan ialah mesin 'sky lounge' yang boleh dibuka dengan hanya menekan butang dan sistem pemanas di bawah lantai serta bar.

Menurut Marchi Mobile, eleMMent palazzo dipasang enjin 510 kuasa kuda, sekali gus membolehkan karavan seberat 20 tan itu memecut sehingga 150 kilometer sejam.

Reka bentuknya yang aerodinamik juga menjadikannya kenderaan berat yang efisien. - AGENSI

Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terbunuh

Friday, October 21, 2011 1 Komen

Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terbunuh dalam serangan tentera kerajaan sementara Libya dibantu oleh tentera udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran bandar Sirte, awal hari ini.

Gaddafi, 69, terbunuh setelah mengalami cedera parah dalam serangan awal subuh itu.

Muammar Gaddafi

Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Mutassim, anak kelima Gaddafi.

Kematiannya menamatkan pemburuannya selama dua bulan sejak beliau melarikan diri setelah kejatuhan Tripoli ke tangan tentera pemberontak pada Ogos lalu.

Pegawai Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Abdel Majid Mlegata, sebelum itu melaporkan Gaddafi berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri secara berkonvoi dalam satu serangan itu.

Bekas pemimpin itu mengalami cedera parah di kedua-dua belah kakinya.

“Ketika ditangkap, dia (Gaddafi) turut dikasari dan dipukul di kepala (oleh tentera kerajaan sementara Libya),” kata Mlegata.

Gambar-gambar merakamkan keadaan pakaiannya berlumuran darah tersebar di Internet.

Seorang pegawai NTC, Mohamed Abdel Kafi berkata, jenazah Gaddafi dibawa ke satu lokasi rahsia atas faktor keselamatan.

‘‘Jenazahnya dibawa ke lokasi yang dirahsiakan menggunakan sebuah kenderaan NTC,” kata Mohamed.

Bekas Menteri Pertahanan ketika pemerintahan Gaddafi, Abu Bakr Younis turut terbunuh dalam serangan tersebut.

Gaddafi menghadapi penentangan daripada rakyatnya sejak Februari lalu sebelum melarikan diri dari Tripoli setelah ibu negara Libya itu jatuh ke tangan pemberontak dengan bantuan NATO pada Ogos lalu.

Sejak kejatuhan Tripoli, Gaddafi melarikan dan meneruskan perjuangan untuk kembali berkuasa, manakala sebahagian ahli keluarganya termasuk isteri dan anak perempuannya telah melarikan diri ke Algeria.

Sebelum ini, anak lelakinya, Khamis, 28, terbunuh dalam pertempuran di Tarhouna, selatan Tripoli, Libya pada 29 Ogos lalu.

Khamis merupakan komander Briged Elit ke-32 tentera yang dikatakan berjaya menumpaskan pemberontak di timur Benghazi pada Februari lalu.

Pada 30 April lalu, seorang lagi anak Gaddafi, Saif al-Arab dan tiga cucunya terbunuh dalam pertempuran dengan tentera NATO di Bab al-Aziziya, Tripoli.

Sementara itu, rangkaian televisyen Al Jazeera menyiarkan rakaman mayat Gaddafi yang hampir bogel sehingga paras pinggang diletakkan di atas tanah.

Selain itu, Al Jazeera turut menyiarkan gambar mayat Gaddafi di belakang ambulans dan mukanya tidak berlumuran darah.

--------------------

Kematian Muammar Gaddafi dalam serangan anggota tentera kerajaan sementara awal hari ini menamatkan pemburuan ke atasnya selama dua bulan sejak kerajaannya tumbang pada Ogos lalu setelah ibu negara Tripoli jatuh ke tangan pemberontak.

Kematiannya yang tragis itu disambut dengan sorakan kegembiraan oleh rakyat Libya, terutama pemberontak yang berusaha mengulingkannya melalui tunjuk perasaan sejak Februari lalu yang kemudian bertukar menjadi pemberontakan berdarah.

Selepas kejatuhan Tripoli, pemimpin itu cuba mempertahankan kuasanya dengan penyokong dan tentera yang setia dengannya melancarkan serangan balas dari kubu kuatnya di Sirte, bandar kelahirannya dan Bani Walid.

Namun, bandar Sirte tumbang ke tangan tentera pemberontak awal bulan ini dan pertempuran sengit berterusan di bandar itu dan Bani Walid sehingga Gaddafi terbunuh di tangan musuhnya yang dibantu tentera Pertubuhan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) awal hari ini.

Pemberontakan di Libya bermula sejak Februari lalu setelah mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan Yemen.

Ia bermula dengan tunjuk perasaan bagi mendesak diadakan reformasi sebelum bertukar menjadi pemberontakan unutk menggulingkan Gaddafi yang telah memimpin Libya selama 42 tahun.

Rakyat Libya menyifatkan Gaddafi sebagai seorang diktator.

Sepanjang pergolakan selama hampir lapan bulan itu, rakyat Libya melancarkan berpuluh-puluh tunjuk perasaan dan beribu-ribu nyawa terkorban apabila tentera yang setia Gaddafi melancarkan serangan ke atas pihak yang anti-rejim.

Namun, pihak anti-Gaddafi tidak mengalah sebaliknya meneruskan pemberontakan dan serangan dengan bantuan NATO, sehingga menawan satu demi satu bandar di Libya termasuk Tripoli sehingga memaksa bekas pemimpin itu melarikan diri dan bersembunyi tanpa diketahui lokasinya.

Kematiannya membawa kejatuhan seorang lagi pemimpin Arab selepas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali digulingkan dalam kebangkitan rakyat di dunia Arab.

Kematiannya membuktikan Gaddafi adalah seorang pejuang yang sanggup mati demi mempertahankan negaranya. - Agensi

Terapi ozon dan chelation tiada bukti mampu merawat penyakit

Thursday, October 20, 2011 0 Komen

Pengamal perubatan dinasihatkan supaya tidak mengamalkan terapi ozon dan chelation (mengenyahkan logam berat dalam badan) sebagai kaedah rawatan untuk pesakit kerana tiada bukti ia mampu merawat sebarang penyakit.

Presiden Majlis Perubatan Malaysia, Datuk Dr. Hasan Abdul Rahman (gambar) berkata, kesimpulan itu dibuat selepas majlis berkenaan mengadakan perbincangan mendalam serta memperoleh maklumat saintifik dari dalam dan luar negara.

"Tiada bukti yang menyokong penggunaan terapi itu dapat memberi sebarang kesan berfaedah kepada pesakit yang menjalaninya.

"Kajian lanjut masih perlu dilakukan bagi memastikan keberkesanan dan juga keselamatan terapi berkenaan kepada pesakit," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Kesihatan berkata, terapi itu tidak seharusnya digunakan kecuali untuk tujuan penyelidikan sehingga dibuktikan ia mendatangkan faedah kepada pesakit.

Hasan seterusnya menasihatkan orang awam supaya tidak menjalani terapi itu dan sebarang risiko berkaitan rawatan tersebut harus ditanggung sendiri.

Senarai harga barang kawalan Deepavali 2011:

Tuesday, October 18, 2011 0 Komen

Senarai harga barang kawalan Deepavali 2011:

Ayam hidup = RM6.40/kg
Ayam standard = RM7.50/kg
Ayam super = RM8.40/kg
Daging kambing tempatan bertulang = RM32.00/kg
Daging kambing biri-biri import bertulang = RM20.00/kg
Daging kambing biri-biri import tanpa tulang = RM24.00/kg
Daging paha kambing biri-biri import bertulang = RM26.00/kg
Telur ayam gred A = RM0.36/biji
Telur ayam gred B = RM0.35/biji
Telur ayam gred C = RM0.34/biji
Tomato = RM4.20/kg
Bawang merah kecil (India) = RM5.00/kg
Ubi kentang import (China) = RM3.00/kg
Kacang dhall (Australia) = RM3.50/kg

Selamat berbelanja!

Program biasiswa MyBrainSc utk pelajar sains tulen cemerlang

Monday, October 17, 2011 0 Komen

Kementerian Pengajian Tinggi akan memperkenalkan program biasiswa MyBrainSc bermula 2012 untuk pelajar cemerlang yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang sains tulen.

Sebanyak RM9.5 juta diperuntukkan untuk program itu yang akan menggantikan Program Biasiswa Khas Tenaga Akademik, dengan 200 biasiswa termasuk 50 untuk pengajian di luar negara.

Program biasiswa MyBrainS terbuka kepada pelajar cemerlang lepasan asasi, matrikulasi, program-program persediaan, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, lepasan diploma serta calon ijazah pertama yang cemerlang dalam bidang sains tulen dengan Purata Gred Nilai Kumulatif 3.75 ke atas.

Program biasiswa MyBrainS juga terbuka bagi yang sedang mengikuti ijazah kedoktoran atau telah mengikuti pengajian dalam bidang sains tulen di universiti dalam dan luar negara. Penawaran biasiswa itu amat signifikan kerana biasiswa sedia ada seperti Jabatan Perkhidmatan Awam hanya memfokuskan kepada bidang profesional seperti perubatan, pergigian dan farmasi.

Melalui biasiswa MyBrainSc ini, ia akan dapat meningkatkan bukan sahaja bilangan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi dalam bidang sains tulen seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik, tetapi juga memenuhi hasrat negara untuk meningkatkan bilangan RSE (Penyelidik, Saintis dan Jurutera) dalam negara kepada 100 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja dan melahirkan Nobel Laureate suatu masa nanti.

Profil Elfira Loy | Biodata Elfira Loy

Sunday, October 16, 2011 0 Komen

Biodata Elfira Loy

NAMA PENUH: Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri
TARIKH LAHIR: 8 Mac 1994
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DARAH CAMPURAN: Melayu, Cina dan Arab
KOMERSIAL TV: Institut Jantung Negara (IJN), Honda Icon, Mee Sedap dan Chikades

DRAMA: Demi Dia

Biodata Elfira Loy


Shah Rukh Khan Duta Kebersihan

Sunday, October 16, 2011 0 Komen

Shah Rukh Khan, dinamakan Duta Muhibah Untuk Sanitasi dan Kebersihan dalam satu upacara pembukaan Forum Sanitasi dan Kebersihan Global Majlis Kerjasama Bekalan Air dan Sanitasi (WSSCC) di hab kewangan India itu.

Ketika membuat pengumuman itu baru-baru ini, penganjur forum global pertama sanitasi yang menarik lebih 300 peserta dari seluruh dunia, berkata Shah Rukh Khan bersetuju dengan sukarela menyertai satu kempen bagi memastikan sebahagian besar kawasan di dunia dan penduduk India yang tidak mempunyai capaian memperbaiki sistem tandas mendapat kemudahan itu.


Mengulas peranan barunya, pelakon Bollywood itu berkata, “Agak memalukan dan tragik setiap 30 saat seorang kanak-kanak maut akibat cirit-birit yang boleh dicegah, iaitu dua kematian kanak-kanak tidak sepatutnya setiap minit. Tandas untuk semua akan menjadikan India dan dunia sebuah tempat lebih sihat dan bersih, terutama kepada wanita miskin, gadis dan yang lain dalam lingkungan masyarakat.” – Agensi

MyKad baru dipertingkat ciri keselamatan bermula Januari 2012

Sunday, October 16, 2011 0 Komen

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengeluarkan MyKad baru mulai Januari 2012, yang dipertingkatkan ciri-ciri keselamatannya serta tahap kualitinya.

Pemohon baru akan diberikan MyKad baharu mulai tahun depan manakala pemegang MyKad lama boleh menukarnya dengan yang baharu.

Gambar Mykad Baru

MyKad itu dapat menangani isu pemalsuan serta masalah berkaitan kualiti dan ketahanannya terutama berkenaan kualiti cip yang sering dibangkitkan oleh sesetengah pihak.

MyKad dengan struktur baharu ini lebih berkualiti dan menepati ciri-ciri keselamatan, sesuai dengan peredaran waktu, keadaan dan cabaran pada masa depan.

MyKad baru itu diperbuat daripada bahan 'polycarbonate' yang lebih tahan serta mengaplikasikan teknologi turisan laser pada permukaan kad.

MyKad itu juga menggunakan cip baharu yang telah diuji ketahanannya di Sirim.

Sultan Brunei mahu undang-undang Syariah dilaksana segera

Saturday, October 15, 2011 0 Komen

Sultan Hassanal Bolkiah mahu kerajaan Brunei melaksanakan segera undang-undang Syariah bersama undang-undang sivil yang telah dicadangkan sebelum ini.

Ketika berucap pada mesyuarat Majlis Agama Islam Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkata, pelaksanaan undang-undang itu tidak boleh ditangguhkan lagi selepas proses untuk melaksanakannya telah dimulakan.

''Kita tidak sepatutnya menangguhkannya tetapi menggunakan peluang ini secara positif. Kita sudah ada mahkamah agung, melahirkan banyak pakar dan mencapai kemerdekaan. Apa lagi yang diperlukan,'' katanya yang dipetik oleh portal berita Malaysia Chronicle, kelmarin.

Apabila dilaksanakan, Brunei akan menyertai Malaysia yang turut melaksanakan undang-undang Syariah tetapi tanpa hukum hudud.

Borneo Bulletin juga melaporkan Sultan Hassanal menyatakan Akta Jenayah Syariah jika difahami dengan jelas merupakan yang terbaik kerana ia dicipta oleh Allah dan bukan manusia.

Dalam pada itu, Peguam Negara Brunei, Datin Seri Paduka Hayati Pehin berkata, Perlembagaan Brunei yang tidak menyebut secara langsung satu sistem perundangan berdasarkan al-Quran merupakan satu cabaran besar bagi melaksanakan undang-undang Syariah di negara ini yang mempunyai dua sistem perundangan.

''Perlembagaan Brunei tidak menyebut secara langsung bahawa sistem perundangan negara ini adalah bertunjangkan al-Quran atau sistem perundangan Syariah,'' katanya dalam kertas kerja 'Ke arah Pelaksanaan Undang-undang Syariah daripada Perspektif Perlembagaan Brunei' yang disampaikan pada hari kedua Seminar Undang-undang Islam Antarabangsa, di sini semalam.

Hayati berkata, Perlembagaan beberapa negara seperti Malaysia bagaimanapun menyebut penggunaan sistem perundangan Syariah.

Ketika ini, katanya, semua penguatkuasaan undang-undang terletak di bawah undang-undang sivil dan bukannya undang-undang Syariah.

Ketua Program Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei, Mohd. Rafee Shahif pula menyatakan pelaksanaan undang-undang jenayah Syariah akan membawa rahmat dan melengkapkan undang-undang negara ini.

Bagaimanapun, katanya, rakyat masih menunggu bentuk hukuman yang akan digunakan termasuk pelaksanaan undang-undang takzir (hukuman sebagai. - Agensi

Nurul Nursyawaltie ditemui di Pulau Pinang

Friday, October 14, 2011 0 Komen

Tidak sampai 48 jam kehilangannya dihebahkan media, seorang pelajar perempuan, Nurul Nursyawaltie Mohd. Sabri, 14, akhirnya ditemui bersama seorang rakan perempuannya di Teluk Kumbar, Pulau Pinang malam tadi.

Nurul Nursyawaltie Mohd. Sabri

Ibu pelajar tersebut, Norhafiza Nordin, 37, berkata, ketika ditemui pukul 9 malam tadi, anak dan rakannya yang dikenali sebagai Amira itu sedang merayau-rayau berhampiran Masjid Sungai Batu di kawasan berkenaan.

Katanya, dia dan suami, Mohd. Sabri Samat, 35, adiknya dan seorang rakan dibantu anggota polis dari Pulau Pinang berusaha mencari anaknya itu setelah mendapat maklumat daripada seorang rakan lelaki Nurul di negeri berkenaan. – Utusan

Sultan Kedah Yang di-Pertuan Agong ke-14

Friday, October 14, 2011 0 Komen

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Kedah Yang di-Pertuan Agong ke-14

Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytihar Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.

Ini kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama pada 21 September 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 September 1975.

Sultan Abdul Halim, 83, yang kini Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13.

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah

Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan dihadiri oleh semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja kecuali Sultan Pahang. Pemilihan dilakukan mengikut peruntukan jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Abdul Halim, diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.

Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an.

Sementara itu, Sultan Muhammad V, 42, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969. — BERNAMA

Dzulkifli dilantik Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhairy

Tuesday, October 11, 2011 0 Komen

Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhairy (AIU) di Alor Setar, Kedah.

Menurut kenyataan AIU hari ini, pelantikan Dzulkifli berkuat kuasa semalam dan beliau menggantikan Datuk Dr. Sharom Ahmat.

Dzulkifli, 60, yang tamat perkhidmatan sebagai Naib Canselor USM pada 27 September lepas setelah menerajui universiti itu selama 11 tahun.

AIU adalah sebuah universiti swasta milik Yayasan Albukhary yang beroperasi sejak tahun lepas dan ditaja oleh ahli perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.

Kampus AIU terletak di dalam Pusat Ilmu Sharifah Rokiah di Jalan Tun Abdul Razak di Alor Setar. - Bernama

Tarikh akhir pembubaran Parlimen 24 April 2013 -SPR

Sunday, October 09, 2011 0 Komen

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan tarikh akhir pembubaran Parlimen adalah pada 24 April 2013 sekiranya tiada pilihan raya umum diadakan sebelum itu.

Timbalan Setiausaha SPR, Datuk Noordin Che Ngah berkata, Parlimen akan dibubarkan secara automatik pada tarikh tersebut kerana mandat rakyat kepada kerajaan masa kini untuk memerintah telah berakhir.


"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum pada bila-bila masa sahaja. Bagaimanapun sekiranya sehingga 24 April 2013 Parlimen masih tidak dibubarkan, maka secara automatiknya parlimen terbubar pada tarikh itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri Kelantan di Terminal Agribisnes Negara (Teman) di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Majlis penerangan tersebut dihadiri lebih 6,000 orang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan, kakitangan awam dan rakyat Kelantan.

Noordin berkata, selepas tarikh tersebut, SPR akan segera memainkan peranan untuk menetapkan tarikh pilihan raya umum yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengulas mengenai penggunaan dakwat kekal, beliau berkata, SPR masih mengkaji kebaikan dan keburukan penggunaan bahan itu termasuk menunggu keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

"SPR masih mengkaji cadangan itu, kalau Majlis Fatwa kata ia telus air dan tiada unsur haram yang memudaratkan seperti memedihkan mata atau menyebabkan batuk, maka dakwat itu boleh digunakan.

"Bagaimanapun, sekiranya kajian mengatakan ia haram sehingga tidak telus air untuk berwuduk, maka kita akan mengambil keputusan untuk tidak melaksanakannya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPR tidak mempunyai kuasa untuk memindahkan pengundi dari satu kawasan Parlimen ke Parlimen lain seperti yang didakwa pihak pembangkang.

Tegasnya, SPR tidak mempunyai kuasa dalam undang-undang negara untuk melakukannya melainkan atas permohonan pengundi itu sendiri.

iPhone 4S terima tempahan besar

Sunday, October 09, 2011 0 Komen

Syarikat telekomunikasi Amerika Syarikat (AS), AT&T semalam berkata, permintaan terhadap produk terbaru Apple, iPhone 4S amat mengejutkan apabila ia menerima tempahan awal sebanyak 200,000 unit dalam tempoh 12 jam.

iPhone 4S yang dilancarkan sehari sebelum kematian pengasas Apple, Steve Jobs akan mula dijual di AS dan enam negara lain pada 14 Oktober ini namun tempahan awal boleh dilakukan semalam.

Dua lagi syarikat telekomunikasi AS, Verizon Wireless dan Sprint turut menerima tempahan awal untuk produk terbaru Apple itu tetapi tidak mengumumkan tempahan yang diterima mereka.

Pelancaran produk itu mengecewakan beberapa penganalisis dan peminat kerana mempunyai persamaan dengan produk iPhone sebelum itu.

Ia bagaimanapun dilihat mempunyai tarikan dengan pengenalan pemproses laju seperti yang digunakan pada produk komputer tablet Apple, iPad selain teknologi sistem pengenalan suara dikenali sebagai Siri.

Peningkatan jualan produk terbaru iPhone itu juga dijangka dibantu oleh perasaan simpati terhadap kematian Jobs.

Di AS, harga iPhone 4S bermula pada AS$199 (RM597) untuk model 16 gigabait dan termahal ialah AS$399 (RM1,197) untuk model 64 gigabait. - AFP

Kerajaan Melayu Melaka Bermula Pada 1262

Sunday, October 09, 2011 0 Komen

Seorang ahli akademik melahirkan rasa yakin bahawa Kerajaan Melayu Melaka bermula pada tahun 1262.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia,Prof Madya Abdul Rahman Ismail berkata hasil kajiannya sejak 1990-an terhadap naskah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Raja Bongsu, menunjukkan bukti yang benar mengenai permulaan kerajaan Melaka.

"Terdapat banyak versi naskah Sulalatus Salatin, tetapi Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu merupakan sumber pribumi yang paling hampir dan paling sahih dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau sebelum itu menyampaikan ceramah bertajuk "Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka" anjuran Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah.

Raja Bongsu dikatakan sebagai salah seorang kerabat diraja Johor ketika itu yang ditugaskan menyalin naskah berkenaan.

Selama ini diketahui umum bahawa Kerajaan Melayu Melaka diasaskan sekitar 1400.

Terdapat juga hasil kajian yang mendapati kerajaan tesebut diwujudkan pada 1278.

Menurut Abdul Rahman, Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu itu mencatat tempoh pemerintahan setiap Raja Singapura dan Melaka dengan jelas dan lengkap yang dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Melayu Melaka sudah bermula sejak tahun 1262.

Beliau juga berkata sebelum zaman Kerajaan Melayu Melaka, tiada rekod sahih yang menunjukkan terdapat kerajaan lain sebelum kerajaan itu.

"Dalam sejarah, proses kaji semula sentiasa berlaku dan ia untuk mendapat kepastian yang sebenarnya tentang sesuatu perkara. Pelajar sekolah perlu tahu mengenai penemuan tarikh baru ini sebagai menambah ilmu sejarah," katanya. - BERNAMA

Bajet 2012: Faedah Guru Diumum November

Saturday, October 08, 2011 0 Komen

Kira-kira 480,000 kumpulan pendidik dalam sektor perguruan di negara ini bakal menerima faedah menerusi peruntukan Bajet 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan mengumumkan secara terpeinci faedah yang bakal dinikmati kumpulan berkenaan menerusi bajet yang diperuntukan kepada Kementerian Pejaranpada awal November depan.

"Banyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri bagi memperkasakan perkhidmatan awam termasuk sektor pendidikan dan perguruan.

"Secara terpeinci akan saya umumkan pada awal November depan mengenai apakah kandungan yang bakal dinikmati oleh guru-guru yang jumlah mereka adalah satu per tiga daripada keseluruhan penjawat awam,"katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Jumaat.

Selain itu Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menerusi Bajet 2012 kerana banyak memberi tumpuan kepada sektor pendidikan.

"Banyak sekali faedah yang bakal dinikmati seperti bantuan untuk menaik taraf infrastruktur sekolah serta bantuan persekolahan," katanya.

Bajet 2012: Mampu modenkan pasukan keselamatan negara

Saturday, October 08, 2011 0 Komen

Pengurusan, pembangunan dan kelengkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lebih sistematik dan moden dijangka dapat diterjemahkan lagi pada tahun hadapan melalui peruntukan Bajet 2012.

Peruntukan sebanyak RM642 juta, iaitu RM442 juta untuk perbelanjaan perbangunan PDRM dan RM200 juta untuk pembentukan pasukan polis yang lebih moden selain dilengkapi aset dan teknologi canggih sangat dialu-alukan badan keselamatan negara itu.

Dalam belanjawan tersebut juga, kerajaan turut memberi sumbangan sebanyak RM3,000 secara one-off kepada bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang berkhidmat ketika darurat serta duda dan balu mereka seramai 62,000 orang.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, peruntukan tersebut akan digunakan bagi penambahbaikan perkhidmatan PDRM kepada masyarakat dalam tujuan pencegahan dan memerangi jenayah.

"Syukur dengan peruntukan khas ini. Kita akan gunakan sebaik mungkin bagi memodenkan pasukan PDRM," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, peruntukan yang memberi fokus kepada kebajikan warga polis itu tentunya akan menyumbang kepada peningkatan motivasi dan prestasi warga PDRM.

"Ini merupakan pengumuman besar yang sungguh bermakna kepada seluruh warga PDRM, sama ada yang sedang berkhidmat atau yang telah bersara.

"Peruntukan khas RM200 juta untuk menaik taraf kemudahan dan kelengkapan untuk penugasan yang lebih efisien, efektif dan selaras dengan peredaran masa, terutamanya dalam bidang penyiasatan dan forensik," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata manakala peruntukan RM442 juta akan digunakan untuk projek-projek pembangunan serta menaik taraf perumahan polis, ibu-ibu pejabat polis daerah dan balai-balai polis serta pusat-pusat latihan polis.

"Sumbangan 'one-off' sebanyak RM3,000 pula adalah sangat bertepatan kerana jasa dan pengorbanan semua mereka menentukan kesejahteraan negara telah diberi penghormatan sewajarnya," katanya.

Seorang bekas 'Iban Tracker' di Sarawak Ranger, Datuk Temenggung Kanang Anak Langkau, 67, berkata insentif ini menunjukkan keprihatinan tinggi kerajaan terhadap tugas bekas anggota polis semasa zaman darurat.

Beliau berkata, ini juga dilihat sebagai membalas jasa mereka yang pernah berjuang dan mempertaruhkan nyawa semasa zaman darurat selain membantu mereka yang kini sudah uzur.

"Ini juga boleh mengurangkan beban balu-balu tentera serta ahli keluarga mereka atau mereka (anggota polis) yang telah uzur dan mengalami kecederaan kekal kerana berlawan dengan komunis," katanya. - Bernama

Caltech universiti terbaik dunia

Friday, October 07, 2011 0 Komen

Caltech universiti terbaik dunia

Universiti-universiti di Amerika Syarikat (AS) dan Britain sekali lagi mendominasi ranking universiti-universiti terbaik di dunia dengan kedudukan pertama menampilkan muka baru yang berjaya menyingkirkan Universiti Havard sebagai universiti terbaik dunia pada tahun ini.


Institut Teknologi California (Caltech) menjadi institusi paling terkemuka dalam senarai yang dikeluarkan oleh Times Higher Education (THE) ini buat pertama kalinya dalam tempoh lapan tahun sebagai universiti terbaik dunia pada tahun ini.

Sebanyak 75 universiti AS turut disenarai pada kedudukan 200 institusi pendidikan terbaik di dunia, sekali gus menjadi negara yang mendahului carta itu.

Institusi Britain menduduki tangga kedua selepas 32 universiti negara ini tersenarai pada kedudukan 200 teratas, tetapi cara universiti di negara ini dibiayai menimbulkan kebimbangan berhubung kejayaan berterusan mereka.

Negara Asia turut meningkatkan ranking mereka dengan Universiti Tokyo berada di tangga ke-30 mendahului institusi pendidikan lain dari benua itu.

Caltech dinobatkan sebagai universiti terbaik dunia ekoran kejayaan mereka mengekalkan keputusan memberangsangkan dalam semua kategori dan peningkatan dalam pembiayaan penyelidikan.

Institut Caltech adalah khusus untuk pengajian sains serta kejuruteraan dan kampus utamanya terletak di utara Los Angeles.

Havard yang berusia 365 tahun dan buat pertama kalinya gagal menduduki kedudukan pertama sejak senarai ini dikeluarkan oleh THE berada di tangga kedua bersama Universiti Stanford California.

Kedudukan universiti utama Britain turut berubah dengan Oxford berjaya menduduki tangga keempat menewaskan Cambridge yang berada pada kedudukan keenam.

Pemilihan ini dibuat berdasarkan 13 kategori termasuk bidang penyelidikan, pengajaran, pemindahan pengetahuan dan aktiviti antarabangsa. - AFP

Akash, komputer termurah di dunia

Thursday, October 06, 2011 0 Komen

India hari ini melancarkan komputer kos rendahnya yang sudah lama dinanti-nantikan, peranti tablet berharga AS$45 (RM135) yang bertujuan membawa revolusi teknologi maklumat kepada puluhan juta pelajar di negara ini.

Komputer itu dilengkapi skrin sentuh 18 sentimeter, akses Internet Wi-Fi, pemain media dan kuasa bateri selama 180 minit, menurut spesifikasi rasmi.


Tablet buatan tempatan itu diberi nama Akash atau Langit (gambar) dan dilancarkan di sini oleh Menteri Pembangunan Sumber Manusia, Kapil Sibal selepas bertahun-tahun tergendala.

"Harganya 2,200 rupee (RM135) dan bekalan pertama sebanyak 500 tablet akan diserahkan kepada pelajar selepas pelancaran," kata jurucakap kementerian, Mamata Varma. - AFP

Taktik Samun Bocorkan Tayar : Berhati-hati ketika keluar wang ATM

Thursday, October 06, 2011 0 Komen

Hanya menggunakan paku khas bagi membocorkan tayar kenderaan mangsa yang baru mengeluarkan wang di bank, sekumpulan lima penjenayah warga Amerika Latin dikatakan mampu meraih hasil samun melebihi RM600,000.

Taktik baru kumpulan penyamun itu mula dikesan sekitar ibu negara sejak Ogos lalu yang didalangi beberapa warga Peru dan Guatemala berusia antara 40 hingga 50-an yang memasuki negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial.

Selain di Malaysia, kumpulan itu juga dipercayai aktif di negara lain seperti Singapura, Hong Kong, Vietnam, Jepun dan Korea.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, sejak beberapa bulan lalu terima laporan mangsa yang baru keluar dari bank dan membawa wang tunai mendakwa tayar kereta mereka pancit dan ketika membaiki kerosakan itu, disamun yang disyaki dilakukan warga asing. “Dua wanita ahli kumpulan berkenaan dipercayai memainkan peranan sebagai pemerhati dalam kawasan bank bagi mengenal pasti mangsa sebelum menyalurkan maklumat kepada rakan yang menunggu di luar.

“Selepas mangsa dikenal pasti, anggota kumpulan di luar akan meletak paku khas pada tayar kenderaan mangsa dan sebaik mangsa pergi ke arah kenderaannya, suspek terus menghampiri dan berpura-pura menawarkan bantuan,” katanya, semalam.

Menurutnya, setakat ini, polis mengenal pasti lima kes samun menggunakan taktik sama sekitar ibu negara dan menahan lima suspek hasil pemantauan pasukan khas ditubuhkan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jumaat lalu dan kelmarin.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan dua suspek yang berlegar-legar sekitar kawasan bank di Batu 3, Jalan Ipoh dan menemui beberapa peralatan termasuk paku khas dipercayai digunakan bagi membocorkan tayar kenderaan mangsa.

Cermin mata Adolf Hitler dilelong

Thursday, October 06, 2011 0 Komen

Cermin mata milik ketua Nazi, Adolf Hitler adalah antara barangan milik pemimpin diktator itu yang bakal dilelong dalam satu upacara lelongan besar-besaran hujung bulan ini.

Walaupun Hitler jarang dilihat memakainya kerana menganggap ia sebagai satu kelemahan dan boleh menjatuhkan martabatnya, cermin mata dengan bekas kulit hitam dan tertera nama pakar optik Berlin, Ruhnke itu dijangka akan dilelong pada harga permulaan 5,000 pound (RM24,660).


Antara barangan lain Hitler yang turut akan dilelong termasuklah bekas rokok perak yang akan ditawarkan dengan harga permulaan 9,500 pound (RM46,847).

Hitler bukanlah seorang perokok tetapi rokok disediakan untuk orang kenamaan yang datang ke Reich Chancellery di Berlin.

Koleksi paling menarik yang bakal dilelong pula adalah jam emas yang dihadiahkan kepada Hitler pada tahun 1929 dan ditemui pada mayatnya.

Lelongan ini dikendalikan oleh Hermann Historica Munich, antara firma lelongan paling berpengaruh di Jerman. - AGENSI

iPhone 4S dikritik kerana dianggap sama dgn iPhone 4

Thursday, October 06, 2011 0 Komen

Pelancaran produk terbaru iPhone, iPhone 4S oleh Apple Inc. yang hanya merupakan model iPhone 4 yang dinaik taraf semalam menerima kritikan dan kekecewaan peminat di Internet.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook yang baru menerajui syarikat terkemuka itu gagal menarik perhatian terhadap produk besar terbaru di bawah penyeliaannya, seperti mana yang pernah dilakukan bekas peneraju syarikat itu, Steve Job ke atas produk-produk terbaru mereka.

Apple kini berada di persimpangan kritikal apabila telefon Android keluaran Samsung Electronics dan pesaing lain semakin mendekati persaingan dalam produk teknologi telekomunikasi.

Pelabur dan peminat yang pada mulanya teruja dengan laporan pengumuman produk terbaru iPhone itu menyebabkan saham Apple menurun lima peratus, namun pulih sebanyak 0.6 peratus sebelum pasaran ditutup.

Cook yang menggantikan Jobs pada Ogos lalu memperkenalkan iPhone baru yang mempunyai pengenalan suara dan kamera yang lebih baik, namun ia kelihatan sama seperti telefon sebelum ini.

Walaupun gajet itu tidak seperti yang diharapkan, penganalisis menyukai teknologi suara berkenaan yang membantu pengguna menggunakan suara untuk segala perkara termasuk pencarian harga saham sehingga menghantar mesej.

Teknologi suara iPhone itu dikatakan lebih mudah digunakan daripada telefon Android atau Blackberry keluaran Research in Motion.


''Sudah 16 bulan dan apa yang baru hanyalah pemproses A5 dalam iPhone 4 yang sedia ada. Ia sedikit mengecewakan, namun ia tetap akan dijual dalam jumlah jutaan unit,'' ujar penganalisis, Colin Gillis dari BGC Partners.

Para penganlisis berkata, apa yang lebih penting ialah untuk mengekalkan populariti iPhone 4 ekoran ia dijual lebih 20 juta unit pada tahun ini sehingga 25 Jun lalu.

''Ia agak melucukan jika mereka memanggilnya iPhone 5, namun saham mereka tidak akan menghadapi masalah tetapi mereka memanggilnya 4S yang mengecewakan beberapa pihak,'' kata pengurus portfolio syarikat WP Stewart, Michael Walker. - Reuters

Steve Jobs (Pengasas Apple) meninggal dunia

Thursday, October 06, 2011 0 Komen

Syarikat gergasi komputer, Apple semalam mengumumkan kematian pengasas bersama syarikat itu, Steve Jobs akibat kanser. Beliau berusia 56 tahun.

“Kami bersama amat dukacita untuk mengumumkan bahawa Steve Jobs meninggal dunia hari ini (5 Oktober),” kata lembaga pengarah syarikat berkenaan dalam satu kenyataan semalam.

Steve Jobs

Kematian Jobs berlaku selepas Apple melancarkan telefon terbaru iPhone 4S di ibu pejabat syarikat tersebut di Cupertino, California.

Ketika peringkat akhir beliau bergelut dengan penyakit kanser, Jobs melepaskan jawatannya sebagai ketua pegawai eksekutif tetapi kekal sebagai pengerusi lembaga pengarah Apple. – AFP

Wanita ambil hormon perancang hamil berisiko kena virus HIV

Wednesday, October 05, 2011 0 Komen

Wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan mempunyai risiko dua kali ganda untuk dijangkiti virus HIV atau menjangkiti pasangan masing-masing, dedah satu kajian.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet Infectious Diseases, hari ini dijalankan terhadap 3,790 pasangan heteroseksual di Afrika di mana setiap seorang daripada pasangan tersebut dijangkiti HIV.

Kajian tersebut dilihat boleh memberi sumbangan terbesar ke atas dasar-dasar penggunaan hormon perancang kehamilan dan pencegahan HIV sekiranya ia disahkan.

Selain itu, kajian tersebut bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bagaimana melakukan hubungan seks yang selamat seperti menggunakan kondom.

Dalam kajian tersebut, wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan akan menjangkiti pasangannya dengan virus HIV dengan purata tujuh bagi setiap 100 orang dalam setahun berbanding seramai empat orang bagi yang tidak mengambilnya.

Kadar jangkitan daripada wanita yang mengambil hormon perancang kepada lelaki pula mencatatkan purata seramai tiga bagi setiap 100 orang setahun, manakala hanya melibatkan dua orang jika tidak mengambilnya.

Kebanyakan wanita mengambil hormon perancang kehamilan menerusi suntikan dan hanya sebilangan kecil mengambilnya menerusi pil.

Selain itu, kumpulan pengkaji mendapati wanita yang mengambil hormon perancang kehamilan menerusi suntikan lebih berisiko untuk meningkatkan virus HIV di dalam rahim berbanding pengambilan pil.

Kajian tersebut dijalankan antara 2004 dan 2010 di Botswana, Kenya, Rwanda, Afrika Selatan, Tanzania, Uganda dan Zambia. - AFP

Akta Buang Negeri 1959 dimansuh

Tuesday, October 04, 2011 0 Komen

Akta Buang Negeri 1959 (Akta 79) dimansuhkan kerana ia sudah lapuk dan tidak boleh digunakan lagi, demikian menurut Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 yang diedarkan di Parlimen hari ini.

Menurut rang undang-undang itu lagi, pemansuhan akta itu bagaimanapun tidak menjejaskan apa-apa waran, perintah, arahan atau surat cara lain, atau penahanan yang telah dikeluarkan atau dibuat di bawah Akta itu sebelum tarikh permulaan kuat kuasa pemansuhan dibuat.

Rang undang-undang itu juga tidak melibatkan sebarang perbelanjaan wang tambahan oleh kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengemukakan usul untuk memansuhkan dua akta iaitu Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat. - Bernama

Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2011 : Perlindungan komprehensif untuk wanita, kanak-kanak

Tuesday, October 04, 2011 0 Komen

Rang Undang-Undang Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2011 yang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua hari ini akan memberi perlindungan lebih komprehensif kepada mangsa keganasan rumah tangga khususnya wanita dan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pindaan tersebut bertujuan melindungi mangsa, tidak terhad kepada penderaan fizikal sahaja bahkan merangkumi aspek penderaan emosi, mental dan psikologi.

"Pindaan ini akan membenarkan pihak mahkamah untuk mengeluarkan perintah bagi menghalang pihak ketiga daripada melakukan keganasan terhadap mangsa.

"Selain itu, pindaan kepada akta ini juga memudahkan urusan mendapatkan Perintah Perlindungan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Wanita UMNO di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, perintah perlindungan dapat difailkan di mana-mana mahkamah tanpa mengira bidang kuasa dan wilayah mahkamah selain permohonan juga boleh difailkan dengan mana-mana pegawai mahkamah dan tidak tertakluk kepada Pendaftar Mahkamah sahaja. — Bernama

Petanda Gempa Bumi

Saturday, October 01, 2011 0 Komen

Petanda gempa bumi satu misteri

Benarkan petanda gempa bumi itu boleh dikesan awal sebelum berlakunya bencana itu? Inilah yang ditegaskan beberapa saintis dunia, termasuk Dr Neil Whitehead yang mengkaji gempa bumi di Darfield, New Zealand pada 4 September 2010 yang turut menyenaraikan tindakan spontan haiwan sebelum gempa di New Zealand serta kejadian sama di Kobe, Jepun dan di Turki.

Berikut hasil kajiannya:

1. Deria unik haiwan
Sehari sebelum gempa di New Zealand, seorang penduduk melaporkan kelakuan aneh 40 bebiri yang membentuk bulatan mengelilingi pokok, seolah-olah berlindung daripada ribut. Kawanan bebiri ni pula membisu seolah-olah takut dengan apa yang bakal berlaku

Laporan lain mengenai kuda yang tiba-tiba mengamuk dan enggan diikat.
Beberapa pemilik kucing dan anjing berkata, mereka dikejutkan haiwan peliharaan masing-masing yang bising beberapa minit sebelum kejadian. Malah di Kobe, Jepun, sebelum berlakunya gempa bumi, anjing peliharaan itu bising dan seolah-olah memaksa tuan mereka supaya keluar rumah. Malah ada laporan menyatakan kucing menggigit dan mencakar tuan mereka supaya keluar rumah.

Pemantauan di Christchurch, New Zealand, melaporkan pemilik burung mengadu binatang itu secara berterusan bising dan seolah-olah mengamuk dalam sangkar. Seorang penduduk pula berasa pelik melihatkan itik peliharaannya bertenggek di bumbung rumah dua tingkatnya, sehari sebelum gempa bumi.

Di Canterbury, mamalia peliharaan - arnab dilaporkan memijakkan kaki dan melompat seolah-olah memberi amaran sesuatu buruk bakal berlaku, kira-kira 90 minit sebelum kejadian.

Laporan lain memetik petugas National Zoo di Washington, Amerika Syarikat, menyenaraikan pelbagai kelakuan aneh haiwan di situ seperti Orang Utan, gorila dan burung flamingo pada 19 Ogos lalu iaitu sehari sebelum kejadian gempa bumi di kawasan itu. Orang Utan dan gorila secara tiba-tiba mengamuk dan membuat bising dalam kandang mereka manakala burung flamingo berkumpul dan dalam keadaan gelisah, juga dilaporkan beberapa minit sebelum gempa bumi berlaku.

Laporan pada 2009 mendakwa, katak melarikan diri ke kawasan tinggi beberapa hari sebelum berlakunya gempa bumi di LAquila, Itali.

Pada 1975, laporan paling popular menyenaraikan ular dan katak keluar daripada tempat persembunyian masing-masing, beberapa minggu sebelum gempa bumi bermagnitud 7.3 di Haicheng, China. Malah, kelakuan aneh haiwan itu yang menggerakkan pegawai tempatan mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan itu dan mengelak lebih banyak kematian.

Pakar gempa Amerika Syarikat, Susan Hough, mengaitkan perubahan kelakuan haiwan itu disebabkan gempa menghasilkan dua gelombang iaitu jenis lemah dan kuat. Gelombang lemah bergerak secara mendatar manakala gelombang kuat atau lebih bertenaga, yang bergerak dari hala atas ke bawah atau dari udara ke darat dan gelombang inilah dirasai haiwan.

2. Perubahan di darat/air
Beberapa hari sebelum gempa bumi di New Zealand, September tahun lalu, penduduk yang berkelah di sekitar sungai Hagley Park, melaporkan fenomena getaran di situ.
Pasangan suami isteri yang berada di hilir Sungai Waimakariri melaporkan aliran sungai itu menongkah ke belakang. Ia mengulangi fenomena sama yang pernah berlaku di Sungai Seta, Jepun dan gempa bumi 1812 di Madrid, Sepanyol yang mana petandanya turut berlaku di Amerika Syarikat apabila aliran Sungai Mississippi di Amerika, mengalir ke arah berlawanan untuk beberapa ketika.

3. Langit/awan
Wujudnya pembentukan aneh awan yang dilabelkan sebagai cuaca gempa bumi seperti dicatatkan pada petang, kira-kira seminggu sebelum gempa bumi New Zealand. Beliau mendakwa melihat dua kepulan awan dengan warna menyamai pelangi.

4. Elektronik
Petanda paling kerap dilaporkan adalah gangguan siaran televisyen yang berlaku pada malam sebelum gempa bumi New Zealand berkenaan. Laporan gambar menjadi kaku dan cubaan bertukar ke siaran lain juga gagal.
Seorang penduduk pula mendakwa jam tangan dan jam radionya berhenti secara tiba-tiba, tepat jam 3.17 pagi.

Petugas kedai buku melaporkan kejadian aneh berlakunya elektrik statik iaitu apabila rambut pengunjung berdiri serta helaian muka surat terpisah daripada buku

Wanita lahir 3 bayi tarikh yang sama

Saturday, October 01, 2011 0 Komen

Seorang bayi menarik perhatian ramai apabila lahir pada tarikh sama seperti dua abangnya.

Kyle Kellett berkongsi hari lahir - 20 September - dengan Keiran, 6, dan Kaiden, 3.

Menurut statistik, kemungkinan untuk berlaku kelahiran sama seperti itu ialah satu dalam 133,590.


Ibu Kyle, Sammy Kellett, 24, berkata dia seperti tidak percaya kebetulan seperti itu boleh berlaku.

“Ia sangat luar biasa. Saya memiliki tiga anak yang lahir pada 20 September,” katanya.

Berdasarkan perkiraan doktor, Keiran dan Kyle dijangka lahir pada 24 September tetapi Sammy melahirkan mereka empat hari lebih awal.

Menurut Sammy, bagi Kaiden pula, dia sepatutnya lahir pada 13 September tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia melahirkan Kaiden seminggu lebih lewat daripada jangkaan.

Selain berkongsi persamaan tarikh lahir, ketiga-tiga anak Sammy dan pasangannya, Merv Jeans, 35, dilahirkan di hospital sama, iaitu Hospital Royal Preston.

Bagaimanapun, hanya dua daripada tiga anak Sammy - Kaiden dan Kyle - dilahirkan dalam bilik yang sama di hospital berkenaan.

Sammy - dari Preston - dibawa masuk ke bilik bersalin pada 2.45 pagi Selasa lalu dan Kyle dilahirkan pada jam 5 pagi.

Keiran pula dilahirkan jam 2.26 petang pada 20 September 20 2005, manakala Kaiden 8.37 pagi pada 2008. Jeans pula menyambut hari lahir pada 22 September. - TS

Indonesia hantar amah hanya ke empat negara

Saturday, October 01, 2011 0 Komen

Indonesia hanya akan meluluskan penghantaran tenaga kerja wanitanya sebagai amah ke empat negara iaitu Arab Saudi, Malaysia, Hong Kong dan Taiwan.

Ketua Pengarah Penempatan Buruh, Reyna Usman berkata, kerajaan telah menjalankan penilaian secara intensif berhubung destinasi penghantaran amah.

"Berdasarkan keputusan penilaian, Indonesia menyenaraikan empat negara sahaja yang layak menjadi destinasi penghantaran amah negara ini.

"Rancangan untuk mengehadkan jumlah destinasi penghantaran dibuat selepas kementerian mengkaji aspek kebajikan dan keselamatan pekerja," kata Reyna yang dipetik agensi berita ANTARA, semalam.

Indonesia tidak akan meluluskan penghantaran ke negara-negara yang tidak menepati kriteria ditetapkan.

Berbanding negara lain, Hong Kong dan Taiwan mempunyai polisi serta undang-undang yang boleh melindungi pekerja asing.

"Jumlah kes penderaan dan layanan tidak adil terhadap pekerja asing di kedua-dua negara tersebut telah menurun.

"Malaysia merupakan negara yang paling banyak mendapatkan khidmat amah warga Indonesia kerana mempunyai hubungan budaya dan bahasa yang serupa," kata Reyna.

Sementara itu, Indonesia turut merancang untuk meningkatkan kualiti tenaga pekerja wanitanya yang mahu bekerja sebagai amah. - BERNAMA

 

ZONFINITI