Kerajaan Melayu Melaka Bermula Pada 1262

Sunday, October 09, 2011

Seorang ahli akademik melahirkan rasa yakin bahawa Kerajaan Melayu Melaka bermula pada tahun 1262.

Pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia,Prof Madya Abdul Rahman Ismail berkata hasil kajiannya sejak 1990-an terhadap naskah Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) versi Raja Bongsu, menunjukkan bukti yang benar mengenai permulaan kerajaan Melaka.

"Terdapat banyak versi naskah Sulalatus Salatin, tetapi Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu merupakan sumber pribumi yang paling hampir dan paling sahih dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau sebelum itu menyampaikan ceramah bertajuk "Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka" anjuran Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah.

Raja Bongsu dikatakan sebagai salah seorang kerabat diraja Johor ketika itu yang ditugaskan menyalin naskah berkenaan.

Selama ini diketahui umum bahawa Kerajaan Melayu Melaka diasaskan sekitar 1400.

Terdapat juga hasil kajian yang mendapati kerajaan tesebut diwujudkan pada 1278.

Menurut Abdul Rahman, Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu itu mencatat tempoh pemerintahan setiap Raja Singapura dan Melaka dengan jelas dan lengkap yang dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Melayu Melaka sudah bermula sejak tahun 1262.

Beliau juga berkata sebelum zaman Kerajaan Melayu Melaka, tiada rekod sahih yang menunjukkan terdapat kerajaan lain sebelum kerajaan itu.

"Dalam sejarah, proses kaji semula sentiasa berlaku dan ia untuk mendapat kepastian yang sebenarnya tentang sesuatu perkara. Pelajar sekolah perlu tahu mengenai penemuan tarikh baru ini sebagai menambah ilmu sejarah," katanya. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI