Sinopsis & Trailer Filem Raya Tak Jadi

Wednesday, August 31, 2011 1 Komen

Sinopsis & Trailer Filem Raya Tak Jadi
Raya Tak Jadi mengisahkan Shuib dan Bob yang terjumpa sekujur tubuh di dalam bonet teksi dipandu Shuib. Lebih mengejutkan mereka, tubuh terkujur itu sebenarnya juru umum rasmi Hari Raya atau Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Bimbang dengan nasib raya yang mungkin tak jadi kerana ketiadaan juru umum itu, mereka mula bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian supaya raya tetap diumumkan seperti kebiasaan.

Trailer Video Raya Tak Jadi



Poster Raya Tak Jadi

FILEM: Raya Tak Jadi
ARAHAN: Saiful Apek
PELAKON: Saiful Apek, Datuk Jalaludin Hassan dan Johan Raja Lawak
GENRE: Komedi
TAYANGAN: 15 September 2011

Pengerusi Yayasan Karyawan Dr Hassan Ahmad meninggal

Wednesday, August 31, 2011 0 Komen

Pengerusi Yayasan Karyawan dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad meninggal dunia pada pukul 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya.

Anak keduanya, Hasmirawati, 33, berkata, bapanya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital berhampiran selepas mengadu sakit perut sejak awal pagi tadi.

Dr Hassan, 74, meninggalkan seorang balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, dan dua anak perempuan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, dekat sini, pagi esok sebelum Zohor. – Bernama

Pendatang punyai hak dalam tribunal pengguna

Wednesday, August 31, 2011 0 Komen

Pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin yang membayar caj pendaftaran proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) mempunyai hak untuk mendapat nasihat dan menuntut semula lebihan bayaran yang terpaksa dibayar mereka, kata bekas pengerusi Tribunal Pengguna, Pretam Singh Darshan Singh.

Kerajaan menetapkan bayaran maksimum RM35 untuk pendaftaran pendatang asing tanpa izin menerusi 348 syarikat-syarikat pengurus manakala kadar caj perkhidmatan proses pemutihan maksimum adalah RM300.

"Namun, ribuan pendatang asing tanpa izin telah membayar lebih daripada caj yang ditetapkan. Mereka yang dikenakan bayaran lebih daripada apa yang sepatutnya boleh memfailkan kes di bawah Tribunal Pengguna,” katanya di sini hari ini.

Pretam berkata, undang-undang berkaitan caj pendaftaran itu tertakluk kepada salah laku, representasi palsu serta amalan tidak adil dan mereka yang melakukan kesalahan mengenai caj berlebihan kos perkhidmatan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Pekerja asing yang ditipu dan terpaksa membayar kos tambahan berkenaan boleh memfailkan kes mereka,” katanya.

Pretam berkata, tribunal pengguna menyediakan satu alternatif bagi pendatang asing tanpa izin untuk menuntut kerugian yang dialami dengan lebih mudah dan cepat pada kos yang minimum. – Bernama

Profil Natasha Liana Hudson

Monday, August 29, 2011 0 Komen

PROFIL NATASHA HUDSON:


Nama sebenar: Natasha Liana Hudson
Tarikh Lahir: 9 September 1982
Asal: Ipoh, Perak
Adik-Beradik: Sulung dari dua beradik.
Kerjaya: Pelakon, Model, Penyanyi dan Penulis

Filem: Chermin, Tipu Kanan Tipu Kiri, Sumolah dan Halilintar

Drama: Pei Pan, Rahsia Cemara, Duyung Aridinata, Emily, Cinta, Pengantin Untuk Dijual dan Sultan Alauddin

Iklan: H20, Hotlink (bersama Farid Kamil dan Siti Nurhaliza), Sea White (Follow Me)

Teater: Teater Muzikal Ibu Zain dan Gamat
Program TV: Fesyen TV, Girls Club dan Kediaman Idaman.
Buku: MY heart,MY soul, My passion dan Puisi Indah Si Pari Pari.
Pencapaian: Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-20 (Chermin).

Profil Zizan Raja Lawak,Gambar Zizan

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Biodata Zizan Raja Lawak

Nama sebenar: Mohd Razizan Abd Razak
Tarikh Lahir: 15 April 1984
Tempat Lahir: Dungun, Terengganu
Kerjaya: Pelawak, Pelakon, Pengacara dan Penyanyi

Drama: Chaparela, Oh Yeah, Redah Kasi Pecah, Hang Pa La Hang Tu, Geng Raya Zizan 2009 & 2010, Nak Balik Raya, Gaia, Drogba & Rooney dan Cintaku 120KM/J.

Program TV: Jozan Show, Zizan Show, Bolos, Raja Lawak, Maharaja Lawak dan Melodi.

Filem: Duhai Si Pari-pari, Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Kapoww!!, KL Gangster, Hantu Bonceng, Baik Giler, Bohsia 2: Jalan Kembali dan Jangan Pandang-Pandang.

Single: Selamat Tinggal.

Pencapaian: Naib Juara Raja Lawak Astro musim pertama, Favourite TV Personality Award di Shout! Awards, Zizan, Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH 2010.


Kartika Sari Dewi ramai mahu meminang

Monday, August 29, 2011 0 Komen


Memegang status janda popular menyebabkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 34, menjadi perhatian ramai lelaki, sama ada orang kebanyakan mahupun berstatus VIP.

Lebih-lebih lagi kisahnya menjadi perhatian tiga tahun dulu berikutan kesanggupannya menjalani hukuman sebat atas kesalahan minum arak dan sejak itu setiap perkembangannya menjadi hiasan di dada akhbar hinggalah kisah perceraiannya dengan seorang warga Singapura.

Namun, buat masa ini, tidak terlintas di hati wanita kelahiran Kampung Jawang, di sini, itu untuk mengakhiri zaman jandanya, apatah lagi dia baru kehilangan anak sulung, Mohamad Azfar Muhammad Affandi, 9, akibat lemas pada 8 Mei lalu.

Kartika tidak menafikan tertarik dengan surat ‘lamaran’ diterima, namun individu yang melamarnya merahsiakan beberapa maklumat, terutama status terkini.
“Surat yang saya terima rata-rata menyertakan maklumat positif, namun saya terpaksa menolak kerana mereka masih berstatus suami orang.

“Saya tidak percaya 100 peratus maklumat diberi, sebaliknya melakukan siasatan bagi memastikan ia benar,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.
Menurutnya, dia tidak sanggup menghancurkan hati wanita lain semata-mata mahu mengakhiri status janda kerana percaya faktor takdir yang pasti berbalik kepadanya jika melakukan sesuatu yang buruk.

Katanya, bukan bermakna dia menutup pintu hatinya kepada lelaki lain selepas bercerai dengan bekas suami, Muhammad Afandi Amir, 39, tahun lalu, tetapi Kartika enggan memikirkannya dalam masa terdekat.
“Saya baru mengambil alih perniagaan inap desa Perak River Safari daripada ayah dan tumpuan kini hanya kepada kerja untuk mempromosikannya yang diuruskan bersama dua abang saya.
“Wanita mana tidak mahu hidup bersama lelaki bergelar suami, tetapi ia (berkahwin) bukan keutamaan saya dalam tempoh lima tahun ini.

“Namun, jika ditakdirkan bertemu jodoh dalam tempoh itu, siapalah saya untuk menolaknya,” katanya.

Kartika berkata dia tidak meletakkan syarat bagi mereka yang ingin menyuntingnya sebagai suri hati tetapi paling penting, lelaki berkenaan menerima anaknya, Wann Kaitlynn Saridewi Muhammad Affandi, 7.

Katanya, anak adalah keutamaannya kini, lebih-lebih lagi sejak melalui kejadian sedih yang meragut nyawa anak sulungnya ketika insan lain yang bergelar ibu gembira menyambut Hari Ibu.

Bagaikan menjadi penawar duka, Kartika menerima seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang diberi seorang wanita seminggu selepas pemergian Azfar untuk dijadikan anak angkat.

Kanak-kanak perempuan itu yang dikenali sebagai Qaisara tidak dianggap pengganti Azfar, sebaliknya sebagai kawan kepada Wann Kaitlynn.

“Qaisara tidak akan sama dengan Azfar kerana anak sulung saya mempunyai tempat istimewa dalam hati saya dan dia (Azfar) tetap saya kenang dan sayang sehingga ke hujung nyawa.

“Bagaimanapun, saya tetap mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada Qaisara kerana dia adalah amanah yang perlu saya pelihara dengan sewajarnya,” katanya.

Seperti Azfar, Qaisara tergolong dalam kategori kanak-kanak istimewa kerana mengalami masalah lembam tetapi Kartika reda menerima kekurangan anak angkatnya itu.

Hadis: Ganjaran Puasa Ramadan,Riwayat Bukhari & Muslim

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Ganjaran Puasa Ramadan
Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: "Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. "Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk."
Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Puasa merupakan perkara ˜dharuriah' dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadan berlangsung.

iii) Bulan Ramadan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.

iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

v) Ramadan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadan ini kerana bulan Ramadan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Lokasi lebuhraya memasang speedtrap (perangkap had laju) Hari Raya 2011

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Senarai lokasi lebuhraya yang memasang speedtrap (perangkap had laju) sempena hari raya 2011.

PLUS Arah Utara (Dari KL):


1- Km 197.1, Km 198.8 & Km 204.3 selepas exit Kemunting
2- Km 208 & Km 214.8 sebelum exit Kemunting
3- Km 271 berdekataan exit Ipoh Selatan
4- Km 274.4 berdekatan exit Ipoh Utara
5- Km 286.9 berdekatan exit Simpang Pulai
6- Km 296 berdekatan exit Gopeng
7- Km 352.6 selepas exit Sungkai
8- Km 373 berdekatan exit Slim River
9- Km 241.9 berdekatan exit Kuala Kangsar
10- Km 308.6 selepas exit Gopeng
11- Km 252 masa turun bukit selepas terowong Menora
12- Km tak pasti tapi betul2 di R&R Gurun
13- 2 km after tol Juru (90km/j)
14- 5 kamera di atas jambatan pulau pinang (so slow je la kat situ)

PLUS Arah Selatan:

1- Km 289 sebelum exit Nilai Selatan
2- Ada 3 kamera antara Km 255 – Km 249 (Persimpangan Seremban – Senawang)
3- Km 253 selepas exit Senawang
4- Km 213.9 selepas exit Alor Gajah
5- Betul2 di exit Jasin
6- Km tak pasti tapi selepas hentian sebelah Tangkak
7- Km juga tak pasti tapi jambatan pertama selepas exit Yong Peng utara
8- Km 97.3 selepas exit Air Hitam
9- Betul2 di exit Sedenak

PLUS Tengah:

1- Km 456 selepas exit Sungai Buluh
2- Betul2 di exit Bukit Lanjan
3- Betul2 dibawah Restoran Jejantas Sg Buloh
4- Km 302.8 berdekatan exit Kajang
5- Km 296.5 & Km 297 berdekatan exit Bangi

NKVE

1- 300 meter sebelum tol Jalan Duta (60 km/j)
2- Selepas cabang jalan ke tol Jalan Duta (80km/j)
3- Betul2 di exit Damansara
4- Km 11.2 berdekatan rel keretapi
5- Betul2 di exit Shah Alam

KESAS

1- Km 44.8 berdekatan exit LDP
2- Berhadapan Endah Parade
3- Betul2 di exit Hicom

ELITE (Dari arah KLIA)

1- Km 4.8 selepas exit Batu 3
2- Km 2 – Km 4 atas jambatan berdekatan Makro
3- Betul2 kat bawah restoran jejantas USJ
4- Km 10 sebelum exit USJ

JALAN PERSEKUTUAN

1- Bersebelahan Hotel Mint
2- Berdekatan Esso kat exit Salak Selatan
3- Berhadapan dengan Istana Negara
4- Berhadapan dengan Muzium Negara
5- Kawasan turun bukit selepas pekan Raub (Menghala Kuala Lipis)
6- 2 km sebelum pekan Maran (Arah Kuantan)
7- Area Paya Bungor (Arah Kuantan)
8- Selepas exit ke Bentong (Menghala ke LPT)
9- Jalan Gambang – Kuantan (Turun bukit selepas Matrikulasi Pahang)
10- Berhadapan dengan Mini Malaysia Melaka (70km/j)
11- Berhadapan dengan Zoo Melaka (70 km/j)
12- Bawah jambatan dari Banting ke KLIA (80 km/j)
13- Berhadapan dengan Kolej Inti, Nilai
14- Persimpangan Sg Manggis menghala ke Klang (60 km/j)
15- Berhadapan Tesco Klang (70 km/j)
16- Jambatan berdekatan rumah MB Selangor kat Pasir Panjang (70km/j)
17- 2 km selepas sempadan Perak-Selangor di Jalan Sabak Bernam (berdekatan kilang kelapa sawit)
18- Laluan bertingkat antara USM ke Bayan Lepas
19- Jelutong expressway berdekatan Tesco Pulau Pinang
20- MRR2 antara simpang Taman Melati & Wangsa Maju
21- MRR2 berhadapan Mikro Cheras


Jadual Rumah Terbuka Orang Kenamaan Hari Raya Aidilfitri

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Jadual Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri

Di sini adalah jadual rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri orang kenamaan di negara ini:

Hari Raya Pertama

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, (10 pagi-1 petang)

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, di Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, Wilayah Persekutuan. (1 petang – 6 petang)

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Dataran Bagunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. (11 pagi – 3 petang)

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di perkarangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Negeri Sembilan. (10 pagi- 1 petang)

Yang Dipertua Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Istana Bukit Beruang, Melaka. (10 pagi – 3 petang)

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, di Pusat Konvensyen Borneo, Sejingkat, Kuching, (BCCK) Sarawak. (11 pagi – 5 petang)

Hari Raya Kedua

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, Pusat Konvensyen Borneo (BCCK), Sejingkat, Kuching. (10 pagi – 3 petang)

3 September

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan di No.1, Kampung Tanjung, Rantau. (10 pagi- 6 petang)

6 September

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang juga Anggota Parlimen Jelebu Datuk Seri Dr Rais Yatim di Terminal Air Hitam, Jempol. (8 -11 malam)

10 September

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor di Padang Serbaguna Tampin, Negeri Sembilan. (2- 6 petang)

Filem Azazil tak tiru The Village

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Pengarah prolifik Kabir Bhatia kembali dengan Azazil. Tidak seperti sebelum ini, Azazil cuba memberikan kelainan apabila ia menampilkan tema seram.

Menampilkan pelakon hebat Remy Ishak, Umie Aida, Diana Daniel dan Shaanaz Ahmad. Ia dijangka menjadi antara filem yang ditunggu ramai memandangkan kejayaan drama bersiri Ku Seru yang pernah dihasilkan Kabir sebelum ini.

Sebelum ini sewaktu Ku Seru mendapat sambutan hangat penonton TV3 suatu ketika dulu, Kabir pernah memberikan kenyataan akan menghasilkan filem konsep serupa.

Sewaktu ditemui di lokasi di Ulu Yam, Selangor baru-baru ini, Kabir bagaimanapun menafikan bahawa Azazil adalah kesinambungan daripada drama bersiri Ku Seru sebaliknya ia adalah karya asli yang mana idea datang daripada isterinya juga penulis skrip, Mira Mustafa.


Azazil mengisahkan kehidupan satu keluarga yang melarikan diri ke dalam hutan di zaman penjajahan Jepun. Mereka berusaha membina kembali hidup cara sendiri, namun keamanan diperoleh tidak kekal lama apabila diganggu makhluk yang tidak diketahui.


“Ia bukanlah cerita hantu seperti apa yang dipaparkan dalam Ku Seru. Ia sama sekali berbeza. Lagipun latar tahun peristiwa ini berlaku sangat berbeza,” ujarnya.

Mendengarkan penjelasan Kabir, pasti membuatkan ada yang mengaitkan ia dengan filem M Night Shyamalan, The Village yang membawa tema sama di mana sekumpulan masyarakat cuba membina hidup daripada dunia luar, bagaimanapun keamanan hidup dijalani diganggu kehadiran makhluk misteri yang sering dimomokkan sebelum ini.

Ditanya mengenai perkara itu, Kabir sekali lagi menafikan dengan menegaskan bahawa Azazil yang membawa maksud dongeng adalah karya asli.

“Tidak mungkin wujud persamaan antara Azazil dan The Village kerana keluarga yang lari ke dalam hutan tahu apa yang berlaku di dunia luar sedangkan The Village menggambarkan masyarakatnya tidak tahu akan kemajuan yang berlaku di luar,” katanya.

Menyentuh barisan pelakon dipilih katanya boleh dikatakan semua pernah bekerja dengannya jadi dia tahu akan kredibiliti mereka dalam melakonkan watak diberikan.

“Memang kebanyakan pelakon yang terbabit dalam filem ini seperti Remy, Umie dan Diana pernah bekerja dengan saya. Ini lebih mudah kerana mereka faham cara kerja saya dan tahu apa yang saya mahukan,” katanya.

Sementara itu mengenai Shanaaz pula walaupun kali pertama bekerja dengannya dalam Azazil, Kabir tidak menghadapi masalah untuk membentuk lakonan pelakon yang sedang meningkat naik itu.

Bagi Remy, dia berbesar hati apabila sekali lagi ditawarkan Kabir untuk memegang peranan utama sebagai Kamal dalam filem Azazil dan senang dapat bekerja dengan pengarah berpengalaman itu.

“Saya tidak menghadapi banyak masalah kerana faham dengan kehendak Kabir, begitu juga dengan pelakon lain. Kami dapat bekerja sama dengan baik kerana setiap kali sebelum masuk lokasi kami akan berbincang. Keserasian antara saya dengan Diana yang memegang watak Aishah juga senang kerana kami pernah bekerjasama sebelum ini,” katanya.

Shanaaz pula menjelaskan sebelum diterima untuk berlakon dalam Azazil, dia terlebih dulu menjalani uji bakat yang sudah dijalani pada bulan Mei lalu.

“Saya memang teringin sangat bekerja dengan Kabir, malah saya rasa ramai pelakon turut berasakan perkara sama dan ternyata rezeki berpihak kepada saya.

“Pertama kali bekerja dengannya banyak perkara baru yang saya pelajari, terutama membabitkan pengarahan. Selaku pengarah dia menjaga semua perkara daripada lakonan, gerak sehinggalah persekitaran membabitkan setiap babak,” katanya.

Filem yang menelan belanja mencecah RM1.4 juta bakal ditayangkan pertengahan tahun hadapan dan turut menampilkan pelakon popular lain seperti Emelda Rosmila, Fizo Omar, Sara Ali dan Aznah Hamid.

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Man United calar maruah Arsenal 8-2

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Wayne Rooney mencipta hatrik pertama di awal musim Liga Perdana Inggeris bagi memastikan kemenangan besar Manchester United ke atas Arsenal 8-2 di Old Trafford, sebentar tadi.

Rooney meledak pada minit ke-40 dan 62, kedua-duanya menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti sebelum melengkapkan hatrik pada minit ke-81.
United memperoleh gol awal menerusi Danny Welbeck pada minit ke-21 sebelum Asley Young meledak pada minit ke- Theo Welcott menyamakan kedudukan pada minit ke-27. Theo Walcott kemudian menyumbat masuk pada minit ke-48.

Masuk separuh masa kedua Nani meledak pada minit ke-65 disusuli Park Ji Sung pada minit ke-69 sebelum Robin Van Persie memperoleh gol kedua Arsenal pada minit ke-73.

Young sekali lagi merembat jaringan pada minit ke-90 untuk melengkapkan kemenangan bersejarah United 8-2.

Ruqyah penawar gangguan

Monday, August 29, 2011 0 Komen

GELAGAT orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan menyambut kedatangan penulis ke Pusat Rawatan Darul Ruqyah, Sunway Batu Caves petang Jumaat itu.

Walaupun hujan lebat di luar, semua itu tidak mengganggu penantian mereka, malah bilangan yang baru datang tetap bertambah. Semuanya dengan hajat yang sama - mencuba perubatan yang semakin menjadi sebutan ramai itu.

Pelbagai gaya dan ragam, ada yang membawa anak kecil dan ada juga yang kelihatan seperti sihat-sihat sahaja.

"Bulan puasa kurang sikit pengunjung. Kalau tidak, boleh mencecah 200 orang untuk tempoh dari pukul 3 hingga 10 malam. Mungkin syaitan dah banyak kena ikat, jadi gangguan pun kurang," seloroh Mohd. Suhaimi Rohani@Rozali memulakan perbualan.

Kebiasaannya, kata beliau, pesakit yang mendapatkan rawatan di situ mengalami gangguan makhluk halus seperti saka, sihir, santau, histeria dan juga gangguan psikologi seperti gila. Tidak terkecuali mereka yang mengalami sakit fizikal seperti diabetis, darah tinggi, jantung tersumbat, kanser, sawan dan pelbagai lagi.

Beliau yang mesra disapa Ustaz Suhaimi berkata, biasanya pesakit menjadikan Darul Ruqyah sebagai destinasi terakhir berikhtiar sekiranya gagal sembuh dengan rawatan moden atau alternatif lain. Menurutnya, keadaan itu lebih memudahkan rawatan kerana pesakit biasanya sedar dengan penyakit yang dialami.

Kaedah ruqyah jelasnya menggunakan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan ia memerlukan pesakit menjalani proses imbasan yang dilakukan pengamal perubatan bagi menentukan sama ada mereka mengalami gangguan atau tidak.

"Biasanya kalau seseorang itu mempunyai gangguan yang teruk seperti saka, dia akan mengalami histeria dan menjerit-jerit sejurus dilakukan imbasan," kata Ustaz Suhaimi yang berasal dari Pendang, Kedah.

Sebenarnya dalam perubatan Islam katanya, sebarang penyakit berpunca daripada gangguan makhluk halus dalam darah kita. Penyakit ini katanya tidak akan hilang dan ia hanya boleh diredakan melalui amalan dan ibadat. Namun begitu, ia tetap diwarisi kepada anak cucu pesakit kelak.

"Kalau kita fahami penyakit keturunan seperti talasemia, begitu juga dengan masalah gangguan dari segi perubatan Islam. Cuma untuk memberi penerangan yang lebih jelas agak sukar," katanya.

Kata Ustaz Suhaimi lagi, untuk mengenal pasti seseorang itu mengalami gangguan sebenarnya tidak sukar. Kebiasaannya individu tersebut cepat marah, lesu, letih manakala bagi wanita pula tanda-tanda seperti masalah haid yang tidak teratur.

Mantera

Penawar ruqyah kata Ustaz Suhaimi menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran bagi merawat semua jenis penyakit. Ruqyah bermaksud mantera atau jampi dan ia diajar oleh Jibril kepada Nabi Muhammad SAW ketika baginda mengalami gangguan makhluk halus.

Selain bacaan ruqyah, rawatan itu menggabungkan terapi menggunakan air penawar (sumber air zamzam), limau purut dan garam bukit. Pesakit kata beliau, akan menjalani rawatan bersama pengamal dan kemudian dia akan dibekalkan dengan cakera padat bacaan ruqyah untuk dipasang di rumah. Pesakit juga dibekalkan terapi sampingan seperti minyak dan bahan mandian.

Menurutnya, terapi yang diberi bukan sebarangan kerana ia mengandungi bacaan ruqyah dan zikir yang telah diswastakan kepada pihak lain seperti pelajar tahfiz dan sekolah pondok.

"Pesakit terlalu ramai. Mustahil saya mampu membaca ruqyah dan berzikir untuk semua. Jadi dalam zaman serba moden ini, zikir pun secara online," katanya.

Beliau juga akan melakukan solat hajat berdasarkan masalah yang dialami pesakit pada borang yang ditulis ketika mendaftarkan diri.

Ustaz Suhaimi berkata, boleh dikatakan 80 peratus pesakit yang datang ke Darul Ruqyah sembuh dengan izin Allah kecuali penyakit serius yang berada di tahap akhir seperti kanser.

Bagi pasangan suami isteri yang mengalami masalah pula, dinasihatkan kedua-dua menjalani rawatan kerana ia saling berkait rapat. Begitu juga dengan penyakit yang dialami oleh kanak-kanak.

"Saya pernah merawat seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang mengalami sawan. Bukan kanak-kanak tadi yang menjalani rawatan sebaliknya hanya ibunya dan kemudian Alhamdulillah, penyakit itu hilang," kata beliau.

Kesempatan

Kepercayaan ramai terhadap keberkesanan rawatan Islam menyebabkan banyak pihak yang mengambil kesempatan sejak akhir-akhir ini, kata Ustaz Suhaimi.

Menurutnya, ada yang meletakkan harga tinggi untuk rawatan dan ada juga yang tidak menetapkan sebarang bayaran.

Berbeza dengan dirinya yang meletakkan harga pendaftaran sebanyak RM10 dan pengesanan juga dalam jumlah yang sama, beliau menjelaskan ia perlu kerana mahu melayan semua pesakit secara saksama serta tidak mahu terdetik sebarang perasaan dalam hati.

"Katakan ada yang bayar saya sampai beribu ringgit untuk merawat penyakitnya, tentu dalam hati saya nak merawat bersungguh-sungguh, berbeza pula layanan saya dengan orang yang memberi RM2 sahaja misalnya kerana bila ia menyentuh soal kepuasan hati, ia menjadi suatu perkara yang sukar untuk kita tentukan," katanya.

Selain daripada bayaran tadi, pesakit hanya perlu membayar mengikut jenis terapi yang diperlukan dan biasanya ia tidak melebihi RM100.

Menurutnya, pesakit walaupun datang daripada mereka yang berpendidikan namun apabila berada di tempat sebegitu mereka mudah terpedaya kerana percaya dengan janji untuk sembuh.

Justeru tidak hairanlah ramai yang tertipu dan tidak kurang juga percaya kepada perubatan berbentuk khurafat.

Menurutnya tidak sukar untuk mengetahui sama ada sesuatu perubatan itu khurafat iaitu melalui mantera (tidak menggunakan bacaan Al-Quran atau jika dalam bahasa lain berbunyi janggal), kemenyan, besi, benda berwarna (contoh kain kuning), batu dan juga memerlukan hari tertentu.


Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN

Wanita kaya jadi pilihan

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Kisah yang dipaparkan minggu lalu memang menyusuk jiwa saya, kalau Nuremeliya mengisahkan pengalaman pahit sepupunya andartu berkahwin dengan duda, saya pulak ibu tunggal juga berkahwin duda.

Tetapi kerana saya bukan janda berharta saya dibuang sesuka hati kerana tidak memenuhi cita rasanya.

''Saya sungguh tak menduga lelaki sekarang kalau berkahwin hendak cari wanita berharta, bukan bertujuan membantu ibu tunggal seperti saya, tetapi mengharapkan apa yang dia boleh dapat untuk kesenangan hidupnya.'' Demikian cerita Maizarulfida dalam emelnya dan ketika kami berbual Selasa lalu.

''Masalah saya mungkin tidak berat pada pandangan pembaca, tetapi amat menekan jiwa dan perasaan terutama bila berhadapan dengan kaum keluarga serta teman-teman sekeliling. Malu yang teramat hingga terasa lebih baik mati daripada hidup.

''Dulu saya ibu tunggal dengan empat anak, seorang kakitangan kerajaan, saya bercerai setelah berkahwin selama lebih 20 tahun. Perceraian kerana saya tidak tertahan dengan penderaan mental dan fizikal yang saya hadapi sejak berkahwin. Puas saya bersabar, tetapi akhirnya saya terpaksa menarik diri. Dalam tempoh berkahwin cuma selama 2 tahun sahaja saya bahagia, selepas dapat anak hidup saya berubah sentiasa dalam ketakutan.

''Akhirnya enam tahun lalu kami bercerai. Kini anak sulung saya sudah bekerja, ada yang masih menuntut di universiti sementara yang bongsu belajar di peringkat menengah.

''Pada awalnya memang saya tak mahu berkahwin lagi, malah saya rasa bahagia hidup bersama anak-anak terlepas dari penyeksaan suami. Namun kerana jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah jua, maka saya berkahwin dengan duda kematian isteri berusia 55 tahun dengan lima anak dan lima cucu yang diperkenalkan oleh seorang kawan.

''Baru tiga bulan berkenalan melalui telefon dengan Hazrei, kerana kami berjauhan dia di KL dan saya dari utara, dia terus melamar saya untuk berkahwin. Walaupun saya bersetuju, tetapi saya minta pernikahan akhir tahun ini, tetapi dia mendesak sebelum Ramadan.

''Atas persetujuan anak-anak dan ibu bapa saya, kami pun bernikah Jun lalu. Sebelum berkahwin dia tak kisah sekiranya saya tidak bertukar tempat kerja asalkan setiap hujung minggu atau cuti kami akan bergilir-gilir ke KL atau ke utara.

''Lepas kahwin saya bercuti ke KL hajat nak tinggal sementara di rumahnya, tetapi tak jadi, sebab rumahnya penuh dengan anak cucu, sedangkan dia yang masih bekerja secara kontrak terpaksa menyewa bilik lain dekat tempat kerjanya. Namun saya tak keberatan tinggal bersamanya di bilik tersebut kerana saya menerima dia seadanya.

''Daripada situ baru saya tahu dia tidak ada rumah masih menyewa apartmen. Dan dia terpaksa menanggung semua anaknya kecuali seorang yang sudah berkahwin tapi tidak tinggal bersamanya.

''Selang tiga minggu saya bertemu dengannya dia menghantar SMS menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan seorang ibu tunggal yang amat disayanginya dan mendakwa mereka telah bertunang sebelum kami berkahwin. Terkejut beruk saya. Kenapa tak beritahu lebih awal, pasti saya tidak berkahwin dengannya.

''Dia juga beritahu amat kesal berkahwin dengan saya yang tidak ada apa-apa. Rupa-rupanya dia kawin dengan saya kerana hendak menumpang bila dia berhenti kerja nanti. Maklumlah dia bekerja swasta tak ada pencen, bimbangkan rawatan perubatannya dan dia tidak ada rumah sendiri kecuali rumah sewa.

''Selepas saya selidik baru saya tahu selepas kematian isterinya, dia pernah berkahwin lagi tapi bercerai kemudiannya, dia seorang yang telah disenarai hitam oleh bank, sebab tu dia tidak boleh beli kereta kecuali jika bayar secara tunai.

''Saya tak kisah sangat semua itu asalkan dia jujur dan ubah perangai. Rupanya dia mengharapkan kekayaan saya, walaupun saya berpencen tapi saya mungkin bukan kaya seperti kekasihnya di KL.

''Bayangkan sebagai isteri setelah dia kembali ke KL dia tidak pernah telefon bertanya khabar sakit demam saya kecuali memberitahu dia akan beraya di rumah tunangnya yang seusia saya dekat 50 tahun.

''Pedihnya hati saya hanya Allah sahaja yang tahu, saya ingin turun ke KL berjumpa dan bertanya apa sebenarnya berlaku, tetapi Hazrie tak izinkan sebaliknya dengan bangganya dia membertahu bahawa dia akan berkahwin selepas hari raya nanti. Dan dalam waktu yang sama dia akan menceraikan saya.

''Kata Hazrie, tunangnya adalah seorang wanita serba ada dan dia rela dan bersedia menjaga dirinya serta makan minumnya hingga ke akhir hayat.

''Saya rasa benar-benar tertekan dengan kata-katanya. Kerana saya rasa benar-benar tertipu, jika dia sudah bertunang mengapa bercinta dan melamar untuk berkahwin dengan saya. Jika dia mencari kekayaan saya sudah jelaskan latar belakang saya sebelum berkahwin.

''Pada awalnya dulu memang saya rasa macam nak bunuh diri, sebab saya malu sangat dengan keluarga dan sahabat handai, maklum tak sampai sebulan kahwin dah nak diceraikan. Tetapi atas nasihat keluarga, kini saya ada kekuatan dan boleh menerima kenyataan, dan saya sedia diceraikan.

''Apalah nak dikisahkan lelaki yang ingin menumpang kekayaan isteri. Mungkin kehadirannya nanti lebih menyusahkan hidup saya siapa tahu. Allah memberi saya kekuatan terima keadaan ini dengan redha. Demikian cerita Maizartulfida. Sempena hari raya yang bakal tiba saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin.

~ Utusan

Raja Puan Muda Perlis Pro Canselor Unimap

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dilantik semula sebagai Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap).

Menurut kenyataan Unimap hari ini, pelantikan itu akan berkuat kuasa selama lima tahun mulai 13 Disember 2011 sehingga 12 Disember 2016.

Pelantikan baru itu berkuat kuasa mulai Disember kerana pada masa ini, baginda masih memegang jawatan Pro Canselor universiti itu dan akan tamat tempoh perkhidmatan pada 12 Disember ini.

Pelantikan semula itu dilaksanakan atas cadangan Senat Universiti dan diperakukan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Unimap. – Bernama

Kes samun: Isteri disimbah asid, suami dicampak tepi jalan

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Seorang wanita melecur kira-kira 20 peratus pada bahagian muka, leher, mata dan dada akibat disimbah asid oleh dua lelaki dalam kejadian samun di Guar Chempedak dekat Yan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila kereta Proton Waja yang dinaiki Rosnani Husin, 53, bersama suaminya dipercayai ditahan oleh dua lelaki yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut dekat sini.

Katanya, dua lelaki terbabit berpura-pura mahu menumpang kereta mangsa disebabkan kereta mereka kehabisan minyak dan suami mangsa bersetuju menumpangkan kedua-dua suspek menuju ke Jalan Baru melalui Jalan Permatang Buluh, Kota Sarang Semut.

"Ketika dalam perjalanan suspek, dikatakan mengacu pisau kepada kedua-dua mangsa dan mengikat kaki dan tangan suami mangsa sebelum mencampakkannya di tepi jalan di Jalan Baru, Bukit Besar.

"Kira-kira 50 kilometer dari tempat suami mangsa dicampak, suspek memberhentikan kereta (berdekatan Guar Chempedak) lalu menyimbah asid ke muka mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suami mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan kaki dan tangan berikat, manakala mangsa dan kereta yang ditinggalkan ditemui polis Guar Chempedak. – Bernama

Banjir di Baling, persiapan raya terjejas

Monday, August 29, 2011 0 Komen

Persiapan Aidilfitri lebih 2,000 penduduk di daerah ini terjejas teruk berikutan banjir yang melanda lebih 20 kampung di daerah ini malam ini.

Hujan lebat lebih empat jam sejak tengah hari ini menyebabkan ribuan penduduk panik dengan sebahagian daripada mereka gagal menyelamatkan harta benda.

Kira-kira tujuh keluarga di Kampung Banggol Chicar Kupang terpaksa berbuka puasa dalam banjir pada paras 0.5 meter.

Imam surau kampung berkenaan, Hashim Alias, 48, berkata, air mula naik kira-kira pukul 7.30 malam menyebabkan dia hanya sempat minum air sebelum berusaha menyelamatkan keluarga dan harta benda.

Dua anaknya, Nazirah 21, yang sarat mengandung dan Mashitah, 24, yang masih dalam pantang terpaksa meredah banjir untuk menyelamatkan diri.

Pekan Kupang turut dinaiki air menyebabkan berpuluh peniaga terpaksa menyelamatkan barang perniagaan masing-masing.

Antara kampung yang turut terjejas teruk ialah Kampung Belakang Sekolah, Kampung Belakang Panggung, Kampung Raja, Kampung Tanah Periuk Pekan Khamis, Kampung Landak, Kampung Padang Cina dan Kuala Pegang.

Turut dinaiki air adalah Kampung Sadik, Jerai, Bukit Terabak, Banggol Lahar dan Gua Reban dengan beratus buluh lemang untuk persiapan hari raya milik penduduk turut dihanyutkan air. - Utusan

Puduraya jadi Pudu Sentral

Sunday, August 28, 2011 0 Komen

Terminal Bas Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkannya pada Sabtu.

Perdana Menteri berkata penukaran nama terminal bas itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya, selepas beliau tweet setelah bersahur awal pagi tadi bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya.

"Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di sini, Sabtu.

"Selepas berbincang dengan pihak pengurusan tadi, kita telah bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral," katanya.

Terminal Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lepas, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan ubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambilkira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad.

Ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV).

CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang.

Najib turut meluangkan masa melawat sekitar terminal baru tersebut dan berinteraksi dengan para pengguna serta memberikan sumbangan kuih raya kepada penumpang bas eskpres yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Ini merupakan lawatan kali ketiganya ke terminal bas tersebut sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, di mana tiga minggu selepas itu, Najib turun padang melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, termasuk Hentian Puduraya.

Berikutan dengan lawatan itu beliau mengarahkan supaya Hentian Puduraya dinaik taraf dengan segera, memandangkan keadaan bangunannya yang daif serta tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna.

Kerja-kerja menaik taraf itu dijalankan oleh UDA Holdings Berhad dalam dua fasa dengan kos RM52 juta.

Najib berkata beliau amat berpuas hati dengan kerja-kerja menaik taraf yang dilakukan yang telah mencapai taraf kualiti yang tinggi. "Kebetulan saya berjumpa dengan dua orang pelancong dari Jerman dan saya telah bertanyakan reaksi mereka. Mereka cakap ia seperti sebuah lapangan terbang, begitu juga dengan reaksi daripada pengguna lain. "Saya sangat bangga dengan pembangunan ini. Ini apa yang ada di fikiran saya untuk rakyat. Saya suka bahawa rakyat menikmati kemudahan seperti itu," tambah beliau.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menggesa pengguna Pudu Sentral untuk turut membantu menjaga kebersihan terminal itu bagi keselesaan bersama.

Sementara itu tinjauan Bernama di terminal bas turut mendapati para pengguna sangat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan yang sangat mesra pengguna.Seorang warga emas, K.P Lim, 66, berkata persekitaran di Pudu Sentral sekarang sangat berbeza berbanding dahulu memandangkan ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa dan tidak bising.

"Dahulu (Puduraya) sangat panas, sangat bising. Macam Pak Cik, orang tua sangat tidak selesa keadaan seperti itu. Pak Cik sangat berpuas hati dengan penambahbaikan kemudahan di sini. Memang sangat berbeza kalau dibandingkan dengan yang dulu," katanya. Bagi Maimunah Ahmad Pardi, 55, kini persekitarannya yang bersih dan nyaman membolehkan orang ramai menunggu bas dalam keadaan yang selesa walaupun terpaksa menunggu lama.

Sementara itu Nurul Huda Helmy, 22, yang membantu ibunya berniaga di terminal bas itu berkata wajah baru Puduraya sedikit sebanyak membantu meningkatkan perniagaan ibunya yang telah beroperasi di terminal itu sejak 26 tahun lepas.

"Kalau dulu hendak dapat RM200 sehari pun susah. Sekarang dalam satu hari saya boleh mendapat RM500. Dengan persekitaran yang baru ini, terminal ini lebih dikunjungi dan mereka akan datang membeli di kedai, dan kamipun seronok berniaga," katanya.

Turut sama pada majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar dan Pengerusi UDA Holdings Berhad Datuk Nur Jazlan Mohamed. -BERNAMA

Sultan Selangor tak pernah beri perkenan tubuh majlis penasihat syura

Wednesday, August 24, 2011 0 Komen

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak pernah menitahkan atau memperkenankan cadangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menubuhkan majlis penasihat syura untuk menyelesaikan isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 3 Ogos lalu.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda menyatakan rasa amat terkejut dengan kenyataan Menteri Besar seperti yang dilaporkan oleh media hari ini bahawa baginda telah memperkenankan penubuhan majlis penasihat tersebut sedangkan perkara itu adalah tidak benar.

''Apa yang berlaku ialah Menteri Besar Selangor telah menyembah maklum kepada Sultan Selangor mengenai hasrat beliau untuk memanggil dan berjumpa dengan pihak pengurusan DUMC bagi mendapatkan penjelasan berhubung dengan isu pemeriksaan oleh JAIS di gereja tersebut pada hari Rabu, 3 Ogos lalu. Beliau bercadang untuk membawa bersama Sahibus Samahah Mufti Selangor (Datuk Seri Tamyes Abdul Wahid)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid dalam kenyataannya menyebut, Sultan Selangor telah menitahkan kerajaan negeri supaya menubuhkan majlis penasihat syura dalam usaha menyelesaikan pertikaian berhubung isu pemeriksaan terhadap JAIS terhadap DUMC di Petaling Jaya pada awal bulan ini.

Berdasarkan kenyataan itu, Abdul Khalid menyatakan majlis penasihat syura itu akan dianggotai Mufti Selangor dan Timbalannya, Datuk Abd. Majid Omar yang berperanan mengkaji isu-isu yang membimbangkan masyarakat Islam dan komuniti bukan Islam di Selangor selain mewujudkan garis panduan demi memastikan sikap hormati menghormati dan harmoni pelbagai kaum dan agama terus terpelihara.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor tidak menghalang hasrat Menteri Besar memanggil pihak gereja bersama dengan Mufti Selangor, tetapi baginda menasihatkan supaya timbalan mufti dijemput sekali untuk memberi nasihat bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum-hakam syariah dan tidak menyentuh sama sekali isu pemeriksaan gereja oleh JAIS.

''Oleh yang demikian, isu tentang Sultan Selangor menitahkan atau menasihatkan kerajaan Negeri Selangor menubuhkan majlis penasihat syura adalah tidak benar.

''Pendirian Sultan Selangor berkaitan dengan majlis penasihat syura atau pun berbentuk dialog berkaitan agama, tidak pernah diperkenankan kerana negeri Selangor telah mempunyai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor," tegasnya.

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

Pelakon lagak ngeri mati ketika beraksi

Wednesday, August 24, 2011 0 Komen

Seorang pelakon lagak ngeri veteran Amerika Syarikat (AS), maut selepas terjatuh semasa melakukan pertunjukan udara, ketika penonton menyangka kemalangan itu sebahagian daripada aksinya.



Todd Green, 48, jatuh daripada ketinggian 61 meter dan kemalangan itu berlaku kerana kesilapan ketika melakukan aksi dalam pertunjukan udara.

Beberapa keping gambar aksi mengerikan itu menunjukkan Green yang merupakan bapa kepada dua orang anak, cuba berpaut pada sebuah helikopter yang berlegar-legar di atas sebuah pesawat ringan, sebagai sebahagian daripada aksi lagak ngeri itu.

Pegawai pertunjukan udara berkata, Green, cuba berpaut pada helikopter jenis Stearman di Pangkalan Udara Pengawal Kebangsaan di Harrison Township, melalui dua percubaan, dan dia terjatuh semasa percubaan kali ketiga.

Sebaik-baik sahaja Green mencapai besi pendaratan helikopter terbabit, dia tergelincir dan terjatuh, sekali gus menyebabkan dia maut.

Kebanyakan 75,000 penonton yang hadir pada pertunjukan udara itu di Selfrigde, dekat Detroit, Michigan, menyangka babak ngeri itu merupakan sebahagian pertunjukan terbabit dengan sebuah patung dibuang ke tanah.

Bagaimanapun, penonton mula menyedari ‘aksi tersebut’ merupakan satu kemalangan apabila melihat krew bantuan kecemasan bergegas ke arah mangsa kemalangan itu yang mengalami kecederaan.

Sebuah ambulans membawa Green ke Pusat Perubatan Wilayah Mount Clemens, namun pelakon itu, meninggal dunia akibat kecederaan teruk.

Sejurus sebelum Green terjatuh, juruhebah memaklumkan kepada penonton bahawa keadaan angin boleh menyebabkan masalah dan mengingatkan mereka mengenai bahaya aksi yang bakal dilakukan oleh Green.

Green, berkecimpung dalam aksi lagak ngeri lebih 25 tahun dan merupakan anak kepada legenda aksi lagak ngeri AS, Eddie ‘The Grip’ Green, yang juga pernah beberapa kali melakukan aksi ngeri berpindah dari pesawat ke helikopter.

Kematian Green merupakan kejadian kali kedua membabitkan tragedi pertunjukan udara di AS selepas juruterbang lagak negeri, Bryan Jensen maut apabila pesawatnya terhempas semasa mengadakan pertunjukan udara di Kansas City. – AGENSI

Malaysia dikecam hantar pulang etnik Uighur

Wednesday, August 24, 2011 0 Komen

2 kumpulan hak asasi manusia China, hari ini menuduh kerajaan Malaysia mengikut telunjuk Beijing dan melanggar piawaian antarabangsa berhubung penghantaran pulang etnik Uighur ke China secara paksa.

Menurut Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan (HRW) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Malaysia menghantar pulang 11 etnik Uighur pada minggu lalu dan menahan lima yang lain awal bulan ini bersama-sama 16 warga China lain dalam serbuan di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Sehubungan itu, kumpulan hak asasi tersebut menggesa Malaysia memberi penjelasan secara terbuka berhubung penghantaran pulang 11 etnik tersebut ke China pada Khamis lalu, termasuk seorang suami kepada warga Malaysia.

"Penghantaran pulang itu telah melanggar piawaian undang-undang antarabangsa malah boleh menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan China," kata Persatuan Uighur AS.

Pengarah Polisi Pelarian HRW, Bill Frelick berkata, penghantaran pulang tersebut dilihat sebagai satu ujian kepada Malaysia dalam membentuk prinsip asas perlindungan golongan pelarian.

"Ia (penghantaran) bersifat diskriminasi, dan sepatutnya, Malaysia, Thailand, Pakistan dan semua negara serantau perlu berganding bahu membantu meredakan ketegangan yang berlaku," katanya.

Selain Malaysia, beberapa negara Asia lain turut menghantar pulang etnik Uighur ke China dalam tempoh dua tahun lalu.

Sementara itu, HRW dan beberapa kumpulan hak asasi manusia yang lain merekodkan terdapat banyak penyalahgunaan tindakan kekerasan kerajaan dalam pergolakan di Xinjiang sejak beberapa dekad lalu termasuk penyeksaan dan penahanan etnik Uighur. - dpa

Gempa bumi 5.8 Skala Richter mengejutkan AS

Wednesday, August 24, 2011 0 Komen

Satu gempa bumi berukuran 5.8 Skala Richter yang luar biasa menggegarkan penduduk di kawasan pergunungan sempadan antara Colorado dan New Mexico, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), semalam.


Gambar Sekitar Gempa Bumi, klik sini

Gegaran berlaku pada pukul 1.46 petang semalam waktu Malaysia dengan pusat gempa terletak 290 kilometer selatan Denver, Colorado dengan kedalaman empat kilometer.

Media tempatan melaporkan kawasan yang terkena gempa bumi yang mempunyai penduduk yang tidak ramai itu merosakkan lebuh raya, beberapa buah bangunan dan berlaku runtuhan di beberapa buah jalan namun tiada kematian yang dilaporkan. - AFP

Program Menarik Sempena Aidilfitri 2011,TV3, TV9

Wednesday, August 24, 2011 0 Komen

Pelbagai program Hari Raya bertemakan “Salam Syawal TV3 & Di Hatiku Ada Raya TV9”.

Lebih menarik, perayaan tahun ini juga turut dimeriahkan dengan program-program istimewa Merdeka sempena sambutan Hari Merdeka ke-54 yang jatuh pada Hari Raya Kedua iaitu 31 Ogos 2011.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, tradisi menyambut bulan Syawal masih diteruskan.

“Menerusi saluran televisyen yang sentiasa menjadi pilihan utama pada musim perayaan, TV3 tidak akan menghampakan jutaan penonton setianya dengan program-program menarik.

“Antaranya program majalah, muzikal dan variasi seperti Sampaikan Merdeka Raya, Melodi Raya, Fuhhh! Merdeka Raya, Mentor Raya, Raya Bapa Merdeka, 3 Gegaran, Sedetik Muzik, Kamilah Juara, Siapa Terhebat?, Di Bawah Rimbunan Madrasah dan Takbir Kembali sempena Hari Raya dan Hari Merdeka ini.

“Tidak ketinggalan juga drama-drama dan filem-filem hebat untuk tontonan semua seperti Cintaku 120KM/J, Sakura, Pusara Di Lebuh Raya, Janjiku Pada Al Walid, Nur Kasih The Movie, Adnan Sempit, Zoo dan banyak lagi,” katanya pada majlis salam Syawal TV3 & Di Hatiku Ada Raya TV9 di Pusat Membeli Belah 1 Utama di sini baru-baru ini.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan personaliti TV3 dan TV9 serta artis-artis popular tanah air seperti Jamal Abdilah, Hujan, Aizat, Sazzy Falak, Nazril Idrus, Razak Ahmad, Zarina Zainoordin, Sharifah Shahira, Syazwan Zulkifli, Nazim Othman, Amanda Misbun, Nasrizal Ngasri, Fimie Don dan Erin Malek.

Selain itu, My TV3 dan Kawan 9 (K9) juga tidak ketinggalan untuk mengagihkan cenderamata yang mengandungi sampul Hari Raya dan biskut raya kepada orang ramai yang mahu pulang ke kampung di plaza-plaza tol pada minggu hadapan.

Lebih istimewa, biskut-biskut raya tersebut akan dihasilkan atas kerjasama 15 orang selebriti dan lebih kurang 300 orang peserta di acara “Uli Uli Biskut Raya Bersama Julie’s” dengan kerjasama TV3 dan TV9 pada 21 Ogos 2011 di kilang biskut Julie’s, Alor Gajah, Melaka.

Beruas, Perak

Wednesday, August 24, 2011 0 Komen

Mengikut buku Sejarah Perak karangan Tun Seri Lanang, Beruas yang terletak kira-kira 48 kilometer dari Lumut, Perak dibuka oleh Raja Acheh, Malik Al Mansur pada kurun ke-15 selepas diusir dari istana kerana dipercayai melakukan perbuatan sumbang.

Selepas penat belayar akhirnya rombongan Malik Al Mansur sampai dan berehat di bawah pokok yang dikenali pokok beruas. Bermula dari sinilah Beruas mendapat namanya. Mengikut catatan sejarah, di sini terletaknya pusat pentadbiran dua kerajaan lama berusia ratusan tahun lalu, iaitu Kerajaan Melayu Beruas dan Gangga Negara. Malahan menurut pengkaji sejarah, kedua-dua kerajaan agung yang bertapak kira-kira 600 tahun lalu itu dipercayai telah wujud lebih awal lagi daripada kerajaan Melayu Melaka.

Muzium Beruas,Perak

Kewujudan kerajaan Melayu Beruas dan Gangga Negara itu boleh dilihat berdasarkan kesan sejarah peninggalannya yang masih wujud di beberapa kawasan sekitar Beruas malah banyak artifak purba ditemui penduduk. Kesan tinggalan itu juga menunjukkan pusat pentadbiran kerajaan Melayu Beruas, terletak di Kampung Kota, kira-kira tiga kilometer dari Pekan Beruas.

Di Kampung Kota, kesan peninggalan bersejarah seperti perkuburan raja dipercayai milik Raja Beruas I dan Raja Beruas II serta ratusan kubur lama masih jelas kelihatan termasuk tapak pintu gerbang kerajaan Melayu Beruas.

Bagi memastikan khazanah yang tidak ternilai itu terus dipulihara, pihak Muzium Negara telah mengambil langkah dengan menubuhkan Muzium Beruas bagi menempatkan pelbagai artifak kerajaan Melayu Beruas dan Gangga Negara yang ditemui di sekitar pekan itu.

Muzium berkenaan yang terletak di tepi jalan besar Beruas-Taiping itu dibuka kepada orang ramai secara percuma setiap hari mulai 9.30 pagi hingga 5 petang termasuk pada setiap Sabtu dan Ahad bagi memberi peluang kepada pengunjung dari negeri berhampiran untuk melihat bahan bersejarah yang dipamerkan di situ.

Pengarah Muzium Negeri Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, bangunan Muzium Beruas itu dulunya sebuah mahkamah kemudian dijadikan pula pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kawasan Beruas. Menurutnya, kerja awal pembaikan dan ubah suai dijalankan awal tahun 1994 dengan dibiayai oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan melalui Jabatan Muzium.

Nor Janati berkata, selepas kerja ubah suai selesai dijalankan, pada 23 Mei 1995, bangunan itu diserahkan oleh Ketua Pengarah Muzium Negara, Mohd Zulkifli Abdul Aziz kepada kerajaan negeri Perak menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak ketika itu, Datuk Abdul Habib Mansor. Muzium Beruas kemudian dibuka kepada orang ramai mulai Julai 1995 dan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Antara bahan awal yang dipamerkan ialah pelbagai artifak lama hasil dari projek penelitian sejarah Beruas fasa pertama oleh Jabatan Muzium, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Peminat dan Pengkaji Sejarah Manjung (PPPSM) yang dibiayai kerajaan negeri Perak pada 25 November hingga 25 Disember 1991. Turut serta dalam projek itu ialah Prof. Datuk Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman.

Menurut beliau, bahan yang dipamerkan kepada pengunjung turut diperoleh hasil sumbangan penduduk tempatan dan ada juga beberapa artifak yang dibeli daripada orang ramai. Beliau berkata, sehingga kini terdapat lebih 300 koleksi barangan iaitu pinggan mangkuk tembikar yang dipercayai berasal dari China, Belanda serta England, periuk tanah, batu giling, wang tampang timah berbentuk kura-kura dan barangan tembaga ditempatkan untuk pameran di Muzium Beruas.

Menurutnya, selain itu, sepucuk meriam tembaga seberat 128 kilogram yang diperoleh dari Kampung Pulau Meranti oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung ketika kerja-kerja pembersihan untuk mendalamkan Sungai Beruas pada 1986 lalu turut dipamerkan.

"Dengan adanya penemuan baru barang-barang purba di sekitar Beruas, khazanah bersejarah dan koleksi muzium akan bertambah.

"Ini akan menarik kunjungan ramai pelancong termasuk pelancong asing ke sini secara tidak langsung merangsang perkembangan ekonomi penduduk tempatan," katanya.

Mereka yang berminat berkunjung ke Muzium Beruas boleh menghubungi Kurator Muzium Beruas menerusi telefon di talian 05-6740160 dan faksimili 05-6740160 untuk sebarang pertanyaan.

Felcra umum agihan dividen RM224.48 juta

Tuesday, August 23, 2011 0 Komen

Felcra Bhd mengumumkan pengagihan dividen berjumlah RM224.48 juta kepada 94,000 peserta pada minggu depan dengan purata RM3,000 seorang.

Agihan daripada jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM995.44 juta yang dicatatkan sehingga Jun 2011 itu merupakan peningkatan sebanyak 21.46 peratus berbanding jumlah agihan tempoh yang sama tahun lalu berjumlah RM184.82 juta.

"Pada tahun ini, Felcra menjangkakan sebanyak RM850 juta akan diagihkan kepada peserta iaitu peningkatan sebanyak 62.7 peratus berbanding RM522.41 juta pada tahun 2010," kata Pengerusinya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

"Kami juga mensasarkan penjanaan pertumbuhan perolehan sebanyak 22.82 peratus kepada RM1.83 bilion berbanding RM1.49 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu," katanya kepada pemberita pada majlis pengisytiharan dividen peserta Felcra di sini, hari ini.

Beliau berkata, sasaran ini dibuat bersandarkan peningkatan trend harga komoditi di pasaran global.

"Sebagai contoh, sehingga kini, kelapa sawit mencatatkan harga purata sebanyak RM748.57 satu tan metrik berbanding RM547.00 satu tan metrik pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 36.85 peratus," kata Tajuddin.

Beliau berkata, begitu juga dengan purata harga getah yang menunjukkan peningkatan sebanyak 49.63 peratus kepada RM14.32 sekilogram pada tahun ini, berbanding hanya RM9.57 sekilogram pada 2010.

Mengenai rancangan pengembangannya di luar negara, Tajuddin berkata Felcra kini meninjau peluang di Kemboja. - BERNAMA

Azizi Abdullah,novelis terkenal meninggal dunia

Monday, August 22, 2011 0 Komen

Novelis terkenal, Azizi Abdullah meninggal dunia pagi ini setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lepas.

Penolong Editor Utusan Pengguna, Mohd Ridzuan Mohamad ketika dihubungi berkata, Azizi, 69, meninggal dunia pukul 7.50 pagi di hospital itu.


Allahyarham dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac tahun ini dan menjalani pembedahan jantung April.

Namun, keadaan allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang.

Azizi, bekas guru Pendidikan Islam, terkenal dengan novel “Seorang Tua di Kaki Gunung” ketika naskah itu dijadikan teks wajib sastera Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lepas. - Bernama

Bayi baru lahir dah ada gigi

Sunday, August 21, 2011 0 Komen

Tangisan seorang bayi beberapa minit selepas dia dilahirkan mengejutkan sepasang suami isteri apabila mereka melihat dia memiliki dua batang gigi kacip, lapor sebuah akhbar semalam.

Biasanya, gigi pertama hanya tumbuh apabila bayi mencapai usia di antara enam bulan hingga setahun.


Namun, Summer Whelan dilahirkan dengan dua gigi kacip yang lengkap pada geraham bawahnya.

Bayi perempuan milik Andy Whelan, 35 dan isterinya yang berusia 31 tahun, Karen itu dilahirkan dengan berat 3.1 kilogram di sebuah hospital di sini, tenggara England pada 20 Julai lalu.

"Sejurus selepas Summer dilahirkan, dia menangis dan saya menjerit 'dia memiliki dua gigi depan'," katanya.

"Dia berada dalam keadaan baik,'' tambah wanita tersebut. - Agensi

Imam Muda Asyraf bakal dapat baby boy

Sunday, August 21, 2011 0 Komen

Imam Muda Asyraf, 27, bakal menyambut kelahiran bayi lelaki pada hujung tahun ini memandangkan isterinya sedang hamil enam bulan.

Biarpun sibuk dengan urusan kerja melibatkan jemputan mengimamkan solat terawih dan memberi tazkirah Ramadan sepanjang bulan ini, dia tetap mengambil berat dan mengutamakan isterinya yang sedang sarat itu.


“Saya kasihankan isteri yang sedang mengandung, jadi sebab itu orang tidak melihat saya bersamanya kerana saya kurang mengajak dia ke majlis-majlis tertentu.

“Saya tidak mahu dia terdedah sama dengan kesibukan saya yang terpaksa berkejar ke sana sini. Lagipun, dia memang tidak suka menjadi perhatian ramai,” kata Asyraf kepada mStar Online.

Namun, jelas Asyraf, kemungkinan dia akan menghantar isterinya pulang ke kampung terlebih awal menjelang Hari Raya Aidilfitri ini memandangkan isterinya sekarang terpaksa berbuka puasa seorang diri di rumah.

“Saya kasihankan isteri yang jarang dapat berbuka puasa bersama-sama saya. Jadi, apabila berada di kampung, sekurang-kurangnya dia lebih seronok apabila makan berteman.

“Sebelum ini dia selalu masak untuk kami makan sahur bersama-sama,” kata Asyraf yang banyak mendapat jemputan berbuka puasa di luar.

Pada minggu lalu, dia menghadiri majlis doa selamat dan berbuka puasa anjuran SimplySiti di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Asyraf juga sempat meluahkan nasihat dan teguran kepada para remaja yang masih mengambil mudah ibadat puasa ini.

“Saya perhatikan, ada remaja yang mengambil peluang untuk melepak dan bercinta di masjid sewaktu orang lain sedang bertarawih.

“Ikutkan, apa yang dilakukan oleh mereka itu tidak patut berlaku tetapi dalam masa yang sama saya tidak menyalahkan mereka kerana sekurang-kurangnya mereka berada di masjid berbanding di tempat lain,” ujarnya yang membuka sebuah syarikat sendiri, Ben Ridzuan yang menguruskan ceramah umum.

Dividen RM179.26 juta peserta RISDA

Sunday, August 21, 2011 0 Komen

RISDA memberikan dividen berjumlah RM179.6 juta kepada seramai 42,206 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan Tanam Baru Berkelompok (TSK) bagi tahun 2010.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemberian dividen itu dilihat satu kejayaan besar dalam sektor perladangan negara.

"Ini adalah bentuk kejayaan yang dibuat secara berkumpulan dan semoga dividen yang diterima sedikit sebanyak membantu peserta untuk perbelanjaan sambutan hari raya,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian dividen RTBB dan TSK Risda peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Perdana Menteri berkata, dalam usaha untuk memastikan sektor pekebun kecil tidak tertinggal dalam Model Baru Ekonomi (MBE), Risda turut diminta mengkaji dan menyediakan perancangan serta pelan tindakan MBE dari perspektif sektor pekebun kecil serta mencadangkannya kepada kerajaan.

"Salah satu yang saya tekankan ialah meminta RISDA melancarkan gerakan membaja di seluruh negara supaya setiap orang pekebun kecil akan membaja setiap pokok getah atau sawit mengikut jadual.

"Ini akan dapat meningkatkan hasil dan pendapatan pekebun kecil selari dengan MBE,” katanya. - Bernama

Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) dikenali KOM mulai 2012

Friday, August 19, 2011 0 Komen

Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) akan ditukar nama baru, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mulai Januari 2012.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, penukaran nama tersebut telah diluluskan oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, selain itu, Pesuruhjaya Sukan Malaysia juga telah meluluskan perlembagaan baru badan olahraga tersebut yang lebih spesifik.

"Dahulu kita ada jawatankuasa majlis dan jawatankuasa lembaga pengarah kini dalam perlembagaan baru cuma satu jawatankuasa sahaja yang ada iaitu jawatankuasa olahraga.

"Kita akan bermesyuarat dari semasa ke semasa untuk memperbaiki dan juga meningkatkan mutu sukan di negara ini," katanya pada sidang akhbar majlis berbuka puasa KOAM di sini, semalam.

Dalam pada itu, Shahidan juga mengumumkan pelantikan bekas Naib Presiden KOAM Rajemah Sheikh Ahmad sebagai pengurus pasukan olahraga ke Sukan SEA 2011.

"Kita berdoa supaya kita dapat melakukan yang terbaik di Sukan SEA nanti dan kami semua akan memberikan sokongan kepada mereka yang beraksi nanti.

"Buat masa ini sasaran pingat masih lagi dirahsiakan kerana kita tidak mahu ada pihak yang menyalahkan kami sekiranya sasaran tidak ditepati," jelas Shahidan.

Tony Fernandes beli 66 peratus kepentingan kelab bola sepak Inggeris, Queens Park Rangers (QPR)

Friday, August 19, 2011 0 Komen

Tune Sport Sdn. Bhd. yang diterajui oleh Tan Sri Tony Fernandes dan Datuk Kamarudin Meranun, semalam membeli kelab bola sepak Inggeris, Queens Park Rangers (QPR).

Syarikat Malaysia itu membeli 66 peratus kepentingan Bernie Ecclestone dalam kelab bola sepak itu pada harga yang tidak didedahkan.

Pembelian tersebut menyaksikan Tune Sports menjadi syarikat Malaysia pertama memiliki pasukan Liga Perdana Inggeris.


Pembelian itu juga menyaksikan Tony kini adalah pengerusi baru dan Kamarudin ahli lembaga pengarahnya manakala keluarga Mittal mengekalkan 33 peratus kepentingan kelab itu.

Kamarudin berkata, antara faktor QPR dipilih ialah kelab itu baru sahaja dinaikkan ke Liga Perdana dan berpangkalan di London.

“Kami akan membina pasukan ini. Kami mahu melibatkan diri dengan kelab ini.

“QPR menawarkan potensi yang baik kerana ia mempunyai pemain dan pengurus yang baik. Beri mereka peluang,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tony dan Kamarudin menguasai 75 peratus dalam Tune Sports manakala baki 25 peratus dimiliki oleh Ruben Gnanalingam.

Hasrat Tony dan Kamarudin untuk memiliki kelab Liga Perdana bukan baru dan pada tahun lalu beliau terlepas peluang untuk memiliki West Ham, yang merupakan pasukan kegemarannya kepada David Sullivan dan David Gold.

Menurut Kamarudin, selain mengetengahkan syarikat Malaysia di arena antarabangsa, sukan bola sepak tempatan juga boleh meraih manfaat daripada pembelian QPR itu.

“Pelbagai cara boleh dilakukan pada masa depan yang antaranya ialah dalam bentuk kerjasama dan juga mungkin mewujudkan akademi bola sepak,” jelas beliau.

Sementara itu, Tony, yang menganggapnya seorang peminat West Ham dalam laman sosial Twitter seperti dipetik AFP berkata, beliau sejak sekian lama memegang satu ‘tempat lembut’ bagi QPR yang digelarnya sebagai sebuah ‘berlian mentah’.

“Rangers merupakan salah sebuah pasukan pertama yang saya tonton ketika kecil di Loftus Road. Saya sentiasa mahu terlibat dalam bola sepak dan tarikan kelab London seperti QPR ialah peluang yang terlalu bagus untuk ditolak. QPR ialah sebuah berlian mentah dan semoga saya mampu menyumbangkannya menjadi berlian,” katanya.

Lokasi Maut Jalan Raya di Perak

Friday, August 19, 2011 0 Komen

Polis Perak mengenal pasti 14 lokasi di negeri ini yang didapati kerap berlaku kemalangan maut terutama menjelang perayaan.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata antara laluan itu ialah Jalan Ipoh-Simpang Pulai, Ipoh-Teluk Intan, Ipoh-Butterworth, Jalan Sitiawan-Taiping, Ipoh-Lumut, Ipoh-Kuala Lumpur dan Teluk Intan-Hutan Melintang.

Menurutnya, lokasi lain ialah Sri Manjong-Simpang Lekir, Sitiawan-Teluk Intan, Lebuhraya Timur Barat Gerik-Jeli dan Ipoh-Taiping.

"Sehubungan itu kita menempatkan seramai 234 anggota polis trafik di lokasi-lokasi strategik mulai minggu depan sempena operasi di musim perayaan bermula 22 Ogos hingga 16 Sept ini," katanya yang ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen.

Mohd Shukri berkata melalui operasi kali ini, pihaknya mensasarkan penurunan kadar kemalangan sekurang-kurangnya lima peratus.

"Pada operasi sebelum ini, kita berjaya menurunkan kadar kemalangan sebanyak lima peratus dan pada tahun ini kita optimis sasaran yang sama akan dicapai," katanya.

Katanya operasi tersebut turut membabitkan Jabatan Pertahanan Awam, Bomba dan Jabatan Pengangkutan Jalan dan beberapa agensi lain.- Bernama

Program Jimat Belanja Dapur oleh FAMA

Friday, August 19, 2011 0 Komen

Program Jimat Belanja Dapur oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), membantu pengguna berbelanja secara berjimat pada bulan Ramadan ini dan ketika membuat persiapan Aidilfitri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Damak, Datuk Lau Lee berkata, program Fama itu turut memudahkan penjualan bahan mentah secara terus kepada pengguna di pasar tani.

Menurutnya, selain menawarkan harga berpatutan, ia juga secara tidak langsung dapat menangani isu bekalan dan harga barangan meningkat menjelang musim perayaan.

“Program ini berlangsung selama tiga bulan dengan menetapkan harga jualan bahan mentah antara 5 hingga 20 peratus berbanding pasaran di luar.

“Operasi jualan dibuka pada setiap hari bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari, termasuk hari minggu untuk membantu pengguna mendapatkan barang keperluan terpilih pada harga yang lebih rendah berbanding pasar biasa,” katanya selepas majlis pelancaran Program Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani Kekal (PTK) Jerantut, kelmarin.

Turut hadir, Pengarah Fama Wilayah Timur 2, Abdul Rashid Bahri; Pengarah Fama Pahang, Ibrahim Mahmud dan Pengurus Pusat Operasi Fama Pahang Barat, Mohd Lokman Muhd Isa.

Lau Lee berkata, selain PTK Jerantut, program berkenaan turut diadakan secara serentak di Pasar Tani Mega Kuantan dan Pekan.

Menurutnya, di bawah program itu, Fama akan mempamerkan carta senarai 14 barangan keperluan harian terpilih berserta harga jualan untuk panduan pengguna.

Katanya, antara barang yang ditawarkan harga berpatutan adalah pelbagai jenis sayur-sayuran, buah-buahan, ikan air tawar dan laut, ayam standard dan daging pejal tempatan.

“Sebagai contoh, PTK Jerantut di sini menjual daging pejal dengan harga RM20 sekilogram pada musim perayaan berbanding dengan tempat lain mencecah RM22 sekilogram, manakala ayam standard RM7.30 setiap kilogram berbanding di luar RM8.50 sekilogram.

“Program ini sejajar dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang memberi tanggungjawab kepada Fama untuk mengimbangi kenaikan harga barangan keperluan harian tersebut,” katanya.

Beliau berkata, usaha Fama itu diharap dapat memberi kemudahan kepada pengunjung pasar tani mendapatkan bekalan barangan keperluan harian pada harga terbaik.

Produk kosmetik beracun: Krim Derma-Rx dan Krim Arbutin-R ada hydroquinone dan tretinoin

Friday, August 19, 2011 0 Komen

Orang ramai dinasihatkan agar mengelak daripada menggunakan dua produk kosmetik dari luar negara yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk tersebut yang dinamakan Krim Derma-Rx dan Krim Arbutin-R mengandungi racun hydroquinone dan tretinoincun .

“Racun tersebut boleh menyebabkan kulit pengguna mengelupas, mengalami kemerahan dan ketidakselesaan serta hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurut Eisah, pengguna juga berisiko untuk menghidap penyakit kanser kulit kerana racun hydroquinone boleh mengurangkan perlindungan kepada kulit daripada pancaran ultra ungu.

“Pihak kami turut mengarahkan syarikat yang bertanggungjawab terhadap produk itu, DRx Aesthetic Sdn. Bhd. untuk menarik balik dan memberhentikan penjualan serta merta dalam tempoh 72 jam,” katanya.

Tambah beliau, produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 manakala individu yang terlibat boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara 5 tahun, manakala syarikat akan didenda sehingga RM100,000.

Pengguna dinasihatkan untuk menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) ditalian 03-78835532 atau 03-78835534 untuk mendapatkan maklumat lanjut. - Utusan

Usahawan bumiputera semakin pupus kerana sukar dapat pembiayaan

Friday, August 19, 2011 0 Komen

Jumlah usahawan bumiputera semakin berkurangan dan dikhuatiri akan pupus dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Skali, Tengku Farith Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, kepupusan usahawan bumiputera kerana kesukaran mendapat pembiayaan.

"Kajian yang dibuat mendapati 21 peratus alasan untuk menutup perniagaan adalah kerana masalah pembiayaan," katanya semasa membentang kertas kerja bertajuk: Akses kepada pembiayaan penghalang utama kepada kemajuan usahawan bumiputera pada Konvensyen memperkasa model baru ekonomi di sini hari ini.

Ia adalah kerana, kata beliau, dasar kerajaan tidak membantu usahawan bumiputera sebagai contoh agensi-agensi kerajaan yang bertindih peranan sehingga sukar mendapat pembiayaan dan bantuan sewajarnya secara berterusan.

"Terdapat kes beberapa agensi kerajaan yang berebut satu usahawan bumiputera untuk diberi bantuan sedangkan usahawan lain sukar mendapat pembiayaan," katanya. - Utusan

Penduduk dunia cecah 7 bilion

Friday, August 19, 2011 0 Komen

Bilangan penduduk dunia bakal mencecah angka tujuh bilion pada akhir tahun ini, dengan pertambahan bilangan penduduk Afrika yang mengimbangi penurunan kadar kelahiran di negara lain, kata kajian terbaru yang disiarkan hari ini.

Institut Kebangsaan Kajian Demografi Perancis (INED) menjangka pertambahan jumlah penduduk dunia akan berterusan sehingga mencecah jumlah yang stabil antara 9 hingga 10 bilion di seluruh dunia pada akhir abad ini.

Daripada jumlah enam bilion penduduk pada tahun 1999, jurang antara peratusan kelahiran dan kematian di seluruh dunia bertambah dengan pantas dan meningkat satu bilion lagi dalam tempoh 12 tahun.

INED, yang turut menjalankan kajian tersebut dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia dan beberapa institusi kebangsaan, menjangka pertambahan penduduk akan mengambil masa 14 tahun untuk mencecah lapan bilion penduduk sebelum mencapai jumlah stabil.

Malah dari segi sejarah juga menunjukkan pertambahan jumlah penduduk dunia meningkat mendadak sejak abad ke-19.

"Jumlah tersebut meningkat tujuh kali ganda sejak 200 tahun lalu, mencapai angka tujuh bilion pada tahun ini dan dijangka mencecah sembilan atau 10 bilion pada akhir abad ke-21," jelas laporan tersebut.

Hanya tujuh negara saja diperlukan untuk menyamai separuh daripada jumlah keseluruhan penduduk dunia, dan ia disebabkan perubahan demografi yang memberi kesan besar.

China berada di senarai teratas dengan lebih daripada 1.33 bilion penduduk, diikuti dengan 1.17 bilion penduduk di India.

Lima negara yang lain adalah Amerika Syarikat, Indonesia, Brazil, Pakistan dan Nigeria.

INED juga menjangkakan antara sekarang dan 2050, India akan menjadi negara yang mempunyai penduduk paling ramai, dengan China mengamalkan dasar satu anak untuk memperlahankan kadar pertambahan jumlah penduduk. - AFP

Senarai 40 jenis minuman kopi beracun oleh Kementerian Kesihatan

Thursday, August 18, 2011 0 Komen

Kementerian Kesihatan mengesan 40 jenis minuman segera dijual di pasaran mengandungi bahan beracun dan kimia seperti Sildenafil, Tadalafil, Verdabafil dan Sibutramine yang boleh membawa maut jika diambil tanpa pengawasan doktor.

Kebanyakan produk itu didapati dicampuri bahan racun berjadual yang digunakan sebagai perangsang seks dan bahan pelangsing yang kebanyakannya dibungkus di kilang haram di negara ini

Berikut adalah 40 jenis minuman yang mengandungi bahan beracun tersebut:

Cafe Abang Yes
Candi Gold
Candy 193
Extend Up Energy Drink
Extremen
Extrewomen
Goji Guarana
Goji Guarana Extra
Goji More
Goji Yumberry
Guara Cafe
HBW Ice Lemon Tea
Hotton Vitality Candy
Ie2 O
King Cappucino
Knight Cofee
Kolek Cafe Power Plus
Kopi Angguk
Kopi Asmara,
Kopi Bagus AAA
Kopi Campuran Kedai Kopi Ali Bagus
Kopi Pahlawan
Kopi Super Angguk
Kopi Tenaga Tok Lebai Plus
Maca Max
Macagin Ginseng Candy
Mentalk Candy
Nexus MXP
Night Cafe
Red Energizer Candy For Men
Royal Beverage Maqrifatun
sasanergy Drink
Trica Jus
Tri-Max
True SR,
vigor Candy
Vitca-F
Vitca-M
Winnie Beauty V1
XKL Sky Fruit Juice Premix.

Bayar zakat pakai SMS

Thursday, August 18, 2011 0 Komen

Pelanggan beragama Islam Maxis Berhad (Maxis), di Selangor, Melaka, Sabah, Kedah, Perlis, Pahang dan Terengganu akan menikmati kemudahan untuk membayar zakat fitrah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS hasil perkhidmatan mZakat yang ditawarkan syarikat terbabit

Dengan perkhidmatan mZakat, pelanggan boleh memenuhi tuntutan agama mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja.


Perkhidmatan mZakat Maxis terbuka kepada pelanggan prabayar dan juga pascabayar.

Jumlah pembayaran zakat fitrah akan dicaj kepada bil telefon para pelanggan pascabayar atau ditolak dari baki prabayar pelanggan.

Perkhidmatan berkenaan amat mudah untuk digunakan.

Pelanggan boleh membuat pembayaran dengan hanya menaip “FITRAH (nama negeri)" dan menghantar SMS tersebut kepada 22032.

Mereka kemudian perlu membekalkan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan bilangan orang yang zakat fitrahnya ditanggung

Selepas itu, mereka akan menerima SMS mengenai jumlah yang perlu dibayar yang mana jumlahnya perlu disahkan sebelum sebarang caj boleh dikenakan kepada pengguna.

Kesemua SMS yang dihantar mahupun diterima oleh pelanggan Maxis untuk perkhidmatan mZakat ini adalah percuma dan tidak dikenakan caj.

Tambahan lagi, perkhidmatan pencetakan resit secara dalam talian juga boleh didapati daripada portal Maxis, supaya pelanggan boleh mencetak resit untuk melakukan tuntutan rebat cukai.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah berkata, pihaknya gembira dapat menawarkan kemudahan tersebut kepada pelanggan beragama Islam

‘‘Ini merupakan suatu penyelesaian yang efektif kepada masalah ketiadaan masa untuk melawat kaunter-kaunter zakat fitrah atau kepada sesiapa yang ingin membuat pembayaran pada saat-saat terakhir.

‘‘Ia juga amat berguna kepada golongan yang mengalami kesukaran untuk ke kaunter-kaunter zakat kerana komitmen kerja, dan juga golongan komuniti kurang upaya. ,’’ kata beliau.

Malah kata , keseluruhan proses transaksi pembayaran ini mengambil masa kurang lima minit.

Dalam pada itu , Maxis pada tahun ini telah bekerjasama dengan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful) bagi menawarkan pelanggan ketenangan minda melalui perlindungan insurans Islam tambahan (takaful) bernilai RM2,000 untuk segala kandungan rumah mereka bermula 1 Ogos hingga 16 September.

Untuk hanya RM2 sebulan, pelanggan dilindungi sehingga sebanyak RM70,000 untuk kematian tidak sengaja / kecacatan kekal, dan juga untuk RM2,000 faedah takaful tambahan yang meliputi perlindungan kandungan-kandungan rumah.

Pelanggan boleh menyertai program ini dengan hanya menghantar SMS beserta kata kunci “BUY TAKAFUL" kepada 27007.

Di samping perlindungan terhadap kematian tidak sengaja atau kecacatan kekal dan isi kandungan rumah, peserta beragama Islam juga boleh menikmati perkhidmatan “Haji Secara Perwakilan” (Badal Haji) dari HLM Takaful atau perwakilan mengerjakan haji kepada pihak yang sah.

Pilihan ini merupakan sebahagian daripada perlindungan kematian tidak sengaja dan kecacatan kekal.

Perkhidmatan “Haji Secara Perwakilan” ini diurus dan dikendalikan oleh TH Travel & Services, sebuah subsidiari milikan penuh Lembaga Tabung Haji.

Sempena Ramadan ini, Maxis amat berbesar hati untuk menawarkan Hotlink Ramadan Hot Tickets yang diubahsuai yang menawarkan lebih banyak nilai agar para pelanggannya dapat menghubungi orang yang tersayang, sama ada berdekatan mahupun berjauhan.

Mereka juga dapat menikmati ayam goreng KFC secara percuma dari kami semasa mereka berbuka puasa.

Maxis juga kata Fitri terus menjadi sebahagian dari perjalanan pelanggannya sepanjang Ramadan menerusi kandungan mudah alih yang telah direka khas untuk membantu mereka mengakses maklumat-maklumat relevan seperti waktu menunaikan solat dan juga waktu bermula dan berbuka puasa.

‘‘Perkhidmatan-perkhidmatan mudah alih bercorak keislaman kini semakin popular di kalangan pelanggan beragama Islam dan kami telah menyaksikan peningkatan terhadap penggunaannya.

‘‘Kami gembira untuk menawarkan kepada para pelanggan satu variasi perkhidmatan yang baru ini, bagi memastikan satu pengalaman yang lebih bermakna pada Ramadan ini,’’ ujarnya..

Para pelanggan Maxis juga boleh mengakses laman WAP mikro yang unik bernama Ramadan di portal WAP Maxis untuk melanggan atau memuat turun kandungan-kandungan Ramadan ke dalam peranti mudah alih mereka.

Laman WAP Ramadan itu menawarkan pelbagai kandungan mudah alih seperti SMS ALERTS untuk waktu berbuka puasa (waktu berbuka puasa dan waktu Imsak boleh didapati secara percuma), fadilat Ramadan (tazkirah harian untuk renungan sewaktu Ramadan) dan waktu-waktu menunaikan solat.

Mereka juga boleh melanggan perkhidmatan MMS ALERTS seperti Santapan Rohani (ayat-ayat al-Quran dan solat dihantar setiap hari) atau zikir (pembacaan Zikir kontemporari melalui MMS).

Sebagai tambahan, wallpapers, nada dering true tunes dan ucapan-ucapan MMS juga boleh diperoleh secara percuma.

Para pelanggan Maxis dan Hotlink boleh mengakses laman WAP Ramadan ini dengan hanya menaip ‘GET RA’ pada telefon bimbit mereka dan menghantar kepada 26000.

Satu pautan ke laman WAP Ramadan kemudian akan dihantar kepada telefon bimbit mereka dan pelanggan hanya perlu klik pada pautan tersebut bagi mengakses portal WAP Ramadan.

Universiti Malaya (UM) didakwa sedang alami krisis kemerosotan

Thursday, August 18, 2011 2 Komen

Universiti Malaya (UM) didakwa sedang mengalami krisis kemerosotan ilmuwan dan pakar berikutan peletakan jawatan 146 staf akademik sejak 2009 kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Naib Canselornya, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon.

Mereka yang meletak jawatan melibatkan profesor, profesor madya, pensyarah dan ahli akademik dari pelbagai fakulti yang sudah lama menabur bakti dan berkhidmat di universiti itu.

Presiden Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM), Prof. Madya Dr. Azmi Sharom semasa mendedahkan perkara itu berkata, antara yang meletakkan jawatan ialah 52 orang dari Fakulti Perubatan, 12 dari Fakulti Perakaunan, 10 Fakulti Sains dan 8 orang dari Fakulti Kejuruteraan.

Pada tahun ini sahaja, katanya, kira-kira 20 staf akademik meletak jawatan atas alasan yang sama.

"Berikutan itu, pihak pengurusan universiti telah melantik 576 pensyarah baru dengan 80 peratus daripada mereka dari negara lain seperti Bangladesh, Nigeria, Filipina, Sri Lanka, India dan Jordan.

"Pelantikan dibuat bagi tujuan penerbitan jurnal bahasa Inggeris demi mengejar rangking sehingga menganaktirikan pensyarah tempatan yang telah lama berkhidmat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Naib Canselor UM itu pernah mengeluarkan kenyataannya Mac lalu yang mengakui 'kegilaannya' meletakkan universiti tersebut dalam rangking 100 terbaik di dunia.

Usaha tersebut bagaimanapun kurang berkesan kerana rangking universiti tertua di Malaysia itu jatuh ke tangga 207 pada 2010 berbanding kedudukan 180 pada 2009.

Azmi mendakwa Ghauth turut memperketatkan proses dan prosedur kenaikan pangkat dengan memfokuskan penerbitan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan data ISI dan Scopus yang kurang memberi tumpuan kepada penerbitan dalam bahasa Melayu.

"Tindakan ini menjejaskan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjadi tunjang pembinaan negara bangsa Malaysia.

"Beliau hanya memberi tumpuan kepada penerbitan jurnal antarabangsa tanpa mengira kualiti penyelidikan dan mutu jurnal semata-mata untuk mengejar rangking sehingga mengabaikan fungsi teras universiti untuk menyebarkan ilmu dan melahirkan graduan berkualiti," katanya.

Ghauth dilantik menjadi Naib Canselor pada 2008 menggantikan Tan Sri Dr. Rafiah Salim.

20 barang terkawal Aidilfitri

Thursday, August 18, 2011 0 Komen

20 barang terkawal Aidilfitri

Kerajaan menetapkan harga terkawal bagi 20 jenis barangan untuk dikuatkuasakan mulai 23 Ogos hingga 6 September ini di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2010.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) berkata, dua barang telah ditambah ke dalam senarai pada tahun ini iaitu bawang merah kecil (India) dan bawang putih (China).


"Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ini dibuat berdasarkan kepada maklumat hasil pemantauan di semua daerah, pandangan agensi kerajaan berkaitan dan perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal serta pemborong barangan terlibat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Ismail Sabri berkata, peniaga diwajibkan menjual harga barang terkawal mengikut harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pada barangan tersebut.

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim berkenaan.

Menurutnya, individu yang menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.

Katanya, syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM250,000.

"Mereka yang gagal meletak tanda harga merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat yang gagal melakukannya boleh didenda RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000," jelasnya.

Ismail Sabri berkata, kira-kira 2,000 pegawai penguat kuasa KPDNKK bersama 1,000 pegawai pemantauan harga akan memantau penjualan barang terkawal bagi memastikan peniaga mematuhi arahan yang ditetapkan.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai peniaga yang enggan mematuhi peraturan itu diminta menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800 atau e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my.

Skim cepat kaya: pengarah syarikat Mercantile Point Sdn Bhd didenda

Thursday, August 18, 2011 0 Komen

Dua pengarah syarikat Mercantile Point Sdn Bhd masing-masing dihukum penjara dua tahun serta denda RM3 juta dan RM5 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah mengikut Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Syarikat itu yang menjalankan perniagaan skim cepat kaya milik Rusdie Ganning, 51, dan Hariyah Yaacob, 54, turut dikenakan denda RM3 juta bagi pertuduhan mengikut BAFIA.

Hakim Asmadi Hussin membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan yang diwakili peguam Mohd Hairani Samsi gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes itu.

Bagi pertuduhan BAFIA, Rusdie, Hariyah dan syarikat itu masing-masing didakwa menerima deposit hampir RM117 juta daripada pendeposit tanpa lesen sah di antara 24 April 2007 dan 2 April 2008, di Unit 5.1, Unit 5.2 dan Unit 5.7, Aras 5, Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang di sini.

Bagi kesalahan itu, Rusdie dihukum penjara dua tahun dan denda RM1.5 juta, manakala Hariyah dihukum penjara dua tahun dan denda RM2 juta.

Bagi kesalahan mengikut AMLAFTA, Rusdie didakwa terhadap 11 pertuduhan manakala Hariyah menghadapi 18 pertuduhan mengguna, memindahkan dan memiliki wang hasil aktiviti haram sebanyak RM32.5 juta sepanjang 2007 dan 2008.

Bagi kesalahan itu, Rusdie dihukum penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan didenda RM1.9 juta, yang jika gagal dibayar Rusdie boleh menyebabkannya dipenjara 18 bulan.

Hariyah, yang merupakan ibu tunggal, turut dikenakan hukuman penjara yang sama dengan Rusdie bagi setiap pertuduhan dan denda sebanyak RM3.7 juta, dan sekiranya gagal membayar denda itu, dia boleh dipenjara 18 bulan. – Bernama

Puasa sunat enam hari bulan Syawal

Thursday, August 18, 2011 0 Komen

Puasa sunat enam hari bulan Syawal

Meskipun Hari Raya Aidil Fitri hanyalah sehari, iaitu pada satu Syawal, kebiasaan umat Islam tanah air ialah menyambutnya selama sebulan penuh. Dalam kegembiraan kita menyambut hari perayaan ini, janganlah sehingga kita terlupa untuk melakukan satu amal ibadah yang khusus dengan bulan Syawal, iaitu berpuasa sunat selama enam hari.

Puasa-puasa sunat, sama ada enam hari di bulan Syawal atau yang selainnya amat dianjurkan dalam Islam dan memiliki ganjaran yang besar di sebaliknya. Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu). (Rasulullah melanjutkan): Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalha lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi. [Shahih Muslim, no: 1151]

Hanya sebelum melaksanakan puasa sunat tersebut, hendaklah dipastikan ia benar-benar dan dianjurkan dalam Islam berdasarkan rujukan kepada hadis-hadis yang sahih. Puasa enam hari dalam bulan Syawal misalnya, dianjurkan oleh hadis sahih berikut, Rasulullah bersabda: Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun. [Shahih Muslim, no: 1164]

Bilakah ia dimulakan
Puasa sunat enam hari bulan Syawal paling awal dimulakan pada dua Syawal. Ini kerana tarikh satu Syawal adalah Hari Raya Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu ‘anh berkata: Nabi melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha. [Shahih al-Bukhari, no: 1991]

Syarat dan adab bagi sunat enam hari bulan Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadan. Adapun perbezaannya, maka ia boleh dilakukan secara rambang asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya.

Oleh itu, puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada satu Syawal dan bukan sesudah bulan Syawal. Walau bagaimanapun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan sunat enam hari bulan Syawal berdasarkan keumuman firman Allah: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa. [Ali Imran 3:133]

Tidak ada hari raya selepas puasa sunat enam hari bulan syawal
Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada satu Syawaldengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki erti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunat enam hari bulan Syawal. Ini adalah satu bid‘ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyariat oleh Tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah. Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah), iaitu (perayaan Aidil) Adha dan (perayaan Aidil) Fitri. [Shahih Sunan Abu Daud, no: 1134]

Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha. Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyariatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Tidak ada hari perayaan sempena genapnya puasa sunat enam hari bulan Syawal.

~ Dara

Perodua tawar 15 pemeriksaan percuma di 2 stesen servis

Wednesday, August 17, 2011 0 Komen

Perodua menawarkan pemeriksaan percuma 15 perkara kepada pelanggannya di dua stesen servis di Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Pantai Timur pada musim balik kampung sempena sambutan Aidilfitri ini.

Perkhidmatan dari pukul 9 pagi hingga 6 petang itu disediakan di stesen servis Petronas kawasan rehat dan rawat Tapah (arah utara) dan Bentong (arah timur), kata Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tawaran dari 26 hingga 29 Ogos itu meliputi pemeriksaan enjin, transmisi, sistem penyejuk dan sistem elektrik yang akan dilakukan tiga mekanik di setiap stesen servis berkenaan.

"Pemilik kenderaan Perodua akan dinasihati pergi ke cawangan servis terdekat oleh mekanik ini sekiranya kenderaan mereka didapati perlu dibaiki.

"Mereka juga akan menikmati diskaun 15 peratus bagi alat ganti yang dibeli di cawangan Perodua,” katanya. – Bernama

Tony Fernandes semakin hampir beli 51% kepentingan kelab Bola Sepak Perdana Inggeris

Wednesday, August 17, 2011 0 Komen

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes semakin hampir membeli 51 peratus saham kelab Bola Sepak Perdana Inggeris, Queens Park Rangers (QPR), menurut beberapa laporan.

Beliau dilaporkan bakal membeli saham pemilik Formula 1, Bernie Ecclestone yang merupakan pemegang saham utama dalam QPR pada kira-kira AS$196 juta (RM583 juta) dengan urus janji itu kemungkinan diumumkan dalam waktu terdekat.

Ecclestone dilaporkan memegang 66 peratus saham kelab itu, bersama-sama hartawan besi dan keluli dari India Lakshmi Mittal, seorang lagi pemegang saham utama dengan 33 peratus dan bekas ketua pasukan Renault Formula 1, Flavio Briatore memiliki satu peratus.

Ecclestone merupakan pemegang saham utama kelab itu sejak lima tahun lepas dan beliau telah sejak sekian lama mahu menjualnya.

Fernandes, yang juga pemilik pasukan Team Lotus Formula 1, menghangatkan lagi spekulasi pengambilalihan itu pada Sabtu lalau apabila beliau menyaksikan kekalahan pasukan itu 4-0 kepada Bolton dari kotak pengarah di Loftus Road. – Bernama

Polis Kuala Lumpur edar kad raya cegah jenayah

Wednesday, August 17, 2011 0 Komen

Buat pertama kalinya, Polis Kuala Lumpur mengambil inisiatif mengedarkan kad Raya yang mengandungi cara menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada polis sebagai langkah mencegah jenayah semasa perayaan Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kad raya sedemikian memudahkan warga kota menghubungi polis mengenai rumah mereka apabila pulang ke kampung.

"Ia adalah idea Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam usaha membantu mengawasi rumah warga kota semasa mereka pulang beraya ke kampung", katanya selepas melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah Balik Kampung Perayaan Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat polis Kontinjen Kuala Lumpur, di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Cheras di sini hari ini.

Beliau berkata kad raya itu, yang diedarkan di bazar Ramadan di sekitar ibu kota mulai hari ini mengandungi nombor hotline Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur iaitu 03-21159999 serta nombor hotline daerah-daerah di sekitar Kuala Lumpur termasuk Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi 03-26977099, IPD Cheras 03-90840083 dan IPD Sentul 03-62562325. -Bernama

Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar

Wednesday, August 17, 2011 0 Komen

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)



Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.


Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran

2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.


Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

Oleh: Dr. Samsu Adabi Mamat
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

 

ZONFINITI