Pendatang punyai hak dalam tribunal pengguna

Wednesday, August 31, 2011

Pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin yang membayar caj pendaftaran proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) mempunyai hak untuk mendapat nasihat dan menuntut semula lebihan bayaran yang terpaksa dibayar mereka, kata bekas pengerusi Tribunal Pengguna, Pretam Singh Darshan Singh.

Kerajaan menetapkan bayaran maksimum RM35 untuk pendaftaran pendatang asing tanpa izin menerusi 348 syarikat-syarikat pengurus manakala kadar caj perkhidmatan proses pemutihan maksimum adalah RM300.

"Namun, ribuan pendatang asing tanpa izin telah membayar lebih daripada caj yang ditetapkan. Mereka yang dikenakan bayaran lebih daripada apa yang sepatutnya boleh memfailkan kes di bawah Tribunal Pengguna,” katanya di sini hari ini.

Pretam berkata, undang-undang berkaitan caj pendaftaran itu tertakluk kepada salah laku, representasi palsu serta amalan tidak adil dan mereka yang melakukan kesalahan mengenai caj berlebihan kos perkhidmatan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.

"Pekerja asing yang ditipu dan terpaksa membayar kos tambahan berkenaan boleh memfailkan kes mereka,” katanya.

Pretam berkata, tribunal pengguna menyediakan satu alternatif bagi pendatang asing tanpa izin untuk menuntut kerugian yang dialami dengan lebih mudah dan cepat pada kos yang minimum. – Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI