Berbuka Puasa 2011 di Hotel Vistana

Tuesday, August 09, 2011

Hotel Vistana Kuala Lumpur menyediakan hidangan yang bertemakan Asia dan 1 Malaysia sempena Ramadan.

Tema tersebut dilihat bakal menggamit selera pengunjung-pengunjung hotel tersebut di samping memenuhi cita rasa tempatan.

Menurut Chef De Partie hotel berkenaan, Hamdan Harun, tahun ini pengunjung boleh memilih 160 juadah berbuka puasa yang disediakan oleh tukang masak berpengalaman.

Tambah beliau lagi, tahun ini selain menyediakan hidangan berselerak, konsep gerai turut disediakan untuk memberi lebih pilihan serta kelainan.


"Tahun ini, kami memilih untuk menghidangkan hidangan secara berselerak untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan mengikut cita rasa sendiri.

"Dalam masa yang sama, kami turut mengetengahkan konsep gerai di mana ia akan menyajikan hidangan seperti sate, ikan bakar, murtabak, makanan barat, mi, barbeku, sup dan sebagainya.

"Untuk itu, kami menyediakan lebih menu daripada tahun sebelumnya agar pelanggan rasa berbaloi dengan apa yang mereka bayar," kata Hamdan.

Untuk itu, antara hidangan istimewa yang disajikan sepanjang Ramadan ialah gulai daging dengan nangka, keladi masak asam rebus, sambal ikan bilis dan tempe, masak lemak ikan masin dan nanas dan daging masak kicap berlada.

Tambah beliau lagi, untuk memberikan pelbagai pilihan kepada pengunjung, pihaknya turut menyediakan rojak buah-buahan, salad papaya Thai, kerabu kaki ayam, kerabu taugeh dan perut, sambal mangga, kerabu jantung pisang, gado-gado dengan kuah kacang, ikan masin dan cencaluk sebagai pembuka selera.

Menu-menu tersebut sesuai untuk dinikmati bersama-sama nasi putih manakala bagi mereka yang meminati nasi kandar, jangan susah hati kerana pihak Hotel Vistana turut menyediakan juadah tersebut di samping pilihan nasi beriani dan nasi tomato.

Tidak habis setakat itu, Hotel Vistana turut menyediakan juadah untuk pencuci mulut seperti kuih muih Melayu, sira pisang, sago gula Melaka, lompat tikam, aneka puding, ais krim pelbagai perisa serta buah-buahan tempatan.

Kesemua hidangan tersebut ditawarkan pada harga RM43++ untuk dewasa manakala RM28++ untuk kanak-kanak (enam hingga 12 tahun).

Kemudahan surau turut disediakan untuk pengunjung menunaikan solat Maghrib selepas selesai menikmati juadah berbuka.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI