Pentas Lawak Minggu Ini secara eksklusif di Astro Warna

Tuesday, August 02, 2011

Program hebat iaitu “Lawak Minggu Ini” yang bakal menemui para penonton pada setiap hari Jumaat jam 10.00 malam bermula 5 Ogos 2011 di Saluran 132 dalam pakej Mustika.

Program Lawak Minggu Ini yang bakal bersiaran selama 12 episod ini akan menampilkan 12 orang pelawak popular tanah air yang mana setiap daripada mereka akan bertindak sebagai hos dan mengemudikan pentas untuk satu episod penuh selama satu jam dengan kebebasan penuh untuk memilih dan menyusun sendiri kandungan persembahan yang berteraskan komedi dan lawak jenaka.

12 orang pelawak yang bakal terlibat dengan program Lawak Minggu Ini adalah terdiri daripada Apek, Yassin, Abon, Kumpulan Balas, Dato’ Jamali Shadat, Sathiya, Kumpulan Sepah, Nabil, Johan, Zizan, Kumpulan Jambu dan Angah.

Setiap pelawak bakal mempersembahkan idea dan pengisian lawak jenaka masing-masing yang pelbagai secara kreatif dan diberi kebebasan untuk menjemput teman-teman artis seperjuangan lain yang bukan saja terdiri daripada kalangan pelawak, malah penggiat seni lain seperti pemuzik, penyanyi dan sebagainya.

Melihat kepada kejayaan program-program komedi yang pernah diterbitkan oleh Astro sebelum ini seperti Raja Lawak, Spontan, Lawaking, Redah Kasi Pecah dan yang terbaru Maharaja Lawak, Astro mendapati bahawa program-program yang berteraskan komedi dan lawak jenaka amat popular di kalangan para penonton ketika ini dan dijangka corak penerimaan ini akan terus bertahan jika kandungan pengisian berkualiti yang dibekalkan menggunakan formula yang tepat.

Perkembangan bidang komedi dan lawak jenaka lewat ini ternyata menyaksikan peningkatan yang drastik daripada segi kualiti potensi, bakat mahupun idea pengisian yang dipersembahkan ke suatu aras yang boleh dibanggakan.

Lawak berbentuk slapstik juga semakin kurang digunapakai oleh pelawak generasi muda yang mana mereka kini lebih mementingkan kreativiti dan pengisian bahan-bahan lawak yang lebih cerdik dan mengikuti perkembangan isu semasa untuk menghiburkan hati para penonton.

Astro juga sememangnya sedar bahawa bukan mudah untuk membuat orang ketawa. Sehubungan dengan itu, terbaru kami bawakan pula program Lawak Minggu Ini istimewa buat para penonton yang dahagakan program-program komedi seumpama ini.

Dengan kekuatan barisan pelawak yang terlibat serta reputasi setiap daripada mereka yang sememangnya lawak dan menghiburkan, kami percaya program ini bakal memikat hati setiap penonton. Dengan adanya penerbitan program-program seperti ini juga, kami yakin ia mampu meningkatkan lagi kualiti dan bilangan pelawak dalam dunia hiburan tempatan.

Jangan lupa saksikan program Lawak Minggu Ini pada setiap hari Jumaat, jam 10.00 malam bermula 5 Ogos 2011 secara eksklusif di Astro Warna (Saluran 132) dalam pakej Mustika.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI