Pelakon lagak ngeri mati ketika beraksi

Wednesday, August 24, 2011

Seorang pelakon lagak ngeri veteran Amerika Syarikat (AS), maut selepas terjatuh semasa melakukan pertunjukan udara, ketika penonton menyangka kemalangan itu sebahagian daripada aksinya.



Todd Green, 48, jatuh daripada ketinggian 61 meter dan kemalangan itu berlaku kerana kesilapan ketika melakukan aksi dalam pertunjukan udara.

Beberapa keping gambar aksi mengerikan itu menunjukkan Green yang merupakan bapa kepada dua orang anak, cuba berpaut pada sebuah helikopter yang berlegar-legar di atas sebuah pesawat ringan, sebagai sebahagian daripada aksi lagak ngeri itu.

Pegawai pertunjukan udara berkata, Green, cuba berpaut pada helikopter jenis Stearman di Pangkalan Udara Pengawal Kebangsaan di Harrison Township, melalui dua percubaan, dan dia terjatuh semasa percubaan kali ketiga.

Sebaik-baik sahaja Green mencapai besi pendaratan helikopter terbabit, dia tergelincir dan terjatuh, sekali gus menyebabkan dia maut.

Kebanyakan 75,000 penonton yang hadir pada pertunjukan udara itu di Selfrigde, dekat Detroit, Michigan, menyangka babak ngeri itu merupakan sebahagian pertunjukan terbabit dengan sebuah patung dibuang ke tanah.

Bagaimanapun, penonton mula menyedari ‘aksi tersebut’ merupakan satu kemalangan apabila melihat krew bantuan kecemasan bergegas ke arah mangsa kemalangan itu yang mengalami kecederaan.

Sebuah ambulans membawa Green ke Pusat Perubatan Wilayah Mount Clemens, namun pelakon itu, meninggal dunia akibat kecederaan teruk.

Sejurus sebelum Green terjatuh, juruhebah memaklumkan kepada penonton bahawa keadaan angin boleh menyebabkan masalah dan mengingatkan mereka mengenai bahaya aksi yang bakal dilakukan oleh Green.

Green, berkecimpung dalam aksi lagak ngeri lebih 25 tahun dan merupakan anak kepada legenda aksi lagak ngeri AS, Eddie ‘The Grip’ Green, yang juga pernah beberapa kali melakukan aksi ngeri berpindah dari pesawat ke helikopter.

Kematian Green merupakan kejadian kali kedua membabitkan tragedi pertunjukan udara di AS selepas juruterbang lagak negeri, Bryan Jensen maut apabila pesawatnya terhempas semasa mengadakan pertunjukan udara di Kansas City. – AGENSI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI