Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel Ke Filem,tarikh tutup 31 Disember 2011

Rabu, Ogos 03, 2011

Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel Ke Filem

Orang ramai yang berkebolehan menulis skrip berpeluang memenangi hadiah sehingga RM15,000 selain skrip mereka akan difilemkan apabila Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel Ke Filem.

Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, program yang turut dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu memperkenalkan lima buah novel untuk membolehkan orang ramai menghasilkan skrip adaptasi.

Ia membabitkan novel Sandera, karya Arenawati, Interlok (Abdullah Hussein), Empangan (Zakaria Ali), Pemberontakan (Chian Jong Lai) dan Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani).

"Di negara kita, filem yang diadaptasi daripada novel terlalu sedikit sedangkan kita mempunyai pelbagai novel yang bermutu dan popular.

"Justeru, menerusi pertandingan ini, ia bertujuan untuk mengangkat semula filem-filem adaptasi daripada novel dan pada masa yang sama kita dapat memperbanyakkan lagi skrip-skrip filem adaptasi yang bermutu." katanya.

Antara filem-filem tempatan yang pernah diadaptasi daripada novel ialah Lagenda Budak Setan, Ombak Rindu (belum ditayangkan), Ranjau Sepanjang Jalan, Bukan Salah Ibu Mengandung dan Putus Sudah Kasih Sayang.

Sementara itu Kata Pemangku ketua Pengarah Finas, Fatimah Ahmad, pihaknya akan berusaha untuk mendapatkan mana-mana syarikat penerbit mengambil skrip yang memenangi pertandingan tersebut untuk difilemkan selain akan dibiayai menerusi yang akan dikeluarkan.

"Jika segala perancangan berjalan dengan lancar, skrip yang akan difilemkan itu dijadualkan akan memulakan penggambarannya pada pertengahan tahun depan.

"Selain itu para pemenang tidak perlu risau tentang hak cipta skrip yang dihasilkan kerana ia tidak akan bertukar hak milik.

"Pemenang bukan sahaja memenangi sejumlah wang yang besar, tetapi mereka juga akan dibayar berdasarkan hak cipta dan royalti daripada pihak penerbit," jelas Fatimah.

Tambahnya, pihak penganjur juga akan cuba membawa skrip yang dihasilkan itu ke peringkat antarabangsa jika ia memiliki kreativiti dan kualiti yang bagus.

Selain hadiah utama yang berjumlah RM15,000, pemenang tempat kedua akan menerima wang tunai berjumlah RM8,000 manakala tempat ketiga, wang tunai sebanyak RM5,000 akan diberikan.

Bagi mereka yang berminat boleh menghantar karya masing-masing sehingga 31 Disember 2011.

Penyertaan hendaklah diberikan kepada: Urus Setia, Pertandingan Menulis Skrip Adaptasi Novel Ke Filem, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Aras 25, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi A.Wahab Hamzah (03-21482348), Roslinda Mustapha (03-21482924) atau Nurul Aina Borhan (03-21482914).

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI