Kesan radiasi menara telekomunikasi rendah

Ahad, Ogos 29, 2010

Anda sukar membuat panggilan? Apabila dilihat pada skrin telefon mudah alih tertera 'Tiada isyarat'...Pasti sebagai pengguna ia adalah satu fenomena yang amat menjengkelkan kerana anda perlu membuat panggilan yang penting ketika itu.

Ia adalah senario yang dikenali sebagai kelompongan liputan apabila infrastruktur telekomunikasi seperti menara pemancar tidak berada dalam lokasi yang sedang kita susuri.

Sebagai pengguna kita akan menuding jari ke arah penyedia perkhidmatan kerana gagal menepati standard pengguna. Menyedari hakikat itu, usaha berterusan syarikat telekomunikasi tempatan menempatkan menara pemancar di tempat yang strategik beroperasi secara agresif ketika ini.

Syarikat yang terbabit dalam industri ini turut memperuntukkan kadar pelaburan yang tinggi bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan mereka. Bagaimanapun, persepsi di kalangan umum yang menyifatkan kadar radiasi tinggi dihasilkan menara telekomunikasi telefon mudah alih yang membahayakan kesihatan menyebabkan timbulnya isu ia wajar dirobohkan sekiranya ditempatkan di kawasan penempatan.

Dalam satu pertemuan pemukiman antara syarikat telekomunikasi, SKMM dan media, peluang itu diambil di kalangan peserta menjelaskan senario sebenar di sebalik tanggapan negatif terhadap menara yang dibina bagi tujuan menyediakan perkhidmatan berkesan.

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), sebagai pengawal atur industri komunikasi dan multimedia membangkitkan isu persepsi berhubung kesan radiasi daripada menara telekomunikasi.

Pengarah Kanan Bahagian Teknologi, Standard dan Rangkaian SKMM, Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, berkata ketika ini Malaysia sudah membangunkan lebih daripada 19,000 menara telekomunikasi bagi menjamin isyarat telefon mudah alih dapat menghubungkan pengguna di samping mengelak kelompongan liputan.

Bagaimanapun, senario persepsi, katanya, menyebabkan maklumat yang terhad diperoleh pengguna antara faktor timbulnya isu tidak puas hati penduduk yang mahukan menara telekomunikasi yang berdekatan dengan kawasan perumahan dirobohkan.

Malangnya, beliau berkata, fakta di sebalik kesan radiasi itu kurang tepat apabila angka yang sudah diuji kurang daripada 160 hingga 200 peratus daripada garis panduan yang ditetapkan Suruhanjaya Antarabangsa dan Perlindungan Radiasi Tidak Mengion (ICNIRP).

"Apabila aduan diterima, SKMM tidak mempunyai pilihan selain merobohkan menara itu sedangkan apabila ia sudah tiada, wujudnya kelompongan liputan yang akan menyebabkan pengguna mengadu bahawa isyarat talian telefon mudah alih mereka teruk dan syarikat pengendali gagal menyediakan perkhidmatan yang dijanjikan," katanya pada sesi taklimat kesan radiasi dan fakta berhubung frekuensi radio (RF) bersama media di sini, baru-baru ini.

Ia adalah dilema di kalangan penyedia perkhidmatan dan SKMM apabila maklumat yang kurang tepat menyebabkan prasarana penyampai isyarat telefon mudah alih dan kini internet tidak dapat berfungsi apabila menara telekomunikasi terpaksa dirobohkan.

Pengurus Perhubungan Pihak Berkuasa Sapura Research Sdn Bhd, Mohd Zin Mohd Noor, berkata kos mendirikan menara telekomunikasi adalah melebihi RM300,00 dan sekiranya ia dirobohkan, pembangunannya memerlukan penyediaan kos dan kelengkapan baru kerana peralatan yang sudah dirobohkan tidak boleh digunakan untuk menara baru.

"Jika aduan orang ramai mahu ia dirobohkan, kami (syarikat penyedia) tiada pilihan selain merobohkannya. Tetapi, selepas itu, pengguna akan mengadu bahawa kawasan mereka tidak mendapat liputan yang dijanjikan.

"Ia adalah satu dilema apabila sebelum itu, penduduk mahu ia dirobohkan, Tetapi selepas menara telekomunikasi tiada...isyarat pun tiada dan wujudnya kelompongan liputan," katanya.

Sementara itu, Profesor Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya, Profesor Kwan-Hoong Ng, berkata telefon mudah alih adalah kelengkapan telekomunikasi yang mengeluarkan kadar radiasi frekuensi radio pada antena tidak mampu menyebabkan kesan pemanasan yang mencukupi pada telinga atau kepala.

Beliau berkata, walaupun suhu pada kulit meningkat apabila ia ditempatkan pada telinga dan kepala, ia hanya menyekat laluan angin di kawasan itu.

Bagi menara telekomunikasi atau stesen pangkalan, katanya, ia mengeluarkan radiasi RF yang rendah kerana pemancar yang terkandung di dalamnya mempunyai rangkaian yang pendek atau kuasa rendah.

Beliau berkata, di Malaysia, pembinaan menara telekomunikasi menepati garis panduan yang ditetapkan SKMM yang turut diguna pakai standard antarabangsa dan amalan keselamatan yang dijamin.

Pihak seperti ICNIRP, Institut Elektrikal dan Kejuruteraan Elektronik (IEEE) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) adalah badan yang mempengaruhi penetapan standard berdasarkan kajian yang sudah dilaksanakan.

Ketika ini, SKMM menggunakan garis panduan tahap radiasi yang dibenarkan, dikeluarkan Jabatan Telekom Malaysia pada 1998, di mana ia berasaskan standard antarabangsa bagi meminimumkan kesan radiasi ke atas kesihatan.

Selain itu, Institut Kaji Selidik Teknologi Nuklear Malaysia (MINT), turut mengukur kadar pendedahan radiasi yang dihasilkan menara telekomunikasi dan penemuan yang diperoleh adalah pendedahan maksimum kurang daripada satu peratus had pendedahan terhadap orang ramai yang ditetapkan standard keselamatan.

Hasil penemuan mendapati antena yang dibina pada menara telekomunikasi menunjukkan kadar yang memungkinkan melebihi had ditetapkan jarang berlaku dan masih belum mencatatkan ukuran melebihi 10 peratus.

Komuniti saintifik antarabangsa bersetuju bahawa tenaga yang dikeluarkan menerusi antena stesen pangkalan telefon mudah alih adalah jauh lebih rendah daripada kemampuan bagi mempengaruhi risiko terhadap kesihatan.

Bagaimanapun, Pengarah Pusat Pengurusan Kajian Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Profesor Bersekutu Dr Md Zaini Jamaluddin, berkata orang ramai dinasihatkan dapat menjauhkan diri daripada antena atau mempunyai hubungan secara terus dengan bahagian pemancar itu.

"Kita perlu faham bahawa yang mendatangkan bahaya adalah antenanya dan bukan menara telekomunikasi yang dibina untuk menyokong antena berkenaan," katanya.

Persatuan ahli saintis Kanada, The Royal Society of Canada pada 1999, menjelaskan bahawa: "Tidak ada peningkatan konsisten atau bukti akan wujudnya risiko kesihatan berikutan terdedah kepada radiasi frekuensi radio."

Selain itu, WHO turut mengeluarkan kenyataan mereka pada 2000: "Tidak wujud dalam penemuan terkini yang dapat disimpulkan pendedahan badan terhadap lapangan RF daripada telefon mudah alih atau menara telekomunikasi mampu menyebabkan kepada masalah kesihatan. Bagaimanapun, wujudnya ruang dari aspek pengetahuan yang dikenal pasti untuk diadakan kajian susulan bagi membolehkan penilaian terhadap risiko kesihatan dilakukan.

Wakil Kementerian Kesihatan, Dr Pirunthavany Muthuvelu, berkata bagi telefon mudah alih, majoriti kajian yang dilakukan menunjukkan ia gagal menjelaskan kesan kepada RF daripada telefon mudah alih dan hubungan dengan masalah kesihatan.

Malah, katanya, radiasi RF yang dihasilkan menara telekomunikasi masih berada dalam lingkungan spektrum elektromagnetik yang tidak 'mengion' (mengeluarkan cas ion).

Beliau berkata, kadar 0.002 peratus yang dicadangkan garis panduan ditetapkan berada pada ukuran purata yang dibenarkan.

Malah, bagi mendedahkan orang ramai dengan persepsi negatif ini, Kementerian Kesihatan turut bersama-sama SKMM menjelaskan senario sebenar berhubung isu kesan radiasi menara telekomunikasi ke atas kesihatan.


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Catat Ulasan

 

ZONFINITI