David Teo kata Farid mungkin tertidur

Wednesday, August 25, 2010

Farid mungkin keletihan sehingga tertidur, demikian penjelasan daripada produser MIG Movie Production, David Teo apabila ditanya mengenai kegagalan pelakon di bawah naungannya itu gagal muncul dalam rakaman program raya terbitan Astro minggu lalu.

Begitupun, David mengaku tidak mengetahui cerita sebenar mengenai perkara itu, namun dia percaya Farid Kamil tetap seorang pelakon yang berdisiplin.

"Kemungkinan keletihan yang melampau menyebabkan dia tertidur. Ini mungkin salah faham saja. Mungkin dia terlalu letih kerana banyak menjalani penggambaran untuk bulan puasa ini.

"Tapi saya sendiri tidak tahu langsung mengenai perkara itu. Kalau kita tahu apa yang berlaku pada hari berkenaan, sudah tentu kita akan membantu mencarinya. Saya juga diberitahu pembantu peribadi Farif juga tidak bekerja pada hari rakaman program itu dibuat," katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa MIG sambil meraikan 52 anak yatim dari Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Klang, di Subang Jaya.

Pada 13 Ogos lalu, Farid yang juga menjadi Artis Eksklusif Astro dikatakan gagal muncul untuk menjalani program terbitan Astro Prima berjudul Kampung Prima: Babak 105 hingga menyukarkan semua pihak dalam produksi.

Pelakon itu yang berjanji untuk muncul semula selepas berbuka puasa tidak dapat dihubungi oleh pihak penerbit menyebabkan rakaman program ini dirombak semula. Sementara itu, David berkata, majlis berbuka puasa dengan meraikan golongan yang kurang bernasib baik itu sudah menjadi rutin tahunan syarikatnya sejak mula beroperasi lebih 10 tahun lalu.

MIG yang juga antara syarikat produksi pertama yang mencipta suasana mengadakan majlis berbuka puasa meraikan anak yatim bersama pihak media.

Katanya, sepanjang Ramadan ini, pihaknya merancang menaja majlis berbuka puasa untuk lima rumah badan kebajikan termasuk rumah anak yatim. Antaranya seperti RACTAR, Kompleks Darul Kifayah Batu Caves, Pondok Penyayang Raudah Gombak dan Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras.

"Saya bermula sejak tahun 2000 lagi, bagi saya rezeki yang kita dapat itu sebaiknya dikongsi bersama mereka yang susah, barulah rezeki kita itu berkat.

"Bagi saya keikhlasan itu penting. Setiap tahun MIG tetap mengadakan aktiviti bersama anak yatim. Semakin hari MIG semakin besar dan kami kini mempunyai lebih 30 artis baru.

"Suasana ini juga cuba saya tunjukkan kepada artis baru ini agar sentiasa mengingati orang yang kurang bernasib baik dan sebab itu setiap kali mengadakan majlis berbuka bersama anak yatim, saya akan memastikan mereka datang," katanya.

Pada majlis ini, barisan artis yang hadir ialah Lisa Surihani, Fizo Omar, Diana Amir, Putri Mardiana, Mon Ryanti, Zul Suphian, Alex Yanz, Adey, Tasha, Ard, Shasha Zurazie dan Faith.

Sepanjang bulan yang mulia ini juga, MIG turut memberi penghormatan kepada semua pelakonnya untuk berehat dan menumpukan kepada ibadat puasa.

"Kami tidak mengadakan apa-apa penggambaran filem kerana menghormati bulan ini. Semua penggambaran disiapkan sebelum Ramadan dan akan disambung selepas hari raya nanti.

"Tetapi untuk penggambaran drama perlu dihabiskan juga kerana ia terikat dengan tarikh siaran stesen TVyang akan disiarkan pada hari raya nanti," katanya mengharapkan filem Senario Asam Garam yang akan ditayangk an seluruh pawagam tanah air pada 9 September sempena Aidilfitri ini mendapat sambutan baik daripada penonton.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI