Orang Kaya Di China susut

Wednesday, September 26, 2012

Bilangan bilionair di China telah menyusut 20 peratus daripada bilangan tahun lepas ke 251 individu tahun ini tetapi masih tinggi berbanding hanya 15 bilionair enam tahun lepas, kata Institut Penyelidikan Hurun yang berpangkalan di Shanghai dalam satu laporan, Selasa.

Senarai Orang Kaya Hurun 2012 yang di keluarkan pada Isnin berkata daripada 1,000 individu yang berada di tempat teratas senarai itu, 469 menyaksikan kekayaan mereka merosot, di mana 37 daripadanya mengalami penguncupan lebih 50 peratus, terutamanya dari sektor solar, tekstil dan runcit.

"291 lagi melihat kekayaan mereka meningkat, 114 tidak berubah dan 150 lagi adalah wajah baru," kata institut itu.

Ia berkata purata kekayaan mereka yang tersenarai susut 9.0 peratus kepada US$860 juta, tetapi angka ini masih hampir dua kali ganda daripada 2008 iaitu sebanyak US$439 juta.

Pemilik syarikat minuman Wahaha, Zong Qinghou, 67, mengungguli senarai tahun ini, dengan kekayaan sebanyak US$ 12.6 bilion.

Hartawan hartanah China Wang Jianlin, 58 dan pengerusi dan pengasas enjin carian utama China, Baidu, Robin Li Yanhong, 44, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Senarai Orang Kaya Hurun 2012 adalah senarai kedudukan tahunan 1000 individu terkaya di China. - BERNAMA

 

ZONFINITI