Pudu Sentral jadi UTC KL

Sunday, September 23, 2012

Stesen bas Puduraya yang diubah suai kepada Pudu Sentral kini menjalani satu lagi proses tranformasi apabila menjadi Bangunan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Kuala Lumpur yang menempatkan 39 pejabat jabatan kerajaan dan swasta.

Bangunan yang melalui proses pengubahsuaian bernilai RM24 juta dalam tempoh enam minggu itu turut menempatkan pusat pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan dan pusat kegiatan bagi badan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam merasmikan bangunan empat tingkat berkenaan yang juga UTC kedua di negara ini selepas melancarkan UTC Melaka yang menempatkan 70 agensi kerajaan, swasta dan NGO.

Katanya, melalui kewujudan pusat berkenaan orang ramai boleh berurusan dengan lebih mudah dan selesa kerana semuanya berada dalam satu tempat di kawasan bandar.

“Konsep UTC ini diharapkan dapat memberi keselesaan kepada rakyat dan khidmat lebih baik kepada rakyat terutama warga kota... serba-serbi ada di sini, pasport (antarabangsa) boleh diambil dalam masa sejam, MyKad dua jam, urusan zakat dan pelbagai aktiviti sukan juga boleh dilakukan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan bangunan itu serta Kedai Buku 1Malaysia di bangunan sama semalam.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.

UTC pusat sehenti diperkenalkan untuk memudahkan masyarakat bandar mendapat akses kepada keperluan yang disediakan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan di bawah satu bumbung melalui Program Transformasi Bandar.

Dengan mewujudkan bangunan UTC, warga kota boleh membuat pelbagai urusan seperti pembayaran zakat, cukai, urusan kad pengenalan selain menyediakan tempat rekreasi seperti studio aerobik dan gelanggang futsal.

Sementara itu, menjawab soalan berhubung isu penyaluran dana asing kepada Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Najib berkata perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa yang terbabit untuk menjalankan siasatan.

“Biar pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkuasa berkaitan siasat (perkara itu),” katanya.

Isu berkenaan timbul selepas siasatan awal SSM mendapati wujud transaksi dana antara Suaram dan Suara Inisiatif Sdn Bhd, namun Suaram yang mendakwa sebagai sebuah NGO didapati tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

 

ZONFINITI