Senarai Pemenang Pertandingan Panasonic Kid Witness News (KWN) 2012

Wednesday, September 12, 2012

Senarai Pemenang Pertandingan Panasonic Kid Witness News (KWN) 2012

- Anugerah Utama: SMK Seksyen 9 Shah Alam, Selangor.

- Videografi Terbaik: Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11 (1), Putrajaya.

- Skrip Terbaik: SK Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang.

- Dokumentari Terbaik: SMK Sultan Abu Bakar, Kuantan, Pahang.

- Cerita Asal Terbaik: SMK Kuhara, Tawau, Sabah.

- Cerita Rekaan Terbaik: SK Pekan Dua, Labuan, Sabah.

- Cerita Motivasi Terbaik: Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling Butterworth, Pulau Pinang.

- Penyelidikan Terbaik: SMK Bukit Mewah, Seremban, Negeri Sembilan.

- Penyuntingan Terbaik: SMK Agama Al Irshad, Kepala Batas, Pulau Pinang.

- Drama Terbaik: SK Nong Chik, Johor Bharu.

- Kesan Khas Terbaik: SMK Mergong, Alor Star, Kedah.

- Anugerah Khas Juri: SK Sena, Kangar, Perlis.

Video bertajuk `Paper Chase' hasil kreativiti empat orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Selangor berjaya memikat juri sekali gus melayakkan mereka memenangi Anugerah Utama Pertandingan Panasonic Kid Witness News (KWN) 2012, baru-baru ini.

Idea kreatif yang dihasilkan Ashrafiqal Aleef Noor Azwad, Muhammad Ezzad Emmir Hariss, Khairom Maisarah Baharom dan Nurul Husna Jamali itu mengisahkan mengenai usaha seorang budak kampung bernama Ammar yang berusaha gigih untuk menguasai bahasa Inggeris dengan mengumpul surat khabar lama termasuk bekas bungkusan nasi lemak.

Kemenangan itu melayakkan mereka meneruskan saingan peringkat Asia Tenggara yang dijangka diadakan pada Disember ini.

Guru penasihat sekolah berkenaan, Encik Syed Ahmad Thani Tuan Hadi, berkata idea mengenai kisah yang dipaparkan dalam video berkenaan ialah berdasarkan kisah benar seorang guru di SMK Seksyen 9 yang begitu gigih berusaha untuk mempelajari bahasa Inggeris sehingga sanggup menggeledah tong sampah bagi mengutip akhbar berbahasa Inggeris yang digunakan untuk membungkus nasi.

"Guru berkenaan pernah bercerita kepada pelajarnya mengenai kesusahan yang terpaksa ditempuhi suatu ketika dulu kerana tidak mampu untuk membeli bahan bacaan berbahasa Inggeris menyebabkan dia sanggup mengutip surat khabar terbuang untuk dibaca.

"Jadi, kami ambil idea berkenaan dan tidak sangka pula ia mampu memikat hati juri sekali gus membolehkan SMK Seksyen 9 memenangi pertandingan kali ini," katanya.

Ashrafiqal yang bertanggungjawab sebagai pengarah bagi projek berkenaan pula berkata, dia tidak menyangka sekolahnya akan terpilih sebagai pemenang utama KWN kali ini kerana saingan yang diberikan oleh sekolah lain sangat sengit.

"Bagaimanapun, saya difahamkan oleh pihak juri bahawa satu aspek yang membantu sekolah kami dipilih sebagai juara ialah kepelbagaian sudut yang diambil dalam penghasilan video berkenaan.

"Kami akan memperbaiki lagi proses suntingan video berkenaan untuk pertandingan peringkat Asia Tenggara supaya kenangan manis seperti hari ini berjaya dicipta sekali lagi Disember ini," katanya.

Puan Rosnani berkata, usaha Panasonic yang memasuki tahun kelapan itu amat bermanfaat kepada pelajar kerana boleh membantu mencungkil bakat serta kreativiti mereka dalam bidang penghasilan dokumentari serta drama pendek.

"Program ini juga mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar serta memberi banyak pengalaman baru terutama melalui kem latihan yang diadakan beberapa bulan lalu.

"Saya yakin semua pelajar sudah berusaha keras untuk menghasilkan video yang berkualiti. Tahniah kepada semua pelajar yang terbabit dalam KWN dan Panasonic kerana berjaya menganjurkan program yang cukup bermanfaat ini," katanya.

Sementara Puan Azizah berkata, Panasonic akan meneruskan pertandingan itu sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan.

"Seramai 280 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru daripada 56 sekolah seluruh negara mengambil bahagian dalam KWN tahun ini tetapi hanya 32 video saja dipilih untuk berentap di KWN peringkat kebangsaan.

Selepas diteliti barisan juri yang diketuai pengarah filem terkenal, Encik Othman Hafsham, kami memilih 12 buah video terbaik memasuki pusingan akhir," katanya.


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI