Misteri Terowong Piyamit , Betong, Thailand

Saturday, September 01, 2012

Terowong Piyamit di bandar Betong, Thailand.

Terowong bersejarah Piyamit yang meninggalkan suatu episod kekal bagi Kerajaan Malaysia dan rakyatnya itu pada asasnya tidak banyak beza dengan terowong di Vietnam di mana ia turut memiliki kemudahan istimewa termasuklah dewan makan, bilik mesyuarat besar, hospital, bilik penginapan, dapur dan bahagian penyimpanan senjata.




Kubu komunis

Pun begitu, mengenang kembali `pemilik' asal terowong itu, timbul pula perasaan bercampur baur yang mengusik emosi sementelah mengenangkan Terowong Piyamit adalah salah satu kubu kuat milik pengganas komunis ketika zaman darurat dengan kerajaan Malaysia.

Ternyata, membandingkan dengan teknologi yang ada bagi era 1970an, pembuatan terowong sejauh kirakira satu kilometer itu tidak boleh diperkecilkan sama sekali. Ini ditambahkan dengan beberapa kelengkapan dan peralatan yang digunakan pengganas komunis suatu ketika dulu yang kini boleh disaksikan menerusi ruang pameran kepada pengunjung.

Melihat pula kepingan foto hitam putih yang memaparkan pelbagai peristiwa besar di terowong itu termasuklah kunjungan beberapa orang pemimpin berhaluan kiri terasa betapa markas itu benar-benar berbahaya kepada masyarakat sekitarnya.

Terlindung dari pembangunan pusat bandar Betong yang terletak kirakira lima kilometer dari situ, Terowong Piyamit sememangnya agak tersembunyi. Sebagaimana ketika penulis melawat ke lokasi itu dengan kadar bayaran RM5 (bath 50), barubaru ini, memang destinasi itu agak tersorok.

Lokasi tersembunyi

Terletak di balik bukit dengan masih diliputi hutan tebal hingga kini, terowong bersejarah itu bukan lagi lokasi yang patut digeruni kerana ia kini menjadi antara destinasi pelancongan popular di kalangan pelancong ke Betong. Malah, pintu gerbang yang menghubungkan pengunjung ke destinasi itu turut mencatat sejarah ringkas pembinaan Terowong Piyamit.

Sebagai destinasi pelancongan setempat, laluan menghala ke pintu masuk terowong sudah berbeza sama sekali terutama laluan pejalan kaki. Kecuali, struktur dalaman terowong masih dikekalkan untuk memberi pengalaman serupa kepada pengunjung.

Lubang rahsia

Mengikut sejarah terowong Piyamit ini dibina pada 1976, mengambil masa hanya kira-kira tiga bulan disiapkan dengan menggunakan tenaga seramai 50 anggota Parti Komunis Malaya (PKM). Terowong ini boleh menempatkan hampir 300 orang dalam satu-satu masa dan terdapat pelbagai kemudahan di dalamnya seperti tempat memasak, bilik perjumpaan, ruangan simpanan makanan, bilik perubatan dan tempat pembuatan senjata.

Selain memiliki lubang rahsia yang kebanyakannya sudah tertimbus pada hari ini, difahamkan terowong itu dicipta sebagai satu daripada sembilan laluan termasuk lubang rahsia untuk menyelinap masuk ke wilayah Malaysia.

Tidak hairan, kerana sesetengah kedalaman mampu mencapai sehingga 60 kaki dan sejauh lebih 1 kilometer panjang merentas sempadan Malaysia - Thailand.

Penulis yang turut berkesempatan memasuki satu daripada laluan di dalam terowong itu berpendapat yang keadaan di situ tidak panas selain aliran udara yang baik ekoran terdapat corong udara di beberapa sudut laluan terowong.

Meskipun seni bina asas, jelas betapa terowong bersejarah itu mempunyai ciri hebat untuk kemudahan PKM. Pun begitu, melihat kepada keadaan asal sambil gambar yang dipamerkan, ternyata bukan mudah untuk seseorang mampu mengharungi kehidupan serba ringkas dalam terowong ini.

Uniknya pekan Betong

Bersempadan dengan Pengkalan Hulu di Perak, Betong memiliki tarikan tersendiri buat pengunjungnya. Terletak di kawasan paling hujung di Thailand, Betong menempatkan majoriti penduduk Islam berketurunan Melayu.

Menyelak lembaran dari sudut geografi pula, Betong adalah permulaan bagi banjaran Titiwangsa membawa ke hutan Belum di Perak, Cameron Highlands, Fraser Hill dan Bentong di Pahang.

Bandar Betong dulunya cukup sinonim sebagai salah satu markas PKM. Hari ini, Betong cukup membangun dan terkenal sebagai salah satu destinasi menarik bagi pelawat dari Malaysia.

Selain menyediakan banyak hotel penginapan, Betong menawarkan banyak pilihan untuk beli-belah dengan harga berpatutan. Bagi pelawat dari Malaysia, kunjungan ke Betong selalunya dimanfaatkan pada cuti hujung minggu untuk membeli barang keperluan harian.

Uniknya di pekan Betong juga, kebanyakan penduduknya fasih bertutur dalam bahasa Melayu.


Lokasi menarik sekitar Betong

- Kolam Air Panas Betong

- Taman Bunga Betong

- Peti Surat Terbesar di Thailand

- Menara Jam Bandar Betong

- Air Terjun Bu Ke Pilo

- Gua Krachaeng

- Hutan Bala-Hala

- Taman Padang Gajah Putih

INFO

- 50 PEKERJA membina terowong

- 3 BULAN tempoh terowong disiapkan

- 300 ORANG boleh masuk dalam terowong pada satu masa

- 60 KAKI kedalaman terowong

- 9 LALUAN jalan keluar dan masuk

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI