Jenayah melampau: Kerat mayat sebelum bakar

Friday, August 31, 2012

Kepulan asap di sebuah lorong kecil berhampiran ladang kelapa sawit membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki terbakar dalam keadaan tanpa kepala, kedua-dua tangan dikerat pada paras siku dan kaki dipotong di bahagian paha.

Mayat lelaki dipercayai mangsa pembunuhan kejam itu ditemui orang awam yang curiga selepas melihat kepulan asap dekat ladang kelapa sawit di Jalan Sungai Kechil, di sini, jam 9.45 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mat Nasir Salleh berkata, ketika ditemui sebahagian mayat masih terbakar itu dan mangsa hanya berseluar dalam.

Menurutnya, siasatan anggota forensik yang bergegas ke tempat kejadian gagal menemui dokumen pengenalan diri pada mayat terbabit dan menganggarkan usia mangsa dalam 30-an.

"Mangsa dikenal pasti lelaki berdasarkan kemaluannya yang tidak terbakar dan polis menemui tiga tin minyak dipercayai digunakan untuk membakar mangsa tidak jauh dari tempat kejadian.

"Polis turut menemui dua jari mangsa yang masih elok dan ia penting untuk membantu siasatan kami bagi mengenali identiti mangsa," katanya.

Mat Nasir berkata, pakar Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh yang melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa meninggal dunia tujuh jam sebelum ditemui.


"Ini bermakna mangsa mati jam 4 pagi dan polis percaya dia dibunuh tempat lain sebelum anggota badannya dikerat dan dikumpulkan di kawasan ladang sawit berkenaan untuk dilupuskan," katanya.

Menurutnya, mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mat Nasir turut meminta saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di talian 04-5824222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. ~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI