"Bangunlah Along, emak teringin beraya dengan Along," rintih seorang ibu, Maziah Jusoh, 48, yang terus menaruh harapan supaya anaknya yang terlantar koma akibat dirempuh kereta 13 tahun lalu, kembali sedar untuk menyambut Aidilfitri.
Siti Suzaini Jailani yang kini berusia 20 tahun, koma selepas ditimpa kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat mengaji al-Quran ketika berusia tujuh tahun.
Sejak kejadian itu, zaman kanak-kanak Siti Suzaini atau lebih mesra dengan panggilan Along terus hilang kerana tubuhnya tidak lagi dapat bergerak dan hanya terlantar di tempat tidur.
Maziah berkata, Along hanya menggerakkan mata memerhatikan ahli keluarganya dan setiap kali tiba 1 Syawal sejak 13 tahun lalu, dia sebak melihat nasib anak sulungnya itu.
Menurutnya, sebelum kemalangan menimpanya, Along amat ceria pada Aidilfitri terutama apabila menjamah sate ayam dengan kuah kacang serta air laici kegemarannya.
"Setiap kali teringat gelagatnya itu, saya tidak dapat menahan sebak kerana merindui keadaannya yang normal. Sekarang dia hanya boleh menggerakkan mata kerana koma," katanya.
Mengimbas kemalangan yang menimpanya pada Julai 1999, Along ketika itu bersama seorang rakan sebaya berjalan ke tempat mengaji al-Quran di hadapan rumahnya di Kampung Daramain, di sini.
Mereka sepatutnya melintas jalan bersama, namun Siti Suzaini tertinggal di belakang menyebabkannya cuba mengikut rakannya dengan segera meluru ke seberang jalan, namun dirempuh kereta sehingga melambung.
Akibat kemalangan itu, Along yang anak sulung daripada tiga beradik parah di kepala dan menerima rawatan selama tiga bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu.
Maziah berkata, sejurus selepas kemalangan, dia dimaklumkan doktor bahawa peluang untuk anaknya hidup amat tipis, namun bersyukur apabila Along dipanjangkan usia sehingga kini.
"Walaupun Along mungkin terlantar kaku sepanjang hayat, saya tidak patah semangat dan melakukan apa saja untuk membantunya pulih. Dia kini menjalani fisioterapi di hospital selain berubat secara tradisional termasuk akupuntur dan air penawar.
"Along mula menggerakkan mata, batuk dan bersin sejak tujuh tahun lalu. Itu perubahan positif yang boleh dilihat setakat ini," katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.
Menurutnya, Along perlu diberi perhatian rapi kerana makan, minum serta pakaiannya perlu diuruskan selain memastikan dia sentiasa berada dalam keadaan bersih.
"Makanan Along hanya susu tepung khas yang perlu diberikan setiap tiga jam dan disalurkan menerusi tiub yang dipasang melalui mulutnya. Selain itu, saya perlu memastikan dia diberi tujuh jenis ubat setiap hari.
"Along juga tak dapat membuang air besar seperti biasa dan terpaksa menggunakan sejenis ubat. Saya tidak kisah walaupun mengeluarkan sendiri najisnya," katanya.
Maziah berkata, doktor pernah mencadangkan supaya perut anaknya ditebuk supaya dia boleh membuang air besar melalui perut, tetapi keluarga tidak setuju kerana yakin Along sembuh satu hari nanti.
"Sedaya upaya saya akan pastikan Along berada dalam keadaan baik dan setiap lima hari sekali saya mandikan dan bersihkan tubuhnya. Jika mula-mula dulu, memang ada masalah kerana banyak yang saya tidak tahu.
"Kalau dia mengalami kekejangan, saya terpaksa membawanya ke hospital biarpun di tengah malam. Tetapi, sekarang saya sudah belajar menjaganya dan tiub makanan juga dipasang sendiri. Saya tidak boleh berpisah dengannya kerana dia memerlukan perhatian setiap masa," katanya.
Menurutnya, lebih RM1,000 diperlukannya setiap bulan untuk membeli lampin pakai buang, susu tepung dan tiub untuk Along.
Hasil perkahwinan dengan Mohd Hamzan Mohd, 47, Maziah dikurniakan dua anak Mohd Shahrizan, 8, dan Mohd Shahrulnizam, 6, manakala Along dan dua adiknya, Siti Suzaini iaitu Siti Suhaini, 19, dan Mohd Safuan, 17, adalah hasil perkahwinannya sebelum ini.