Teka-teki hubungan aktor popular, Mohd Norhakim Zaidon (Norman Hakim), 34, dan pasangannya, dramatis jelita, Memey Suhaiza Suhaimi akhirnya termeterai apabila mereka memutuskan untuk bersatu atas tali pertunangan di rumah keluarga Memey di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, semalam.
Mengenepikan kes khalwat mereka yang masih berjalan di mahkamah sejak dua tahun lalu, pasangan ini tekad mengambil keputusan untuk bertunang, dengan Norman menghantar lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada Memey.
Bagaimanapun kedua-dua pihak enggan berkongsi soal wang hantaran.
Menyarung persalinan gaun petang berwarna rona putih dengan sentuhan mekap tipis, Memey kelihatan cukup anggun dan berseri di hadapan keluarganya serta rombongan Norman sebanyak 13 kereta dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Menurut Memey, 22, pertunangan ini bagai melepaskan segala tekanan dan rasa kecewa yang selama ini bersarang di hatinya selepas terpaksa berdepan dengan pelbagai persepsi orang sekeliling atas kontroversi yang berlaku antara mereka berdua.
“Jujurnya memang penat sebenarnya selama ini. Bukan kerana mendengar kata-kata nakal orang, sebaliknya terlalu letih mengharungi segala dugaan yang datang menimpa tidak henti. Syukurlah abang (Norman) sentiasa menyokong dan memberikan motivasi buat saya terus berdiri.
“Abang memang seorang lelaki yang baik dan mampu membimbing saya serta keluarga kami nanti. Saya yakin dengan sifat kebapaannya. Soal keserasian tidak perlu lagi dibicarakan kerana sejak dari awal perkenalan kami lagi, rasa selesa dan gembira itu memang ada dan kekal antara kami,” katanya.
Lain bagi Norman pernah gagal dalam perkahwinannya dengan aktres, Abby Abadi menyifatkan kehadiran Memey dalam hidupnya ibarat pelengkap yang mengisi kekosongan di hatinya sejak dua tahun lalu.
Mengenali Memey selama dua tahun lebih, Norman yang 12 tahun lebih tua mengakui jatuh cinta pada gadis manis itu sejak setahun setengah yang lalu.
“Memey seorang wanita yang sukar saya terjemahkan dengan kata-kata kerana kejujuran serta keikhlasannya dalam menerima diri saya sebagai seorang duda dengan tiga anak adalah aspek utama yang menyentuh perasaan,” katanya.
Cincin emas putih bertatahkan berlian di sarungkan ke jari manis Memey oleh bakal ibu mentuanya, Kamariah Kamal.
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti
0 Komen:
Post a Comment