Polis percaya Datuk Sosilawati Lawiya masih hidup

Thursday, September 09, 2010

Polis percaya jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya pada 30 Ogos lalu masih hidup dan kemungkinan berada di dalam negara.



Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan (gambar) berkata, pihaknya mempunyai maklumat yang mungkin dapat membawa kepada penemuan Sosilawati, pemandu peribadi dan peguamnya serta seorang pegawai bank.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan maklumat itu kepada media kerana dikhuatiri akan membahayakan nyawa keempat-empat mangsa yang hilang.

“Kita ada maklumat tertentu. Insya-Allah kita akan dapat jumpa mereka dalam keadaan selamat. Kita berdoa begitu,” kata beliau kepada pemberita semasa mengadakan kunjungan akhir sempena persaraannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan kes kehilangan Sosilawati dan tiga lelaki yang dilaporkan hilang bersamanya.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, pihaknya kini sedang mengesan seorang lagi peguam yang sepatutnya berurusan dengan Sosilawati berhubung kontrak jualan hartanah pada hari wanita tersebut dilaporkan hilang.

Beliau tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai peguam itu semasa sidang akhbar.

“Jadi sekarang kita sedang cari Sosilawati, peguam dan pemandu peribadinya, pegawai bank serta seorang lagi peguam yang sepatutnya berurusan dengannya. Semuanya lima orang,” jelas beliau.

Mengenai penemuan kereta milik Sosilawati dan peguamnya, kata beliau, pihaknya masih melakukan siasatan terperinci dan setakat ini masih belum ada perkara yang mencurigakan ditemui pada kedua-dua kereta itu.

“Penemuan itu masih belum dapat menentukan apa sebenarnya yang berlaku.

“Kereta dia sahaja kita dah jumpa. Tapi kita tak boleh buat sebarang kenyataan lagi dan masih perlu tentukan apa yang sebenarnya berlaku.

“Tak boleh agak-agak tentukan sama ada berlaku penculikan atau apa-apa pun,” terangnya.

Tambah Musa, pihaknya juga telah mengambil keterangan semua ahli keluarga mereka yang hilang bagi mendapatkan maklumat yang dapat membantu siasatan.

“Antaranya, siapa mereka temui dan hubungi sebelum pergi berurusan dan maklumat-maklumat lain yang mereka tahu,” ujar beliau.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI