Aida Aris bakal berkahwin semula

Wednesday, September 01, 2010

Dramatis popular, Aida Aris, 38, akan menamatkan zaman jandanya pada Sabtu ini apabila memilih duda beranak dua, Husfarid Shaikh Ali, 38, sebagai bakal suaminya.



Menurut pelakon itu, majlis akad nikah akan berlangsung pukul 10 pagi di Taman Sera Ukay, Ampang di sini, manakala jamuan ringkas diadakan hari sama pada waktu berbuka puasa.

"Majlis pernikahan kami akan berlangsung dalam suasana sederhana sahaja dan tidak melibatkan barang hantaran melainkan mas kahwin dan sebentuk cincin," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Aida dan Husfarid saling berkenalan sejak Mac lalu menerusi rakan baiknya yang juga pelakon, Sharifah Haslinda dan suami, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Majlis merisik Aida yang sebelum ini merupakan bekas kekasih Zul Handy Black itu diadakan di rumahnya sebelum 1 Ramadan lalu.

Perkahwinan itu merupakan kali kedua buat Aida selepas bercerai dengan pengarah dan pelakon, Bob Azrai pada 2005, manakala Husfarid yang juga Ketua Pramugara MAS menjadi bapa tunggal sejak tiga tahun lalu.

Ditanya mengapa majlis itu diadakan secara tergesa-gesa, Aida atau nama sebenarnya, Siti Rohaida Mat Aris memberitahu, majlis pernikahannya tidak diadakan secara mengejut.

Sebaliknya, kata pelakon itu, dia dan bakal suami telah merancang bernikah sebelum bulan Ramadan namun masalah timbul gara-gara lewat membuat proses pendaftaran perkahwinan.

"Kami hanya mendapat kebenaran untuk berkahwin baru-baru ini dan terus mengadakan majlis nikah pada bulan yang mulia ini.

"Kami juga tidak merancang untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan seperti bersanding selepas ini kerana lebih mementingkan majlis akad nikah dahulu," katanya.

Oleh ARIF NIZAM ABDULLAH

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI