AZIZI Chunk benar-benar kecewa dengan bidang perfileman yang sangat diminatinya. Dia seakan-akan patah hati apabila filem Kapowww yang ditayangkan pada April lalu tidak menerima sambutan yang diharapkan. Malahan kutipan filem Kapowww juga dianggap lebih rendah berbanding filem pertama arahannya Antoo Fighter.
Walaupun boleh berbangga apabila drama bersiri arahannya Awan Dania mendapat sambutan baik daripada penonton TV, tetapi ia bagaikan tidak dapat mengubati kekecewaan hati pemilik nama sebenar Azizi Adnan ini.
Justeru, dia berehat seketika dari dunia seni. Ia bukanlah bermakna dia mendiamkan. Tempoh berehat itu digunakan sebagai waktu mencari ilham baru.
Dengan tidak memisahkan diri daripada dunia seni secara langsung, Azizi melancarkan wap portal menerusi telefon bimbit. Idea itu lahir daripada hakikat selepas jaringan publisiti berkaitan dunia hiburan menerusi surat akhbar, majalah, televisyen, radio dan internet, adalah perlu peminat mengikutinya menerusi telefon, sebagai sebahagian media terbaru hari ini.
Melalui wap portal yang diberi nama Skodeng Artis, Azizi berkata ia bakal mencetus era baru bidang seni tanah air.
“Segala aktiviti artis boleh didapati menerusi telefon peribadi dengan pantas. Inilah yang cuba saya perkenalkan dalam bidang baru, selepas agak kecewa dengan bidang perfileman.
“Idea ini timbul disebabkan ramai peminat di luar sana ingin mengetahui perihal artis kesayangan mereka, termasuk aktiviti harian masing-masing. Menerusi wap portal ini juga peminat boleh muat turun gambar, video atau lagu yang dinyanyikan oleh artis kita. Semuanya boleh didapati, baik artis dalam bidang nyanyian mahupun bidang lakonan,” katanya yang ditemui pada sidang media memperkenalkan wap Skodeng Artis, baru-baru ini.
Azizi Chunk yang juga Pengarah Urusan Fuze Studio memilih nama Skodeng bagi menarik perhatian orang ramai untuk lebih cepat mengenal perkhidmatan terbabit.
“Saya memilih nama Skodeng Artis ini juga kerana namanya unik dan senang untuk diingati. Jika saya letak nama yang baik, tapi sukar peminat nak ambil tahu kerana nama macam itu sudah banyak sangat diguna pakai. Skodeng ini namanya nampak jahat, tetapi pengisian di dalamnya banyak kepada perkara yang positif mengenai artis kita.
“Memang aktiviti seperti kerja amal atau amal jariah artis jarang di ketengahkan di mana-mana medium. Menerusi wap Skodeng Artis inilah semuanya akan diletakkan,” katanya.
Kumpulan pertama untuk mengisi wap portal ini terdiri daripada tujuh artis iaitu, Juliana Evans, Fizz Fairuz, Irma Hasmie, Zizan, Almy Nadia, Jehan Miskin dan Shaheizy Sam.
Katanya, kumpulan kedua yang akan dimasukkan ke wap ini pula terdiri daripada Fouziah Gous, Iqram Dinzly, Julia Ziegler, Scha Al-Yahya, Jasmin Hani dan Tony Eusoff.
Antara pengisian yang boleh didapati menerusi wap ini termasuk berita, blog artis, lagu pemanggil, klip video, klip suara, biodata dan gambar artis.
Sementara itu, ditanya kepada artis yang terbabit, jika segala-galanya tiada lagi rahsia apabila kesemua aktiviti mereka disalurkan kepada peminat, adakah mereka berasa kehidupan masing-masing tidak lagi bersifat peribadi?
Menurut Zizan, semuanya terpulang seseorang artis itu untuk membekalkan bahan bagi mengisi wap itu.
“Untuk muatkan apa saja bahan di dalam wap portal ini, mereka harus mendapatkan persetujuan daripada kita. Kita juga harus memberikan bahan yang baik sekiranya bimbang diambil kesempatan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya menganggap perkhidmatan ini sebagai media baru untuk memudahkan kita mendekatkan diri dengan peminat,” katanya.
Bagi Juliana Evans yang berbangga kerana menjadi kumpulan pertama disenaraikan melalui wap ini berkata, tidak semua bahan boleh diberikan untuk dimasukkan ke dalam wap portal ini.
“Bagi saya kerjaya adalah perkara lain daripada peribadi, jadi tidak semua benda boleh kita serahkan kepada mereka untuk dimasukkan ke dalam wap ini. Semua artis tidak akan memasukkan 100 peratus aktiviti mereka ke dalamnya. Bagaimanapun, saya akan memastikan seminggu sekali akan mengemaskini wap saya dan meletak seberapa banyak bahan yang boleh dikongsi bersama peminat,” katanya.
Fizz Fairuz pula menganggap, sebagai artis adalah tidak adil sekiranya aktiviti harian tidak dikongsi bersama peminat.
“Saya tidak takut untuk meletakkan aktiviti harian dan peribadi saya di dalam wap ini. Jika takut usah kita menjadi artis. Memang bahan-bahan yang ingin diberikan itu harus yang berguna kepada peminat kita. Tetapi saya juga akur tidak semua benda yang bersifat peribadi boleh dimasukkan,” katanya yang baru dua bulan mengusahakan restoran miliknya dengan nama Nur Kasih Restoran di Ketari, Bentong Pahang.
Bagi orang ramai yang ingin melanggan wap ini boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip ON SKO dan hantar ke 39299.
Oleh Rozdan Mazalan
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti
0 Komen:
Post a Comment