Selagi yang namanya kebenaran, dua pucuk muda - Mizz Nina dan Noh tidak takut dengan bayang-bayang sendiri. Awal-awal lagi, mereka tahu kisah cinta pasti dibangkitkan oleh pihak media sementelah keintiman kedua-duanya kini semakin dirasakan.
Terbaru, mereka bakal muncul dengan single berjudul Kurnia. Sedikit sebanyak, gandingan Mizz Nina, 30, dan Noh, 26, pasti mengundang lebih banyak spekulasi. Tidak lain, akan lebih bertebaran kisah kononnya mereka merupakan item ideal.
Puas sudah menyangkal dan menafikan tentang hubungan istimewa mereka, Mizz Nina dan kepala kugiran Hujan itu hanya membenarkan orang ramai terus berteka-teki. Yang penting, niat mereka untuk melampiaskan bakat seni, tidak pernah surut dalam fikiran.
Buat pertama kali, pada sesi fotografi raya ini, Noh dan Mizz Nina disatukan bersaksi Restoran Seri Melayu di ibu negara baru-baru ini. Tidak kekok bergambar sama, Mizz Nina dan Noh dilihat punya keserasian biarpun masing-masing punya dua karakter berlainan.
Begitupun, biar mereka cuba menyangkal hakikat menjalin ikatan istimewa, terlihat bahasa tubuh dan anak mata masing-masing seperti merungkai setiap persoalan sebelum ini. Enggan membuat konklusi sendiri, hanya mereka punya jawapan sendiri.
MENAFIKAN bercinta, Noh dan Nina selesa meletakkan hubungan mereka dalam status teman baik. Bagaimanapun kata Noh, dia tidak akan menyorok jika mereka mempunyai jodoh untuk berkahwin.
Habhib: Apa komen kalian apabila promosi single ini nampaknya lebih memberi tumpuan kepada hubungan cinta?
Noh: Terus terang, saya sudah jangka gosip ini akan timbul. Saya sendiri malas mahu ambil peduli soal kononnya bercinta dengan Nina. Daripada mendengar kata-kata orang, lebih baik saya melakukan perkara lebih penting berkaitan kerjaya. Jika terlalu fikir, nampaknya sukar untuk saya dan Nina memperkenalkan produk baru ini kepada peminat. Saya sebenarnya kasihan dengan Nina sebab dia baru ingin melangkah semula dalam industri. Nina berjuang habis-habisan untuk menonjolkan bakatnya kepada umum.
Mizz Nina: Sejujurnya, saya tidak begitu gembira apabila orang ramai terlalu memberi perhatian terhadap kisah yang tidak berasas ini sama sekali ini. Saya dan Noh sudah meletakkan sepenuh waktu dan tenaga untuk melahirkan Kurnia. Sebenarnya, saya mampu agak gosip ini lebih hangat diperkatakan berbanding single kami. Cuma, mohon saya, peminat dapat lihat apa yang kami luahkan untuk Kurnia.
SERASI. Menurut Nina, sifat humor Noh banyak memberi seri dalam hubungan baik mereka.
Apa sebenarnya status hubungan Noh dan Nina?
N: Tidak mahu menipu, kami merupakan kawan baik. Jangan risau, seandainya kami benar-benar bercinta, saya dan Nina akan berkongsi khabar gembira ini kepada peminat. Malah, kalau ditakdirkan ada jodoh untuk mendirikan rumah tangga, kami tidak akan sorok.
MN: Sama seperti dijelaskan Noh, tiada sebarang hubungan istimewa antara kami. Saya dan Noh lebih senang berkawan rapat sebagai rakan artis.
Sepanjang berkawan, bagaimana kalian melihat kualiti personaliti antara satu sama lain?
N: Nina seorang yang blur, relaks dan tidak pernah berdrama seperti sebilangan wanita lain. Kalau dari sudut kerja, dia menjadi individu yang senang menerima nasihat dan teguran. Walaupun dia tua beberapa tahun daripada saya, Nina terima pendapat saya. Cuma, cara hendak menegur dia harus dilakukan dengan betul.
MN: Semua orang juga tahu, Noh cukup terkenal dengan perangai gila-gila dia. Tetapi, pada waktu sama, sifat ini membawa pada arah kebaikan dalam situasi tertentu. Selain itu, dia sentiasa mengamalkan sikap merendah diri dan jujur dalam persahabatan. Noh boleh berkawan dengan sesiapa saja. Baik saya, anggota Hujan atau kawan lain, Noh melayan orang-orang di sekelilingnya dengan baik. Dalam humornya ini, apabila waktu bekerja, dia amat serius. Etikanya semasa menjalankan tugas membuatkan saya sungguh hormat dia. Bahkan, saya belajar banyak perkara baru daripada Noh.
WALAU tidak sehaluan aliran muzik, kerjasama mereka berdua dianggap menjadi.
Bagaimana boleh timbul idea untuk menjalani kolaborasi bersama?
N: Pengurus Nina menghampiri saya dan menyatakan hasrat untuk menjalankan kolaborasi. Lagu ini sebenarnya sudah lama disiapkan. Kalau tidak silap, tahun 2008. Cuma, saya belum memasukkan lirik. Ia membayangkan bagaimana jika Nina menjalin cinta dengan seseorang istimewa. Sebelum ini saya selalu dengar nama Nina daripada Teh Tarik Crew. Bayangkan, ibarat bulan jatuh ke riba apabila tiba-tiba dia mahu bekerjasama dengan saya.
MN: Saya memang peminat Hujan. Impian untuk kerja sekali dengan kumpulan ini sudah ada dalam fikiran. Terharu apabila Noh sudi memberi lagunya kepada orang baru macam saya.
Okay, bagaimana pula persediaan untuk merayakan Syawal yang bakal menjelma beberapa hari lagi?
N: Saya pulang ke kampung halaman di Miri, Sarawak dua hari sebelum hari raya. Berada tiga hari di sana, saya kemudian pergi ke Kuching. Selepas itu, saya hanya menyiapkan diri untuk dua persembahan pentas yang dijadualkan berlangsung di Singapura.
MN: Saya akan beraya di Kampung Baru, Kuala Lumpur untuk melawat saudara mara terdekat. Selepas dua hari beraya, saya akan berehat selama beberapa hari kerana sepanjang beberapa bulan lalu, jadual seni terlalu padat. Selepas seminggu bercuti, saya akan kembali jalani penggambaran klip video untuk lagu dalam album What You Waiting For.
Oleh FAIZAL SAHARUNI
0 Komen:
Post a Comment