Sultan Johor murka kes 'duit raya' RM1 juta

Sunday, September 12, 2010

Seorang lelaki bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikatakan cuba memberi ‘hadiah’ wang tunai lebih RM1 juta kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail di Istana Tanjung dekat Muar, malam Khamis lalu.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam, apabila lelaki berusia awal 50-an itu yang mendakwa mewakili seorang ahli perniagaan memohon perkenan bertemu baginda bagi menyampaikan 'hadiah' berkenaan.

Setiausaha Majlis Jemaah Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata beliau dititahkan Sultan Ibrahim untuk berjumpa lelaki itu bagi mengetahui tujuannya.

“Tuanku menitahkan saya untuk berjumpa lelaki itu dan dalam pertemuan berkenaan, lelaki terbabit memberitahu dia membawa hadiah daripada seorang ahli perniagaan iaitu dua beg untuk baginda dan keluarga baginda.

"Dia kemudian memaklumkan kepada saya, dua beg itu mengandungi wang tunai berjumlah RM1.01 juta untuk dihadiahkan kepada Tuanku sebagai perbelanjaan sempena Aidilfitri," katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Rahim berkata, selepas mengetahui tujuan lelaki itu, beliau menghadap Sultan Ibrahim dan memaklumkan mengenai hasrat Datuk terbabit untuk berjumpa baginda.
“Apabila dimaklumkan, Tuanku murka dan menitahkan saya supaya membuat laporan polis kerana menganggap tindakan 'Datuk' itu menghina institusi Diraja dan cuba menyogok Tuanku,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan polis yang tiba sejurus menerima laporannya, menahan lelaki itu.

Difahamkan, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat SPRM negeri untuk disoal siasat.

Abdul Rahim berkata, insiden itu menunjukkan Sultan Ibrahim tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba me-lakukan perbuatan tidak bermoral dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan.

Dalam pada itu, seorang pegawai kanan polis Johor yang enggan namanya disiarkan, mengesahkan menerima laporan pihak istana mengenai perkara itu namun kes terbabit sudah diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

“Kita sudah menerima laporan mengenai kes ini dan mengikut protokol, ia per-
lu diserahkan kepada SPRM untuk siasatan lanjut," katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Baru-baru ini, polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 31 dan 33 tahun kerana dipercayai menjadi dalang dalam kes penyamaran serta menggunakan nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dalam laman sosial Facebook.

Bulan lalu, baginda Sultan dilaporkan murka terhadap tindakan sebuah parti politik menggunakan gambar baginda dalam poster pada majlis ceramah di Batu Pahat.

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI