Pembunuhan tragis jutawan produk kecantikan, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga mangsa lain benar-benar mengejutkan masyarakat. Antara mangsa kejadian ialah individu bernama Kamaruddin Shansuddin, 44, yang lebih dikenali sebagai Kamal di kalangan artis tempatan.
Namun beberapa hari selepas itu barulah terbongkar cerita, Kamarudin sebenarnya pemain bass kumpulan Saturnine yang popular sekitar 1990-an. Allahyarham juga bekerja sebagai jurutera bunyi di Kings Studio yang begitu terkenal di kalangan artis terutamanya kumpulan rock tempatan.
Banyak artis terkenal seperti Ella, Amy Search dan Ramli Sarip serta kumpulan rock seperti XPDC menggunakan khidmat Allahyarham. Sehubungan itu, rakan-rakan dalam industri mengadakan majlis tahlil buat Allahyarham di Kings Studio, Petaling Jaya baru-baru ini.
Majlis yang diketuai Imam Surau Al-Ihya Ul-Falah, Sungai Kayu Ara, Haji Abdul Manan ini berlangsung selepas Maghrib dan dihadiri rakan kenalan Allahyarham terutamanya pemuzik, komposer dan otai rock antaranya Ramli Sarip, M Nasir, Aris Ariwatan, Zuar XPDC, Ramli MS dan ramai lagi. Turut hadir kumpulan Kristal yang menjadi artis terakhir bekerjasama dengan arwah.
Sesuatu yang menarik, pemberitahuan mengenai majlis ini dibuat hanya dari mulut ke mulut dan menerusi SMS kawan kepada kawan namun tetap mendapat respon yang positif daripada semua kenalan Allahyarham sekali gus membuktikan Kamal seorang yang disenangi ramai pihak ketika hayatnya.
Dua sahabat arwah dalam Saturnine, Ahmad Zairi Ariffin dan Aznan Alias atau Nan ketika ditemui berkata, kehilangan arwah yang kemudiannya ditemui dalam keadaan tragis memang mengejutkan. Setiap kali membaca paparan berita mengenai pembunuhan tersebut di akhbar, mereka pasti akan sebak.
“Kami sukar terima kenyataan dia meninggal dalam keadaan begini. Kali terakhir saya berjumpa dia ialah sebelum bulan puasa. Memandangkan dia adalah kawan lama, kalau tak jumpa pun saya akan tanya perkembangan dia menerusi telefon. Masa kehilangan dia dulu, kami dah tercari-cari ke mana dia pergi. Apabila gambar dan namanya keluar dalam akhbar, kami terkejut,” kata Nan.
“Mulanya saya tak percaya Kamal akan terima nasib begini kerana orangnya ceria dan periang. Dia tak pernah datang jumpa kawan-kawan dengan muka masam. Dia boleh berkawan dengan sesiapa saja tanpa masalah. Kami ingatkan kehilangannya kerana dia pergi bercuti tapi rupanya dibunuh dengan kejam,” kata Zairi pula.
Mereka turut bersimpati dengan nasib anak-anak Allahyarham kerana Kamal adalah sumber pendapatan utama keluarganya dan meminta agar pembunuh kejam empat mangsa ini akan dihukum seadil-adilnya.
Rody Kristal memberitahu Allahyarham memang baik kerana sanggup turun padang untuk memantau proses pembikinan album terbaru mereka berjudul Rockafella 2. Malah dia bertungkus lumus mencari bunyi yang terbaik untuk rakaman album ini biarpun rakaman berjalan lewat malam.
“Saya bekerja dengannya dari album pertama hingga keempat dan mendapati budi bahasanya sangat baik dan tak pernah nak tinggikan suara. Orangnya memang ceria setiap masa. Kali akhir bertemunya, arwah datang untuk pantau rakaman album kami selepas Tarawih. Ketika itu arwah pakai jubah putih dan agak pendiam berbanding sebelumnya. Dia juga dah kurang bergurau.
“Saya tak tahu pasal kehilangannya tapi apabila keluar gambar, saya kenal itu adalah Kamal. Masa itu saya rasa hari raya seolah-olah hilang serinya,” jelasnya yang menerbitkan album terbaru bersama komposer Bong.
Pemilik Matahati Productions yang juga majikan Allahyarham, Hussien Ali menjadi penganjur untuk majlis ini. Dia yang mengenali Allahyarham sejak 1987 semasa rakaman album anaknya Ruhil, berkenan dengan cara Kamal bekerja dan mengamanahkan Allahyarham untuk menjaga studionya di Kings Studio.
“Kamal boleh tunggu studio dari jam 9 malam hingga 5 pagi dengan sabar. Susah hendak cari pekerja sepertinya yang berdedikasi. Selepas kehilangannya, saya hantar mesej SMS pada Kamal tapi tak berjawab. Pada malam keluar berita mengenai pembunuhannya, saya terduduk. Macam mana nak hidup tanpa pekerja yang bagus sepertinya.
“Majlis ini diadakan dengan kerjasama kawan-kawan arwah yang bawa sendiri makanan untuk jamuan selepas tahlil. Saya merancang nak buat satu konsert tribute buat arwah di Istana Budaya untuk kumpul dana kepada anak-anaknya,” katanya yang sebak apabila bercakap mengenai perkara itu.
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Kamarudin (Kamal) pemain bass kumpulan Saturnine
Entri Lain
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment