Cina Kelantan bukan hasil kahwin campur

Sunday, August 12, 2012

Tak ada bukti sejarah yang jelas mengaitkan kewujudan Cina Kampung atau Peranakan di Kelantan. Pelbagai cerita sejarah hanya menghuraikan kebanyakan masyarakat Cina berada di Kelantan kerana peluang perdagangan selain mencari kehidupan lebih selesa selepas berlaku pelbagai kemelut di China.

Namun, Kebanyakan kisah kemasukan mereka ke Kelantan lebih 600 tahun dulu sedikit sebanyak merujuk kewujudan Cina Peranakan di tebing sungai yang kini menjadi tempat bermaustatin Cina Kampung.

Menurut penulis sejarah Kelantan, Saad Shukri Muda, pada awal abad kelima (500 Masihi), wujud Kerajaan Srivijaya pertama di Kelantan yang banyak mengeluarkan emas dan berpusat di Kuala Krai (Kilu Kirai). Kerajaan itu turut dikenali sebagai San Fo Tsi oleh orang Tionghua, khususnya pedagang kerana urusan perdagangan di antara Tiongkak (negeri di China) dan San Fo Tsi sudah lama wujud.

Kilu Kirai atau Kuala Krai kini terletak di Ulu Sungai Kelantan. Sumber emas dipercayai terdapat sehingga Sungai Galas di bahagian paling ulu sungai berkenaan. Atas sebab itu jugalah yang menguatkan hujah mengapa Pulai di Gua Musang menjadi penempatan pertama orang Cina di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Kebanyakan penempatan orang Cina, khususnya peranakan (yang mungkin juga serpihan daripada pedagang Tiongkok) berada di sepanjang Sungai Kelantan seperti di Sungai Pinang, Tendong, Kasar dan Panji, sekali gus menguatkan tanggapan urusan perdagangan dulu melalui laluan air.

Dalam versi lain, penulis buku Sepintas Lalu Sejarah Kelantan dan Asal Usul Masyarakat Cina Kelantan, T E Tan turut menjelaskan kurangnya rekod mengenai kedatangan orang Cina di Kelantan meskipun nama seperti 'Tan-tan', Kuo-la-tan', 'Ho-lo-tan' dan 'Chih-tu' yang dilafazkan pedagang Cina sejak 700 tahun dulu adalah nama Kelantan sebenarnya.

Menurutnya, ketika pemerintahan Sultan Long Yunus, Kelantan diduduki beribu orang Tiongkok di merata tempat terutama di sepanjang Sungai Kelantan termasuk Kampung Pasir Parit.

Pada akhir Dinasti Ching, proses migrasi di kalangan orang China semakin hangat akibat tercetusnya huru-hara di tanah besar itu. Rakyat melarikan diri menyeberang Lautan China dengan tongkang menuju ke selatan. Dalam pelayaran itu, mereka membawa bersama tokong seperti Kuan Tir, Kuan Yin, Hock Teck dan Ma Chor supaya perjalanan selamat daripada kecelakaan.

Sebagai mengenang jasa, mereka mendirikan tempat ibadat seperti Tokong Kuan Ying di Pulai berusia 400 tahun, Tokong Ma Chor di Kampung Tok Kong dan Kampung Cina berusia lebih 200 tahun.

Kedatangan kaum Cina ke pedalaman Kelantan mengikut laluan air iaitu Sungai Kemasin, Sungai Pasir Tumbuh dan Sungai Kelantan. Banyak perkampungan asal Cina bertaburan di Sungai Kemasin seperti Kampung Pulau Gajah, Sering, Pulau Belanga dan Pulau Lohol.

Di sekitar Sungai Pasir Tumbuh pula, wujud perkampungan Cina Peranakan seperti Kampung Chepa, Pasir Ara dan Peringat manakala di Sungai Kelantan ada berpuluh kampung seperti Kampung China, Kota Bharu, Kampung Kutan, Salor, Gaung, Tendong, Kasar, Pasir Mas, Aur Duri, Keladang, Chetok, Tok Kong, Kemubu, Pasir Parit, Kampung Salak, Mata Ayer, Kampung Joh, Pulau Raya, Maka, Tanah Merah, Kusial, Panji, Temangan, Pasir Besar, Pasir Sena, Kuala Krai, Gua Musang dan Kampung Pulai.

Dalam semua perkampungan Cina Peranakan itu, Kampung Pasir Parit adalah penempatan terbesar dengan anggaran 145 rumah. Orang yang bertanggungjawab membawa tiga patung tokong (Kuan Tir Kun, Hock Teck dan Ngor Kok) sejak 180 tahun dulu ke Pasir Parit dari wilayah Fukien ialah Pek Ang Kor.

Sebelum itu, Pasir Parit hanya didiami 15 keluarga masyarakat Cina. Mereka dipercayai berkahwin dengan wanita Thai tempatan dan hidup sebagai petani selain menternak di kawasan tepi sungai.

Kedatangan Pek Ang Kor bersama tiga tokong itu dipercayai berjaya mengurangkan gangguan makhluk halus, sekali gus membolehkan lebih ramai orang Cina meneroka ke kawasan lebih dalam untuk menanam getah, kopi, ubi, tebu, durian dan kelapa.

Pengerusi Persatuan Sejarah dan Kebudayaan Cina Kelantan, Wee Chong Joi, 80, berkata Cina Peranakan dapat dikaitkan dengan orang Hokkien dan Canton di China dan berhijrah ke negeri itu lebih 300 tahun dulu.

"Penghijrahan ini kerana mahu membina kehidupan lebih selesa akibat perang dan bencana alam yang kerap berlaku di China. Ketika itu, sudah berlaku aktiviti perdagangan di Kelantan. Ia menarik minat ramai orang China ke sini dan selepas menyedari Kelantan sesuai dijadikan stesen jualan barang, ramai terus tinggal di sini.

"Ketika mereka menetap di Kelantan, sebenarnya sudah ramai orang Siam di sini. Perkahwinan campur dengan orang Siam punca awal wujudnya Cina Kampung. Difahamkan sebelum kedatangan Islam di sini, ada juga yang berkahwin dengan orang Melayu.

"Namun, bukan semua yang berkahwin dengan orang tempatan dikenali Cina Peranakan. Ada juga yang membawa isteri dari China turut dikenali Cina Peranakan. Sebenarnya, istilah peranakan di sini tidak sama dengan di Pulau Pinang atau Singapura. Di Kelantan lebih kepada percampuran budaya dan sosial, bukan darah keturunan.

"Cina di Kelantan, jika ayah dia lahir di Kelantan, layak digelar Cina Peranakan. Dia mesti mengamalkan budaya Cina Kampung, bukan sebab perkahwinan dengan orang Siam atau Melayu," katanya.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Tanah Perkuburan Cina Kelantan, Wee Pock Soon, 50, berkata jika merujuk definisi Cina Peranakan iaitu berkebudayaan Cina Kampung, boleh dikatakan masyarakat ini semakin kecil dan terancam. Generasi baru sukar dikaitkan sebagai Cina Peranakan kerana bukan darah keturunan yang mendefinisikan mereka tetapi budaya dan cara hidup.

"Dulu memang semua Cina Peranakan bertutur dialek Kelantan, tidak seperti sekarang. Justeru, susah untuk mengaitkan mereka dengan Cina Peranakan. Namun, tidak dapat ditolak kemungkinan perkahwinan juga boleh dikaitkan sebagai kewujudan masyarakat ini kerana wajah Cina Kampung berbeza dengan Cina Pekan," tambahnya.

Beliau berkata, meskipun perkahwinan campur bukan ciri utama kewujudan Cina Peranakan, majoriti masyarakat yang ada kini terbentuk melalui perkahwinan antara orang Cina dengan Siam.

Meskipun kebanyakan Cina Peranakan boleh berbahasa Hokkien, nahunya tidak sama dengan Hokkien lain, sekali gus menyebabkan mereka lebih selesa berbahasa Melayu Kelantan, tidak kira dengan orang Melayu atau sesama sendiri.

Dirumuskan, cara hidup dan budaya mereka lebih dekat dengan orang Siam dan Melayu manakala cara beragama saja yang mengikut ajaran Buddha atau Cina. Malah, kepercayaan juga nampak lebih dekat dengan Melayu termasuk perubatan tradisional.

Palu geduk diraja isyarat mula upacara

SEMEMANGNYA ada bukti jelas wujud hubungan rapat antara orang Melayu dengan Cina di Kelantan terbina sejak ratusan tahun dulu, malah peninggalan sejarahnya masih gah terpamer di sebuah kuil lama di perkampungan Cina Peranakan, Kota Bharu.

Sejak 1834 dan mungkin lebih awal lagi, Cina Peranakan diberi hak memimpin di sesetengah kawasan atas lantikan Sultan Kelantan dan diberi gelaran Kapitan. Namun, hanya Kapitan Wee Chai dapat dikenal pasti memimpin pada 1834 meskipun ada lagi yang lebih awal daripada itu.

"Sama era dengan Wee Chai, Kapitan Gan Chu Li turut menguruskan pentadbiran kaum Cina di Kelantan sejak 1833. Seorang berkuasa di bahagian atas Kelantan dan seorang lagi di bahagian bawah. Tugasnya lebih kepada mengutip cukai dan berkuasa mewakili orang Cina," kata Wee Chong Joi.

Berbalik kepada sejarah perhubungan erat orang Melayu dengan Cina Peranakan, ia bermula daripada kisah Sultan Kelantan menghantar ufti (bunga emas) kepada kerajaan Siam setiap tiga tahun.

"Pada 1877, ketika zaman pemerintahan Sultan Muhammad Kedua, berlaku malapetaka apabila sejurus rombongan yang menghantar ufti meninggalkan Kelantan, ribut dan taufan melanda dengan dahsyat. Selepas sebulan, tiada khabar berita daripada rombongan itu.

"Baginda risau memikirkan nasib rombongan itu dan adakah ufti sudah diserahkan kepada Raja Siam. Akhirnya, baginda mendapatkan bantuan tukang tilik raja iaitu Tok Ubi, seorang Cina yang juga mempunyai hubungan rapat dengan istana.

"Tok Ubi menemui Tokong Mek untuk mendapatkan isyarat sama ada rombongan itu masih selamat. Selepas tilikan, satu petanda baik diperoleh iaitu rombongan itu akan pulang dengan selamat, lantas berita itu disampaikan kepada Sultan.

"Namun, selepas sekian lama, rombongan itu belum tiba dan dua kali juga Tok Ubi berjumpa Tokong Mek untuk mendapatkan kepastian. Setiap kali berjumpa, isyaratnya tetap sama iaitu rombongan itu pasti tiba," katanya.

Selepas tiga kali bertemu Tokong Mek, beliau menemui sultan dan menyampaikan berita gembira iaitu rombongan itu sudah sampai di kuala. Sebagai tanda terima kasih, sultan bertanya sama ada masyarakat Cina di situ perlukan sesuatu sebagai hadiah kepada usaha Tok Ubi dan mereka sepakat meminta geduk untuk dibunyikan sebagai isyarat sembahyang dan majlis tertentu tokong di situ. Permintaan mereka ditunaikan dengan Sultan mengarahkan satu beduk khas ditempah untuk dihadiahkan kepada komuniti di Kampung Cina.

"Kapten yang mengetuai rombongan menghantar ufti itu pun orang Cina, dikenali sebagai Awang. Ia menunjukkan betapa eratnya hubungan orang Melayu dengan Cina ketika itu. Malah, boleh dikatakan ketika peristiwa 13 Mei 1969, tidak ada langsung masalah di kalangan Melayu dan Cina di sini. Mereka saling membantu dan tidak berbalah," tambah beliau.

Oleh Azrul Affandi Sobry

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI