20 jenis barangan kawalan raya

Saturday, August 04, 2012

Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan harga maksimum bagi 20 jenis barangan kawalan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata harga barangan terkawal tahun ini menyaksikan penurunan bagi beberapa barangan berbanding tahun lalu.

Contoh barangan harga terkawal yang mengalami penurunan harga berbanding tahun lalu termasuk ayam dari RM7.20 kepada RM6.80 sekilogram (kg), telur gred A dari 36 sen kepada 35 sen sebiji, cili merah dari RM11 kepada RM10 sekg dan bawang besar dari RM3 ke RM2.50 sekg.

"Secara keseluruhannya, walaupun persepsi ramai mengatakan harga barangan naik, jelas banyak barangan yang mengalami penurunan harga dan ada yang jauh lebih rendah.

"Barangan seperti produk pertanian dan ternakan ini bergantung kepada faktor penawaran. Contohnya, saya difahamkan oleh Persatuan Penternak Ayam bahawa bekalannya sekarang banyak, jadi harganya turun.

"Sementara itu, bekalan bawang putih berkurangan disebabkan masalah cuaca di China, menyebabkan harganya naik. Ini yang kita nak pengguna faham," katanya pada sidang media mengumumkan harga siling barangan harga terkawal, Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2012 di sini, semalam.

Ismail Sabri turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan melebihi harga siling yang ditetapkan.

Barangan harga terkawal (berserta harga siling bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya)

- Ayam hidup - RM5.70 sekg

- Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan pedal) - RM6.80 sekg

- Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan pedal) - RM7.60 sekg

- Daging lembu tempatan - RM22 sekg

- Daging lembu import - tiada

- Daging kerbau tempatan - RM21 sekg

- Daging kerbau import (India) - RM13.50 sekg

- Telur ayam gred A - 35 sen sebiji

- Telur ayam gred B - 34 sen sebiji

- Telur ayam gred C - 33 sen sebiji

- Kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing) - RM3.20 sekg

- Cili merah - RM10 sekg

- Tomato - RM4.50 sekg

- Kelapa parut - RM6 sekg

- Kacang tanah import - RM6.50 sekg

- Bawang merah kecil (India) - RM5 sekg

- Bawang besar import - RM2.50 sekg

- Bawang putih (China) - RM7.50 sekg

- Ubi kentang import (China) - RM3 sekg

- Ikan kembung - RM12 sekg




 

ZONFINITI