Sikap memerap di rumah di Aidilfitri

Saturday, August 25, 2012

Pakar psikologi K&A Applied Psychology Consultancy (KAPC), Khairol Anuar Masuan, berkata sikap memerap saja di rumah ketika sambutan Aidilfitri memang tidak sepatutnya diamalkan.

Ibu bapa seharusnya menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka bagi menyemai rasa gembira untuk menyambut Syawal. Sikap enggan keluar beraya dan ada anak muda yang lebih suka terperap di rumah sambil menonton rancangan televisyen atau bermain permainan video, menyebabkan mereka terlepas makna sambutan raya sekali gus memudarkan kemeriahan raya itu sendiri.

"Antara faktor setiap kali Aidilfitri adalah rancangan televisyen yang menayangkan program menarik pada hari raya pertama hingga ketiga membuatkan ada orang yang lebih suka duduk di rumah untuk menonton televisyen.

"Malah mereka sudah merancang untuk menonton program yang disediakan sebab semuanya menarik sehinggakan sama ada disedari atau tidak, mereka kurang berinteraksi sesama keluarga sendiri.

"Ini sememangnya sikap yang tidak sihat. Pada pendapat saya, penyiar juga tidak sepatutnya meletakkan rancangan televisyen yang menarik sebaliknya mungkin boleh digantikan dengan lagu raya saja," katanya.

Ketaksuban kanak-kanak sekarang yang suka bermain permainan video atau menggunakan komputer juga menyebabkan mereka sudah terbiasa dengan komunikasi satu hala hingga tiada kemahiran bersosial.

Menurutnya, keadaan itu sudah pasti membuatkan golongan muda lebih suka duduk di rumah saja walaupun pada hari raya kerana mereka tidak selesa bertemu ramai orang dan lebih gemar menghabiskan masa bersama permainan komputer.

"Antara usaha yang boleh dilakukan bagi membuatkan golongan muda lebih menghargai Aidilfitri serta saudara-mara mereka adalah ibu bapa menunjukkan contoh dengan keluar beraya dan mengajak anak mereka sekali.

"Ibu bapa perlu memperkenalkan anak-anak dengan saudara-mara sendiri dan menggalakkan anak-anak berkawan dengan sepupu serta saudara-mara yang lain, bukan hanya rakan di kawasan kejiranan atau rakan dari sekolah," katanya.

Selain itu, tradisi memohon kemaafan pada hari raya seperti yang diamalkan suatu ketika dulu juga dilihat semakin pupus kerana ia lebih kepada salam yang tiada makna.

Jika dulu, orang akan duduk bersimpuh menghadap ibu bapa memohon maaf bersungguh-sungguh termasuk menyebut setiap kesalahan yang pernah dilakukan, namun ketika ini ia lebih bersifat `asal buat'.

"Kini aktiviti meminta maaf lebih bersifat `mekanikal' kerana penyataan maaf bukan saja dibuat bersahaja walaupun dengan ibu bapa, malah tidak menyatakan kesalahan yang pernah dilakukan.

"Maaf yang dibuat tidak disertakan perasaan, menjadikan ia tidak bermakna serta tiada nilai dan tidak melambangkan tujuan sebenar kemaafan itu dilakukan," katanya.

Nilai yang disertakan dalam menyambut Aidilfitri dilihat semakin kurang terutama di kalangan generasi baru dan sekiranya ia tidak dipupuk, sememangnya bimbang ia akan hilang ditelan zaman.

Dia akui pernah didatangi seorang warga emas yang mengadu betapa sikap orang muda sekarang yang `kurang ajar' kerana tidak menyambut tetamu yang datang ke rumah mereka pada Aidilfitri.

Menurutnya, orang muda lebih suka memerap di dalam bilik apabila tetamu sampai dan ibu bapa juga tidak memanggil anak-anak mereka untuk bertemu dan bersalaman dengan tetamu. Keadaan ini sebenarnya secara tidak langsung mendidik anak masing-masing tidak menghargai orang yang lebih tua.

"Penghijrahan yang banyak berlaku seperti orang kampung keluar ke bandar untuk mencari kerja menjadikan hubungan kekeluargaan terpisah tetapi Aidilfitri sepatutnya menjadi acara yang menghubungkan kembali semua hubungan yang jauh.

"Keadaan kini berbeza apabila pulang ke kampung dan berjumpa sepupu, ia seperti tiada makna kerana sepupu macam orang luar sedangkan sepatutnya ia adalah pertemuan yang menggembirakan," katanya.

Semangat menyambut Aidilfitri juga sepatutnya disemai dari usia kecil kerana kanak-kanak akan mengikut apa yang dilakukan oleh ibu bapa masing-masing, sama ada positif atau negatif.

Menurutnya, ibu bapa perlu mengajak anakanak keluar beraya dan memperkenalkan mereka dengan setiap saudara-mara. Ia boleh dijadikan kebiasaan serta tradisi dalam keluarga supaya anak dapat merasa kemeriahan raya dan tahu makna berhari raya.

"Ketika ini di kawasan perumahan, sudah mula ada tradisi saling kunjung-mengunjung dalam usaha menghidupkan kembali tradisi beraya dan ia sesuatu yang sangat positif," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI