Keberkatan Ramadan dimanfaatkan portal hiburan popular, murai.com.my untuk menganjurkan aktiviti amal yang mendekatkan mereka dengan insan kurang bernasib baik. Program R&R 2010 dan Yok Sahur 3 Bersama Maggi yang menjadi kesinambungan selepas dua tahun dianjurkan, membabitkan 40 selebriti tempatan menjayakan aktiviti bersahur bersama anak yatim di tiga lokasi rumah kebajikan terpilih.
Ketua Editor murai.com.my, Ellyna Ali, berkata selepas dua tahun penganjuran, program itu berjaya menjadi sebuah jenama yang cukup dikenali membuatkan mereka bersedia untuk memanjangkan aktiviti berkenaan untuk tahun ketiga.
Katanya, dengan kemunculan Maggi yang menjadi penaja utama R&R 2010 khususnya Yok Sahur 3, mereka berharap pengisian aktiviti itu akan membawa keceriaan kepada insan kurang bernasib baik.
"Yok Sahur bermula secara kecilkecilan untuk memenuhi isi kandungan murai.com.my berkisar mengenai aktiviti selebriti ketika Ramadan serta menjelangnya Syawal. Namun di atas permintaan serta sambutan yang menggalakkan, ia menjadi sebuah program yang wajib diadakan pada setiap tahun terutama sekali apabila menjelang Ramadan," katanya.
Menerusi aktiviti amal itu, selebriti yang terbabit turut berpeluang menghulurkan sumbangan berbentuk material, makanan serta duit raya kepada anak-anak yang kurang bernasib baik ini. Artis turut menggembleng tenaga membuat kutipan dana.
Edisi terbaru Yok Sahur 3 membawa artis mengunjungi rumah kebajikan seperti Rumah Silaturrahim Nurul Qana'ah, Batu Caves, Selangor pada 13 Ogos lalu, Rumah AnakAnak Yatim Dan Saudara Baru Shifa' di Setapak, Kuala Lumpur (20 Ogos) dan Asrama Darul Falah atau ASDAF di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur (27 Ogos).
Acara selebriti bersahur bersama anakanak yatim ini akan dimulakan dari jam 12 tengah malam hingga jam 4.30 pagi.
Antara selebriti yang sudah menyatakan persetujuan untuk menjayakan acara ini ialah Lisa Surihani, Alyah, Kamal Adli, Intan Ladyana, Shahir, Adira, Hafiz, Amylea, Dafi, Syed Ali, Farawahida, Wana dan Mila. Turut serta Ifa Raziah, Along Raja Lawak, Zila Seeron, Izwan Pilus, Fazli Zainal, Kat Mentor, Zoey, Shila OIAM, Fizow, Sabhi Sadhi, Isma dan Zul, Heliza, Farish Aziz dan Sofaz.
Bagi pasangan suami isteri, Along dan Zila Seeron, kenangan ketika menjayakan aktiviti Yok Sahur musim pertama dulu masih terpahat di ingatan mereka hingga hari ini.
"Kami berdua pernah menyertai Yok Sahur musim pertama di Rumah Nur Salam, Chow Kit. Ketika itu kami masih lagi belum berumahtangga. Jujurnya, kenangan menyertai acara itu masih terpahat dalam ingatan kami sehingga hari ini. Justeru, apabila kembali diundang kami tidak menolak untuk turut serta," kata Along.
Dafi pula yang menyertai program ini buat kali ketiga mengakui keseronokan yang sukar diungkapkan dengan perkataan, manakala Adira yang pertama kali berpuasa sebagai artis tidak sabar menanti saat itu kerana selama ini dia hanya berpeluang bersahur bersama keluarga.
Yok Sahur jenguk anak yatim
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment