Kisah Hidup Mike Tyson

Friday, August 27, 2010

Tak kira di dalam atau di luar gelanggang tinju, lelaki yang digelar Iron Mike ini tidak pernah sunyi daripada kontroversi.



Bermula dengan hidup dan membesar di Brooklyn, New York, ia secara tidak langsung membentuk personaliti dan kemahiran meninju Michael Gerard 'Mike' Tyson.

Bagi mengelakkan dirinya menjadi sasaran buli berikutan dia seorang pendiam dan pemalu ketika kecil, Tyson menjadikan jalanan sebagai tempat dia mengasah kemahiran berlawan.

Dalam temu bual dengan majalah Amerika Syarikat, Details keluaran Ogos 2010, Tyson membayangkan kehidupannya sebelum ini sangat ekstrem. Dia seolah-olah bangun pagi dan menganggap dirinya sama ada Tuhan atau budak jalanan.

Sejak berumur 11 tahun lagi, dia sudah mengetuai kumpulan gengster yang dikenali sebagai Jolly Stompler, terlibat dengan pelbagai jenis jenayah dan ditahan polis lebih daripada 30 kali.

Kelakuan buruk Tyson menyebabkan dia dihantar ke Tryon School for Boys, sebuah sekolah pemulihan akhlak di pinggir New York.

Di Tryon, Tyson bertemu kaunselor Bob Stewart, seorang juara tinju amatur yang akhirnya mencungkil bakat Tyson. Di tangan pelatih dan penjaga, Cus D'Amato, Tyson mula mencipta kemasyhuran dalam dunia tinju. Dia disimbahi kerlipan glamor dan menjadi jagoan yang digeruni dan pencetus kontroversi.

Peminat sukan ini juga pastinya tidak dapat melupakan insiden Tyson menggigit telinga Evander Holyfield pada tahun 1996.


Itulah cara hidup Tyson satu ketika dahulu. Dia ketagihan menjadi insan sempurna dan yang menjadi masalahnya ialah dia selalu memilih cara yang mencetuskan huru-hara untuk mengecap matlamatnya.

Normal kitaran hidup manusia, roda kecemerlangan lelaki yang pernah menggegarkan gelanggang tinju antarabangsa dengan 41 pukulan TKO itu mulai malap setelah dia disabitkan dengan kesalahan merogol bekas Ratu Cantik Rhode Island, Desiree Washington, pada tahun 1992.

Di dalam penjara Indiana Youth Center berhampiran Plainfield, Indiana, Tyson menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan diikuti empat tahun tempoh percubaan.

Ketika di penjara itulah, Tyson mengikut jejak Muhammad Ali, memeluk Islam sekali gus menukar 360 darjah corak kehidupan raja gelanggang tinju ini.

Kini, dia sudah bebas daripada penjara, dan luah Tyson yang dipetik Details: "Tidak pernah (bebas). Benar-benar walaupun sehingga saat ini (saya tidak pernah berasa bebas).

"Saya sudah tidak ada wang. Saya bukan lelaki yang glamor lagi. Saya mempunyai kawan yang nampak kaya, tapi saya tidak ada duit. Semua duit yang saya ada, lupakan sahaja."

Pembersihan jiwa

"Fasa pertama dalam hidup saya, hanya dipenuhi rasa mementingkan diri sendiri. Semuanya untuk diri sendiri dan mereka yang tidak berhak ke atasnya.

"Kini, saya berusia 44 tahun dan saya merasakan hidup saya selama ini tidak berguna. Lelaki terhebat di planet ini? Saya tidak mencapai separuh pun daripadanya."

TYSON (dua dari kiri) semasa menemui beberapa pemimpin persatuan Islam di Mekah baru-baru ini.

Tyson sudah mula sedar keegoan dirinya selama ini dan dia menganggap dirinya begitu jijik sehingga mengatakan dia akan mencuci tangannya sebelum menyentuh anak-anaknya. Dia mendapat pengajaran daripada kisah lampau hidupnya.

"Jika anda tidak ada sifat rendah diri, sifat rendah diri itu sendiri yang akan datang merenggut anda," ujarnya.

Meskipun garang di pentas tinju, hakikatnya lelaki yang digelar The Baddest Man on the Planet tiada haluan hidup sehinggalah dia memeluk Islam.

Ungkapnya yang kini menggunakan nama Malik Abdul Aziz, segala apa yang berlaku padanya bermula selepas ayahnya meninggalkan ibunya.

"Namun, tiada siapa pun harus disalahkan kecuali diri saya sendiri. Adakalanya kita tidak dapat menahan diri daripada melakukan kesilapan," katanya yang menduduki nombor ke-16 dalam senarai 100 peninju terbaik sepanjang zaman oleh Ring Magazine.

Diisytihar muflis pada tahun 2003 walaupun menerima bayaran sebanyak hampir RM95 juta untuk beberapa perlawanan dan sejumlah RM950 juta sepanjang kariernya, ia tidak berbaloi dengan kehilangan anak perempuannya pada tahun 2009. Exodus Tyson, 4, maut di rumah bekas isteri Tyson akibat terbelit wayar mesin senaman tredmill pada lehernya.

Setelah pelbagai ranjau yang dilalui, pada 3 Julai lalu, Tyson menunaikan umrah dan melakukan lawatan ke beberapa bandar di Arab Saudi seperti Jeddah dan Riyadh.

Meskipun ramai yang beranggapan pemelukan Islam oleh Tyson adalah berdasarkan membalas budi dan tanda penghormatannya terhadap legenda tinju, Muhammad Ali namun kesungguhan Tyson mengubah dirinya menepis tohmahan tersebut.

Mungkin apa yang dititipkan di dalam Twitter ketika meninggalkan Mekah iaitu 'Saya baru saja meninggalkan Kota Suci Mekah di mana saya dirahmati kerana diberi peluang menunaikan umrah' menjelaskan isi hati lelaki ini.

"Apa yang telah saya lakukan adalah masa silam dan apa yang akan saya lakukan di masa hadapan adalah misteri," katanya. - Susunan ADHAM SHADAN dan SHANIKA ABDULLATIB




Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI