Makanan Ringan Punca Obesiti dan Kegemukan

Sabtu, Ogos 21, 2010

Kajian yang dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di seluruh dunia akan mempunyai lebihan berat badan.

Manakala 700 juta daripadanya akan mengalami masalah kegemukan yang berlebihan atau obesiti.

Namun lebih membimbangkan, kajian juga membuktikan, masalah obesiti di kalangan kanak-kanak semakin menular tahun demi tahun di negara-negara membangun.

Di Malaysia, sehingga tahun lalu, peningkatan kes obesiti yang direkodkan di kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara 7 hingga 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.

Kanak-kanak yang mengalami masalah kegemukan dikatakan berisiko mendapat obesiti dan ini akan menjurus kepada beberapa masalah kesihatan kronik antaranya kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan sistem pernafasan dan perkumuhan serta kanser.

Apakah faktor yang menyumbang kepada masalah besar ini di kalangan kanak-kanak?

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata, faktor utama penyumbang masalah obesiti kanak-kanak adalah pengambilan nutrisi tidak seimbang atau makanan dengan kadar banyak atau kurang.

Katanya, kanak-kanak sememangnya gemarkan makanan rapu (junk food) terutama keropok, jeruk dan coklat kerana mereka terpengaruh dengan rasa, pembungkusan dan promosi iklan atau jualannya yang dilakukan pengeluar dan penjual.

Noor Rezan berkata, ketika beliau bertugas sebagai guru besar di sebuah sekolah di ibu negara beberapa tahun lalu, beliau melarang keras penjualan makanan ringan di kantin dan pelajar tidak dibenarkan membawanya ke dalam kawasan sekolah.

Bagaimanapun, ujarnya, apabila mereka keluar daripada pagar sekolah, mereka masih dapat membelinya kerana ia dijual secara berleluasa di luar.

"Makanan ringan adalah sejenis makanan yang secara jelas tidak mempunyai nutrisi dan mengandungi banyak perisa tambahan yang menyebabkan seseorang kanak-kanak mengalami obesiti.

"Pulang ke rumah, ada ibu bapa terutama yang sibuk bekerja akan menyediakan pula makanan segera atau memasak makanan mengandungi gula dan lemak tinggi tetapi rendah vitamin, mineral serta nutrisi penting untuk perkembangan tubuh dan minda anak.

"Saya nasihatkan ibu bapa sentiasa bertanya kepada anak apa yang mereka makan di sekolah, pantau pemakanan anak, sediakan menu berkhasiat, amalkan diet sepatutnya dan paling penting jangan tanya apa yang anak ingin makan tetapi anda yang menentukannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kesihatan Kanak-Kanak Malaysia di The Royal Bintang, Damansara, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle, Zainun Nur Abdul Rauf dan Presiden Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM), Dr. Tee E Siong.

Menurut Zainun Nur, program itu dilancarkan sebagai satu usaha bagi menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan kanak-kanak sekolah rendah berusia antara 7 hingga 12 tahun.

Kempen tersebut membabitkan aktiviti seperti kesedaran nutrisi, aktiviti fizikal dan perbincangan, kelas panduan bagaimana meningkatkan pengetahuan, sikap dan amalan nutrisi selain ditunjukkan demonstrasi penyediaan masakan berkhasiat oleh Chef Florence Tan.

"Pada pelancaran hari ini, kami turut mengadakan bengkel eksperimen iaitu percubaan untuk melihat sejauh mana beberapa ibu bapa dan pelajar yang menyertainya dapat berbincang serta bertukar-tukar pendapat mengenai pemakaran dan gaya hidup anak mereka.

"Kejayaan bengkel hari ini akan menguatkan usaha kami atau membantu kami memperkemaskan aktiviti sebelum melebarkannya ke sekolah seluruh negara.

"Program ini pertama kali diadakan di Malaysia tetapi ia sudah dijalankan di beberapa buah negara seperti Argentina, China, Thaiwan, Korea, Singapura, Pakistan, Filipina, India, Mauritius, Jerman, Malta dan Belanda," ujarnya.


Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

1 Komen:

armouris on 22 Ogos 2010 12:14 PTG berkata...

info tentang kencing manis di SIHAT SELALU - Kencing Manis Punca Sakit Jantung, Darah Tinggi, Buah Pinggang Rosak

Catat Ulasan

 

ZONFINITI