Daripada kehidupan gadis biasa, segalanya berubah apabila diberi tawaran menjadi pengacara TV. Itulah rezeki yang diterima Dottie ketika bekerja di satu stesen TV swasta.
Bagi Dottie, dia memang tidak menyangka peluang beraksi depan kamera hadir walaupun pada mula hanya pekerja 'wardrobe'. Dalam satu adegan, dia secara spontan menjadi pengacara menggantikan Maria lakonan Marsha yang menimbulkan kekecohan ketika di lokasi.
Sejak peristiwa itu, 'rating' program berkenaan naik mendadak dan bakat mengacara yang dimiliki Dottie menarik minat pengurus stesen itu untuk menawarkan peluang baru kepadanya.
Di sebalik bakat yang ditunjukkan, Dottie membuktikan gadis berbadan besar boleh berjaya dalam hidup termasuk menjadi pengacara yang selama ini lebih terarah pada wanita cantik berbadan langsing.
Segala kisah dan ragam kehidupan yang dilalui Dottie dapat disaksikan menerusi drama Dottie yang bersiaran di Astro Ria (saluran 104) setiap Isnin jam 10 malam.
Nyata, populariti Dottie secara tidak langsung melonjak nama pelakon baru, Nor Syuhaida Ab Razak kini dikenali ramai. Dia berjaya dari kalangan 15 peserta hadir uji bakat untuk membintangi drama ini.
Pemilihan Nor Syuhaida sebagai teraju utama drama ini adalah atas kepercayaan pengarah pada bakatnya. Kepada peminat, jangan lepaskan peluang menyaksikan telatah Dottie dalam episod seterusnya.
Drama sebanyak 13 episod terbitan Radiusone Sdn Bhd ini diarahkan Ghaz Abu Bakar dan Nizam Zakaria turut menyaksikan gandingan pelakon berpengalaman seperti Noryati Taib sebagai Makcik Petir dan Eliza AF (Wati).
Sementara itu Lagenda Budak Setan karya Ahadiat Akashah yang mendapat sambutan menggalakkan ketika ditayangkan di pawagam sudah diadaptasikan dalam bentuk drama bersiri 26 episod disiarkan di Astro Prima (Saluran 105) setiap Selasa, jam 10.30 malam bermula 10 Ogos lalu.
Kisah bermula dengan kenakalan Kasyah, seorang pelajar nakal yang sering membuli dan suka mengenakan orang lain bersama beberapa rakannya. Mereka sering dikenakan tindakan disiplin dan turut melabelkan kumpulan mereka sebagai anti perempuan.
Namun sikap dan kenakalan Kasyah berubah dengan kemunculan pelajar baru bernama, Ayu. Kehadiran Ayu di sekolah itu berjaya menambat hati dan perasaan Kasyah lalu membuatkan lelaki yang sebelum ini tidak pernah kenal erti kasih sayang jatuh cinta. Ayu mencabar Kasyah untuk berubah dan sebagai syarat untuk dia menerima Kasyah. Hubungan Kasyah dan Ayu bertambah erat dan perasaan sayang mulai bercambah. Walau bagaimanapun, bekas kekasih Ayu bernama Azmi (lakonan Nas T) tiba-tiba muncul menagih semula cintanya. Azmi menggunakan kedudukan dan kemewahan keluarga bagi mempengaruhi ibu Ayu, Mak Leha untuk menambat hati Ayu semula. Ayu terpaksa menerima Azmi semula dengan berat hati.
Selepas menamatkan persekolahan, Kasyah membawa hatinya yang luka ke luar negara selepas menerima tawaran sebuah universiti. Tidak lama kemudian, Ayu juga ditakdirkan mendapat tawaran di universiti yang sama.
Di sini mereka bertemu semula dan Ayu yang sebenarnya memang berniat mencari Kasyah untuk menebus kesilapannya, berjanji untuk setia selepas mengecewakan Kasyah. Selain Farid Kamil teraju utama sebagai Kasyah, pelakon lain yang menguatkan drama arahan Along Kamarudin ialah Maslina Nasir sebagai Ayu, Jue Aziz (Emilia), Melissa Maureen Rizal (Katerina), Nas T (Azmi), Arifah Damanhuri (Mak Leha) dan Ngasriah Ngasri (Suzana).
Oleh Elrafaei Sapi
Antara Dottie dan Kasyah
Entri Lain
Permalink: Antara Dottie dan Kasyah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment