Wan Norazlin takut menjanda

Tuesday, August 17, 2010

Selepas dua tahun, kemelut rumah tangga yang menghantui hidup aktres Wan Nor Azlin tidak juga berakhir. Ibarat digantung tidak bertali oleh suaminya, kehidupan ibu kepada tiga orang cahaya mata itu tidak ubah seperti seorang ibu tunggal. Cuma bezanya, dia masih berstatus isteri kepada Mohd. Yazli Yaacob.


Azlin atau nama sebenarnya Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain, 41, yang ditemui di majlis sidang media program Ramadan dan Merdeka di RTM baru-baru ini menjelaskan tiada kejernihan yang timbul antara suami dan dirinya. Malah, sudah terlalu lama rasanya dia hidup tanpa suami di sisi.

Dia yang ditemani anak ketiganya Dania Camelia, enam tahun, pada majlis tersebut mengakui sudah terbiasa hidup tanpa seorang suami dan ayah di sisi mereka apabila suaminya itu meninggalkan mereka buat kali pertama pada tahun 2005.

Kata Azlin, suaminya pulang semula pada tahun 2007 bagaimanapun pada tahun 2008 sehingga hari ini suaminya keluar dan tidak pernah pulang ke rumah menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan ayah kepada tiga orang anaknya.

"Saya dan suami, masih lagi suami isteri yang sah. Kami tidak pernah bercerai dan saya takut apabila memikirkan perkara itu. Walaupun digantung tidak bertali oleh suami, saya lebih selesa begitu daripada bercerai dan memikul status janda," ujarnya.

Ditebak lagi, jika sudah digantung tidak bertali apa lagi jalan penyelesaian yang ada selain bercerai. Namun, katanya dia takut dengan status janda.

"Saya takut untuk pikul status janda. Biar pun digantung tidak bertali tetapi saya masih lagi isteri orang. Setidak-tidaknya masih ada kekuatan buat saya untuk teruskan hidup. Bagi saya status isteri itu lebih mulia dan dihormati orang daripada janda. Malah saya tidak pernah terfikir untuk menjanda sebab saya tidak pernah melaluinya.

"Berdasarkan cerita kawan-kawan yang bergelar janda, cabaran buat mereka lebih besar. Masyarakat juga sering memandang serong kepada mereka. Itu yang saya takutkan. Setakat ini, saya senang dengan cara hidup begini walaupun saya terpaksa uruskan semua perkara sendiri," ucapnya.

Tambah ibu kepada Danial Luqman, 10, Danny Iskandar, 9, dan Dania Camelia, dia juga tidak mengerti dan tidak tahu apa yang difikirkan oleh suaminya sehingga sanggup meninggalkan dia dan anak-anak.

"Saya tidak tahu apa masalahnya, selain kes pinjam duit ah long itu dia tidak beritahu saya apa masalah dia. Bila ditanya, dia kata jangan campur urusannya. Saya mahu cakap apa lagi?

"Sejujurnya saya tidak tahu sampai bila saya akan digantung tidak bertali. Suami saya langsung tidak membantu saya dan anak-anak apabila kami dalam kesusahan. Ramai kawan yang minta untuk saya tuntut cerai tetapi saya belum punya kekuatan itu lagi," katanya.

WAN NOR AZLIN memberitahu sudah terbiasa hidup sendiri bersama tiga anaknya iaitu Danny Iskandar (kiri) Dania Camelia dan Danial Luqman.

Tidak putus silaturrahim

Sungguhpun sebelum ini suaminya menghilangkan diri tanpa berita tetapi menurut Azlin, kini dia sudah mula berhubung dengan suaminya cuma mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak suaminya keluar dari rumah pada tahun 2008.

"Saya ada hubungi dia melalui telefon dan ada juga jumpa. Saya juga letak anak-anak di bawah jagaannya apabila saya ada penggambaran kerana saya tidak mahu susahkan keluarga saya lagi.

"Setidak-tidaknya dia boleh menjalankan sedikit tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Itu sahaja yang saya lihat dia boleh lakukan, kalau nak bagi nafkah atau mendidik saya rasa tidaklah," terangnya lagi.

Disoal lagi, mungkinkah masih ada sayang dan cinta kepada suaminya yang membuatkan Azlin bertahan sehingga ke hari ini? Azlin yang terdiam sebentar menjawab: "Sayang sudah tiada sebab saya sudah geram sangat dengan dia. Kalau dia sudah melampau sangat saya pula sudah ada kekuatan dan rasa selamat baru saya akan tuntut cerai tetapi tidak buat masa ini."

Oleh HARYATI KARIM


Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.

Layari : Zonfiniti

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI