Hukuman penjara terhadap mereka yang membuang bayi. Cara ini mungkin dapat menangani masalah pembuangan bayi. Tetapi, adalah ia penyelesaian terbaik dan berkesan dalam jangka masa panjang? Apakah kesannya kepada psikologi pelaku dan adakah ia mampu mengubah sikap pelaku? Apakah jaminan mereka tidak akan mengulanginya?
Kes pembuangan bayi kini bukan lagi sesuatu yang asing, malah dari sehari ke sehari, semakin banyak kes sedemikian dilaporkan. Ada saja kisah bayi dibuang, sama ada yang masih hidup atau tidak. Ada yang dibuang kononnya dengan cara `bersopan’ kerana diletakkan di masjid atau rumah orang dan tidak kurang yang bertindak kejam. Sudahlah bayi itu dibuang, ditanam pula ketika masih lagi bernafas!
Apa pun cara ia dibuang, kes pembuangan bayi ini berpunca daripada perbuatan zina dan ia seharusnya dicegah sama sekali.
Memerangi bahan lucah dan menyekat laman lucah di internet adalah antara cara untuk menangani masalah ini. Perintah berkurung terhadap remaja keluar malam serta larangan remaja mengunjungi kelab malam antara perlu diperhebatkan lagi pemantauan serta hukumannya.
Kaunselor Berdaftar yang juga Pensyarah Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaya, Hushim Salleh, berkata punca utama berlaku perzinaan ialah kebanjiran bahan lucah yang mudah didapati di pasar malam atau internet.
“Namun, kewujudannya seolah-olah dinafikan. Selagi punca kepada berlaku perzinaan itu tidak diperangi, masalah ini tidak akan selesai. Hari ini, 30 daripada 50 remaja perempuan sudah tidak ada dara lagi dan usahlah terkejut kerana ramai antara ibu bapa tidak dapat menghidu perzinaan anak kerana remaja bijak menyembunyikan perbuatan buruknya itu.
“Seorang remaja lelaki tingkatan empat, masih bersekolah, mengakui sudah melakukan zina dengan teman sekolah sejak berusia 14 tahun lagi. Apabila ditanya kenapa dan bagaimana berlaku, remaja itu dengan mudah mengatakan beliau melakukan zina kerana seronok selain senang mendapatkan budak perempuan. Teknik seks diperoleh menerusi tontonan video lucah,” katanya yang mengulas mengenai hukuman penjara terhadap penjenayah buang bayi.
Akhbar baru-baru ini melaporkan Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.
Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Secara peribadi, beliau tidak bersetuju dengan hukuman penjara 20 tahun kerana dari segi psikologi, individu yang terbabit dalam pembuangan bayi itu berbuat demikian akibat terdesak kerana malu, takut dan tertekan.
Hushim berkata, mengikut Islam, lelaki dan perempuan bujang melakukan zina perlu dikenakan hukuman sebat sebagai pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan lagi dan rejam bagi lelaki dan wanita yang sudah berkahwin melakukan zina.
“Pembuangan bayi puncanya jelas dan pada peringkat awal lagi kita sudah tahu zina. Tetapi masyarakat hanya tahu menghukum, sedangkan langkah pencegahan dalam Islam sudah ada iaitu jauhi zina. Tetapi punca kepada zina itu tidak kita perangi habis-habisan, seperti bahan lucah dan pergaulan tanpa batasan antara lelaki dengan wanita.
“Didikan agama itu sendiri sudah longgar. Ibu bapa yang tidak mempunyai ilmu keibubapaan antara punca ketara apabila anak-anak tidak ditegaskan soal aurat. Malah, ibu bapa hari ini juga tidak memberikan tanggungjawab terhadap anak lelaki hinggakan mereka tidak tahu menghormati wanita.
“Hari ini, saya nampak ramai anak tidak bertanggungjawab akibat tindakan tegas tidak dikenakan terhadap mereka kerana lelaki tidak mengandung. Apabila menghamilkan seorang wanita dan tidak tertangkap, tidak mustahil lelaki itu akan terus mencari wanita lain sebagai mangsa.
“Pengalaman saya, bila berlaku kes seperti ini, lelaki tidak bertanggungjawab seperti ini akan lepas begitu saja, akibat kita tidak tegas daripada segi pelaksanaan undang-undang,” katanya.
Memburukkan keadaan, apabila lelaki durjana itu mengetahui teknik melemahkan wanita seperti merakam aksi seks sebagai bahan ugutan untuk mendapatkan wang dan sebagainya kerana tahu wanita berkenaan pasti takut atau malu.
“Kelemahan perempuan apabila dia sudah seronok, dia menyerahkan segala-galanya pada lelaki dan pada masa itulah lelaki mengambil kesempatan. Mangsa biasanya akan sedih dan menyesal tetapi akan mengulangi perbuatan sama kerana merasa diri sudah rosak, menyebabkan keadaan itu tidak berpenghujung. Sekiranya tidak diketahui ibu bapa dan persekitaran luar begitu menggalakkan, ia akan menjadi lebih teruk lagi,” katanya.
Perbaiki asas sebelum jatuhkan hukuman?
"Hukuman adalah langkah paling akhir selepas kita tidak menemui jalan penyelesaian sesuatu perkara. Tetapi terlalu banyak hukuman serta undang-undang, saya khuatir pula ia tidak mampu berjalan dengan baik.
“Namun, jika ada jaminan menemui ibu bapa bayi dibuang itu dan diheret ke muka pengadilan, ia mungkin boleh dilaksanakan,” kata Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj.
Dr Harlina berkata, kecenderungan hari ini apabila sesuatu hukuman tidak mendatangkan kesan, maka selepas itu hukuman lebih berat lagi akan dikenakan seperti dalam isu pembuangan bayi yang dilihat semakin tenat. Namun, adakah ia menemui jalan penamat?.
Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun ini hingga semalam.
“Sebenarnya apakah harapan atau objektif kita terhadap hukuman itu? Kejadian buang bayi sudah berlaku sejak dulu tetapi semakin meningkat hari ini. Kita perlu melihat kepada sumber kepada sesuatu kejadian kerana manusia ini ada lima sistem besar itu adat resam, adab atau norma, agama, jiwa barulah yang terakhir perundangan.
“Mengikut adat resam, zina memang dilarang sama sekali, ia perlu dijauhi apatah lagi membuang bayi. Bayi perlu dipelihara, kalau tidak boleh mati. Kita mamalia yang diciptakan perlukan belaian serta bantuan untuk disusukan, didukung dan sebagainya. Kalau haiwan, macam gajah, lahir saja terus boleh berjalan. Kita berbeza sebab Allah ciptakan manusia perlu bergantung kepada jagaan manusia juga,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, mengikut adab norma, anak dilahirkan perlu dibela oleh ayah dan ibu, selain pendekatan agama spiritual yang membolehkan kita dipandu kepada kehidupan yang lebih baik, sementara perundangan diperuntukkan kepada manusia apabila ke empat-empat sistem sedia ada itu, tidak mampu memberikan pengajaran atau pendidikan kepada individu.
Justeru, Dr Harlina berkata, masih banyak ruang diperbaiki dan memperkukuhkan nilai berkenaan sebelum sesuatu hukuman berat menjadi pilihan paling akhir.
“Sebagai contoh zaman Nabi dulu, semua berpegang kepada agama dan Allah.
Kalau ingin buat sesuatu, tanya diri sama ada dapat pahala atau dosa? Mereka takut dengan Allah. Perundangan pun hanya beberapa kali saja dilakukan sebab sistem lain semuanya mantap. Kita juga boleh buat begitu jika sistem asas tadi dijaga dengan baik. Saya khuatir hukuman dan perundangan keterlaluan tidak banyak membantu.
“Menggunakan kaedah ujian asid deoksiribonukleik (DNA) saranan terbaik, tetapi sejak dulu hingga kini, berapa ramai yang berjaya dikesan. Kalau wanita saja dikenakan hukuman, bagaimana dengan lelaki kerana anak tidak akan terhasil tanpa ada benih lelaki,” katanya.
Dr Harlina menegaskan, selain warga tempatan, pembuangan bayi besar kemungkinan dilakukan kelompok pekerja asing yang meninggalkan negara asal semata-mata mencari pendapatan di negara ini.
“Apabila meninggalkan suami atau isteri di negara asal dan bercampur pula dengan rakan serumah, memungkinkan pergaulan bebas terjadi. Apabila hamil, anak itu nanti akan pasti menjadi beban kerana ia tidak diingini. Masing-masing hanya ingin mengisi kekosongan jiwa, bukan mahukan anak atau perkahwinan.
Justeru, saya menyarankan supaya kerajaan dan majikan turut memantau sosial pekerja asing yang semakin membanjiri negara ini kerana kelompok ini ada ada alasan kuat untuk membuang bayi dikandung.
“Jika ada pekerja asing hamil, majikan dan kerajaan mesti memastikan ibu ini mendapat penjagaan semasa kehamilan dengan sempurna. Anak yang tidak diingini itu mungkin boleh dijaga dan diberikan kepada keluarga angkat dalam rumah perlindungan di sini. Ini kerana kalau warga asing hamil anak luar nikah, mustahil si ibu menjaga anak berkenaan,” kata Dr Harlina yang juga pakar perunding Obstetrik & Ginekologi Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Rahsia Doa Pengasih. Klik sini.
Layari : Zonfiniti
Perangi bahan lucah
Entri Lain
Permalink: Perangi bahan lucah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment