Penerima Darjah Kebesaran Persekutuan Tahun 2012

Sunday, June 03, 2012

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria mengetuai 1,523 penerima Darjah Kebesaran Persekutuan Tahun 2012 sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Beliau adalah penerima tunggal Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (S.S.M) yang membawa gelaran 'Tun'.

Dua penerima iaitu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dikurniakan Darjah Panglima Mangku Negara (P.M.N) yang membawa gelaran 'Tan Sri'.

Seramai 39 individu lain dikurniakan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang juga membawa gelaran 'Tan Sri'.

Antara mereka ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Suriyadi Halim Omar; bekas perutusan tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Datuk Hamidon Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sukarti Wakiman; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Petroleum Nasional Berhad (Petronas) Datuk Shamsul Azhar Abbas, dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Strategy & Leadership Incorp. Sdn Bhd, Datuk Dr Michael Yeoh Oon Kheng.

Puteri Tuanku Abdul Halim, Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz turut dikurniakan PSM.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar turut menerima PSM, masing-masing bagi kategori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi pertubuhan politik, antara penerimanya ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara yang juga bekas setiausaha agung MCA, Datuk Wong Foon Meng, Anggota Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Ab Samad; Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin.

Legenda bola sepak negara, Datuk Abdul Ghani Minhat juga dikurniakan PSM.

Seramai 65 individu dianugerahkan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk'. Antara mereka ialah Ketua Pentadbir Parlimen Malaysia, Datuk Ngah Senik; Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Yew Jen Kie; Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Perunding Kanan Hospital Sungai Buloh, Dr Christopher Lee Kwok Choong; Ketua Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohammad Saffari Mohammed dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof Datuk Dr Zaini Ujang.

Turut dianugerah PJN adalah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, Setiausaha Agung MIC, S Murugesan dan Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Balang Rining dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Doris Sophia Brodi.

Tiga individu juga menerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD) yang membawa gelaran 'Datuk'. Mereka ialah Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Elmi Mohd Yusoff, Timbalan Presiden Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Datuk Adzmi Din dan Pengarah Cawangan Khas PDRM, Asisten Komisioner Musa Mohd Safri.

Bagi penganugerahan darjah kebesaran lain, tiga orang menerima Darjah Johan Setia Diraja (JSD); 228 menerima Kesatria Mangku Negara (KMN), tujuh Kesatria Setia Diraja (KSD); 628 Pingat Pangkuan Negara (PPN) dan tiga menerima Bentara Setia Diraja (BSD).

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI