Komik Tintin dilelong RM4.8 juta

Monday, June 04, 2012

Satu daripada koleksi muka depan komik Tintin yang dihasilkan oleh pelukis kartun tersohor Herge pada 1932, berjaya dilelong pada harga melebihi 1.3 juta euro (RM4.8 juta), di Paris, semalam.

Menurut jurucakap Firma Lelong Artcurial, ilustrasi bertajuk Tintin in America itu menggambarkan mengenai seorang wartawan lelaki dibeli oleh seorang individu yang tidak mahu dikenali.

Pemiliknya, yang merupakan pengumpul koleksi Tintin, membelinya pada harga 764,218 euro (RM2.9 juta) pada 2008, menjadikan ia kekal sebagai koleksi yang paling mahal sehingga hari ini bagi kartun yang popular pada abad ke-20 itu.



"Kami sememangnya menjangkakan harganya mampu mencecah satu juta euro walaupun tidak meletakkan sebarang anggaran pada awalnya," kata jurucakap itu.

Herge menghasilkan lukisan tersebut menggunakan dakwat India dan teknik warna gouache bagi edisi pertama bukunya, yang mula dipasarkan pada 1934.

Satu daripada lima karyanya dalam bentuk lukisan muka depan, menggambarkan seorang remaja pengembara memakai pakaian seperti cowboy duduk di atas batu dengan anjingnya bernama Snowy berada di sebelahnya, manakala terdapat tiga lelaki dayak sedang mengacu kapak di belakangnya.

Acara lelong semalam merupakan sebahagian daripada jualan lelong terbesar bagi barangan koleksi yang mempunyai kaitan dengan Tintin.

Februari lalu, sebuah mahkamah di Belgium menolak untuk menyekat jualan lelong Tintin in the Congo yang difailkan oleh seorang lelaki bangsa Congo, Bienvenu Mbutu Mondondo, yang mendakwa ia mengandungi unsur perkauman kerana mempersendakan bangsa Afrika.

Herge atau nama sebenarnya Georges Remi, dilahirkan pada 1907 dan meninggal dunia pada 1983, pernah menyatakan bahawa senario itu adalah gambaran sebenar mengenai keadaan ketika itu.

Tahun lalu, pengarah filem Steven Spielberg menghasilkan filem 3 dimensi (3D), Adventures of Tintin: Secret of the Unicorn dan bercadang untuk menghasilkan sambungan bagi filem tersebut. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI