Nabi Ibrahim melihat kekuasaan Allah

Saturday, June 23, 2012

Nabi Ibrahim melihat kekuasaan Allah

NABI Ibrahim ialah putera Azar (Tarih) bin Tahur bin Saruj bin Rauk bin
Falij bin Abir bin Syalih bin Arfakhsyad bin Saam bin Nuh. Baginda
dilahirkan di Faddam Akram wilayah Babylon yang ketika itu diperintah oleh
Raja Namrud bin Kanaan.
Kerajaan Babylon pada waktu itu makmur dan rakyatnya hidup senang dan
sejahtera. Bagaimanapun, rohani mereka sebenarnya masih jahil.
Mereka tidak kenal Tuhan yang mencipta dan mengurniakan mereka
kesenangan, sebaliknya menyembah patung yang mereka ukir sendiri daripada
batu atau tanah.
Namrud menjalankan pemerintahan kuku besi. Semua kehendaknya mesti
dilaksanakan, manakala segala perintahnya adalah undang-undang yang tidak
boleh dilanggar.
Kekuasaan yang berlebihan serta kemewahan hidup menjadikan dia tidak
puas dengan kedudukannya sebagai raja dan mahu rakyat menyembahnya sebagai
Tuhan.
Bagi Namrud, rakyat patut menyembahnya dan bukan patung tidak bernyawa
yang tidak dapat memberikan apa-apa faedah.
Dialah yang dapat membawa kemakmuran serta melepaskan mereka daripada
kesusahan. Dia juga yang dapat mengubah orang miskin menjadi kaya dan
orang hina menjadi mulia. Di samping itu, dia jugalah raja yang berkuasa
serta memiliki negara yang besar dan luas takluk jajahannya.
Di tengah-tengah masyarakat yang porak peranda itulah lahir Nabi
Ibrahim. Ayahnya bekerja sebagai pemahat dan peniaga berhala.
Sebagai calon Rasul, Nabi Ibrahim bakal membawa cahaya kebenaran kepada
kaumnya. Baginda dikurniakan akal yang sihat dan tajam serta sedar apa
yang dilakukan kaumnya, termasuk ayahnya sendiri adalah sesat.
Penyembahan patung perbuatan mungkar yang harus diperangi dan mesti
diajak kembali ke jalan benar iaitu jalan Allah, Tuhan yang mencipta alam.
Ketika remaja, Nabi Ibrahim sering disuruh ayahnya menjual berhala. Oleh
kerana iman dan tauhid yang diilhamkan Allah kepadanya, Nabi Ibrahim tidak
berminat melakukan perkara itu. Bahkan secara mengejek baginda berkata
kepada pembeli: "Siapakah hendak membeli patung yang tidak berguna ini?"
Di dalam hati Nabi Ibrahim, baginda memerangi syirik dan penyembahan
berhala oleh kaumnya. Baginda ingin meningkatkan imannya terlebih dahulu
serta mententeramkan hatinya supaya tidak ragu-ragu.
Baginda memohon kepada Allah supaya menunjukkan bagaimana Allah
menghidupkan kembali makhluk yang sudah mati.
Baginda berseru kepada Allah: "Ya Tuhanku! Tunjukkanlah bagaimana Engkau
menghidupkan kembali makhluk-Mu yang sudah mati."
Allah menjawab dengan firman yang bermaksud: "Tidakkah engkau beriman
dan percaya kepada kekuasaan-Ku?"
Nabi Ibrahim menjawab: "Betul, wahai Tuhanku, aku sudah beriman dan
percaya kepada-Mu dan kekuasaan-Mu, sesuai dengan wahyu yang aku terima
daripada-Mu, namun aku ingin melihatnya dengan mataku sendiri agar semakin
tebal dan kukuh keyakinanku kepada-Mu dan kekuasaan-Mu."
Allah memperkenankan permohonan Nabi Ibrahim lalu diperintahkan baginda
menangkap empat ekor burung dan selepas meneliti tubuh burung berkenaan,
memotongnya menjadi kepingan, mencampurkan dan kemudian bahagian yang
sudah hancur itu dibahagikan kepada empat longgok. Setiap longgok diletak
di atas puncak empat bukit yang berjauhan di antara satu sama lain.
Selepas itu Allah memerintah Nabi Ibrahim memanggil burung-burung yang
sudah dibunuh itu.
Dengan izin-Nya keempat-empat ekor burung itu terbang seperti
sebelumnya. Baginda melihat dengan mata sendiri bagaimana Allah dapat
menghidupkan kembali makhluknya yang sudah mati seperti Allah mencipta
sesuatu yang belum wujud.
Dengan demikian tercapailah apa yang diinginkan Nabi Ibrahim untuk
mententeramkan hatinya dan menghilangkan keraguan yang mungkin ada dalam
diri baginda.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI