Penuntut asing di universiti Australia akan layak mendapat visa kerja selama dua hingga empat tahun selepas mereka tamat pengajian di bawah peraturan imigresen yang akan diperkenalkan kerajaan Australia tahun depan.
Pemegang visa itu perlu mahir dalam bahasa Inggeris dan mempunyai insurans kesihatan, serta lulus ujian kesihatan dan peraturan keselamatan serta perwatakan yang baik, lapor akhbar The Australian.
Menteri Imigresen, Chris Bowen berkata, perluasan skim visa Graduan Mahir akanmembantu meningkatkan daya saing industri kemasukan pelajar ke Australia bernilai A$18 bilion.
Ia juga berpotensi untuk membenarkan kesemua 220,000 penuntut asing di Australia bekerja dalam sebarang jenis pekerjaan selepas tamat pengajian.
Sistem yang ada sekarang terhad kepada graduan yang menuntut dalam bidang pekerjaan mahir - termasuk perdagangan, perubatan, kejuruteraan, seni bina, perakaunan dan perguruan - yang boleh bekerja sehingga 18 bulan.
Penuntut asing dalam bidang lain perlu meninggalkan Australia dalam tempoh sebulan selepas tamat pengajian, kata akhbar itu.
Bagaimanapun, mulai tahun depan visa akan diberi kepada semua graduan tanpa mengira bidang pengajian mereka.
Had tempoh 18 bulan pula dilanjut kepada dua tahun untuk graduan Ijazah Pertama, tiga tahun bagi Sarjana dan empat tahun untuk Doktor Falsafah.
"Peraturan ini tidak melibatkan pekerja asing mahir, oleh itu ia tidak memerlukan pemohon menamakan pekerjaan dalam senarai pekerjaan mahir atau menjalani penilaian kemahiran," kata seorang jurucakap untuk Bowen kepada akhbar itu.
Di bawah skim yang ada sekarang, visa kerja dikeluarkan kepada 24,359 penuntut dalam tempoh sembilan bulan sehingga Mac, meningkat 85 peratus dalam tempoh setahun. – BERNAMA
Peraturan Baru Graduan Asing Bekerja Di Australia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment