Sejarah Kes Jenayah Mona Fandey

Monday, June 25, 2012

Kes jenayah paling ngeri dalam sejarah jenayah Malaysia

Pembunuhan ahli politik Datuk Mazlan Idris merupakan antara kes pembunuhan yang boleh dianggap paling ngeri dalam sejarah jenayah Malaysia.

Pembunuhan yang memeranjatkan negara itu berikutan penemuan tubuh Mazlan yang telah dikerat kepada 18 bahagian dan ditanam menggunakan simen, mempunyai ciri-ciri pemujaan.

Perbicaraan selama 69 hari pada 1994 mendengar cerita sensasi berhubung ilmu hitam, wang dan politik.

Jika tidak kerana kecekapan polis, pembunuhan yang dirancang rapi oleh pasangan Mohamed Affandi Abdul Rahman dan isterinya, Maznah Ismail (lebih dikenali sebagai Mona Fandey) serta dilakukan oleh pembantu mereka, Juraimi Husin, mungkin terlepas sebagai jenayah sempurna.



Kehilangan Mazlan, ketika itu anggota Dewan Undangan Negeri Pahang berusia 49 tahun, pada awalnya tidak banyak menimbulkan syak wasangka tetapi apabila beliau gagal dihubungi oleh anggota keluarga lebih seminggu, polis mula bertindak.

Sebelas hari selepas pembunuhan itu yang terjadi antara 10 malam dan tengah malam 13 Julai 1993, polis menahan Juraimi tetapi hanya kerana dia disyaki penagih dadah.

Tetapi Juraimi kemudian membawa polis ke penemuan ngeri bahagian tubuh Mazlan yang dikorek keluar dari bawah lantai simen dalam bilik stor dekat sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Peruas, Hulu Dong, daerah Raub, Pahang.

Tidak kurang sensasinya ialah gambar di akhbar-akhbar menunjukkan Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri Khalil Yaakob, mengeluarkan kepala Mazlan dari lubang itu selepas polis menemuinya.

Perbicaraan diberitahu bagaimana pasangan bomoh itu telah merancang pembunuhan itu sebulan sebelumnya dan arahan kepada Juraimi beberapa hari sebelum pembunuhan itu antara lain ialah untuk mengasah kapak bagi memancung kepala Mazlan dan menggali lubang besar.

Affandi dan Mona juga mengasah sebilah pisau yang digunakan untuk memotong tubuh Mazlan kepada 18 bahagian.

Wang dikatakan sebagai motif pembunuhan itu. Beberapa jam sebelum Mazlan dikerat, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 di beberapa bank di sini dengan alasan pasangan itu boleh menggandakan jumlah wang itu selepas Mazlan menjalani upacara `mandi bunga'.

Kisah di mahkamah mengenai pembunuhan itu sungguh menyeramkan - Mazlan disuruh baring sebelum Juraimi menetak lehernya dengan kapak selepas diberi jaminan oleh Affandi bahawa `duit yang banyak akan jatuh dari atap'.

Pihak pendakwa berhujah bahawa Mazlan mengeluarkan sejumlah wang yang banyak bukan untuk tujuan memberikannya kepada penyokongnya tetapi kerana dia percaya kepada tipu helah `wang buat wang' pasangan itu kerana dia memerlukan wang yang banyak bagi tujuan politik.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa pada masa itu bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian UMNO.

Juraimi hanya diberikan RM180 bagi menanam tubuh itu sebaik saja selepas pembunuhan oleh pasangan itu yang kemudian bergegas ke Kuala Lumpur dan bermalam di sebuah hotel.

Lapan jam selepas pembunuhan itu, Affandi dan Mona mula membeli-belah menggunakan wang Mazlan. Seawal 7.30 pagi keesokannya, mereka telah berada di bilik pameran kereta di Melaka untuk membeli sebuah kereta Mercedes Benz 280 walaupun kedai itu belum dibuka untuk perniagaan pada hari itu.

Sehari sahaja selepas pembunuhan itu, mereka membelanjakan lebih RM160,000 untuk membeli kereta, telefon bimbit dan barang kemas.

Beberapa hari selepas itu, pasangan itu, yang digambarkan di mahkamah sebagai kesempitan wang sebelum pembunuhan itu, membelanjakan lebih RM20,000 bagi barang kemas dan perabot.

Mona, yang pernah menjadi penyanyi, juga membayar RM13,000 untuk pembedahan plastik dua minggu selepas pembunuhan itu manakala suaminya menubuhkan beberapa syarikat.

Keseluruhannya, pasangan itu membelanjakan kira-kira RM300,000 dalam masa 10 hari membeli-belah sebelum penahanan mereka, satu jumlah yang sama dengan apa yang dikeluarkan oleh Mazlan dari akaun banknya.

Cerita yang diberitahu dalam pembelaan mereka juga tidak kurang sensasinya tetapi semua tidak dipercayai oleh hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.

Affandi, misalnya, memberitahu mahkamah bahawa Mazlan berhutang RM2.5 juta kepadanya sebagai pertukaran kepada tiga barang yang menurutnya pernah menjadi milik Allahyarham Presiden Sukarno - tongkat, tangkal dan songkok.

Lembaga Pengampunan Pahang turut menolak permohonan mereka untuk mendapat pengampunan diraja.

Ketiga-tiga mereka menjalani hukuman gantung hingga mati pada 2 November 2001 selepas didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Talam, Datuk Mazlan Idris pada 13 Julai 1993.

Kronologi kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris

Juraimi adalah tertuduh pertama kes itu, manakala Mona tertuduh ketiga dan Mohd Affandi tertuduh kedua. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama kerana membunuh Mazlan.

Mereka didapati bersalah pada 9 Februari 1995 oleh Mahkamah Tinggi Temerloh dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

Pembunuhan dipercayai bermotif wang kerana beberapa jam sebelum Mazlan dikerat, pasangan itu memujuknya mengeluarkan wang tunai hampir RM300,000 daripada beberapa bank dengan alasan boleh menggandakan jumlah itu selepas Mazlan mandi bunga?

Wang itu kemudian digunakan untuk membeli kereta Mercedes Benz 280 dengan harga RM125,000 dan telefon bimbit RM10,500 secara tunai. Mereka juga membeli barangan kemas berjumlah hampir RM40,000 selain peralatan elektrik dan perabot (RM20,000).

Mona turut menjalani pembedahan plastik dengan kos lebih RM13,000 pada 15 Julai 1993.

13 Julai 1993: Juraimi ditahan di Balai Polis Dong selepas disyaki menagih dadah dan kemudian ditahan di Balai Polis Raub.

18 Julai 1993: Selepas dua minggu Mazlan gagal dikesan, Umno Bahagian Raub membuat laporan polis di Balai Polis Raub mengenai kehilangannya.

19 Julai 1993: Polis memulakan siasatan kehilangan Mazlan. Juraimi dibawa polis ke rumah di Ulu Dong dan polis menemui pita video, album gambar, keratan akhbar dan sijil saham milik Mazlan.

20 Julai 1993: Kira-kira jam 11.45 malam, Mohd Affandi dan Mona ditahan di sebuah rumah Jalan 2/27C Seksyen 5, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

21 Julai 1993: Mohd Affandi dibawa ke Balai Polis Raub.

23 Julai 1993: Mayat Mazlan dijumpai di sebuah rumah di Kampung Pamah Dong, Ulu Dong, Raub Pahang. Mayatnya yang dipotong 18 bahagian tertanam di bilik stor.

1 Ogos 1993: Rangka tiga beranak ditemui di dua tempat di Terengganu, dikatakan dikerat dan ditanam hampir sama dengan pembunuhan Mazlan.

10 Ogos 1993: Polis mendapat perintah reman terhadap Mohd Affandi, Mona dan Juraimi hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita, Fatimah Mohamad, 32.

15 Ogos 1993: Polis menjumpai beberapa anggota manusia yang ditanam di kawasan bekas rumah yang pernah didiami pasangan bomoh Mohd Affandi dan Mona di Kampung Nelayan, Teluk Gong, Klang.

17 Ogos 1993: Polis dapat perintah mahkamah supaya pasangan bomoh itu dan Juraimi ditahan di Penjara Pudu dan Kajang.

26 Oktober 1993: Siasatan awal kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Majistret Raub.

18 Disember 1993: Mahkamah Majistret Raub memerintahkan kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk perbicaraan atas tuduhan membunuh.

3 September 1994: Mohd Affandi dan Mona dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan membunuh Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris.

12 September 1994: Perbicaraan kes pembunuhan Mazlan bermula di Mahkamah Tinggi Temerloh. Juraimi, Mohd Affandi dan Mona mengaku tidak bersalah atas tuduhan niat bersama membunuh Mazlan.

9 Februari 1995: Mahkamah Tinggi Temerloh menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Mohd Affandi, Mona serta Juraimi kerana bersalah membunuh Mazlan.

10 Februari 1995: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi yang didapati bersalah membunuh Datuk Mazlan, dihantar ke Penjara Kajang.

Antara 16 Februari 1995 hinga 20 Oktober 1997: Mohd Affandi, Mona dan Juraimi mengemukakan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Temerloh dan Mahkamah Rayuan.

24 Oktober 1997: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Abdul Malek Ahmad dan Datuk Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim menolak rayuan mereka.

2 November 2001: 5.59 pagi, Mona Fandey, Mohd Affandi dan Juraimi digantung serentak di Penjara Kajang.

Mona dan suaminya, Affandi telah disemadikan diTanah Perkuburan Ahli-ahli Kariah Masjid Kajang di Kampung Sungai Kantan, Kajang. Manakala pembantunya, Juraimi telah dikebumikan di kampungnya, Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.

Selepas berkuburnya kisah Mona Fendy, akhirnya terbit beberapa buah buku yang menceritakan tentang Ilmu hitam yang digunakan oleh Mona Fendy dalam kehidupan beliau dan juga filem Dukun yang jalan ceritanya diambil dari kisah Mona Fendi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI