Pembantu rumah Indonesia bermasalah perlu diganti

Sunday, June 03, 2012

Agensi pekerjaan Malaysia perlu ganti amah bermasalah

Agensi pekerjaan Malaysia perlu mengganti pembantu rumah Indonesia dalam tempoh dua minggu jika pembantu rumah itu didapati tidak sesuai dalam tempoh tiga bulan pertama atau melarikan diri atau tidak kompeten dalam tempoh enam bulan pertama bekerja.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata jika tiada penggantian dibuat, agensi pekerjaan Malaysia berkenaan perlu menggantikan kos pengambilan pembantu rumah terbabit dalam tempoh empat minggu.

Beliau berkata ia merupakan antara klausa yang termeterai dalam protokol pindaan terhadap memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia 2006 yang ditandatangani Malaysia di Bandung, Indonesia pada 30 Mei 2011.

Dalam satu kenyataan hari ini, Subramaniam berkata majikan perlu melaporkan pengambilan dan penamatan termasuk melarikan diri pembantu rumah Indonesia mereka kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dalam tempoh 30 hari dari tarikh pengambilan atau penamatan itu.

"Maklumat laporan daripada majikan akan membolehkan JTK menjalankan penguatkuasaan atau pemeriksaan bagi memastikan pembantu rumah sentiasa mendapat perlindungan dan jaminan bahawa hak dan faedah yang dijanjikan majikan sentiasa dipatuhi," katanya.

Kewajipan melaporkan kemasukan dan penamatan pembantu rumah adalah pindaan baru kepada Akta Kerja 1955 yang berkuatkuasa 1 April 2012.

"Peruntukan baru ini penting bagi tujuan memantau majikan agar tidak melakukan penganiayaan terhadap pembantu rumah seperti yang dilaporkan sebelum ini," kata Subramaniam.

Peruntukan undang-undang lain yang perlu dipatuhi majikan ialah mereka dikehendaki membayar gaji pembantu rumah Indonesia melalui pembukaan akaun simpanan.

"Majikan dikehendaki memberi satu hari rehat berbayar kepada pembantu rumah Indonesia dan dibayar upah tambahan mengikut kadar kiraan gaji sehari sekiranya bekerja pada hari rehat.

"Pasport pula dipegang oleh pembantu rumah Indonesia dan pembantu rumah boleh memberi kebenaran kepada majikan untuk memegang pasport mereka," katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam berkata pembantu rumah juga mempunyai hak untuk membuat aduan secara rasmi ke Pejabat Tenaga Kerja berdekatan, contohnya melalui Talian Nur, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya jika menghadapi masalah dengan majikan.

Sekiranya pembantu rumah dipaksa melakukan kerja di luar kontrak perkhidmatan atau mempunyai elemen 'buruh paksa', mereka wajar mendapat perlindungan sebagai mangsa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, dan majikan boleh diambil tindakan pendakwaan.

"Pembantu rumah juga boleh memfailkan tuntutan mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955 bagi menuntut gaji yang tidak dibayar," kata menteri itu.

Indonesia melaksanakan pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia.

Berikutan keputusan Indonesia menarik balik pembekuan itu berkuatkuasa 1 Disember 2011, kumpulan pertama 29 pembantu rumah dari negara jiran itu mula bekerja semula dengan majikan tempatan, semalam. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI