JPA Tawar 12 Tempat Biasiswa Yang di-Pertuan Agong

Tuesday, June 26, 2012

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan 12 tempat untuk mengikuti pengajian ijazah lanjutan di bawah program penajaan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong pada tahun ini.

Program penajaan itu adalah khusus kepada calon yang mempunyai prestasi akademik dan bukan akademik (kokurikulum) yang amat cemerlang untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran (Ph.D) di dalam atau di luar negara.

Dalam kenyataan JPA di sini Isnin, menyatakan bahawa 12 tempat itu terbahagi kepada enam untuk peringkat sarjana dan enam lagi bagi peringkat Ph.D untuk mengikuti pengajian dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi dan Undang-undang.

Tawaran itu dibuka kepada warganegara Malaysia yang berumur tidak lebih 30 tahun semasa memulakan pengajian, dengan keutamaan diberi kepada calon mendapat keputusan akademik amat cemerlang di peringkat ijazah sarjana muda atau sarjana.

Keupayaan luar biasa seperti boleh menguasai pelbagai bahasa, kebolehan yang istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif serta mendapat tempat di universiti ulung tempatan atau universiti terkemuka dunia.

"Penerima biasiswa ini adalah terikat untuk berkhidmat di Malaysia bagi tempoh tidak kurang dari lima tahun. Oleh itu, penerima biasiswa yang telah menamatkan pengajian di luar negara diwajibkan pulang ke tanah air selepas tamat tempoh tajaan," kata JPA.

JPA berkata pakej tawaran Biasiswa Yang di-Pertuan Agong menawarkan kadar pembiayaan yang lebih tinggi berbanding Biasiswa Persekutuan sedia ada, di samping menerima elaun-elaun lain yang berkaitan.

Yuran pengajian akan dibayar secara terus kepada universiti, menurut JPA.

Borang permohonan biasiswa itu boleh dimuat turun melalui portal www.jpa.gov.my atau http://esila.jpa.gov.my mulai 27 Jun ini dan tarikh tutup permohonan adalah pada 13 Julai depan.

Calon-calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-88853436/3546/3573 atau mengunjungi kaunter Bahagian Pembangunan Modal Insan di Aras 5, Block C1, Parcel C, Jabatan Perkhidmatan Awam, Putrajaya. - BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI