Johan Piala Presiden 2012 milik Perak

Friday, June 22, 2012

Perak juara Piala Presiden 2012

Jaringan tunggal Muhammad Nurridzuan Abu Hassan pada separuh masa pertama berjaya membawa Perak menjadi Johan Piala Presiden 2012.

Perak tampil garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak ke kubu lawan hingga menyaksikan penyerang sensasi skuad "Yob Muda", Khairul Asyraff Sahizah hampir membuka jaringan namun sepakan gunting penyerang muda itu, sedikit tersasar di atas palang gol.



Bagai tersentak, kesebelasan NS Betaria bingkas bangkit dengan melancarkan serangan ke gawang Perak namun benteng yob muda yang diterajui gandingan Amirul Azahan Aznan, Muhammad Syahmil Khairi, Mohd Rafiq Faeez Fuad dan Mohd Haizal Faquan Sadaruddin tetap kental bertahan bagi menafikan asakan-asakan pelawat.

Perak sekali lagi berpeluang membuka jaringan menerusi Khairul Asyraff pada minit ke-28 setelah penyerang muda itu berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan NS Betaria.

Namun, penyerang tersebut gagal memanfaatkan peluang terhidang itu apabila menyepak tinggi biarpun hanya berdepan satu sama satu dengan penjaga gawang NS Betaria, Mohd Khairul Izzuwan.

NS Betaria turut memiliki beberapa peluang menjaringkan gol, namun semua peluang berkenaan gagal dimanfaatkan oleh jentara serangannya yang menyaksikan banyak percubaan tidak menepati sasaran.

Bagaimanapun, kapten skuad "Yob Muda", Muhammad Nurridzuan Abu Hassan menceriakan sekitar tiga ribu penyokong Perak setelah berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pada masa kecederaan babak Perak selesa memimpin perlawanan hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan Perak semakin menggandakan asakan ke gawang NS Betaria bagi menambah jaringan.

Namun beberapa peluang yang diperolehi gagal dimanfaatkan oleh jentera serangan Perak yang menyaksikan penyerang kembar yob muda, Khairul Asyraff dan bintang muda dari skuad Piala Belia, M.Mugienthiran gagal melepasi kawalan benteng pertahanan NS Betaria.

Perak hampir menambah jaringan pada minit ke-85, setelah Muhammad Nurridzuan sekali lagi berjaya meloloskan diri daripada kawalan pertahanan NS Betaria.

Namun, Nurridzuan gagal menyempurnakan peluang berkenaan biarpun berdepan satu sama satu dengan penjaga gol lawan, Mohd Khairul Izzuwan.

NS Betaria terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila pemain gantian, Azwan Md Nor dilayangkan kad merah kerana mengasari penjaga gol Perak, Mohd Syazani Mat Puat pada minit-minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun, kesempatan itu gagal dimanfaatkan Perak apabila banyak mensesiakan peluang untuk menambah jaringan dan sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga ke wisel penamat.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI